Sunday 30 June 2024

Penyebab Ramai Masuk Syurga Atau Neraka

*ASSALAMUALAIKUM w.b.t*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Penyebab Ramai Masuk Syurga Atau Neraka*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَكْثَرُ مَا يُدْخِلُ الْجَنَّةَ قَالَ التَّقْوَى وَحُسْنُ الْخُلُقِ وَسُئِلَ مَا أَكْثَرُ مَا يُدْخِلُ النَّارَ قَالَ الْأَجْوَفَانِ الْفَمُ وَالْفَرْجُ

_*Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Nabi SAW pernah di tanya; "Perkara apa yang banyak menyebabkan orang masuk syurga?" baginda menjawab: "Taqwa kepada Allah dan akhlak yang mulia." Baginda di tanya lagi; "Perkara apa yang banyak menyebabkan orang masuk neraka?" baginda menjawab: "Dua rongga yang terbuka iaitu mulut dan kemaluan."*_ (HR Ibnu Majah No: 4236) Status: Hadis Hasan

*Pengajaran:*

1.  Bertaqwa kepada Allah dan memiliki akhlak yang mulia antara perkara yang banyak menyebabkan orang masuk syurga dengan rahmat Allah.

2.  Dua perkara yang banyak menyebabkan orang masuk neraka ialah dua rongga yang terbuka iaitu mulut dan kemaluan. 

3.  Syeikh Abdullah al-Talidi dalam Jawahir al-Bihar menyatakan: maksud mulut di dalam hadis adalah orang yang tidak menjaga serta berusaha untuk menjaga daripada dosa-dosa mulut seperti mengucapkan ucapan kufur, laknat, qazaf, mengejek, menipu, mengumpat, mengadu domba, persaksian palsu dan sebagainya. Selain itu, makna kemaluan pula adalah orang yang tidak menjaga kemaluannya daripada zina, liwat, tidak menjaga auratnya di hadapan selain daripada mahramnya seperti isterinya dan sebagainya. 

4.  Syeikh al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi menyatakan: makna mulut di dalam hadis ini ialah menjaga lidahnya kerana menjaga lidah boleh menyelamatkan keseluruhan urusan agamanya dan memakan yang halal kerana itu adalah penghulu kepada ciri ketaqwaan. 

Jadilah orang yang bertaqwa dan memiliki akhlak yang mulia. Peliharalah mulut dan kemaluan.

01hb Julai 2024
24hb Zulhijjah 1445H

Saturday 29 June 2024

Banyak Ketawa Mematikan Hati

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Banyak Ketawa Mematikan Hati*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُكْثِرُوا الضَّحِكَ فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحِكِ تُمِيتُ الْقَلْبَ

_*Daripada Abu Hurairah dia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kalian banyak tertawa, kerana banyak tertawa akan mematikan hati."*_ (HR Ibnu Majah No: 4183) Status: Hadis Hasan

*Pengajaran:*

1.  Ketawa adalah fitrah manusia, namun perlu berkadaran bukan berlebihan.

2.  Kata Abul-Fath Al-Busti, seorang penyair terkenal:

Berikanlah istirehat pada tabiat kerasmu yang serius
Relekkan dahulu dan hiasilah dengan sedikit gurau senda
Tetapi jika engkau berikan gurau senda kepadanya, jadikanlah ia
Seperti kadar engkau memasukkan garam kepada makanan

3.  Jangan banyak tertawa kerana ia akan mematikan hati. Kata al-Mawardi:

وَأَمَّا الضَّحِكُ فَإِنَّ اعْتِيَادَهُ شَاغِلٌ عَنْ النَّظَرِ فِي الْأُمُورِ الْمُهِمَّةِ ، مُذْهِلٌ عَنْ الْفِكْرِ فِي النَّوَائِبِ الْمُلِمَّةِ. وَلَيْسَ لِمَنْ أَكْثَرَ مِنْهُ هَيْبَةٌ وَلَا وَقَارٌ، وَلَا لِمَنْ وُصِمَ بِهِ خَطَرٌ وَلَا مِقْدَارٌ. 

*Adapun tertawa, apabila seseorang membiasakannya dan terlalu banyak tertawa, maka ia akan melalaikan dan melupakannya dari melihat perkara yang penting. Orang yang banyak tertawa, tidak akan memiliki wibawa dan kehormatan. Orang yang terkenal banyak ketawa tidak akan memiliki kedudukan dan martabat*

4.  Ingatlah pesanan Rasulullah: *Dari Abu Hurairah ia berkata: Suatu ketika Nabi SAW mendatangi sekelompok sahabat yang sedang tertawa sambil berbincang. Baginda bersabda: Demi jiwaku ditangan Nya, andai kata kalian tahu apa yang aku ketahui nescaya kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis* (HR Ibnu Hibban 2/73) Status: Sahih dalam kitab Silsilah Ahadits Ash-Sahihah (3193).

5.  Wasiat Hasan Al-Bana: Jangan terlalu banyak tertawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah akan tenteram dan tenang. 

Marilah kita hidup dalam suasana banyak senyuman dan mengurangkan ketawa yang melalaikan.  

30hb Jun 2024
23hb Zulhijjah 1445H

Friday 28 June 2024

Berdusta Untuk Menjadikan Orang Tertawa

*Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Berdusta Untuk Menjadikan Orang Tertawa*

عَنْ بَهْزِ بْنِ حَكِيمٍ قَالَ حَدَّثَنِي أَبِي عَنْ أَبِيهِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ

_*Daripada Bahz bin Hakim katanya, telah mengkhabarkan kepada ku dari ayahku, ia mendengar Rasulullah bersabda: Celakalah orang yang berbicara kemudian dia berdusta agar suatu kaum tertawa kerananya. Kecelakaan untuknya. Kecelakaan untuknya.”*_ (HR Abu Daud No: 4338) Status: Hadis Hasan

*Pengajaran:*

1.  Elakkan guruan yang di dalamnya ada unsur berdusta, mengumpat, menghina  juga meremehkan orang lain hanya kerana ingin menghiburkan orang atau menyebabkan orang  tertawa. 

2.  Celakalah orang yang menyampaikan sesuatu kepada orang lain yang menyebabkan orang lain tertawa, sama ada melalui pertuturan, lakonan, lukisan, gambar juga tulisan yang didalamnya mengandungi pembohongan, penghinaan juga meremehkan orang lain.

3. Celakalah orang yang sengaja melakukan pendustaan terhadap sesuatu hanya kerana ingin orang lain yang mendengar atau membaca tertawa.

4.  Orang yang beriman tidak akan berbicara serta melakukan sesuatu melainkan yang benar dan baik.

Jadilah kita Mukmin yang benar lagi baik dalam perbuatan dan pertuturan.

29hb Jun 2024
22hb Zulhijjah 1445H

Thursday 27 June 2024

Bergurau Yang Dibenarkan

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Bergurau Yang Dibenarkan*

عَنِ الْحَسَنِ قَالَ: أَتَتْ عَجُوزٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ادْعُ اللَّهَ أَنْ يُدْخِلَنِي الْجَنَّةَ فَقَالَ: يَا أُمَّ فُلاَنٍ، إِنَّ الْجَنَّةَ لاَ تَدْخُلُهَا عَجُوزٌ. قَالَ: فَوَلَّتْ تَبْكِي فَقَالَ: أَخْبِرُوهَا أَنَّهَا لاَ تَدْخُلُهَا وَهِيَ عَجُوزٌ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَقُولُ : إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا عُرُبًا أَتْرَابًا (الواقعة آية رقم : 35 - 37)

_*Daripada Al-Hasan RA, dia berkata, “Seorang nenek tua mendatangi Nabi SAW. Nenek itu pun berkata, ‘Ya Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar Dia memasukkanku ke dalam syurga!’ Baginda pun mengatakan, ‘Wahai Ibu si Polan! Sesungguhnya syurga tidak dimasuki oleh nenek tua. Nenek tua itu pun pergi sambil menangis. Baginda pun mengatakan, ‘Khabarkanlah kepadanya bahwasanya wanita tersebut tidak akan masuk syurga dalam keadaan seperti nenek tua. Sesungguhnya Allah berfirman: Sesungguhnya kami menciptakan mereka (Bidadari-bidadari) dengan langsung (35). Dan kami jadikan mereka gadis-gadis perawan (36). Penuh cinta lagi sebaya umurnya (37).” (Al-Waqi’ah)*_ (HR At-Tirmizi No: 238) Status: Hadis Hasan

*Pengajaran:*

1.  Rasulullah bergurau dengan sahabat untuk mengembirakan, namun dalam batas yang tidak berlebihan hingga membawa sifat berbohong.

2.  Rasulullah bergurau dengan perempuan tua, walaupun pada awalnya menyedihkan namun diakhirnya mengembirakan dan menyebabkan perempuan itu tersenyum dan tertawa gembira.

