Tuesday 8 April 2014

Selangor lulus 47 projek pembinaan Rumah Selangorku

SHAH ALAM 8 APRIL : Kerajaan Selangor meluluskan 47 projek pembinaan Rumah Selangorku untuk dibangunkan bagi memenuhi permintaan penduduk negeri ini.
Exco Perumahan Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 18,732 unit rumah akan dibina daripada 44 projek berkenaan selepas rundingan penetapan jumlah unit rumah berjaya dimuktamadkan.
Katanya, terdapat perbezaan antara pembinaan Rumah Selangorku dengan Rumah PR1MA yang dibina Kerajaan Persekutuan dari segi harga dan keluasan.
Harga Rumah Selangorku antara RM42,000 hingga RM250,000 sementara Rumah PR1MA diantara RM100,000 hingga RM400,000.
Dari segi keluasan pula rumah yang dibina Kerajaan Selangor dari 700 hingga 1,000 kaki persegi sementara PR1MA dari 670 hingga 1,300 kaki persegi.
“Kita tidak membuat rumah melebihi 1,000 kaki persegi kerana kita mahu menumpukan kepada golongan pertengahan yang sudah cukup memadai dengan 1,000 kaki persegi,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS).
Sehingga kini, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah menerima 7,335 permohonan untuk Rumah Selangorku.
Secara keseluruhan Kerajaan Selangor mensasarkan pembinaan rumah mampu milik berjumlah 35,000 termasuk kerjasama dengan pemaju swasta seperti Sime Darby menjelang tahun 2017.
Jelas Adun Cempaka, Kerajaan Negeri memberikan insentif pengurangan caj pembangunan kepada pemaju swasta yang terlibat dengan projek perumahan yang dibuat bersama Kerajaan Negeri.
Selain itu, satu Jawatankuasa Khas untuk memantau penyiapan projek perumahan telah ditubuhkan bagi memastikan projek pembinaan 18,732 unit rumah ini siap secepat mungkin.
Kata beliau lagi, kuota 30 peratus pembelian untuk golongan Bumiputera masih dikekalkan.
Manakala pemberian insentif pototongan harga sebanyak tujuh peratus kepada pembeli telah dimansuhkan oleh kerana harga jualan rumah yang ditawarkan Kerajaan Negeri lebih rendah dan telah diberikan subsidi daripada harga pembinaan.

SUMBER : selangorkini

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...