Wednesday 31 July 2024

Ukhuwah Faktor Kejayaan Membina Negara

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Ukhuwah Faktor Kejayaan Membina Negara*

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

_*Daripada Anas RA, dari Nabi SAW, sabdanya: “Tidak sempurna Iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat kebaikkan seperti apa yang ia sendiri suka mendapatnya”.*_ (HR Bukhari No: 12) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Ukhuwah sesama Muslim adalah pra syarat kesempurnaan iman seseorang.

2.  Kesempurnaan iman seseorang ditunjukkan dengan sifat mengasihi saudara Muslim yang lain seperti ia mengasihi dirinya sendiri.

3.  Ibn Qayyim menyatakan:

a.  Kasih sayang itu adalah sifat memberikan manfaat kepada orang lain

b.  Sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada sahabat atau menjauhkannya daripada bencana.

4.  Jadilah kita orang yang suka agar saudara Muslim kita yang lain mendapat kebaikkan bukan mengharap dia mendapat keburukan.

5.  Jangan jadikan perbezaan pemikiran, pandangan dan kumpulan sebagai pemisah antara kita. Banyak titik persamaan yang boleh dicari untuk berada di bawah payung keimanan, toleransi dan perpaduan bersama.

Marilah kita pertautkan kasih sayang dan ukhuwah. Buang jauh-jauh perselisihan dan perbezaan yang ada. Buktikan kesempurnaan iman kita dengan saling berkasih sayang.

*Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2024*

01hb Ogos 2024
26hb Muharram 1446H

Monday 29 July 2024

Orang Munafik Berat Solat Isyak dan Subuh Di Masjid

*ASSALAMUALAIKUM w.b.t.*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Orang  Munafik Berat Solat Isyak dan Subuh Di Masjid*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ صَلَاةٌ أَثْقَلَ عَلَى الْمُنَافِقِينَ مِنْ الْفَجْرِ وَالْعِشَاءِ وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا لَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ آمُرَ الْمُؤَذِّنَ فَيُقِيمَ ثُمَّ آمُرَ رَجُلًا يَؤُمُّ النَّاسَ ثُمَّ آخُذَ شُعَلًا مِنْ نَارٍ فَأُحَرِّقَ عَلَى مَنْ لَا يَخْرُجُ إِلَى الصَّلَاةِ بَعْدُ

_*Daripada Abu Hurairah RA berkata: Nabi SAW bersabda: "Tidak ada solat yang lebih berat bagi orang-orang Munafik kecuali solat subuh dan solat Isyak. Seandainya mereka mengetahui (kebaikan) yang ada pada keduanya tentulah mereka akan mendatanginya (masjid) walaupun dengan merangkak. Sungguh, aku berkeinginan untuk memerintahkan mu'adzin untuk azan, kemudian aku perintahkan seseorang untuk memimpin orang ramai (mengimami) solat, lalu aku pergi bersama beberapa orang dengan membawa kayu api menuju rumah orang yang tidak keluar untuk solat berjemaah (tanpa alasan yang benar) kemudian membakar rumah-rumah mereka.*_  (HR Bukhari No: 617) Status Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat isyak dan solat subuh (berat untuk menunaikan secara berjemaah di masjid). 

2.  Sekiranya seseorang itu mengetahui pahala yang terdapat pada solat isyak dan subuh berjemaah, nescaya mereka akan mendatanginya (pergi ke masjid) walaupun terpaksa merangkak (kerana sakit). 

3.  Rasulullah SAW memberi amaran bagi lelaki yang tidak ke masjid untuk solat waktu tanpa ada apa-apa keuzuran dengan memerintahkan muadzin untuk azan, kemudian memerintahkan seorang mengimami mereka, lalu Rasulullah SAW pergi bersama beberapa orang dengan membawa kayu bakar menuju rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah untuk membakar rumah-rumah mereka (menunjukkan pentingnya solat berjemaah di masjid).

Ayuh jangan ada sifat orang munafik pada kita. Berusaha bersungguh-sungguh untuk memelihara solat isyak dan subuh dengan berjemaah di masjid. Jangan berasa berat dan malas hingga menghalang kita ke masjid.

30hb Julai 2024
24hb Muharram 1446H

Sunday 28 July 2024

Ancaman Kepada Lelaki Yang Tidak Solat Berjemaah Di Masjid

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Ancaman Kepada Lelaki Yang Tidak Solat Berjemaah Di Masjid*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : لَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ آمُرَ بِالصَّلَاةِ فَتُقَامَ ، ثُمَّ أُخَالِفَ إِلَى مَنَازِلِ قَوْمٍ لَا يَشْهَدُونَ الصَّلَاةَ ، فَأُحَرِّقَ عَلَيْهِمْ .

_*Daripada Abi Hurairah RA, dari Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya aku bertekad supaya solat didirikan kemudian aku akan pergi kepada setiap rumah seseorang yang tidak hadir solat berjemaah lalu akan aku perintahkan agar dibakar rumah mereka.*_ (HR Bukhari No: 2420) Status Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1. Rasulullah menekankan kepentingan untuk lelaki Muslim mengerjakan solat fardu di Masjid.

2. Ancaman Rasulullah SAW untuk membakar orang berserta rumahnya kerana tidak mengerjakan solat fardu di masjid (tanpa sebarang alasan yang dibenarkan syarak). Menunjukkan kepentingan solat fardu berjemaah di masjid bagi lelaki.

3. Lelaki Muslim yang mendengar azan dan tidak menunaikan solat berjemaah di masjid, solat yang dilaksanakan di rumahnya tidak akan sempurna tanpa alasan yang dibenarkan syarak. Hadis Rasulullah SAW:

مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُمْ قَالُوا مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يُجِبْ فَلَا صَلَاةَ لَهُ و قَالَ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ هَذَا عَلَى التَّغْلِيظِ وَالتَّشْدِيدِ وَلَا رُخْصَةَ لِأَحَدٍ فِي تَرْكِ الْجَمَاعَةِ إِلَّا مِنْ عُذْرٍ

*Daripada sahabat Nabi SAW dengan banyak jalur, mereka mengatakan, "Barangsiapa mendengar seruan azan lalu tidak memenuhi panggilannya (hadir untuk solat), maka tidak ada solat baginya." Dan sebahagian para ahli ilmu berkata; "Hal ini sangat ditekankan dan tidak ada keringanan bagi seseorang untuk meninggalkan solat berjamaah kecuali bila ada uzur."* (Sunan Tirmidzi No: 201) Status: Hadis Sahih

4. Marilah kita imarahkan Masjid dengan melaksanakan solat waktu di masjid/Surau.

29hb Julai 2024
23hb Muharram 1446H

Saturday 27 July 2024

Amal Yang Dicintai Allah

*ASSALAMUALAIKUM w.b.t*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Amal Yang Dicintai Allah*