3.  Orang yang terlalu serius dalam urusan kehidupannya akan cepat penat dan kecewa.

4.  Kita boleh bergurau dengan kadar yang tidak berlebihan serta berusaha mengawal lidahnya ketika bergurau agar bertutur dalam perkara yang bermanfaat dan menjauhi dusta.

5.  Wasiat Hassan Al-Banna: Jangan terlalu banyak bergurau kerana orang Islam yang sedang berjuang tidak mengerti erti bergurau melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

28hb Jun 2024
21hb Zulhijjah 1445H

Wednesday 26 June 2024

Berhati-hati Dalam Berbicara

*ASSALAMUALAIKUM w.b.t*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Berhati-hati Dalam Berbicara*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ خَرِيفًا فِي النَّارِ

_*Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda:  Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.*_ (HR Tirmizi No: 2314) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Dalam menyampaikan berita, seseorang mesti bertanggungjawab dalam segala ucapan dan penyampaiannya sama ada secara lisan mahupun tulisan.  

2.  Al-Mubarakfuri menjelaskan bahawa sebahagian manusia memandang remeh perkataan yang diucapkannya sehingga dia tidak menyangka perkataan tersebut menjadi penyebab kepada dia dihumban ke neraka. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 12/79).

3.  Setiap berita yang disampaikan mestilah benar serta tidak akan mengundang kepada keaiban dan pembohongan. Jangan sampai mengundang kemurkaan  Allah SWT dan berlaku kekacauan di dalam masyarakat. Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ  لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم  بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ  لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُم مَّا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ  وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ

*Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat)*. (Surah An-Nur, 11).

Al-Maraghi berkata: Allah SWT menerangkan hukuman yang menimpa ke atas orang yang ikut serta menyebarkan berita dusta; mereka semua akan mendapat hukuman yang setimpal dengan peranan yang dimainkan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4730).

Moga kita sentiasa berhati-hati dalam menyebarkan sebarang maklumat termasuk di media sosial.

27hb Jun 2024
20hb Zulhijjah 1445H

Tuesday 25 June 2024

Kewajipan Menjaga Lidah dan Kemaluan

*ASSALAMUALAIKUM w.b.t*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Kewajipan Menjaga Lidah dan Kemaluan*
 
عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ يَضْمَنْ لِي مَا بَيْنَ لَحْيَيْهِ وَمَا بَيْنَ رِجْلَيْهِ أَضْمَنْ لَهُ الْجَنَّةَ
 
_*Daripada Sahl bin Sa'd RA, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda: "Sesiapa yang menjamin bagiku apa yang ada di antara tulang dagunya (mulut dan lidah) dan apa yang ada di antara dua kakinya (kemaluan), maka aku menjamin baginya syurga.”*_(HR Bukhari No: 6474) Status: Hadis Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.  Allah SWT telah mencipta syurga dan neraka di akhirat sebagai destinasi abadi seseorang hamba. Orang yang melakukan amal kebaikan, balasan syurga akan menanti dan sebaliknya jika melakukan amal kejahatan maka nerakalah tempatnya.

2.  Jaminan syurga kepada seseorang Muslim yang dapat menjaga mulut, lidah dan kemaluannya. Menjaga mulut ialah menjauhi makanan dan minum dari sumber yang haram. Menjaga lidah pula dengan menjauhi dosa lidah melalui umpatan, fitnah, cacian disamping memperbanyakkan berzikir, memohon keampunan dan bertaubat daripada dosa-dosa yang telah dilakukan. Seterusnya menjaga kemaluan daripada hubungan yang tidak halal dan yang diharamkan.

3.  Awasi lidah daripada tergelincir serta menjerumuskan diri kepada ruang fitnah pasangan yang bukan mahram yang akhirnya dengan kelembutan lidah yang tidak bertulang menjerumuskan kepada dosa-dosa kemaluan dan sebagainya. Dengan lidah menjadi punca dosa dan dimasukkan seseorang ke dalam neraka.

26hb Jun 2024
19hb Zulhijjah 1445H

Monday 24 June 2024

Penyebab Ramai Dihumban Ke Neraka

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Penyebab Ramai Dihumban Ke Neraka*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ أَكْثَرَ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ النَّارَ الْأَجْوَفَانِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْأَجْوَفَانِ قَالَ الْفَرْجُ وَالْفَمُ قَالَ أَتَدْرُونَ أَكْثَرَ مَا يُدْخِلُ الْجَنَّةَ تَقْوَى اللَّهِ وَحُسْنُ الْخُلُقِ

_*Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Sesungguhnya kebanyakkan penyebab manusia masuk neraka adalah disebabkan dua lubang.  Para sahabat bertanya; "Wahai Rasulullah, apakah dua lubang itu?" maka baginda bersabda: "Kemaluan dan mulut. Baginda bersabda: Tahukah kalian apa penyebab kebanyakan orang masuk syurga? Jawab baginda:  taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik."*_ (HR Ahmad No: 9319) Status: Hadis Hasan

*Pengajaran:*

1.  Seseorang akan ditempatkan kedalam neraka ataupun syurga bergantung pada amalan semasa di dunia. 

2.  Kebanyakan penghuni neraka adalah berpunca daripada dosa mulut dan kemaluan:

a.  Dosa kemaluan seperti berzina, liwat, homoseks, lesbian, gay tidak menjaga auratnya selain mahram dan sebagainya. 

b.  Dosa mulut atau lidah seperti makan dan minum dari sumber yang haram, mengucapkan ucapan kufur, laknat, qazaf, mengumpat, memfitnah, menghina, merendah-rendahkan orang lain, mengadu domba dan lain-lain termasuk yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan di media sosial.

3.  Mudahnya orang pada hari ini melakukan dosa mulut yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan. Memperkatakan serta forward sesuatu yang mengaibkan peribadi seseorang, mengumpat, memfitnah, mengadu domba di media elektronik dan diviralkan seperti FB, WhatsApp, telegram, tanpa terdetik dihatinya bahawa apa yang diperkatakan, yang ditulis dan diviral akan diminta pertanggungjawaban dihadapan Allah. 

4.  Syeikh al-Mubarakfuri menyatakan makna mulut di dalam hadis ini ialah menjaga lidahnya kerana menjaga lidah boleh menyelamatkan keseluruhan urusan agamanya dan memakan yang halal kerana itu adalah penghulu kepada ciri ketaqwaan. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 6/120]

5.  Seseorang akan ditempatkan kedalam syurga disebabkan rahmat Allah atas amalan soleh yang dilakukan.

6.  Kebanyakan penyebab seseorang masuk syurga nanti adalah berpunca dari sifat taqwanya serta akhlak terpuji yang dimiliki.

Peliharalah kemaluan dan mulut dari sesuatu yang berdosa yang menjadi penyebab dihumbankan ke neraka. Marilah kita suburkan sifat taqwa dan akhlak mulia dalam diri masing-masing agar dengan rahmat Allah ia menjadi penyebab kita memasuki syurga.

25hb Jun 2024
18hb Zulhijjah 1445H

Sunday 23 June 2024

Amalan Ke Syurga Dengan Selamat

*ASSALAMUALAIKUM w.b.t*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Amalan Ke Syurga Dengan Selamat*

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ سَلَامٍ قَالَ: لَمَّا قَدِمَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِيْنَةَ  اِنْجَفَلَ النَّاسُ إِلَيْهِ  وَقِيْلَ : قَدِمَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  فَجِئْتُ فِي النَّاسِ لِأَنْظُرَ إِلَيْهِ  فَلَمَّا اسْتَبَنْتُ وَجْهَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَرَفْتُ أَنَّ وَجْهَهُ لَيْسَ بِوَجْهٍ كَذَّابٍ  فَكَانَ أَوَّلَ شَيْءٍ تَكَلَّمَ بِهِ أَنْ قَالَ: ( يَا أَيُّهَا النَّاسُ  أَفْشُوْا السَّلَامَ  وَأَطْعِمُوْا الطَّعَامَ  وَصِلُوْا الْأَرْحَامَ  وَصَلُّوْا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ  تَدْخُلُوْا الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ).

_*Daripada ‘Abdullah bin Salâm, ia berkata: “Ketika Rasûlullâh SAW datang ke Madinah, orang-orang segera pergi menuju kepada baginda (kerana ingin melihatnya). Ada yang mengatakan: Rasûlullâh SAW telah datang, lalu aku mendatanginya ditengah kerumunan orang ramai untuk melihatnya. Ketika aku melihat wajah Rasûlullâh SAW, aku mengetahui bahawa wajahnya bukanlah wajah pembohong. Perkara pertama yang baginda ucapkan adalah: ‘Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berilah makan, sambungkan silaturrahim, dan solatlah di waktu malam ketika orang lain sedang tidur, nescaya kalian akan masuk syurga dengan selamat.”*_ (Sunan Tirmidzi no: 2485) Status: Hadis Hasan Sahih

*Pengajaran:*

1.Islam itu cantik dan indah. Abdullah bin Salam tertarik dan masuk Islam kerana melihat keindahan Islam yang ada pada diri Rasulullah SAW dan apa yang baginda tuturkan. 

