Tuesday 3 March 2020

MERANGKAK

Kenapa cikgu suruh anak murid merangkak? Mungkin 'ibu berkenaan' boleh baca tulisan saya ini.

"SAYA PERNAH MENYURUH ISTERI SAYA SURUH ANAK MURIDNYA MERANGKAK KALAU TAK PANDAI MENYEBUT DENGAN BETUL"

Ya.. memang betul. Saya pernah suruh isteri saya Izan Mohd Yusoff buat begitu pada anak muridnya di sekolah kalau mereka ada masalah dalam kemahiran bertutur.

Kisahnya begini. Anak kami yang bongsu (Irhamni, atau mesra dipanggil Amin) sekarang sudah berada di Tahun 2 sekolah rendah di Putrajaya. Pada waktu kecilnya Amin membesar seperti kanak-kanak biasa. Namun ketika umurnya melepasi 3 tahun, Amin masih tidak pandai menyebut walau sepatah perkataan pun. Puas kami mengajarnya menyebut walau dengan perkataan mudah seperti 'babah' dan 'mama', tetap Amin akan menyebutnya dengan sebutan 'la%kjs&d*hk#jpa@qwer' yang langsung kami tidak fahami.

Pada mulanya kami menyangka anak kami ini adalah kanak-kanak autisme kerana beberapa simptom telah kelihatan padanya seperti mudah tantrum, suka menyusun permainan secara menjajar dsb. Namun, setelah menjalani beberapa saringan pemeriksaan pakar di Hospital Putrajaya, alhamdulillah hasilnya adalah negatif. Amin hanya mengalami masalah delay speech sahaja dan bukannya autisme. Seterusnya kami hanya perlu membawa Amin berjumpa pakar pertuturan di hospital yang sama mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Sewaktu pertama kali kami ditemu bual oleh pakar pertuturan Hospital Putrajaya, macam-macam soalan telah ditanya kepada kami tentang anak bongsu kesayangan kami ini. Dan apabila doktor yang merawat Amin bertanya tentang perkembangan tumbesaran dan kemahiran-kemahiran yang sepatutnya diperolehi oleh seorang bayi dan kanak-kanak, maka disitulah baru kami tahu salah satu punca Amin tidak dapat bertutur seperti kanak-kanak biasa yang lain. Puncanya adalah kerana kami secara tidak sengaja telah mengabaikan (skip) kemahiran merangkak padanya. Dari Amin berbaring, berpusing, berpaut, berdiri dan terus berjalan tanpa merangkak! Ini semua gara-gara baby walker. 😅

Menurut kefahaman saya dari apa yang diterangkan oleh doktor yang merawat Amin, kemahiran merangkak sangat penting untuk perkembangan tumbesaran bayi yang sihat dan ia juga merupakah fitrah kejadian manusia yang telah ditentukan Allah swt. Merangkak juga sangat berkait rapat dengan kemahiran bertutur. Ini kerana persilangan tangan kanan dan kaki kiri serta tangan kiri dan kaki kanan akan mengaktifkan kordinasi badan sekaligus melibatkan otak kiri dan otak kanan agar dapat diseimbangkan mengikut keadaan yang sesuai seperti menerima mesej melalui pendengaran dan menterjemahkannya melalui pertuturan dan tindakan. Selain merangkak, memanjat secara bersilang kaki dan tangan, kiri dan kanan juga berperanan mengaktifkan otak kiri dan kanan kanak-kanak secara langsung.

Seterusnya doktor menyarankan kami agar membuat aktiviti merangkak di rumah kepada Amin dengan cara semua ahli keluarga sama-sama merangkak agar Amin juga teruja untuk melakukannya bersama-sama. Pada mulanya agak sukar untuk Amin yang sudah pandai berlari untuk disuruh merangkak. Amin nampak kekok dan tidak biasa menekan lutut untuk merangkak. Akhirnya saya terpaksa membuat Amin merangkak di bawah saya yang sama-sama merangkak bersamanya.

Setelah seminggu aktiviti merangkak dilakukan dengan sekerap mungkin kepada Amin, kami pun cuba mengajarkannya mengajuk cakap kami. Hasilnya masyaAllah!!! Amin sudah boleh bercakap! Dan satu bonus untuk kami kerana sejak daripada itu sehingga kini, Amin lebih fasih bercakap bahasa Inggeris dengan slang American berbanding bercakap bahasa Melayu yang menjadi bahasa pertuturan kami di rumah. Ini semua gara-gara YouTube! 😂Hahaha... Allahu...

Kesimpulannya, wahai 'ibu'... merangkak itu adalah aktiviti yang baik. 😆

Mior Syazril M. Sapawi
Putrajaya

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...