عَنْ أَبِي عَمْرٍو الشَّيْبَانِيِّ قَالَ حَدَّثَنَا صَاحِبُ هَذِهِ الدَّارِ وَأَوْمَأَ بِيَدِهِ إِلىَ دَارِ عَبْدِ اللهِ قَالَ: سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيَّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ؟ قَالَ: “الصَّلاَةُ عَلىَ وَقْتِهَا “. قُلْتُ ثُمَّ أَيُّ ؟ قَالَ: ثُمَّ “بِرُّ الْوَالِدَيْنِ ” قُلْتُ ثُمَّ أَىُّ ؟ قَالَ: ثُمَّ الْجِهَادُ فِي سَبِيْلِ اللهِ قَالَ: حَدَّثَنِيْ بِهِنَّ وَلَوِ اسْتَزَدْتُهُ لَزَادَنِى

_*Daripada Abu Amr Asy-Syaibani, ia berkata: ”Pemilik rumah ini (sambil menunjuk rumah Abdullah bin Mas’ud) memberitakan kepadaku, “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, Apakah amalan yang paling dicintai oleh Allah?” Maka baginda menjawab, “Solat pada waktunya.” Aku bertanya  lagi, “Lalu amalan apa lagi, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Berbakti kepada kedua orang tua.” Aku bertanya kembali, “Kemudian amalan apa lagi?” Baginda bersabda, “Kemudian berjihad di jalan Allah.” Ibnu Mas’ud berkata, “Baginda (hanya) menyebutkan perkara tersebut, jika sekiranya aku bertanya lebih banyak, maka tentu baginda akan menambahnya*_ (HR Bukhari  No: 527) Status Hadis Sahih 

*Pengajaran:*

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa antara amalan yang dicintai Allah SWT dalam kehidupan Muslim:

1.  *Solat di awal waktu*

2.  *Berbuat baik kepada ibu bapa* (sama ada semasa mereka masih hidup mahupun selepas keduanya meninggal dunia)

3.  *Berjihad di jalan Allah* (dalam pelbagai relong mengikut ruang dan kesempatan yang ada)

Lakukanlah amal yang dicintai Allah dalam kehidupan kita.

28hb Julai 2024
22hb Muharram 1446H

Friday 26 July 2024

Solat Fardhu Di Masjid Penghapus Dosa Dan Peninggi Darjat

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Solat Fardhu Di Masjid Penghapus Dosa Dan Peninggi Darjat*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ ثُمَّ مَشَى إِلَى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ لِيَقْضِيَ فَرِيضَةً مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ كَانَتْ خَطْوَتَاهُ إِحْدَاهُمَا تَحُطُّ خَطِيئَةً وَالْأُخْرَى تَرْفَعُ دَرَجَةً

_*Daripada Abu Hurairah RA katanya; Rasulullah SAW  bersabda: "Barangsiapa berwuduk di rumahnya, kemudian berjalan ke salah satu rumah Allah (masjid) untuk melaksanakan solat fardhu yang Allah tetapkan, maka kedua langkahnya, yang satu menghapus dosa dan satu langkahan lagi meninggikan darjat."*_ (HR Muslim No: 1070) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran :*

1.  Dua kelebihan orang yang solat fardhu di masjid:

a.  Langkah kaki pertama menghapuskan dosa
b.  Langkah kaki kedua meninggikan darjat

2.  Syarat untuk mendapat keampunan dan ditinggikan darjat ialah dengan berwuduk terlebih dahulu di rumah kemudian menuju ke masjid untuk melaksanakan solat fardhu berjamaah. 

Bagi orang lelaki, rebut peluang setiap waktu solat untuk mendapat keampunan melalui langkahan menuju ke masjid dan langkahan seterusnya ditinggikan darjat di sisi Allah.

27hb Julai 2024
21hb Muharram 1446H

Thursday 25 July 2024

Syurga Untuk Orang Solat Berjemaah Di Masjid

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Syurga Untuk Orang Solat Berjemaah Di Masjid*

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِى الْجَنَّةِ نُزُلاً كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

_*Daripada Abi Hurairah RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda:  Sesiapa yang pergi dan balik dari masjid, maka Allah akan menyediakan baginya tempat di syurga setiap kali dia pergi dan balik.”*_ (HR Muslim No: 1556) Status Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Pelihara solat waktu dengan berjemaah dengan berusaha solat fardhu di masjid  berjamaah.

2.  Orang yang meninggalkan solat fardhu di masjid bermakna ia meninggalkan antara sunnah Rasulullah SAW.

3.  Orang yang solat fardhu di masjid, akan disediakan baginya tempat di syurga.

4.  Sesungguhnya ganjaran berganda untuk mereka yang solat fardhu berjemaah di masjid. Dalam riwayat daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا

_*Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat salah seorang kalian bersendirian sebanyak 25 darjat.*_ (Sahih Muslim, Kitab al-Masajid wa Mawadhi’ as-Solat, Bab Fadhl Solat al-Jama’ah, hadis no: 649)

Bagaimana dengan solat anda? Beruntunglah orang yang solat fardhu  berjemaah di masjid kerana digandakan ganjaran pahala serta disediakan bagi mereka syurga ketika dia pergi ke masjid dan ketika pulang ke rumah.

26hb Julai 2024
20hb Muharram 1446H

Wednesday 24 July 2024

Apa Alasan Tidak Solat Berjemaah Di Masjid

*ASSALAMUALAIKUM w.b.t.*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Apa Alasan Tidak Solat Berjemaah Di Masjid?*

عَنْ أَبِي رَزِينٍ عَنْ ابْنِ أُمِّ مَكْتُومٍ أَنَّهُ سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي رَجُلٌ ضَرِيرُ الْبَصَرِ شَاسِعُ الدَّارِ وَلِي قَائِدٌ لَا يُلَائِمُنِي فَهَلْ لِي رُخْصَةٌ أَنْ أُصَلِّيَ فِي بَيْتِي قَالَ هَلْ تَسْمَعُ النِّدَاءَ قَالَ نَعَمْ قَالَ لَا أَجِدُ لَكَ رُخْصَة

_*Daripada Abu Razin dari Ibnu Ummi Maktum RA bahawasanya dia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW; Ya Rasulullah, aku adalah seorang yang buta dan rumahku jauh, sedangkan aku mempunyai orang yang menuntunku tapi dia tidak membantuku, maka apakah aku mendapat keringanan untuk melaksanakan solat di rumahku? Baginda bersabda: "Apakah kamu mendengar azan?" Dia menjawab; Ya. Baginda bersabda: "Aku tidak mendapatkan keringanan untukmu!"*_ (Sunan Abu Daud No: 465) Status: Hasan Sahih

*Pengajaran:*

1. Keutamaan solat Fardu bagi orang lelaki adalah di masjid

2. Bagi orang yang sakit, terdapat keuzuran yang membenarkan mereka untuk solat di rumah

3. Rasulullah SAW mengarahkan Abdullah Ibnu Umi Makhtum (seorang yang buta) untuk turut solat di masjid kerana dia mendengar lafaz azan yang dilaungkan (tiada pengecualian dengan sebab cacat penglihatan apabila mendengar azan). 

