Friday 18 November 2022

Ukhuwah Faktor Kejayaan Membina Negara

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ukhuwah Faktor Kejayaan Membina Negara

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Dari Anas RA, dari Nabi SAW, sabdanya: “Tidak sempurna Iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat kebaikkan seperti apa yang ia sendiri suka mendapatnya”.
(HR Bukhari No: 12 ) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ukhuwah sesama Muslim adalah pra syarat kesempurnaan iman seseorang.

2.  Kesempurnaan iman seseorang ditunjukkan dengan sifat mengasihi saudara Muslim yang lain seperti ia mengasihi dirinya sendiri.

3.  Ibn Qayyim menyatakan:

a.  Kasih sayang itu adalah sifat memberikan manfaat kepada orang lain
b.  Sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada sahabat atau menjauhkannya daripada bencana.

4.  Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah telah mempersaudarakan dua kaum iaitu Auz dan Khazraj yang sebelum ini sering berperang dan bermusuhan tanpa henti. Tiada lagi permusuhan antara mereka, bahkan mereka saling berkasih sayang, bantu membantu antara satu sama lain termasuk menghulurkan pertolongan kepada golongan Muhajirin yang baru berhijrah dari Mekah ke Madinah. Langkah strategik Baginda ini demi memastikan ikatan ukhuwah dan persaudaraan dalam kalangan penduduk Madinah kukuh terpatri. Ia menjadi faktor utama kepada kejayaan pembinaan Negara Madinah yang maju dan makmur.

5.  Jangan jadikan perbezaan pemikiran, pandangan, parti, kumpulan sebagai pemisah antara kita. Banyak titik persamaan yang boleh dicari untuk berada di bawah payung keimanan, toleransi dan perpaduan bersama.

PRU ke 15 akan berakhir pada hari ini selepas pengundian dan pengiraan tamat. Yang menang kita ucapkan tahniah dan syabas. Selamat mengemudi Negara menuju Negara Rahmah. Yang kalah bukan bermakna agenda mengisi kesejahteraan dan kegemilangan Negara telah tamat.  Marilah kita pertautkan kembali kasih sayang dan ukhuwah. Buang jauh-jauh perselisihan dan perbezaan yang ada. Buktikan kesempurnaan iman kita dengan saling berkasih sayang.  Mari kita bina  Negara Malaysia yang cemerlang dan diampuni Allah. Bersama Membina Negara Rahmah.

19hb Nov  2022
24hb Rabiul Akhir 1444H

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...