Wednesday 20 April 2022

Amalan Iktikaf 10 Hari Terakhir Ramadan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Iktikaf 10 Hari Terakhir Ramadan 

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ

Daripada Aisyah Radhiyallahuanha, bahawa Nabi SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan sampai Allah mewafatkan baginda, kemudian isteri-isteri baginda (tetap) beriktikaf sepeninggalan baginda. (Sahih Bukhari No: 1922) Dar Ibn Kathir.  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Iktikaf ialah tetap tinggal di dalam masjid dengan niat beriktikaf dan bertujuan  beribadat kepada Allah

2.  Mengikut Imam Syafie,  iktikaf  boleh dilakukan sekadar masa lebih sedikit daripada tomakninah dalam solat. Imam Maliki mensyaratkan iktikaf sekurang-kurangnya sehari semalam dan yang paling baik ialah tidak kurang daripada 10 hari

3.  Sunnah iktikaf yang dilakukan Rasulullah SAW ialah sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan. Baginda melaksanakan sejak berpindah ke Madinah sehingga baginda wafat.

4.  Amalan iktikaf sepuluh hari terakhir Ramadan antara sunnah Rasulullah SAW yang dilupakan oleh kebanyakan umat Islam hari ini. Dr Wahbah Zuhaili menyatakan: “Sungguh pelik manusia, bagaimana mereka boleh meninggalkan iktikaf?. Rasulullah SAW melakukan sesuatu dan meninggalkan sesuatu tetapi baginda tidak meninggalkan  iktikaf sehinggalah baginda wafat”.

5.  Amalan beriktikaf adalah sebahagian daripada cara mengimarahkan masjid. Pengimarah masjid adalah tanda orang beriman. Firman Allah: 

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ

“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.”  (At-Taubat: 18),.

6.  Dalam suasana endemik hari ini, kebanyakan masjid telah membenarkan beriktikaf  untuk tempoh tertentu.  Ayuh kita berazam untuk menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadan ini. 

7.  Jika ada larangan untuk beriktikaf dimasjid bagi menjaga maslahah, dibolehkan beriktikaf di tempat solat (Musolla) atau di suatu ruang yang dikhususkan dalam suatu rumah untuk solat bersama ahli keluarga dalam bilangan yang kecil (ibu, ayah dan anak-anak), oleh sebahagian Fuqaha’ (di ruang khusus untuk solat) dalam keadaan seperti Pendamik Covid-19  mengikut Prof Dr Muhyiddin Ali al-Qurrahdaghi, Setiausaha Agung, Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia. Wallahu’alam.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

21hb April  2022
19hb Ramadan 1443H

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...