4. Imam Syafi’i dalam Mukhtashar Al-Muzani: *“Adapun solat jamaah, aku tidaklah memberikan keringanan untuk ditinggalkan kecuali ada uzur.”* (Ash-Shalah wa Hukmu Tarikiha, hlm. 107)
        
25hb Julai 2024
19hb Muharram 1446H

Sunday 21 July 2024

Orang Yang Paling Banyak Pahala Solat Di Masjid

*ASSALAMUALAIKUM w.b.t*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Orang Yang Paling Banyak Pahala Solat Di Masjid*

عَنْ أَبِي مُوسَى قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَعْظَمُ النَّاسِ أَجْرًا فِي الصَّلَاةِ أَبْعَدُهُمْ فَأَبْعَدُهُمْ مَمْشًى وَالَّذِي يَنْتَظِرُ الصَّلَاةَ حَتَّى يُصَلِّيَهَا مَعَ الْإِمَامِ أَعْظَمُ أَجْرًا مِنْ الَّذِي يُصَلِّي ثُمَّ يَنَامُ

_*Daripada Abu Musa berkata, "Nabi SAW bersabda: "Orang yang paling banyak mendapatkan pahala dalam solat adalah mereka yang paling jauh (jarak rumahnya ke masjid), kerana paling jauh dalam perjalanannya menuju masjid. Dan orang yang menunggu solat hingga dia melaksanakan solat bersama imam lebih besar pahalanya dari orang yang melaksanakan solat kemudian tidur."*_ (Sahih Bukhari No: 614) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Orang yang paling banyak mendapatkan pahala dalam solat di masjid: 

a.  Orang yang paling jauh jarak rumahnya ke masjid

b.  Orang yang menunggu solat hingga dia melaksanakan solat bersama imam (tidak solat sendirian)

2.  Beruntung mereka yang rumahnya jauh dari masjid namun tetap datang ke masjid. Semoga orang yang lebih jauh jarak rumahnya lebih semangat untuk ke masjid kerana pahalanya lebih besar dibandingkan dengan orang yang rumahnya dekat dan mudah untuk ke masjid. 

3.  Seseorang yang menunggu solat dengan datang awal ke masjid hingga dia melaksanakan solat bersama imam, lebih besar pahalanya dari orang yang melaksanakan solat (hanya datang pada waktu hampir solat didirikan).

4.  Ganjaran pahala bertambah dengan seseorang mengambil kesempatan berada di masjid antara dua waktu solat seperti waktu maghrib dan menunggu sehingga waktu isya – sama ada membaca al-Quran, berzkir, mendengar kuliah atau bergaul mesra merapatkan hubungan ukhuwah sesama ahli jamaah.

22hb Julai 2024
16hb Muharram 1446H

Saturday 20 July 2024

Ganjaran Pahala Seumpama Haji dan Umrah

*ASSALAMUALAIKUM w.b.t*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Ganjaran Pahala Seumpama Haji dan Umrah*

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ

_*Daripada Anas bin Malik RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang solat subuh berjamaah  kemudian duduk berzikir sampai matahari terbit kemudian diikuti dengan solat dua rakaat, maka dia mendapatkan pahala seperti pahala haji dan umrah." dia (Anas radliallahu 'anhu) berkata, Rasulullah bersabda: "Sempurna, sempurna, sempurna."*_ (HR Tirmizi No: 535) Status: Hadis Hasan

*Pengajaran:*

1.  Ganjaran pahala berganda sentiasa disediakan kepada setiap Muslim yang menunaikan solat berjemaah khususnya di masjid.

2.  Barang siapa yang solat subuh berjamaah  kemudian duduk berzikir sampai matahari terbit kemudian diikuti dengan solat dua rakaat (solat isyrak atau duha), maka dia akan mendapatkan pahala seperti pahala haji dan umrah.

3.  Solat Isyraq bermula setelah matahari naik pada kadar segalah iaitu lebih kurang 1.5 meter atau kira-kira 12-15 minit selepas matahari terbit (12-15 minit selepas waktu Syuruk – BUKAN sebaik sahaja masuk waktu syuruk – waktu syuruk adalah waktu terbit matahari menandakan berakhirnya waktu solat subuh) (Rujuk Bughyat al-Muthatawwi’ fi Solaat al-Tathawwu’: 58).

4.  Rasulullah mengulangi tiga kali kalimat "Sempurna" (dianugerahkan ganjaran seperti pahala mengerjakan ibadat haji dan umrah yang sempurna).

Rebutlah peluang ganjaran pahala seumpama mengerjakan haji dan umrah.

21hb Julai 2024
15hb Muharram 1446H

Friday 19 July 2024

Didik Anak Untuk Solat

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Didik Anak Untuk Solat

عَنْ عَمِّهِ عَبْدِ الْمَلِكِ بْنِ الرَّبِيعِ بْنِ سَبْرَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلِّمُوا الصَّبِيَّ الصَّلَاةَ ابْنَ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا ابْنَ عَشْرٍ

Daripada Abdul Malik bin Ar Rabi' bin Sabrah dari Ayahnya dari datuknya ia berkata; "Rasulullah SAW  bersabda: "Ajarkanlah solat kepada anak-anak diumur tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika meninggalkan solat di umur sepuluh tahun." (HR Tirmizi No: 372) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Didiklah anak-anak kita untuk mengerjakan solat sejak dari kecil. Ajaklah mereka solat bersama dan berjemaah.

2.  Proses membimbing, memujuk, dan menggalakkan anak-anak agar menunaikan solat sejak berumur 7 tahun hingga 10 tahun dengan sabar dan bersungguh-sungguh (3 tahun mengasuh dan membimbing anak agar solat sehingga ia menjadi tabiat dan kebiasaan).

3.  Disiplinkan anak-anak dengan menghukum mereka apabila berumur 10 tahun jika masih enggan menunaikan solat .

4.  Sayangilah anak-anak kita dengan memberikan didikan yang betul dan bersungguh-sungguh sejak berusia 7 hingga 10 tahun dengan belaian, bimbingan, pujukan, penghargaan selama 3 tahun. Namun selepas berusia 10 tahun, jika mereka masih enggan melaksanakannya maka perlu didisiplinkan dengan menghukum dengan kadar yang dibenarkan syara.     
      
Ayuh, didik anak-anak agar solat dengan cara yang betul.      

