Wednesday 7 February 2024

HIKMAH PERISTIWA ISRAK MIKRAJ1445H

Assalamualaikum wbt.. Selamat malam & Salam Israk Mikraj 1445H 

Firman Allah SWT,

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَاۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ⁣
_Maksudnya : “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”_ 
[Surah Al-Israa’ 17:1]

📝 HIKMAH PERISTIWA ISRAK MIKRAJ

Israk Mikraj Adalah Perjalanan Yang Nyata
Peristiwa Israk Mikraj ini merupakan perjalanan dan pengalaman Rasulullah SAW yang benar-benar terjadi dan, bukan hanya perjalanan rohani atau mimpi Baginda semata-mata.

Dalam peristiwa ini, Rasulullah SAW mendapatkan perintah secara langsung tanpa perantara dalam suruhan mengerjakan solat lima waktu. Ini adalah bukti bahawa Israk Mikraj berbeza dengan penurunan wahyu-wahyu Allah yang lainnya.

Rasulullah juga mengalami perjalanan itu dalam keadaan sedar dan dengan sepenuh hati Baginda. Selepas peristiwa itu, Baginda segera menceritakan kepada para sahabat dan pengikut Baginda dengan ingatan yang sangat jelas.

*Tanda Kekuasaan Allah SWT*

Peristiwa Israk Mikraj merupakan salah satu bukti dan tanda kekuasaan Allah SWT Allah juga ingin menunjukkan betapa besarnya kekuasaan-Nya dengan menjadikan sebuah peristiwa yang boleh dianggap ganjil bahkan hal yang lebih hebat daripada itu.

Dengan kehendak Allah, boleh dilakukan apa-apa saja mengikut kehendak-Nya. Allah SWT dengan jelas telah menyatakan bahawa Israk Mikraj adalah bertujuan untuk memperlihatkan kekuasaan-Nya.

*Bentuk Kemuliaan Allah SWT Kepada Rasulullah SAW*

Sebelum terjadinya peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah SAW menghadapi banyak ujian yang sangat berat, terutamanya tentangan hebat dalam usaha dakwah Baginda. Antaranya Baginda diusir dan ditolak oleh penduduk di kota Thaif.

Rasulullah SAW juga kehilangan dua orang yang penting, iaitu isteri kesayangan Baginda, Siti Khadijah dan bapa saudara yang banyak membantu iaitu Abu Thalib.

Oleh itu, Israk Mikraj merupakan hadiah dan sebuah pengganti dari apa yang telah Rasulullah SAW hadapi terutamanya pada tahun yang sama.

*Bukti Kerasulan Nabi Muhammad SAW*

Israk Mikraj juga memperlihatkan sebahagian bukti akan kebesaran Allah selain bertujuan memantapkan dan mengukuhkan kerasulan Rasulullah SAW.

Selain itu Israk Mikraj juga diciptakan untuk memuliakan Rasulullah SAW sebagai seseorang yang dipilih oleh Allah SWT.

Peristiwa ini juga bertujuan mempersiapkan kekuatan jasad, jasmani, rohaniah, dan aqliah Rasulullah SAW dalam menjalankan tugas-tugas kenabian Baginda.

*Bukti Ajaran Rasulullah SAW Bersifat Menyeluruh*

Peristiwa Israk atau perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram (Mekah) ke Masjidil Aqsa (Madinah), menunjukkan bahawa ajaran yang dibawa Rasulullah SAW bukan hanya untuk masyarakat Mekah sahaja tetapi agama kepada seluruh umat manusia yang ada di muka bumi.

Perintah Didirikan Solat Lima Waktu
Peristiwa Mikraj atau perjalanan Rasulullah SAW ke Sidratul Muntaha adalah tempat berlakunya peristiwa Rasulullah menerima perintah Allah SWT untuk mengerjakan solat lima waktu sehari semalam.

Perintah ini adalah secara langsung diberikan oleh Allah kepada Baginda tanpa perantara.

Walaupun pada awalnya Allah SWT memerintahkan didirikan sebanyak 50 waktu, namun Rasulullah SAW memohon agar dikurangkan sehinggalah perintah solat menjadi lima waktu sehari semalam seperti hari ini.

Perintah solat lima waktu ini sangat dipegang erat oleh Rasulullah SAW dan Baginda sangat menitikberatkan kepada umat Baginda supaya tidak meninggalkan solat lima waktu kerana ianya adalah tiang agama Islam dan kunci diterima segala amalan di dunia.

*Pembersihan Hati untuk Menghadap Allah SWT*

Diriwayatkan, sebelum peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah SAW telah ‘dibedah’ oleh malaikat bagi membersihkan jiwa Baginda dari dari sifat-sifat buruk seperti was-was.

Ini memberi gambaran kepada umat Islam bahawa sebelum menghadap Allah SWT dalam menjalankan ibadah, seharusnya membersihkan dulu jiwa dan hati dari segala sifat buruk.

Selain itu, segala amalan ibadat hendaklah disertai dengan niat yang betul dan ikhlas. Allah berfirman bahawa Islam itu bersih, maka bersihkanlah jiwa raga kerana sesungguhnya tidak akan masuk syurga kecuali orang-orang yang bersih.

Sungguh banyak hikmah yang dapat diambil oleh umat Islam sebagai iktibar daripada peristiwa ini.

Jadi sebagai umat Islam umumnya, dan pengikut Nabi Muhammad SAW khususnya haruslah kita jadikan peristiwa ini sebagai pangajaran utama dalam mengejar ibadah terutamanya dalam mendirikan solat lima waktu.

Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...