*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
*Hijrah Untuk Kesejahteraan*
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ
_*Daripada Abdullah bin Amru dari Nabi SAW, bersabda: "Seorang muslim adalah orang yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya, dan seorang Muhajir adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah "*_ (HR Bukhari No: 9) Status: Hadis Sahih
*Pengajaran:*
1. Muslim yang sempurna adalah seorang yang sentiasa sejahtera kepada orang Islam lain (sentiasa selamat dari gangguan lisan dan tangannya seperti umpatan, fitnah, adu domba dan lain-lain).
2. Seseorang yang mempunyai iman yang sempurna akan mendorong pemiliknya untuk melaksanakan hak-hak iman. Di antara hak-hak iman adalah: Menjaga amanah, jujur dalam bermuamalah, dan menahan diri dari berbuat zalim terhadap sesama manusia dalam perkara darah dan harta mereka sehingga orang lain merasa aman (kerana merasa tidak terganggu) darah dan harta mereka.
3. Hijrah adalah perpindahan dari satu situasi atau keadaan kepada satu situasi atau keadaan yang lain. Muhajir atau seorang yang berhijrah adalah mereka yang berpindah dari perkara yang kurang baik kepada yang lebih baik. Berpindah dari perbuatan berdosa dan maksiat kepada yang baik dan mendatangkan pahala.
4. Hijrah dituntut ke atas setiap Muslim. Untuk berubah, setiap kita perlu melakukan hijrah.
5. Hijrah dan perubahan menuntut pengorbanan. Para sahabat berhijrah dari Mekah ke Madinah terpaksa meninggalkan segala yang dimiliki di Mekah dan menempuh perit getir perjalanan untuk ke Madinah sehingga mereka selamat sampai. Oleh itu untuk berhijrah dan berubah, setiap kita perlu berkorban.
Marilah kita melakukan pengorbanan untuk perubahan yang lebih cemerlang. Ayuhlah berhijrah dari keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang lebih cemerlang dan gemilang serta diredhai Allah.
06hb Julai 2024
29hb Zulhijjah 1445H
No comments:
Post a Comment