20hb Julai 2024
14hb Muharram 1446H

Thursday 18 July 2024

Masjid Sebagai Rumah Orang Bertaqwa

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Masjid Sebagai Rumah Orang Bertaqwa*

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَقُولُ اَلْمَسْجِدُ بَيتُ كُلِّ تَقِيٍّ وَتَكَفَّلَ اللهُ لِمَن كَانَ الْمَسْجِدُ بَيْتَهُ بِالرَّوحِ وَالرَّحْمَةِ وَالْجَوَازِ عَلَى  صِرَاطٍ إِلَى رِضْوَانِ اللهِ إِلَى الْجَنَّةِ

_*Daripada Abi Darda, Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Masjid itu rumah bagi orang-orang yang bertaqwa. Allah menjamin kepada orang yang menjadikan masjid sebagai rumahnya dengan roh yang damai rahmat dari Allah melimpah-limpah dan melepasi titian sirat menuju reda Allah di dalam syurga”*_ (HR Tabrani No 6020) Status: Hadis Hasan

*Pengajaran:*

1.  Masjid adalah rumah untuk orang yang bertaqwa.

2.  Usahakanlah Masjid sebagai rumah ke dua kita yang tetap kita "pulang" ketika masuk waktu solat fardhu.

3.  Allah menjamin kepada orang yang menjadikan masjid sebagai rumahnya untuk dimakmurkan dengan limpahan rahmat kasih sayang Allah yang melimpah ruah.

4.  Masjid akan menjadi syafaat kepada pemakmurnya  di hari kiamat sebagai kenderaan untuk melintas titian sirat menuju ke syurga.

5.  Jadikanlah kunjungan ke masjid sebagai bukti keimanan kita. Sabda Nabi SAW:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا رَأَيْتُمْ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسَاجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ 

*Daripada Abi Said al-Khudri daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda: Apabila kamu melihat seseorang lelaki sentiasa mengunjungi masjid, maka saksikanlah yang ia adalah seorang yang beriman”* (HR Ibn Majah No : 794)

Masjid Quba dan Masjid Madinah adalah bangunan pertama yang Rasulullah dirikan dalam peristiwa hijrah sebagai asas pembinaan ummah. Ayuh ajak ahli keluarga kita bersama untuk  memakmurkan masjid. Semoga ia menjadi syafaat untuk kita memasuki Syurga.

19hb Julai 2024
13hb Muharram 1446H

Wednesday 17 July 2024

Mengutamakan Orang Lain

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Mengutamakan Orang Lain*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَعَثَ إِلَى نِسَائِهِ فَقُلْنَ مَا مَعَنَا إِلَّا الْمَاءُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ يَضُمُّ أَوْ يُضِيفُ هَذَا فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ أَنَا فَانْطَلَقَ بِهِ إِلَى امْرَأَتِهِ فَقَالَ أَكْرِمِي ضَيْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ مَا عِنْدَنَا إِلَّا قُوتُ صِبْيَانِي فَقَالَ هَيِّئِي طَعَامَكِ وَأَصْبِحِي سِرَاجَكِ وَنَوِّمِي صِبْيَانَكِ إِذَا أَرَادُوا عَشَاءً فَهَيَّأَتْ طَعَامَهَا وَأَصْبَحَتْ سِرَاجَهَا وَنَوَّمَتْ صِبْيَانَهَا ثُمَّ قَامَتْ كَأَنَّهَا تُصْلِحُ سِرَاجَهَا فَأَطْفَأَتْهُ فَجَعَلَا يُرِيَانِهِ أَنَّهُمَا يَأْكُلَانِ فَبَاتَا طَاوِيَيْنِ فَلَمَّا أَصْبَحَ غَدَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ ضَحِكَ اللَّهُ اللَّيْلَةَ أَوْ عَجِبَ مِنْ فَعَالِكُمَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ: (وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُونَ )

_*Daripada Abu Hurairah RA bahawa ada seorang lelaki (yang susah) datang kepada Nabi SAW lalu baginda memberitahu para isteri baginda (jika ada sesuatu yang boleh diberi). Para isteri baginda berkata; "Kami tidak mempunyai apa-apa selain air". Kemudian Rasulullah SAW berkata kepada orang ramai: "Siapakah yang mahu mengajak atau menjamu orang ini?". Maka seorang lelaki Ansar berkata; "Aku". Lelaki Ansar itu pulang bersama lelaki tadi menemui isterinya lalu berkata; "Muliakanlah tamu Rasulullah SAW ini". Isterinya berkata; "Kita tidak memiliki apa-apa kecuali sepotong roti untuk anak kita". Lelaki Ansar itu berkata; "Sediakanlah makanan itu, tidurkanlah anak kita dan matikanlah lampu". Ketika mereka hendak menikmati makan malam, maka isterinya menyediakan makanan itu lalu mematikan lampu dan menidurkan anaknya kemudian dia berdiri seakan hendak memperbaiki lampunya, lalu dimatikannya kembali. Suami-isteri hanya menggerak-gerakkan mulutnya (seperti mengunyah sesuatu) seolah keduanya turut menikmati hidangan. Kemudian keduanya tidur dalam keadaan lapar kerana tidak makan malam. Ketika pagi harinya, lelaki Ansar menemui Rasulullah SAW. Maka baginda berkata: "Malam tadi Allah kagum kerana perbuatan kalian berdua". Lalu Allah menurunkan firman-Nya dalam Surah al-Hasyr ayat 9 yang artinya: (Dan mereka lebih mengutamakan orang lain (Muhajirin) dari pada diri mereka sendiri sekalipun mereka memerlukan apa yang mereka berikan itu. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung).*_ (HR Bukhari No: 3514) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik dengan berusaha tidak menghampakan setiap yang datang menemui baginda

2.  Melayani tetamu adalah antara tuntutan akhlak terpuji seorang Muslim

3.  Memiliki sifat "itsar”  (mengutamakan orang lain) melebihi diri sendiri adalah akhlak yang dikagumi dan suatu kemuliaan di sisi Allah

4.  Mengutamakan dan memuliakan orang lain adalah satu daripada akhlak terpuji yang perlu diasuh sebagai satu daripada sifat RAHMAH seorang Muslim.

Marilah kita berusaha untuk memiliki sifat “itsar” agar menjadi orang yang mulia disisi Allah.

18hb Julai 2024
12hb Muharram 1446H

Tuesday 16 July 2024

Tuntutan Berkasih Sayang Sesama Mukmin

*ASSALAMUALAIKUM w.b.t.*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Tuntutan Berkasih Sayang Sesama Mukmin*

عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

_*Daripada An Nu'man bin Bisyir dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh badan. Apabila ada salah satu anggota tubuh badan yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya) '*_ (HR Muslim No: 4685) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Orang mukmin sesama mukmin adalah bersaudara.

2.  Perumpamaan berkasih sayang sesama Mukmin seperti satu tubuh badan. Jika ada anggota badan yang sakit, anggota lain juga turut menanggung kesakitan. 

3.  Persaudaraan dalam Islam menuntut nilai kebersamaan iaitu saling memerlukan dalam apa jua keadaan. Saat bergembira akan dinikmati bersama begitu juga saat berduka tetap akan bersama mengharungi kesusahan serta keperitannya. Sebagai mukmin, menjadi kewajipan kita untuk saling tolong menolong di antara satu sama lain. Apatah lagi jika mereka memerlukan bantuan. 