2.Jadikanlah diri kita sebagai qudwah atau contoh ikutan melalui dakwah bil hal dengan keindahan dan kecantikan Islam pada diri kita.

3.Antara amalan yang menempatkan seseorang kedalam syurga adalah:

*a.  Menyebarkan salam* iaitu selalu mengucapkan salam setiap kali bertemu sesama Muslim. Seorang Muslim yang tidak mahu mengucapkan salam setiap kali bertemu dianggap bakhil. Nabi SAW bersabda :

أَعْجَزُ النَّاسِ مَنْ عَجِزَ فِيْ الدُّعَاءِ وَأَبْخَلُ النَّاسِ مَنْ بَخِلَ بِالسَّلاَمِ.

Selemah-lemah manusia adalah orang yang lemah (malas) berdoa kepada Allâh, dan sebakhil-bakhil manusia adalah orang yang bakhil mengucapkan salam (HR Thabarani dalam Mu’jamul Ausath (no. 5587) dan lainnya. Lihat Silsilah al-Ahâdîts ash-Shahîhah (no. 601). Status: Hadis Hasan

*b.  Memberi makan* kepada orang yang memerlukan seperti tetamu, jiran tetangga atau orang yang memerlukan. Orang yang memberi atau bersedekah, nescaya Allah akan menambahkan rezeki kepadanya. Hadis Nabi SAW menyebutkan:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ …

Sedekah tidak mengurangi harta…  (Sahîh Muslim No. 2588).

أَنْفِقْ أُنْفِقْ عَلَيْكَ

Berinfaqlah! Niscaya Aku akan berinfaq kepadamu.  (Sahîh Bukhâri No: 4684) 

*c.  Menyambung silaturahim* dengan semua kerabat sama ada melalui perkataan, perbuatan, dan tingkahlaku. 

Al-Arhâm adalah jamak dari rahim. Maksudnya kerabat yang memiliki hubungan kekeluargaan dari ibu atau bapa, seperti datok, nenek, bapa saudara, ibu saudara, sepupu dan lain-lain. Allâh SWT berfirman :

وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ

*Bertakwalah kepada Allâh yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan* [an-Nisâ’/4:1]

Silaturrahim merupakan sebab masuk syurga. Memutuskan silaturrahim menyebabkan laknat dan jauh dari rahmat Allâh Azza wa Jalla .

*d.  Solat di waktu malam*, ketika manusia sedang tidur. Ia mencakupi solat wajib, seperti ‘Isya dan Subuh, juga mencakupi solat sunat malam, kerana malam adalah waktu orang tidur.

24hb Jun 2024
17hb Zulhijjah 1445H

Saturday 22 June 2024

Amalan Yang Istiqamah Lebih Dikasihi Walaupun Sedikit

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Amalan Yang Istiqamah Lebih Dikasihi Walaupun Sedikit*

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَحْتَجِرُ حَصِيرًا بِاللَّيْلِ فَيُصَلِّي عَلَيْهِ وَيَبْسُطُهُ بِالنَّهَارِ فَيَجْلِسُ عَلَيْهِ فَجَعَلَ النَّاسُ يَثُوبُونَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيُصَلُّونَ بِصَلَاتِهِ حَتَّى كَثُرُوا فَأَقْبَلَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مِنْ الْأَعْمَالِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَإِنَّ أَحَبَّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ مَا دَامَ وَإِنْ قَلَّ

_*Daripada Aisyah RA bahawa pada suatu malam Nabi SAW mengambil tikar yang diperbuat daripada pelepah dan daun tamar untuk dijadikan dinding tempat baginda bersolat di waktu malam dan di waktu siang baginda menghamparkan tikar daun tamar itu dan duduk di atasnya, orangpun datang berkumpul kepada Rasulullah lalu solat sepertinya sehingga ramai yang mengikutinya, Rasulullah datang dan menemui mereka lalu bersabda: "Wahai sekalian manusia, beramallah sekadar kemampuan kamu, bahawasanya, Allah tidak akan berasa jemu sehingga kalian merasa jemu. Dan sesungguhnya amalan yang paling dicintai Allah adalah amalan yang dikerjakan secara berkekalan walaupun sedikit."*_ (HR Bukhari No: 5413) Status: Hadis Sahih.

*Pengajaran:*

1.  Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam kehidupan seharian dan dalam beribadat. Sebagai manusia maksum yang dosa-dosanya diampunkan Allah, walaupun di siang harinya sibuk dengan urusan bermasyarakat dan Negara namun baginda masih kuat untuk beribadat di malam hari dan memohon keampunan daripada Allah.

2.  Rasulullah SAW amat bersederhana dalam kehidupan. Baginda tidak menyediakan tempat yang khusus dan indah untuk beribadat. Menggunakan tikar yang diperbuat daripada pelepah tamar yang juga digunakan diwaktu siang sebagai tempat alas duduk dan di waktu malam dijadikan dinding untuk baginda jadikan penghadang untuk solat malam.

3.  Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW bertujuan untuk mengajar kita secara praktikal supaya hidup dengan cara yang mudah, reda dengan apa yang ada serta beribadat dengan cara yang tidak memberatkan.

4.  Perbuatan Rasulullah SAW melaksanakan solat sunat di malam hari itu telah menyebabkan ramai sahabat berhimpun untuk mengikutinya. Bagi mengelakkan ianya dianggap “wajib” oleh para sahabat, lalu Rasulullah memberikan arahan dan panduan beribadat iaitu buatlah  sekadar yang termampu dan tidak diberatkan agar ia tidak berasa jemu.

5.  Amalan yang paling baik dan dikasihi Allah ialah amalan yang berterusan (istiqamah) walaupun sedikit.

23hb Jun 2024
16hb Zulhijjah 1445H

Friday 21 June 2024

Dua Titisan dan Kesan Yang Dicintai Allah SWT

*ASSALAMUALAIKUM w.b.t*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Dua Titisan dan Kesan Yang Dicintai Allah SWT*

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ شَيْءٌ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ قَطْرَتَيْنِ وَأَثَرَيْنِ قَطْرَةٌ مِنْ دُمُوعٍ فِي خَشْيَةِ اللَّهِ وَقَطْرَةُ دَمٍ تُهَرَاقُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَأَمَّا الْأَثَرَانِ فَأَثَرٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَأَثَرٌ فِي فَرِيضَةٍ مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ.

_*Daripada Abu Umamah RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: "Tiada sesuatu perkara yang paling disukai oleh Allah melainkan dua titisan dan dua kesan. Titisan air mata yang menangis kerana takutkan kepada Allah SWT dan titisan darah yang tumpah pada jalan Allah. Adapun dua kesan yang Allah sukai adalah kesan pada jalan Allah dan kesan fardhu daripada kefardhuan Allah SWT."*_ (HR Tirmizi No: 1669) Status: Hadis Hasan

*Pengajaran:*
 
1.  Allah SWT amat menyukai akan amalan hamba-Nya yang dilakukan secara ikhlas semata-mata kerana-Nya dan semakin banyak susah payah yang dihadapi, maka semakin bertambahlah ganjaran pahala.

2.  Antara amalan yang disukai oleh Allah SWT adalah dua titisan dan dua kesan. Antara dua titisan itu yang pertama adalah titisan air mata yang takut kepada Allah SWT terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan. Rasulullah SAW menyebutkan tujuh golongan yang akan mendapat naungan di hari kiamat salah satu daripadanya adalah: 

وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ

*“dan lelaki yang mengalir air matanya ketika bersendirian kerana takut kepada Allah”*

Titisan kedua yang disukai Allah adalah titisan darah yang ditumpahkan kerana berjuang di jalan Allah SWT.

3.  Dua kesan yang disukai Allah, pertama adalah kesan luka semasa berjuang untuk jalan Allah SWT dan kedua adalah kesan kerana melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Semoga kita tergolong dalam golongan tersebut.

22hb Jun 2024
15hb Zulhijjah 1445H

Thursday 20 June 2024

Jangan Berbuat Zalim Dan Bakhil

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Berbuat Zalim Dan Bakhil

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِيَّاكُمْ وَالظُّلْمَ فَإِنَّ الظُّلْمَ ظُلُمَاتٌ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُحْشَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفُحْشَ وَالتَّفَحُّشَ وَإِيَّاكُمْ وَالشُّحَّ فَإِنَّهُ دَعَا مَنْ قَبْلَكُمْ فَاسْتَحَلُّوا مَحَارِمَهُمْ وَسَفَكُوا دِمَاءَهُمْ وَقَطَّعُوا أَرْحَامَهُمْ

_*Daripada Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian berbuat zalim, kerana kezaliman akan menjadi kegelapan pada hari kiamat di sisi Allah, janganlah berbuat keji kerana Allah tidak suka kekejian dan perbutan keji, janganlah berbuat kikir, kerana itu yang menyebabkan kerosakan orang-orang sebelum kalian, sehingga mereka menghalalkan kehormatan, menumpahkan darah dan memutus hubungan silaturahim mereka."*_  (HR Ahmad No: 9202) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.Muslim dilarang melakukan kezaliman kepada dirinya dan orang lain.

