Monday, 30 March 2026

Bersifat Lemah Lembut

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Bersifat Lemah Lembut 

عَنْ جَرِيرٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ يُحْرَمْ الرِّفْقَ يُحْرَمْ الْخَيْرَ

Daripada Jarir RA dari Nabi SAW, Baginda bersabda: Barang siapa dijauhkan (tidak dikurniakan) dari sifat lemah lembut (kasih sayang), berarti ia dijauhkan daripada kebaikan. (HR Muslim  No: 4694) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sifat lemah lembut, bertolak ansur dan berhemah dalam semua urusan kehidupan adalah dituntut ke atas setiap Muslim. 

2.  Sifat Rifq (lemah lembut) merangkumi kelembutan dalam percakapan, tindakan dan pendekatan. Ia bukan kelemahan, tetapi kebijaksanaan dalam menyampaikan sesuatu tanpa kekasaran.

3.  Sifat lemah lembut adalah kunci kepada segala kebaikan. Ia menjadikan hubungan lebih harmoni, menjauhkan perselisihan, dan membantu kita memperoleh redha Allah. Dengan berlemah-lembut, seseorang akan mudah mendapat pertolongan daripada orang lain dan lebih berkemampuan untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan.

4.  Orang yang tidak mempunyai sifat lemah lembut (kasar) sama ada ucapan, tulisan mahupun perbuatan terhadap orang lain, maka ia akan dijauhkan dari rahmat Allah. Sifat kasar dan keras hati akan menjauhkan seseorang daripada kebenaran dan kebaikan. Bersikap keras dan tidak sabar, mungkin menyebabkan orang lain tersinggung, merosakkan hubungan, dan akhirnya menjauhkan diri daripada keredaan Allah.

5.  Saling menyayangi dan mengasihi adalah tanda kesempurnaan iman. Rasul SAW. bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَ تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلاَ تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا 

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Kalian tidak masuk syurga hingga kalian beriman dan belum sempurna keimanan kalian hingga kalian saling mencintai  (HR Muslim No: 81).

6.  Menjadi lemah lembut bukanlah tentang kelemahan, tetapi tentang kebijaksanaan dan kesabaran dalam menghadapi ujian kehidupan. Orang yang sabar dan bijaksana dalam bertindak akan lebih mampu menguruskan pelbagai situasi dengan baik. 

7.  Dalam keluarga, masyarakat dan dakwah, kelembutan adalah kunci kepada kebahagiaan dan keharmonian. Sesuatu urusan yang dilakukan dengan lemah lembut lebih mudah diterima dan diberkati. 

8.  Sikap kasar dan tergesa-gesa boleh menutup pintu kebaikan dan merosakkan hubungan.

Sempena kita masih berada dibulan Syawal ini, marilah kita suburkan sifat rahmah dengan berlemah lembut dan penyayang terhadap orang lain. Membina sifat rifq (lemah lembut) adalah satu keperluan dalam pembentukan peribadi Muslim yang unggul. 

10hb Syawal 1447H
30hb Mac 2026

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...