4.  Hak-hak yang lahir daripada persaudaraan diwajibkan kerana iman. Wajib memberikan komitmen terhadap hak mukmin yang lain sama seperti wajibnya menunaikan solat, puasa, zakat dan haji

5.  Wajib memelihara hak sesama mukmin dengan tidak menyakiti, menzalimi, mengumpat, memfitnah dan membiarkannya dalam kesusahan.

6.  Kejayaan Rasulullah SAW dalam peristiwa Hijrah membina Negara Madinah yang makmur dan harmoni apabila baginda berjaya mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajiran untuk sama-sama bertolong bantu membangunkan Negara Islam Madinah.

Ayuh kita tunaikan hak persaudaraan yang wajib dengan sentiasa berkasih sayang sesama mukmin dan bertolong bantu membina Ummah Sejahtera Yang Berkualiti. Jika memelihara solat, puasa, zakat dan haji itu wajib, menunaikan hak persaudaraan ini juga wajib.


17hb Julai 2024
11hb Muharram 1446

Sunday 14 July 2024

Berpuasa Hari Asyura Tanda Kecintaan Kepada Rasul

*ASSALAMUALAIKUM w.b.t.*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Berpuasa Hari Asyura Tanda Kecintaan Kepada Rasul*

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَالْيَهُودُ تَصُومُ عَاشُورَاءَ فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ ظَهَرَ فِيهِ مُوسَى عَلَى فِرْعَوْنَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَصْحَابِهِ أَنْتُمْ أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْهُمْ فَصُومُوا

_*Daripada  Ibnu 'Abbas RA dia berkata; "Ketika Rasulullah SAW  tiba di Madinah, baginda melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari Asyura` (10 muharam), mereka berkata; "Lebih tepatnya pada hari Musa mengalahkan Firaun. Maka Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabatnya: "Kalian lebih berhak terhadap Musa daripada mereka, maka berpuasalah."*_ (HR Bukhari No: 4312) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Ibadat Puasa adalah antara syariat yang diwajibkan keatas umat terdahulu. Puasa Hari Asyura (10 muharam) adalah antara syariat Nabi Musa sebagai tanda bersyukur diselamatkan dari Firaun dan tenteranya.

2.  Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura sejak sebelum kewajipan berpuasa Ramadan dan mengajak para sahabat juga berpuasa.

3.  Kita sebagai umat Islam lebih wajar menunjukkan tanda kecintaan kepada para Rasul termasuk kepada Nabi Allah Musa AS. Antara tanda kecintaan itu dengan berpuasa pada hari Nabi Allah Musa AS mengalahkan Firaun dan tenteranya yang ditenggelamkan di laut Merah.

Moga Allah sentiasa menjadikan kita orang yang cinta dan kasih kepada para RasulNya. SELAMAT BERPUASA sunat di bulan Muharam.

15hb Julai 2024
09hb Muharram 1446H

Saturday 13 July 2024

Puasa Menjauhkan Dari Api Neraka

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Puasa Menjauhkan Dari Api Neraka*

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَنْ صَامَ يَوْمًا فِى سَبِيلِ اللَّهِ بَعَّدَ اللَّهُ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا

_*Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, aku mendengar Sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa melakukan puasa satu hari di jalan Allah (dalam melakukan ketaatan pada Allah / jihad ), maka Allah akan menjauhkannya dari neraka sejauh perjalanan 70 tahun.*_ (HR Bukhari No: 2840) Status Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Puasa adalah antara ibadat yang menjadikan seseorang hamba dekat dengan syurga dan jauh daripada neraka.

2.  Puasa adalah perisai kepada seorang mukmin. Rasulullah SAW bersabda:

الصِّيَامُ جُنَّةٌ يَسْتَجِنُّ بِهَا الْعَبْدْ مِنَ النَّارِ

*Puasa adalah perisai, seorang hamba berperisai dengannya dari api neraka”* (HR Ahmad 3/241) Status: Hadis Sahih

3.  Sehari ibadat puasa oleh seorang Mukmin yang dilakukan dengan ikhlas akan menjauhkan seseorang dari neraka sejauh 70 tahun perjalanan.

4.  Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk melakukan puasa sunat khususnya pada bulan Muharam. Antara hari yang digalakkan berpuasa selain daripada Isnin dan Khamis, puasa Tasu’a (9 Muharam) dan puasa Asyura (10 Muharam) juga puasa sunat pada pertengahan bulan hijrah atau dipanggil puasa hari puteh (13, 14 dan 15 haribulan Hijrah)

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَصُومَ مِنْ الشَّهْرِ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ الْبِيضَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ

*Dari Abu Dzarr RA dia berkata; "Rasulullah  SAW  memerintahkan kami agar berpuasa tiga hari Bidh  (Putih) dalam sebulan iaitu tiga belas, empat belas dan lima belas."* (HR Nasai No: 2380) Status: Hadis Hasan

Marilah kita melakukan puasa sunat pada sepanjang bulan Muharam ini selain daripada puasa pada hari ke 9 (Tasu’a), hari ke 10 (Asyura). Disamping  puasa sunat hari Isnin dan Khamis juga puasa hari-hari puteh pada 13hb, 14hb dan 15hb Muharam.

Moga ibadat puasa akan menghindarkan kita dari api neraka.

14hb Julai 2024
08hb Muharram 1446H

Friday 12 July 2024

Puasa Tasu’a (puasa 9hb Muharram)

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Puasa Tasu’a (puasa 9hb Muharram)*

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُا حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ قَالَ فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

_*Abdullah bin Abbas RA, beliau menceritakan: Ketika Nabi SAW melaksanakan puasa Asyura dan memerintahkan para sahabat untuk puasa. Kemudian ada sahabat yang berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya hari Asyura adalah hari yang diagungkan orang Yahudi dan Nasrani. Kemudian Nabi SAW bersabda: “Tahun depan, Insha Allah kita akan berpuasa pada hari ke sembilan.” Namun, belum sampai tahun depan, Nabi SAW diwafatkan.*_ (HR. Muslim No: 1916) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Antara hari yang digalakan berpuasa pada bulan Muharam ialah puasa sunat hari Tasu'a (9hb Muharam) iaitu sehari sebelum hari Asyura (10hb Muharam)

2.  Puasa dua hari iaitu puasa sunat Tasu'a (9hb Muharam)  dan puasa sunat Asyura (10hb Muharam) adalah untuk membezakan amalan berpuasa seorang Muslim dengan puasa orang Yahudi dan Keristian.

3.  Ibnul Qayim dalam Zadul Ma’ad, 2/72 menjelaskan puasa yang berkait hari Asyura ada tiga Kategori:

a)  Kategori paling sempurna, puasa tiga hari. Sehari sebelum Asyura, hari Asyura, dan sehari selepas Asyura  (9hb, 10hb dan 11hb Muharam).

b)  Kategori kedua, puasa pada 9hb dan 10hb Muharam berdasarkan banyak hadis.

c)  Kategori ketiga, puasa pada10hb Muharam saja.