2.Perbuatan zalim ialah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Contohnya mencuri, meninggalkan solat, mencela orang lain. Perbuatan ini adalah maksiat dan dosa. Kezaliman yang paling besar adalah perbuatan syirik yang tidak diampunkan oleh Allah.

3.Allah tidak suka kepada orang yang melakukan perbuatan keji atau buruk 

4.Muslim juga dilarang bersifat kikir atau bakhil. Bakhil adalah buah dan akibat dari kecintaan kepada dunia.

5.Orang yang bakhil akan berusaha memiliki harta dengan apa juga cara asalkan mereka dapat dan memiliki tanpa mengira dengan cara yang halal atau haram, sanggup menumpahkan darah dan memutus hubungan silaturahim. 

Jauhilah sifat zalim, keji dan bakhil.

21hb Jun 2024
14hb Zulhijjah 1445H

Wednesday 19 June 2024

Mensyukuri Nikmat

*ASSALAMUALAIKUM w.b.t*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Mensyukuri Nikmat*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم انْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَهُوَ أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اَللَّهِ عَلَيْكُمْ 

_*Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, Rasulullah SAW  bersabda: “Lihatlah orang yang berada di bawahmu dan jangan melihat orang yang berada di atasmu, kerana yang demikian itu lebih patut, agar kamu tidak memandang remeh nikmat yang telah Allah berikan kepada kamu.”*_ (HR Muslim No: 2963) Status: Hadis Sahih.

*Pengajaran:*

1.Setiap kita wajib bersyukur di atas segala nikmat yang Allah kurniakan.

2.Satu cara untuk kita sentiasa mensyukuri setiap nikmat yang Allah kurniakan adalah dengan sentiasa melihat orang yang lebih rendah daripada kita dalam perkara yang berkaitan dengan nikmat dunia seperti tubuh badan yang menarik dan sihat, pemilikan harta, pangkat dan kedudukan.

3.Bersyukurlah diatas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita. Semoga dengan memiliki sifat bersyukur akan menjauhkan kita dari penyakit tamak,  hasad, dengki dan panjang angan-angan.

4.Manusia jika melihat kepada orang yang lebih tinggi levelnya dari sisi dunia, maka jiwanya akan menuntut yang serupa dan mulai mengerdilkan kenikmatan yang Allah berikan kepadanya, kemudian bertekad untuk menambah hartanya agar dia dapat mengejar kekayaan orang tersebut atau minima menyamainya. Namun jika dia melihat kepada orang yang lebih rendah darajatnya dalam hal dunia dan harta, akan terpampang di hadapannya kenikmatan Allah yang besar kepadanya, maka dia akan bersyukur atas kenikmatan itu, bersikap rendah hati, serta akan melakukan amalan-amalan kebaikan.

5.Dalam hal kehidupan dunia, berusahalah sebaik mungkin untuknya namun jangan sering  memandang orang yang berada di atas kita. Bersyukurlah dengan apa yang telah kita miliki kini. Tidak perlu irihati dengan apa yang dimiliki oleh orang lain. Lihatlah orang yang berada di bawah kita. Masih ramai orang yang tidak seberuntung kita. Kerana hal ini akan menjauhkan kita dari bersyukur. Allah SWT telah berfirman

لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ  وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

*“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.* (Surah Ibrahim ayat : 7)

20hb Jun 2024
13hb Zulhijjah 1445H

Tuesday 18 June 2024

Mengingati Neraka

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mengingati Neraka

عن النعمان بن بشير  رضي الله عنهما  قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم  يقول
أَنْذَرْتُكُمُ النَّارَ أَنْذَرْتُكُمُ النَّارَ" فَمَا زَالَ يَقُولُهَا حَتَّى لَوْ كَانَ فِي مَقَامِي هَذَا سَمِعَهُ أَهْلُ السُّوقِ وَحَتَّى سَقَطَتْ خَمِيصَةٌ كَانَتْ عَلَيْهِ عِنْدَ رِجْلَيْهِ

Daripada Nu’man bin Basyir RA katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW berkhutbah dengan berkata: “Aku berikan peringatan kepada kamu semua akan neraka, Aku berikan peringatan kepada kamu semua akan neraka.” Sentiasalah baginda mengulanginya sehingga seandainya baginda berada di kedudukan aku ini, orang-orang yang berada di (hujung) pasar akan mendengarnya. (baginda mengulangi ungkapan tersebut) sehingga kain baginda yang berada di atas bahu terjatuh ke kaki baginda tanpa disedari.” (HR Tirmizi No: 5687) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Neraka adalah suatu tempat yang menggerunkan. Kawasannya bersangatan dalam. Azab yang disediakan di dalamnya berbentuk kepanasan yang melampau dan membakar. Cemeti-cemetinya diperbuat daripada besi.

2.  Nabi SAW sering memberikan peringatan tentang neraka. Bersungguhnya baginda dalam memberi peringatan itu sehingga baginda meninggikan suara dan mengulang beberapa kali.

3. Kita diperintahkan untuk sentiasa mengingati hari pembalasan. Seperti pesan saidina Umar: 

أَكْثِرُوا ذِكْرَ النَّارِ فَإِنَّ حَرَّهَا شَدِيدٌ وَإِنَّ قَعْرَهَا بَعِيدٌ وَإِنَّ مَقَامِعَهَا حَدِيدٌ

“Perbanyakkanlah mengingati neraka. Sesungguhnya kepanasannya bersangatan, lantainya amat dalam dan cemeti-cemetinya adalah besi.” 

4.  Dalam berdakwah, hendaklah digabungkan unsur-unsur memberi khabar gembira tentang syurga dan khabar ancaman dengan neraka. Agar ada dorongan melakukan kebaikan kerana mengharapkan syurga dan berusaha menjauhi dosa kerana gerunkan azab neraka.

18hb Jun 2024
11hb Zulhijjah 1445H

Permudahkan Jangan Menyukarkan

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Permudahkan Jangan Menyukarkan

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلِّمُوا وَيَسِّرُوا وَلَا تُعَسِّرُوا وَإِذَا غَضِبْتَ فَاسْكُتْ وَإِذَا غَضِبْتَ فَاسْكُتْ وَإِذَا غَضِبْتَ فَاسْكُتْ

Daripada Ibnu Abbas, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "hendaklah kalian mengajar, mempermudah dan jangan mempersulit. Bila engkau marah maka diamlah. Bila engkau marah maka diamlah. Bila engkau marah maka diamlah." (HR Ahmad No: 2556) Status Isnad Sahih

Pengajaran:

1.  Berusahalah setiap kita menjadi guru, pendakwah, pendidik bagi menyampaikan ilmu untuk membimbing orang lain menjadi insan solleh.

2.  Dalam membimbing, kita perlu mempermudahkan orang yang dibimbing dan dinasihati agar mereka dapat memahami dan beramal dengannya.

3.  Sebagai guru dan penasihat, kita akan berhadapan dengan pelbagai karenah dan perangai anak murid atau orang yang kita sampaikan dan nasihati. Kesabaran adalah perlu ketika berhadapan dengan pelbagai ujian dan perangai murid.

4.  Rasulullah SAW mengulang tiga kali agar kita "DIAM" jika kita marah. Sebarang tindak balas akibat dari marah akan memudaratkan kita dan orang lain.

Ayuh menjadi orang yang memudahkan orang lain, sentiasa bersabar menghadapi orang lain.

