Saturday 28 January 2023

Menanam Selagi Berkesempatan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Menanam Selagi Berkesempatan

عن أنس رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: إِنْ قامَتِ السَّاعَةُ وَفِي يَدِ أَحَدِكُمْ فَسِيلَةٌ فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ لَا تَقُومَ حَتَّى يَغْرِسَهَا فَلْيَغْرِسْهَا

Daripada Anas RA dari Nabi SAW baginda bersabda: “Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang dari kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah.” HR Ahmad (3/183), al-Tayalisi dalam Musnadnya (2068) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (479). Status: Hadis Sahih

Pengajaran: 

1.  Sebagai Muslim kita dituntut untuk menyumbang sesuatu untuk kebaikan dan manfaat orang lain dalam keadaan apapun.

2. Bagi mereka yang memiliki biji benih dan kebun, diperintahkan untuk menanam agar manfaat dari pokok yang ditanam tersebut dinikmati oleh makhluk lain dan dia akan mendapat pahala yang berterusan selagi tanaman tersebut hidup dan meninggalkan benih.

3. Imam al-Son’ani berkata: dalam hadis ini terdapat galakan untuk bercucuk tanam tumbuhan dan benih serta padanya terdapat kebaikan yang banyak. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 4/241)

4.  Hadis ini juga menggambarkan pentingnya bidang pertanian sehinggakan hampir kiamat pun digalakkan lagi bercucuk tanam oleh Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bidang ini tidak boleh diabaikan sama sekali kerana ia adalah penyumbang utama kepada kehidupan manusia. Pertanian merupakan satu ibadah.

Marilah kita menyediakan fix deposit amal semasa kita hidup walaupun manfaat tidak dapat kita perolehi semasa hidup antaranya melalui pertanian juga penanaman pokok bagi mereka yang memiliki tanah. Boleh sahaja menanam pokok sayur seperti cili, kangkung dan lain-lain di dalam pasu di rumah yang tiada tanah atau laman yang luas.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

29hb Januari  2023
07hb Rejab 1444H

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...