Marilah kita tunaikan puasa Sunat Tasu'a (9hb Muharam) yang jatuh pada 15hb Julai hari Isnin dan puasa Sunat Asyura (10hb Muharam) pada 16hb Julai hari Selasa. Moga Allah akan mengampukan dosa-dosa kita setahun yang lalu.

13hb Julai 2024
07hb Muharram 1446H

Wednesday 10 July 2024

Ukhuwah Faktor Kejayaan Membina Negara

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ukhuwah Faktor Kejayaan Membina Negara

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA, dari Nabi SAW, sabdanya: “Tidak sempurna Iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat kebaikkan seperti apa yang ia sendiri suka mendapatnya”. (HR Bukhari No: 12) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ukhuwah sesama Muslim adalah pra syarat kesempurnaan iman seseorang.

2.  Kesempurnaan iman seseorang ditunjukkan dengan sifat mengasihi saudara Muslim yang lain seperti ia mengasihi dirinya sendiri.

3.  Mengikut Sarjana Muslim, maksud kasih sayang adalah:

a.  Sifat memberikan manfaat kepada orang lain

b.  Sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada orang lain atau menjauhkannya daripada bencana.

4.  Sebelum peristiwa Hijrah, Rasulullah SAW telah mengislamkan beberapa orang pimpinan kaum Aus dan Khazraj dan mereka telah dipersaudarakan yang sebelum ini puluhan tahun sering berperang dan bermusuhan tanpa henti. Tiada lagi permusuhan antara mereka, bahkan mereka saling berkasih sayang, bantu membantu antara satu sama lain. Apabila berlaku peristiwa hijrah, Rasulullah SAW telah mempersaudarakan pula golongan Muhajirin dan Ansar.  

5.  Langkah strategik Rasulullah SAW mempersaudarakan ini demi memastikan ikatan ukhuwah dan persaudaraan dalam kalangan penduduk Madinah kukuh terpatri. Ia menjadi faktor utama kepada kejayaan pembinaan Negara Madinah yang digeruni dan dihormati oleh kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi.

6.  Marilah kita menjadikan peristiwa hijrah ini dengan menyemarakkan ikatan saling berkasih sayang. Jangan jadikan perbezaan pemikiran, pandangan dan kumpulan sebagai pemisah antara kita. Banyak titik persamaan yang boleh dicari untuk berada di bawah payung keimanan, toleransi dan perpaduan bersama.

JOM sempena Maal Hijrah 1446 ini kita sempurnakan iman dengan saling berkasih sayang dan berukhuwah untuk mewujudkan Negara Malaysia yang cemerlang dan diampuni Allah. Al-Falah Pemacu Malaysia Madani

11hb Julai 2024
05hb Muharram 1446H

PARENTING STYLE

💐💐 PARENTING STYLE 💐💐

( Siri 4 )

Saya nak bagi satu kisah benar tentang seorang ibu yang penyayang tetapi bergelut dengan isu attachment dengan anak

Ada seorang ibu ni sangat penyayang. Dia akan buat semuanya untuk anaknya mulai daripada memasak, memakaikan pakaian, mencuci pinggan mangkuk, membersihkan bilik anak anaknya dan menghantar mereka ke sekolah.

Bertahun-tahun si ibu melakukan itu semua sehinggalah anaknya memasuki usia remaja.

Dia dapati anaknya suka buat pelbagai perangai yang dia sendiri pun tak tahu penyebabnya lagi lagi anaknya yang sulung.

Dia pelik sebab dia dah amal semua teknik dan tips parenting yang dia pelajari tetapi anak masih buat perangai dan selalu moody juga.

Rupanya bila diselidiki si ibu ni ada trauma lama yang membuatkan dia sendiri susah nak 'attach' dengan si anak.

Si ibu jadi Reactive sangat bila dengan anak :

- mudah naik marah
- mudah triggered bila anak menangis
- nak cepat-cepat setelkan kerja je
- nak setelkan perangai anak cepat cepat
- cepat sangat hukum anak 

Bila diselidik lebih mendalam rupanya anak buat perangai tu sebab FITRNAH si anak ni cuba bagi ALARM pada si ibu bahawa ada 'something wrong' dalam attachment antara dia dan si ibu

Saya sambung di Siri 5 nanti 👋

Tuesday 9 July 2024

Syurga Untuk Pengunjung Masjid

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Syurga Untuk Pengunjung Masjid

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِي الْجَنَّةِ نُزُلًا كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Barangsiapa datang ke masjid pada pagi atau petang hari, maka Allah akan menyediakan persinggahan baginya di syurga, setiap kali dia berangkat ke masjid di pagi atau petang hari." (HR Muslim No:1073) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Orang yang sentiasa solat waktu di masjid pagi dan petang akan disediakan baginya tempat tinggal yang baik di syurga.

2.Rasulullah SAW menjanjikan perlindungan di hari kiamat kepada tujuh golongan, satu daripada golongan itu adalah …. mereka yang hatinya terikat dengan masjid walau di mana dia berada:

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِيْ ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ….. وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْـمَسَاجِدِ 

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda, “Tujuh golongan yang dinaungi Allâh dalam naungan-Nya pada hari dimana tidak ada naungan kecuali naungan-Nya (di hari Akhirat): …. seorang yang hatinya sentiasa terikat ke masjid. (Sahih Bukhari: 660)

3.Bersungguhlah menjaga solat berjemaah khususnya di masjid bagi kaum lelaki. Ingatlah kisah Sulaiman Ibn Hamzah al-Maqdisi keturunan Ibn Qudamah seorang ketua hakim di Syam, beliau pernah berkata: Aku tidak pernah solat fardu secara sendirian kecuali 2 kali dan sehingga sekarang aku seakan-akan merasa masih belum mengerjakannya (padahal usianya ketika itu mencecah 90 tahun) (dalam ar-Raqaik oleh Muhammad Ahmad ar-Rasyid)

Tempat pertama yang Rasulullah SAW bina ketika sampai ke Quba dalam peristiwa hijrah baginda adalah Masjid iaitu masjid Quba. Marilah sama-sama kita berusaha menjadikan masjid sebagai rumah kedua kita untuk menunaikan solat berjemaah, mendalami ilmu agama, dan mengeratkan hubungan ukhuwah sesama ahli kariah. Sahutlah seruan muazin ketika azan dikumandangkan … “Hayya a’lal Solah, Hayya a’lal Falah” (mari menunaikan solat, mari menuju kejayaan)… Kunjungilah masjid khususnya apabila masuk waktu solat fardhu.

Al-Falah Pemacu Malaysia Madani

10hb Julai 2024
04hb Muharram 1446H

Monday 8 July 2024

Membangun dan Mengimarahkan Masjid

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Membangun dan Mengimarahkan Masjid*

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ بَنَى مَسْجِدًا يُذْكَرُ فِيهِ اسْمُ اللَّهِ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ

_*Daripada Umar Ibnul Khatthab RA ia berkata; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa membangunkan masjid yang di dalamnya digunakan untuk berzikir kepada Allah, maka Allah akan membangunkan baginya sebuah rumah di syurga."*_ (Sunan Ibnu Majah No: 727) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Allah memberikan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang membina masjid dengan ikhlas semata-mata untuk digunakan di dalamnya bagi mengingati Allah.