19hb Jun 2024
12hb Zulhijjah 1445H

Sunday 16 June 2024

Tempoh Makan Daging Korban

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Tempoh Makan Daging Korban*

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَابِسٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قُلْتُ لِعَائِشَةَ أَنَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ تُؤْكَلَ لُحُومُ الْأَضَاحِيِّ فَوْقَ ثَلَاثٍ قَالَتْ مَا فَعَلَهُ إِلَّا فِي عَامٍ جَاعَ النَّاسُ فِيهِ فَأَرَادَ أَنْ يُطْعِمَ الْغَنِيُّ الْفَقِيرَ وَإِنْ كُنَّا لَنَرْفَعُ الْكُرَاعَ فَنَأْكُلُهُ بَعْدَ خَمْسَ عَشْرَةَ قِيلَ مَا اضْطَرَّكُمْ إِلَيْهِ فَضَحِكَتْ قَالَتْ مَا شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ خُبْزِ بُرٍّ مَأْدُومٍ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ حَتَّى لَحِقَ بِاللَّه

_*Daripada 'Abdurrahman bin Abis dari Bapanya ia berkata; "Aku bertanya kepada Aisyah; 'Apakah Nabi SAW melarang untuk makan daging sembelihan hari raya Adha lebih dari tiga hari? ' Aisyah menjawab; "Baginda tidak melakukan itu kecuali pada tahun kesulitan (manusia kelaparan), sehingga baginda berharap orang kaya memberi makan kepada yang miskin. Dan sungguh, kami boleh makan daging kambing setelah lima belas hari." Lalu dikatakan; 'Apa yang mendorong kalian melakukan itu? ' Aisyah tertawa, lalu ia berkata; 'Keluarga Muhammad SAW tidak pernah merasa kenyang kerana makan roti atau gandum lebih dari tiga hari hingga baginda bertemu dengan Allah.'*_ (HR Bukhari No: 5003) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.Daging korban sebahagian untuk disedekahkan dan 1/3 boleh diambil untuk dimasak dan dimakan serta boleh juga disimpan 

2.Daging korban boleh disimpan lebih dari 3 hari tasyriq (tiada batas maksimum). Ia merupakan pendapat majoriti ulama dari kalangan sahabat, tabi’in serta empat imam mazhab.

3.Rasulullah SAW tidak berlebihan dalam bab makan, hingga boleh berjimat memakan daging korban secara berdikit dalam tempoh yang agak lama.

4.Orang mukmin makannya apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Elakkan berlebihan dalam makan dan minum. Seperti dalam hadis lain:

بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِه

*“Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah 1/3 untuk makanannya, 1/3 untuk minumannya, dan 1/3 untuk nafasnya.”* (HR Tirmidzi No: 2380)

Semoga kita bersifat RAHMAH dengan mengagihkan bahagian korban sebaiknya dan tidak berlebihan dalam makan dan minum.

17hb Jun 2024
10hb Zulhijjah 1445H

Saturday 15 June 2024

Sembelihan Korban Selepas Solat Sunat Hari Raya

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sembelihan Korban Selepas Solat Sunat Hari Raya

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ الصَّلَاةِ فَإِنَّمَا ذَبَحَ لِنَفْسِهِ وَمَنْ ذَبَحَ بَعْدَ الصَّلَاةِ فَقَدْ تَمَّ نُسُكُهُ وَأَصَابَ سُنَّةَ الْمُسْلِمِينَ

Daripada Anas bin Malik RA, dia berkata; Nabi SAW bersabda: Barang siapa menyembelih (binatang korban) sebelum solat (Eid), maka ia menyembelih untuk dirinya sendiri, dan barang siapa menyembelih setelah solat (Eid), maka ibadah korbannya telah sempurna dan bertindak sesuai dengan sunnah kaum Muslimin." (HR Bukhari No: 5120) Status : Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Penyembelihan korban adalah amal yang lebih disukai Allah pada Hari Raya Eidul Adha dan hari-hari tasyrik (11, 12 & 13 Zulhijjah) daripada setiap Muslim yang berkemampuan.

2.Mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban hendaklah melakukan sembelihan selepas solat sunat Eidul Adha.

3.Sembelihan Korban yang dilaksanakan sebelum solat sunat hari raya tidak menjadi ibadat korban, malah hanya akan menjadi sembelihan untuk makan biasa.  

4.Justeru itu, laksanakanlah ibadah korban dengan memastikan waktu sembelihan selepas solat sunat Eidul Adha pada 10hb Zulhijjah sehingga hari tasyrik terakhir 13hb sebelum waktu maghrib. 

5.Laksanakan korban dengan binatang yang terbaik berdasarkan kemampuan kewangan di samping cara penyembelihan dan pengagihan daging yang sempurna. 

Berusahalah melakukan sembelihan korban pada waktu yang ditetapkan di samping dilaksanakan dengan sempurna dengan mengambil kira SOP yang ditetapkan di satu-satu kawasan. Moga Allah menerima amal ibadah korban kita.

16hb Jun 2024
09hb Zulhijjah 1445H

Friday 14 June 2024

Hari Arafah Diampunkan Dosa dan Waktu Doa Mustajab

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Hari Arafah  Diampunkan Dosa dan Waktu Doa Mustajab

عَنْ ابْنِ الْمُسَيَّبِ قَالَ قَالَتْ عَائِشَةُ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِي بِهِمْ الْمَلَائِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلَاءِ

_*Daripada Ibnul Musayyab ia berkata, Aisyah berkata; Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Di antara hari yang Allah banyak membebaskan seseorang dari neraka adalah hari Arafah. Allah mendekati mereka lalu Allah membanggakan mereka (menunjukkan keutamaan) kepada para malaikat. Kemudian Allah berfirman: Apa yang diinginkan oleh mereka?”*_ [Sahih Muslim No. 3354]. Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.Antara keutamaan Hari Arafah ialah mendapat keampunan Allah. Ibnu Rajab Al Hambali mengatakan, “Hari Arafah adalah hari pembebasan dari api neraka. Pada hari itu, Allah akan membebaskan siapa saja yang sedang wukuf di Arafah dan penduduk negeri kaum muslimin yang tidak melaksanakan wukuf. Oleh kerana itu, hari setelah hari Arafah iaitu hari Idul Adha adalah hari raya bagi kaum muslimin di seluruh dunia. Baik yang melaksanakan haji dan yang tidak melaksanakannya sama-sama akan mendapatkan pembebasan dari api neraka dan ampunan pada hari Arafah.

2.Selain daripada tuntutan berpuasa sunat pada hari arafah bagi yang tidak menunaikan ibadat haji, digalakkan juga untuk berdoa kerana hari Arafah antara sebaik-baik waktu untuk berdoa.

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

*Dari ‘Amr bin Syu’aib dari ayahnya dari datuknya, Nabi SAW bersabda: Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan yang aku ucapkan serta nabi-nabi sebelumku ialah: "LAA ILAAHA ILLALLAHU WAHDAHUU LAA SYARIIKALAHU LAHUL MULKU WALAHUL HAMDU WAHUWA 'ALAA KULLI SYAI'IN QADIIR (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Esa tiada sekutu bagi–Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu)”.* [HR. Tirmizi no. 3509]. Status: Hadis Hasan.

3.Bagi mereka yang pergi menunaikan ibadat Haji, antara waktu dan tempat doa mustajab adalah pada hari Arafah dan di padang Arafah bermula selepas gelincir matahari 9hb Zulhijjah hingga terbit fajar 10hb Zulhijjah. 

4.Syaikh Sholih Al Munajjid: Mustajabnya doa tersebut adalah umum, sama ada yang menunaikan ibadat haji ataupun yang tidak menunaikan haji disebabkan  keutamaan yang ada adalah keutamaan hari arafah. Sedangkan yang berada di Arafah (yang sedang wukuf pada tanggal 9 Dzulhijjah), ia berarti menggabungkan antara keutamaan waktu dan tempat.

5.Antara zikir yang paling baik dilafazkan dihari Arafah ialah  

*لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ*

Rebutlah peluang kelebihan hari wukuf di arafah dengan puasa sunat (bagi yang tidak mengerjakan ibadat haji) dan perbanyakan doa dan zikir.

15hb Jun 2024
08hb Zulhijjah 1445H

Thursday 13 June 2024

Puasa Sunat Arafah

Assalamualaikum w.b.t 

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Puasa Sunat Arafah

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ  أَهْلُ الْعِلْمِ صِيَامَ يَوْمِ عَرَفَةَ إِلَّا بِعَرَفَة

_*Daripada Abu Qatadah bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Puasa hari 'Arafah -saya berharap dari Allah- dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun sesudahnya." Para ulama mensunnahkan puasa 'Arafah kecuali jika berada di 'Arafah*_. (Sunan Tirmizi No: 680) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.Disunahkan berpuasa pada hari Arafah (9hb Zulhijjah) bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji

2.Orang yang berpuasa pada hari Arafah akan mendapat ganjaran keampunan setahun sebelum dan setahun selepas

3.Ganjaran puasa sunat Arafah seolah-olah berpuasa selama dua tahun.

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كَلِمَةً تُشْبِهُ عَدْلَ ذَلِكَ قَالَ صَوْمُ عَرَفَةَ بِصَوْمِ سَنَتَيْنِ وَصَوْمُ عَاشُورَاءَ بِصَوْمِ سَنَة

*Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi SAW mengucapkan kata-kata yang mirip dengan kesamaannya, ia berkata; Puasa 'Arafah seperti puasa dua tahun dan puasa 'Asyura` sama seperti puasa setahun.* (Musnad Ahmad No: 21568) 

4.Rasulullah SAW dan para sahabat tidak menunaikan puasa Arafah ketika melaksanakan ibadah Haji, namun boleh sahaja untuk berpuasa. 