2.  Orang yang membangunkan masjid ini tergolong dalam kalangan pemakmur masjid Allah. Firman Allah: 

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلا اللَّهَ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

*Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang  beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain Allah, maka merekalah yang termasuk golongan orang-orang yang selalu mendapat petunjuk (dari Allah Ta’ala)”* (Surah At-Taubah: 18).

3.  Ibnu al-Jauzi dalam Zaadul Masiir (3/408) berkata: yang dimaksudkan dengan “memakmurkan” dalam ayat di atas ialah mereka yang:

a.  Selalu mendatangi masjid dan beribadat di dalamnya 
b.  Membangun masjid dan memperbaikinya.

4.  Masjid perlu dibangunkan fizikal serta rohnya (program dan aktiviti yang mendekatkan seseorang kepada Allah). Orang yang membangunkan masjid akan diberi ganjaran mahligai di syurga.

5.  Perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah adalah membina Masjid. Dimulakan dengan masjid Quba dan diikuti dengan Masjid Madinah. Masjid dijadikan tempat menghimpunkan rakyat, merapatkan ukhuwah, menyampaikan dakwah, mengajarkan al-Quran serta mengurus pemerintahan. 

6.  Jangan jadikan masjid seperti *gajah puteh*. Kata Saidina Ali: Akan datang suatu zaman ke atas manusia, tidak kekal di dalam Islam kecuali namanya sahaja dan tidak kekal dalam ajaran al-Quran melainkan tinggal tulisannya sahaja, masjid yang besar dan indah dibangunkan di sana sini tetapi manusia tidak mengambil petunjuk daripadanya.

Marilah sempena Sambutan Hijrah 1446 ini kita mencontohi kejayaan dan kegemilangan Rasulullah SAW membangunkan Negara Islam Madinah dengan dimulakan di masjid. Jom ikat diri kita dengan masjid. Mengimarahkan Masjid Tanggungjawab Kita.


09hb Julai 2024
03hb Muharram 1446H

Sunday 7 July 2024

Niat dan Hijrah Kerana Allah

*ASSALAMUALAIKUM w.b.t*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Niat dan Hijrah Kerana Allah*

عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ: إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى. فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ.

_*Daripada Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khattab RA, dia berkata, "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan  tergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya kerana dunia yang ia menginginkannya atau wanita yang ingin dikahwininya maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya (yang dia niatkan).*_ (HR Bukhari No: 1) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Setiap amal seseorang itu bergantung kepada niat. 

2.  Niat merupakan syarat diterima atau tidaknya sesuatu amal perbuatan. Amal ibadah tidak akan menghasilkan pahala kecuali berdasarkan niat (kerana Allah).

3.  Ikhlas melakukan sesuatu amal semata-mata kerana Allah adalah dituntut pada semua amal dan ibadah.

4.  Ganjaran pahala seorang mukmin akan diberi berdasarkan kadar niatnya.

5.  Orang yang berhijrah atau melakukan sesuatu perbuatan kerana dunia, maka dia hanya akan dapat dunia yang diinginkan.

6.  Orang yang berhijrah kerana wanita, dia juga hanya akan dapat seperti yang diniatkan.

7.  Orang yang berhijrah kerana Allah, dia akan memperoleh apa yang diniatkan dengan ganjaran pahala.

8.  Hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang buruk dan dilarang oleh Allah kepada melakukan sesuatu yang lebih baik dan diredai Allah. Mari bersama berhijrah.

Lakukanlah apa juga amal kebaikan dengan niat yang ikhlas kerana Allah. Berusahalah melakukan hijrah kepada sesuatu yang lebih baik dan diredai serta meninggalkan segala perkara yang buruk dan dosa. 

Selamat Menyambut Kedatangan Tahun Baru Hijrah 1446.


08hb Julai 2024
02hb Muharram 1446H

Saturday 6 July 2024

Muharam Bulan Afdhal Puasa Selepas Ramadan

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Muharam Bulan Afdhal Puasa Selepas Ramadan

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال‏:‏ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏  أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْمَفْرُوضَةِ صَلاَةٌ مِنَ اللَّيْلِ

Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seafdhal-afdhal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Tahajud). (HR Abu Daud No: 2429) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Di antara amalan soleh yang sangat digalakkan untuk umat Islam lakukan pada bulan Muharram adalah dengan memperbanyakkan berpuasa sunat.

2.  Sebaik-baik puasa setelah puasa wajib di bulan Ramadan adalah puasa sunat di bulan Muharam.

3.  Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan? Maka jawab baginda SAW:

إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ

Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah. (HR Tirmizi No: 741)

4.  Bulan Muharram disebut sebagai bulan Allah menunjukkan kemuliaan dan kelebihan bulan Muharam. Umum mengetahui jika sesuatu perkara itu disandarkan kepada Allah maka ianya menjadi suatu yang mulia. Sama seperti Baitullah, Abdullah, Rasulullah, dan seumpamanya.

5.  Menurut Imam Nawawi bulan Muharam adalah antara bulan yang paling utama untuk memperbanyak puasa sunat. Antaranya berpuasa pada hari ke-9 (Tasuua’a) dan ke-10 (Asyura’).

6.  Solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Tahajud).

Marilah kita perbanyakkan berpuasa sunat pada bulan ini, antaranya puasa sunat Isnin, Khamis, puasa sunat hari puteh (13, 14 dan 15 hb) juga puasa Sunat Tasuua’a dan Asyura pada 9 dan 10 hb Muharam.

Selamat Menyambut Kedatangan Tahun Baru Hijrah 1446
Al-Falah Pemacu Malaysia Madani

07hb Julai 2024
01hb Muharram 1446H

Friday 5 July 2024

Hijrah Untuk Kesejahteraan

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Hijrah Untuk Kesejahteraan*

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

_*Daripada Abdullah bin Amru dari Nabi SAW, bersabda: "Seorang muslim adalah orang yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya, dan seorang Muhajir adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah "*_ (HR Bukhari No: 9) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Muslim yang sempurna adalah seorang yang sentiasa sejahtera kepada orang Islam lain (sentiasa  selamat dari gangguan lisan dan tangannya seperti umpatan, fitnah, adu domba dan lain-lain).

2.  Seseorang yang mempunyai iman yang sempurna akan mendorong pemiliknya untuk melaksanakan hak-hak iman. Di antara hak-hak iman adalah: Menjaga amanah, jujur dalam bermuamalah, dan menahan diri dari berbuat zalim terhadap sesama manusia dalam perkara darah dan harta mereka  sehingga orang lain merasa aman (kerana merasa tidak terganggu) darah dan harta mereka.