سُئِلَ ابْنُ عُمَرَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ بِعَرَفَةَ فَقَالَ حَجَجْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يَصُمْهُ وَمَعَ أَبِي بَكْرٍ فَلَمْ يَصُمْهُ وَمَعَ عُمَرَ فَلَمْ يَصُمْهُ وَمَعَ عُثْمَانَ فَلَمْ يَصُمْهُ وَأَنَا لَا أَصُومُهُ وَلَا آمُرُ بِهِ وَلَا أَنْهَى عَنْهُ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ وَقَدْ رُوِيَ هَذَا الْحَدِيثُ أَيْضًا عَنْ ابْنِ أَبِي نَجِيحٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ رَجُلٍ عَنْ ابْنِ عُمَرَ وَأَبُو نَجِيحٍ اسْمُهُ يَسَارٌ وَقَدْ سَمِعَ مِنْ ابْنِ عُمَر

*Ibnu Umar RA ditanya tentang puasa Arafah di 'Arafah, dia menjawab, saya pernah melaksanakan haji bersama Nabi SAW dan dia tidak puasa di Arafah, saya juga pernah haji bersama Abu Bakar beliau juga tidak puasa 'Arafah, pernah juga bersama Umar dan dia tidak berpuasa, demikian halnya bersama 'Utsman, beliau juga tidak berpuasa dan saya tidak berpuasa juga tidak menyuruh orang lain untuk berpuasa dan tidak juga melarangnya.* (HR Tirmizi No: 682) Status: Isnad Sahih

Marilah kita mengambil kesempatan untuk melaksanakan puasa sunat hari Arafah pada Ahad ini 16hb Jun 2024 bagi kita di Malaysia. Ayuh ingatkan ahli keluarga, jiran dan rakan-rakan kita untuk merebut peluang yang hanya datang setahun sekali. Tahun depan belum tentu kita menemuinya.

14hb Jun 2024
07hb Zulhijjah 1445H

Wednesday 12 June 2024

Sunat Takbir Raya Bermula 9hb Zulhijjah

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Sunat Takbir Raya Bermula 9hb Zulhijjah*

عَنْ عَلِيِّ وَعَمَّارٍ رضي الله عنهما أَنَّ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُكَبِّرُ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ صَلاةَ الْغَدَاةِ  وَيَقْطَعُهَا صَلاةَ الْعَصْرِ  آخِرَ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ

_*Daripada Ali dan Ammar RA: Sesungguhnya Nabi SAW bertakbir pada hari Arafah (9hb Zulhijjah) selepas solat Subuh dan memberhentikannya selepas solat Asar hari Tasyriq yang akhir (13hb Zulhijjah).*_ (HR al-Hakim  No: 1111) Status : Isnad Sahih

*Pengajaran:*

1.Bagi yang tidak mengerjakan haji, takbir raya bagi hari raya Eidil Adha bermula daripada Subuh 9hb Zulhijjah sehingga waktu Asar hari Tasyriq yang terakhir (13hb Zulhijjah) berdasarkan pendapat Imam al-Nawawi yang dipilih dalam Kitab al-Tashih, al-Majmuk, al-Azkar (Asah) dan Raudhah al-Talibin (Azhar). 

2.Takbir ini dipanggil Takbir Muqayyad iaitu takbir yang dilafazkan mengiringi solat sama ada solat fardu, sunat, tunai, qada’ dan solat jenazah. 

3.Sunat terus bertakbir sebaik sahaja selesai solat setiap solat bermula solat subuh 9hb Zulhijjah sehingga selepas solat Asar 13hb Zulhijjah. 

4.Sunat mengkemudiankan zikir selepas Takbir Muqayyad.

Marilah kita bersedia untuk melaksanakan Takbir Muqayyad dan Takbir Mursal (takbir bermula terbenam matahari masuknya hari raya).

13hb Jun 2024
06hb Zulhijjah 1445H

Tuesday 11 June 2024

Empat Bulan Haram

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Empat Bulan Haram

عن أبي بكرة نفيع بن الحارث رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏   الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Daripada Abi Bakrah Nafi’ bin al Harith RA, dari Nabi SAW bersabda: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab Mudhor terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban.” (HR Bukhari No: 4054) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bulan Haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) bermaksud bulan ini diharamkan berperang juga sebarang kezaliman dan setiap kezaliman yang dilakukan dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain. 

2.  Imam al-Hafiz Ibn Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas RA yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan pada bulan bulan ini juga adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. (Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 130/4)

3. Ambillah kesempatan ketika berada di salah satu bulan haram yang mulia ini iaitu bulan Zulhijjah khususnya di awal 10 haribulan serta hari tasyrik 11, 12 dan 13 untuk melakukan pelbagai amal soleh. Antara amal soleh yang boleh dilakukan:

a)  Perbanyakkan zikir, membaca al-Quran, berdoa dan memohon  keampunan
b)  Puasa sunat sekurang-kurangnya pada 9hb Zulhijjah
c)  Hidupkan malam hari dengan ibadat qiamullail
d)  Perbanyakkan bersedekah dan melakukan amal kebajikan yang lain
e)  Berusahalah melaksanakan ibadat kurban
f)  Berusahalah meninggalkan maksiat dan perkara yang tidak berfaedah

12hb Jun 2024
05hb Zulhijjah 1445H

Monday 10 June 2024

Upah Penyembelih dan Petugas Korban

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Upah Penyembelih dan Petugas Korban*

عَنْ عَلِيٍّ قَالَ أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا وَأَنْ لَا أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا قَالَ نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا

_*Daripada Ali RA ia berkata; "Aku disuruh Rasulullah SAW mengurus penyembelihan haiwan korban, menyedekahkan daging dan kulitnya, serta mengurus segala sesuatu yang berhubungan dengan kesempurnaan korban. Tetapi aku dilarang oleh baginda mengambil upah untuk tukang potong dari haiwan korban itu. Maka untuk upahnya kami ambilkan dari wang kami sendiri."*_ (Sahih Muslim No: 2320) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.Antara ibadat yang dituntut pada hari Raya Eidul Adha 10 Zulhijjah dan Hari Tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijjah ialah melaksanakan Ibadat korban.

2.Daging serta apa-apa sahaja daripada binatang korban hendaklah disedekahkan kepada yang berhak seperti fakir miskin juga jiran tetangga.

3.Memberi daging korban kepada penyembelih atau pelapah atau petugas sebagai upah hasil kerja yang mereka lakukan adalah dilarang kerana ia termasuk dalam hukum jual beli, iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja mereka. 

4.Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim menyebut: *“Hadis ini meminta agar kita tidak memberikan kepada penyembelih dan pelapah bahagian dari sembelihan korban kerana jika diberi kepadanya sebagai ganjaran kepada pekerjaannya sama ertinya dengan menjual satu bahagian dari bahagian korban kepada mereka. Ia tidak dibolehkan”* (9/435 Cetakan Dar al-Khair, Beirut).

5.Telah sepakat al-Imam al-Syafii dan tokoh-tokoh mazhab al-Syafii bahawa *tidak boleh sedikit pun dari sembelihan semasa haji dan umrah serta sembelihan korban dijual. Sama ada ia korban nazar atau sunat. Hal ini termasuk daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan sebagainya. Tidak boleh pula kulit atau selainnya dijadikan upah untuk penyembelih.* (8/419-420. Beirut: Dar al-Fikr) kecuali penerima daging korban yang miskin atau fakir.

6.Hadis ini bukan melarang memberikan upah kepada para penyembelih atau pelapah. Larangan hanya jika upah itu diambil dari bahagian korban. Upah itu boleh diberikan dalam bentuk lain seperti wang atau selainnya yang tidak dari bahagian korban. Kerja dan tenaga seseorang itu patut dibayar upah.

7.Saidina Ali menyebut: Untuk upahnya (penyembelih dan pelapah), kami ambil dari wang kami sendiri. 

8.Walaupun begitu, jika diberi kepada penyembelih atau petugas dari apa yang dikorban disebabkan kemiskinannya atau sebagai hadiah kerana dia jiran dan sebagainya, maka ini tidak mengapa. (juz. 3/ m .s.633. ctk. Dar al-Fikr, Damsyik.)

9.Antara kesalahan yang sering berlaku semasa pengurusan korban ialah mencuri daging korban ataupun bahagian korban tanpa izin dari empunya korban. Biasanya hal ini dilakukan oleh pelapah dan petugas yang terlibat dengan proses pengurusan penyembelihan. Kadang-kala mereka merasa berhak kerana menolong atau kerana AJK. 

10.Ada yang meletakkan bahagian yang mereka sukai itu berasingan dan mengambil apabila selesai urusan korban. Walaupun mungkin tuan empunya tidak membuat bantahan, namun itu bukan bererti dia bersetuju memberikan.  Ingatlah Firman Allah:

ياأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

*“Wahai mereka yang beriman, jangan kamu makan harta antara kamu dengan cara yang batil (salah)”* (Surah al-Nisa: 29). 

Justeru itu, kepada mereka yang akan menjadi petugas korban, JANGAN sekali-kali mengambil sendiri bahagian dari sembelihan korban sebagai habuan seperti kaki, kepala, ekor, perut dan lainnya melainkan yang dihadiahkan oleh orang yang berkorban atau yang diterima seperti agihan kepada penerima lain yang layak.

11hb Jun 2024
04hb Zulhijjah 1445H

Sunday 9 June 2024

Bersegera Dengan Amal Soleh

ASSALAMUALAIKUM w.b.t 

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Bersegera Dengan Amal Soleh*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سَبْعًا هَلْ تَنْتَظِرُونَ إِلَّا فَقْرًا مُنْسِيًا أَوْ غِنًى مُطْغِيًا أَوْ مَرَضًا مُفْسِدًا أَوْ هَرَمًا مُفَنِّدًا أَوْ مَوْتًا مُجْهِزًا أَوْ الدَّجَّالَ فَشَرُّ غَائِبٍ يُنْتَظَرُ أَوْ السَّاعَةَ فَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ

_*Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Segeralah melakukan amal soleh (sebelum datang) tujuh perkara. Apakah yang kamu perlu tunggu melainkan kefakiran yang akan melupakan kamu (daripada beramal), atau kekayaan yang akan menimbulkan rasa angkuh yang melampui batas, atau penyakit yang merosak (sehingga sukar untuk beramal soleh), atau masa tua yang menimbulkan kenyanyukan dan keuzuran, atau kematian yang cepat (secara tiba-tiba), atau adanya Dajjal sebagai makhluk jahat yang paling ditunggu-tunggu, atau datang hari kiamat dan hari kiamat itu lebih berat dan lebih sukar."*_ (HR Tirmizi, No: 2306) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Sesungguhnya Allah SWT yang menciptakan manusia daripada tiada kepada ada. Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian. Lalu akan dihidupkan kembali di alam akhirat yang kekal selama-lamanya.

2.  Jangan mensia-siakan waktu yang masih ada sebelum datang penyesalan yang tiada berguna. Perbanyakan istighfar (memohon keampunan) dan tinggalkan maksiat serta seringlah mengingati kematian kerana kita tidak tahu bila saat kematian akan tiba. Sesungguhnya dengan mengingati kematian seseorang Muslim itu akan sentiasa teruja melakukan ketaatan.

3.  Setiap Muslim hendaklah segera beramal dan memperbaiki agar amal lebih baik sebelum datangnya tujuh perkara berikut :

a)  Kemiskinan yang melupakan  kewajipan seperti tidak kisah soal halal dan haram.
b)  Kekayaan yang menimbulkan rasa angkuh dan sombong.
c)  Penyakit berat sehingga sukar untuk beramal soleh.
d)  Tua yang menyebabkan nyanyuk dan keuzuran.
e)  Kematian mengejut.
f)  Kemunculan Dajjal sebagai makhluk jahat.
g)  Hari Kiamat yang sangat mengerikan.

Ambil kesempatan di awal Zulhijjah yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini untuk memperbanyakkan amal soleh.

10hb Jun 2024
03hb Zulhijjah 1445H

Saturday 8 June 2024

Amalan Yang Mengatasi Jihad

ASSALAMUALAIKUM w.b.t 

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Amalan Yang Mengatasi Jihad*

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا مِنْ أَيَّامٍ العَمَلُ الصَّالِحُ فِيهِنَّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ العَشْرِ فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ"

_*Daripada Ibn Abbas dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Tiada hari-hari yang amalan soleh  paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memaksudkan: 10 hari terawal Zulhijjah-."Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?" Baginda bersabda,"Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang  lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali (menemui syahid).*_ (Abu Daud di dalam Bab Puasa: 2438) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Allah menyukai orang yang melakukan amal soleh pada 10 hari pertama dari bulan Zulhijjah.

2.  Orang yang melakukan amal soleh dalam tempoh ini dapat memberikan pahala yang lebih besar dari Jihad kecuali orang yang pergi berjihad itu gugur syahid.

3.  Al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan: Yang jelasnya, antara sebab keistimewaan 10 hari awal Zulhijjah ini berbanding hari lain ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah, korban dan haji. Himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain (Fath al-Bari).

4.  Justeru peluang kita yang menemui 10 hari pertama Zulhijjah ini perlu direbut untuk mempertingkatkan pelbagai amalan harian kita.

5.  Amal soleh pada hari-hari awal 10 Zulhijjah tidak terbatas. Ia meliputi solat, puasa, sedekah, bacaan al-Quran, zikir, berdoa, bertaubat, tahmid, takbir, tahlil, amar makruf nahi mungkar, tolong-menolong untuk kebaikan, menyebarkan ilmu, menyantuni anak yatim, membantu orang yang kesusahan, memberikan makan kepada fakir miskin dan seumpamanya. 

JOM tingkatkan pelbagai amal soleh kita.

08hb Jun 2024
01hb Zulhijjah 1445H

Taqarub Kepada Allah

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Taqarub Kepada Allah*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً

_*Daripada Abu Hurairah RA berkata, "Nabi SAW bersabda bahawa Allah telah berfirman: "Aku bersikap mengikut sangkaan hamba-Ku terhadap Ku. Aku bersama-sama mereka apabila mereka mengingati Ku. Apabila mereka mengingati Ku dalam dirinya, maka Aku mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila mereka mengingati-Ku dalam perkumpulan mereka, maka Aku mengingatinya dalam perkumpulan yang lebih baik daripada mereka. Demi sekiranya mereka mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal, maka Aku mendekatkan diri kepadanya sehasta, dan jika ia mendekatkan diri kepada-Ku sehasta, Aku mendekatkan diri kepadanya sedepa.  Sekiranya mereka mendatangi-Ku dalam keadaan berjalan, maka Aku akan mendatanginya dalam keadaan berlari (segera)."*_ (HR Bukhari No: 6856) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Allah bersikap seperti sikap hamba terhadapNya. Jika seseorang mengingati Allah dalam dirinya, berzikir dalam hatinya, dan menganggap Allah sentiasa mengingatinya sama ada ketika dia bersendiri atau bersama orang lain, nescaya Allah akan sentiasa mengingati hambaNya.

2.  Seseorang yang memuji Allah dengan bersyukur, sentiasa berdoa, bertaubat dan menjaga keimanan di khalayak ramai, pasti Allah akan mengingati dan memujinya di khalayak yang lebih baik dan utama.

3.  Seseorang yang mendekatkan diri kepada Allah melalui ibadat dan amal solehnya dengan jarak sejengkal atau sehasta, Allah akan mendekatinya lebih dekat daripada itu. Jika seorang hamba itu mendekati Allah dengan berjalan, nescaya Allah akan mendatanginya lebih cepat daripada itu.

4.  Setiap amalan seseorang yang baik bertujuan mendekatkan diri kepada Allah, maka Allah akan menggandakan balasan baik kepadanya. Tambah lagi jika dilakukan pada 10 pertama Zulhijjah ini.

فَٱذۡكُرُونِيٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِي وَلَا تَكۡفُرُونِ ١٥٢

*"Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) –Ku”* (Al-Baqarah : 152)

Pastikan kita sentiasa taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah dengan membanyakkan zikrullah dan ibadat kepadaNya khususnya pada 10 pertama Zulhijjah ini.

09hb Jun 2024
02hb Zulhijjah 1445H

Thursday 6 June 2024

Peserta Korban Dilarang Memotong Kuku dan Rambut

ASSALAMUALAIKUM w.b.t 

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Peserta Korban Dilarang Memotong Kuku dan Rambut*

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِي الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ

_*Daripada Ummu Salamah RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda: Jika telah masuk sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya (sehingga selesai korban)."*_  (Sahih Muslim No: 3655) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban, dilarang (makruh)  menggunting rambut, mencukur, mencabut sebarang bulu di badan dan memotong kukunya bermula dari tarikh 1hb Zulhijjah sehingga dia melaksanakan ibadah korban tersebut.

2.Menurut Imam al-Nawawi larangan di dalam hadis ini bermaksud makruh memotongnya. Larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa jua cara sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atau bulu-bulu lain di bahagian anggota badan yang lain." (Syarah Muslim  Imam al-Nawawi, jil. 13, ms. 138-139) 

3.Bagi mereka yang sengaja mahupun tidak sengaja memotong kuku ataupun rambut sebelum melaksanakan ibadah korban, memadai dia memohon keampunan kepada Allah. Dia tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda).

Ibn Qudamah r.h berkata: "Jika perkara itu berlaku, dia hendaklah segera beristighfar (memohon ampun) kepada Allah. Menurut ijmak tidak ada fidyah sama sekali, baik dilakukan dengan sengaja atau tidak sengaja." (Kitab al-Mughni karya Ibn Qudamah, jil. ms. 96)

4.Majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian mazhab Hanbali menyatakan makruh hukumnya memotong kuku atau rambut yang ada pada badan bermula 1hb Zulhijjah hingga ibadah korban dilaksanakan.