3.  Hijrah adalah perpindahan dari satu situasi atau keadaan kepada satu situasi atau keadaan yang lain.  Muhajir atau seorang yang berhijrah adalah mereka yang berpindah dari perkara yang kurang baik kepada yang lebih baik. Berpindah dari perbuatan berdosa dan maksiat kepada yang baik dan mendatangkan pahala.

4.  Hijrah dituntut ke atas setiap Muslim. Untuk berubah, setiap kita perlu melakukan hijrah.

5.  Hijrah dan perubahan menuntut pengorbanan.  Para sahabat berhijrah dari Mekah ke Madinah terpaksa meninggalkan segala yang dimiliki di Mekah dan menempuh perit getir perjalanan untuk ke Madinah sehingga mereka selamat sampai. Oleh itu untuk berhijrah dan berubah, setiap kita perlu berkorban.

Marilah kita melakukan pengorbanan untuk perubahan yang lebih cemerlang. Ayuhlah berhijrah dari keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang lebih cemerlang dan gemilang serta diredhai Allah. 

06hb Julai 2024
29hb Zulhijjah 1445H

Thursday 4 July 2024

Bertengkar Umpama Orang Gila Yang Dirasuk Syaitan

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bertengkar Umpama Orang Gila Yang Dirasuk Syaitan

عَنْ عَدِيِّ بْنِ ثَابِتٍ عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ صُرَدٍ قَالَ كُنْتُ جَالِسًا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجُلَانِ يَسْتَبَّانِ فَأَحَدُهُمَا احْمَرَّ وَجْهُهُ وَانْتَفَخَتْ أَوْدَاجُهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنِّي لَأَعْلَمُ كَلِمَةً لَوْ قَالَهَا ذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ لَوْ قَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ ذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ فَقَالُوا لَهُ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ فَقَالَ وَهَلْ بِي جُنُونٌ

Daripada 'Adiy bin Tsabit dari Sulaiman bin Shurad berkata; "Aku sedang duduk bersama Nabi SAW dan ada dua orang yang saling mencaci. Seorang diantaranya merah wajahnya dan urat lehernya menegang. Maka Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimat yang bila diucapkan akan hilang apa yang sedang dialaminya. Seandainya dia mengatakan a'uudzu billahi minasy syaitan", (aku berlindung kepada Allah dari syaitan) ". Lalu ada sahabat mengatakan kepada orang tersebut kalimah itu; "Sesungguhnya Nabi SAW bersabda; "Berlindungkah kamu kepada Allah dari syaitan". Orang itu berkata: "Apakah aku sudah gila?". (HR Bukhari No: 3040) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Pergaduhan dan pertengkaran sesama kita adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam.

2.  Orang yang berbalah dan bertengkar akan saling caci mencaci sesama mereka

3.  Orang yang sedang bertengkar akan mudah dikuasai oleh syaitan  dan seperti orang gila yang hilang pertimbangan, sehingga apa yang dituturkan atau ditulis berupa cacian dan makian tanpa memikirkan baik dan buruk.

4.  Orang yang sedang marah bukan hanya suaranya meninggi dan kasar malah wajahnya turut berubah menjadi merah dan uratnya menegang.

5.  Rasulullah SAW mengajar agar dibaca kalimah istiazah yang jika dibaca akan terhindarkan dari syaitan dan kemarahan itu akan mengendur:

أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ

6.  Ketika hendak membaca al-quran juga disuruh membaca istiazah, apatah lagi dalam urusan lain. Firman Allah:

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Apabila kamu membaca Al-Qur'an, hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk. (al-nahl: 98)

Marilah kita bersifat RAHMAH dengan memohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan. Lebih-lebih lagi apabila kita sedang marah agar terpelihara dari syaitan.

05hb Julai 2024
28hb Zulhijjah 1445H

Wednesday 3 July 2024

Larangan Membuat Tuduhan Buruk

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Larangan Membuat Tuduhan Buruk*

عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلًا بِالْفُسُوقِ وَلَا يَرْمِيهِ بِالْكُفْرِ إِلَّا ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ

_*Daripada Abu Zar RA bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda: "Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasikan, dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu."*_ (HR Bukhari No: 5585) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Muslim dilarang membuat tuduhan buruk sesama Muslim.

2.  Islam melarang melempar tuduhan fasik ataupun kufur kepada saudara Islam yang lain.

3.  Jika tuduhan yang dilemparkan itu tidak benar, sifat fasik dan kufur itu akan terkena kepadanya. Dalam hadis yang lain menyebutkan:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَيُّمَا رَجُلٍ قَالَ لِأَخِيهِ يَا كَافِرُ فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا

*Dari Abdullah bin Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Siapa saja yang berkata kepada saudaranya; "Wahai Kafir" maka boleh jadi akan kembali kepada salah satu dari keduanya."* (HR Bukhari No: 5639) Status: Hadis Sahih

Jauhilah amalan suka mencela serta mengelarkan dengan gelaran buruk terhadap orang lain.

04hb Julai 2024
27hb Zulhijjah 1445H

Tuesday 2 July 2024

Larangan Mencela Sesama Muslim

*ASSALAMUALAIKUM w.b.t* 

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Larangan Mencela Sesama Muslim*

عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ سَعْدٍ عَنْ سَعْدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ

_*Daripada Muhammad bin Sa'd dari Sa'ad, dia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Mencaci orang muslim adalah kefasikan dan memeranginya adalah kekufuran."*_ (HR Ibnu Majah No: 3931) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Mencaci orang Islam itu termasuk perbuatan fasik.

2.  Memerangi orang Islam itu termasuk perbuatan kufur.

3.  Allah melarang orang beriman dari saling mencela. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَومٌ مِّن قَوْمٍ عَسَى أَن يَكُونُوا خَيْراً مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاء مِّن نِّسَاء عَسَى أَن يَكُنَّ خَيْراً مِّنْهُنَّ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ بِئْسَ الاِسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

*“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki mencela kumpulan yang lain, boleh jadi yang dicela itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan mencela kumpulan lainnya, boleh jadi yang dicela itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim “*  (Al Hujuraat :11)

4.  Imam At Thabari menyatakan: larangan ini mencakup seluruh bentuk celaan dan cacian. Tidak boleh seorang mukmin mencela mukmin yang lain kerana kemiskinannya, kerana perbuatan dosa yang telah dilakukannya, juga sebab yang lainnya” (Lihat Jaami’ul Bayan).

5.  Sikap mencela orang lain itu berpunca dari rasa sombong dan ujub terhadap dirinya sendiri yang merasakan dirinya lebih baik. 

6.  Seorang Mukmin tidak akan memanggil atau menggelar orang lain dengan gelaran atau panggilan yang buruk.

Marilah kita bersifat RAHMAH. Moga kita dijauhi dari sifat suka mencela dan menghina orang lain.

03hb Julai 2024
26hb Zulhijjah 1445H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...