5. Antara hikmah yang disebut oleh Imam Nawawi Rahimahullah dalam Syarah-nya ialah larangan memotong kuku dan menggunting rambut bagi orang yang ingin melaksanakan korban ialah supaya anggota yang terdapat pada badannya itu semuanya akan dibebaskan daripada api neraka.

Jom amalkan sunnah dengan tidak memotong kuku dan rambut bermula 1hb Zulhijjah (dijangka pada 8hb Jun) bagi peserta korban  sehingga ibadat korban dilaksanakan.

06hb Jun 2024
28hb Zulkaedah 1445H

Amalan 10 Hari Pertama Zulhijjah

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Amalan 10 Hari Pertama Zulhijjah*

عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ

_*Daripada Ibnu Umar RA, dari Nabi SAW baginda bersabda: Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.*_ (Musnad Ahmad No: 5879) Status: Hadis Hasan

*Pengajaran:*

1.Perbanyakkan amal soleh setiap waktu di samping hari tertentu antaranya "Hari-hari yang sepuluh" iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah (1 hb  Zulhijjah hingga 10hb Zulhijjah).  Firman Allah dalam surah al-Fajr 1-3 juga menyatakan;

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْر

*“Demi fajar, dan malam yang sepuluh, dan yang genap dan yang ganjil”.*

Imam At-Tobari menafsirkan “Wa layaalin ‘asr” (malam yang sepuluh) sebagai malam-malam sepuluh hari awal Zulhijjah berdasarkan kesepakatan hujah dari ahli tafsir. (rujuk Jami’ Al Bayan fi Ta’wil Al Quran:7/514)

Allah telah bersumpah dengannya (malam yang sepuluh). Bersumpahnya Allah dengan sesuatu menjadi dalil tentang besarnya manfaat (sepuluh hari tersebut). 

2.Ibnu Abbas, Ibnu Al Zubair, Mujahid, dan beberapa ulama salaf dan khalaf berkata bahawa ia adalah sepuluh hari pertama Zulhijjah. Ibnu Kathir membenarkan pendapat ini. (rujuk tafsir Ibnu Kathir: 8/413)

3.Allah suka kepada hambaNya yang memperbanyak amalan soleh pada sepuluh hari awal bulan Zulhijjah (1hb hingga 10hb Zulhijjah).

4.Bulan Zulhijjah ini di dalamnya ada kelebihan tertentu untuk diraih bermula dari 1hb Zulhijjah hingga 10 Zulhijjah dengan pelbagai amal soleh termasuk puasa sunat setiap hari (1 - 9), puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa sunat hari Arafah, perbanyakkan zikir – tahlil, takbir dan tahmid, tilawah al-Quran, doa, bersedekah, menunaikan ibadah haji juga melakukan ibadah korban, berdakwah serta pelbagai amal soleh yang lain.

5.Rebutlah peluang melakukan pelbagai amalan sunat menjelang Awal Zulhijjah. Kita mulakan dengan amalan puasa sunat Isnin atau Khamis atau paling tidak 9hb (puasa sunat hari Arafah) di samping perbanyakkan zikir dengan kalimah tahlil, tahmid dan takbir.

07hb Jun 2024
29hb Zulkaedah 1445H

Tuesday 4 June 2024

Keutamaan Sifat Tenang Ketika Beribadah

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Keutamaan Sifat Tenang Ketika Beribadah*

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّهُ دَفَعَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَرَفَةَ فَسَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَاءَهُ زَجْرًا شَدِيدًا وَضَرْبًا وَصَوْتًا لِلْإِبِلِ فَأَشَارَ بِسَوْطِهِ إِلَيْهِمْ وَقَالَ أَيُّهَا النَّاسُ عَلَيْكُمْ بِالسَّكِينَةِ فَإِنَّ الْبِرَّ لَيْسَ بِالْإِيضَاعِ

_*Daripada Ibnu 'Abbas RA, bahawasanya beliau telah bertolak bersama-sama Nabi SAW pada hari 'Arafah. Kemudian Nabi SAW mendengar dari arah belakang Baginda SAW suara yang keras dan bentakan serta pukulan terhadap unta. Maka Baginda SAW memberi isyarat kepada mereka dengan cemeti agar bertenang. Baginda SAW bersabda: "Wahai manusia, hendaklah kamu bertenang, kerana sesungguhnya kebaikan bukan (diperoleh) dengan tergesa-gesa."*_ (HR Bukhari No: 1671) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.Islam adalah agama yang membawa rahmat, bukan sahaja kepada sesama manusia bahkan kepada semua makhluk termasuk binatang.

2.Bersifat rahmah dengan berlemah lembut dengan binatang tunggangan adalah suatu yang dituntut.

3.Antara rahmat yang diberikan Allah SWT kepada hamba-Nya adalah dapat melakukan ibadah dengan taufik dan hidayah-Nya. Setiap ibadah yang dilakukan seperti solat, haji dan sebagainya hendaklah dilakukan dengan penuh ketenangan. Hanya ibadah yang dilaksanakan dengan penuh ketenangan akan melahirkan kebesaran dan ketaqwaan kepada Allah SWT dalam hatinya.

Setiap Muslim hendaklah sentiasa bersifat tenang kerana sifat tergesa-gesa akan menyebabkan seseorang itu melakukan kesilapan dan ketidaksempurnaan dalam melakukan amal ibadah yang akhirnya menyebabkan amalan tersebut ditolak oleh Allah SWT.

Buat para Jemaah Haji yang diberi peluang mengerjakan ibadah haji dan menjadi tetamu duyufurrahman pada tahun ini, semoga sentiasa tenang beribadat di sana serta didoakan kebaikan dan mendapat haji yang mabrur.

زَوَّدَكَ اللَّهُ التَّقْوَى وَغَفَرَ ذَنْبَكَ وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتَ

*“Semoga Allah SWT membekalkanmu dengan ketaqwaan, mengampunkan dosamu dan Allah memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada.”*

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا

*“Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”*

05hb Jun 2024
27hb Zulkaedah 1445H

Sunday 2 June 2024

Permudahkan dan Jangan Menyukarkan

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Permudahkan dan Jangan Menyukarkan

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَسِّرُوا وَلَا تُعَسِّرُوا وَبَشِّرُوا وَلَا تُنَفِّرُوا

Daripada Anas bin Malik dari Nabi SAW, baginda bersabda: permudahkanlah dan jangan menyusahkan, berilah berita gembira dan jangan membuat orang lari (menjauh). (HR Bukhari No: 67) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Manusia cenderung kepada perkara yang mudah jika dilakukan serta mengembirakan ketika melaksanakan.

2.  Dalam kita mendidik, gunakanlah hikmah dan kebijaksanaan yang boleh menyebabkan orang lain gembira dan suka melakukannya.

3.  Lemah lembut dalam melaksanakan amar makruf nahi munkar (mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran), agar dapat diterima dengan baik oleh orang lain.

4.  Gunakanlah metod yang pelbagai dan menarik serta bertahap dalam mengajarkan ilmu, kerana segala sesuatu yang dimulakan dengan yang mudah, ia akan dapat memikat hati dan menambah rasa cinta terhadap ilmu yang akan dipelajari.

5.  Janganlah kita menjadi penyebab orang lain jauh dari kebaikan yang ingin diajar. Islam itu mudah dan tidak menyukarkan penganutnya untuk beramal. Ada rukhsah (keringanan) yang diberi dalam beribadat seperti untuk orang bermusafir dibolehkan berbuka puasa, solat secara jamak dan qasar dan lain-lain.

Marilah kita permudahkan menyampaikan ilmu mengikut garis panduan syarak. Elakkan sesuatu yang menyukarkan sehingga menjadi penyebab orang menjauhkan diri untuk beramal.

03hb Jun 2024
25hb Zulkaedah 1445H

Saturday 1 June 2024

Ikhlas Beramal

ASSALAMUALAIKUM w.b.t 

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Ikhlas Beramal*
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ.

_*Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah melihat kepada hati dan amalan kamu."*_ (HR Muslim No: 2564) Status: Hadis Sahih

 *Pengajaran:*

1.Ganjaran pahala  di atas setiap amalan adalah bergantung kepada hati yang benar-benar ikhlas dan niat yang benar.

2.Kepentingan menjaga niat agar hati sentiasa benar dan bersih daripada sifat-sifat mazmumah (tercela) serta membuahkan sifat taqwa kepada Allah SWT.

3.Kepentingan menjaga amalan hati mendahului daripada amalan yang dilakukan oleh anggota badan kerana hanya amalan yang  dilakukan dengan hati yang ikhlas akan diterima dalam setiap amalan yang disyariatkan.

4. Setiap amalan hendaklah dilakukan dengan ikhlas serta dilaksanakan dengan betul mengikut syarak.

02hb Jun 2024
24hb Zulkaedah 1445H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...