Wednesday, 29 July 2026

Muflis Di Akhirat

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
*Muflis Di Akhirat*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أتَدْرُونَ مِن الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ لَا لَهُ دِرْهَمَ وَلَا دِينَارَ وَلَا مَتَاعَ قَالَ الْمُفْلِسُ مِنْ أُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ يَأْتِي بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ عِرْضَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُقْعَدُ فَيَقْتَصُّ هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ

_*Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda:  "Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?" Para sahabat menjawab: "Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah orang yang tidak mempunyai wang, harta atau barang." Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang muflis daripada umatku pada Hari Kiamat ialah orang yang datang dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat. Namun dia juga datang membawa dosa pernah mencaci seseorang, memfitnah seseorang, memakan harta seseorang, menumpahkan darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu orang-orang yang dizaliminya diberikan daripada pahala kebaikannya. Jika pahala kebaikannya habis sebelum semua tuntutan diselesaikan, maka dosa-dosa mereka dipindahkan kepadanya. Kemudian dia dicampakkan ke dalam neraka."*_ (Musnad Ahmad No: 8062) Status: Hasan Sahih

*Pengajaran:*

1.    Orang yang muflis di akhirat bukan kerana tidak memiliki wang ringgit serta harta semasa di dunia tetapi yang kehilangan pahala pada Hari Kiamat.
 
2.    Orang yang muflis di hari kiamat pada awalnya datang dengan pahala hasil amal ibadat semasa di dunia (pahala solat, puasa, zakat dan amal soleh yang lain) namun pahalanya habis kerana terpaksa membayar hutang pada orang lain.
 
3.    Muflis kerana pahala yang ada terpaksa membuat bayaran hutang dosa yang dilakukan semasa di dunia antaranya dosa mencaci, memfitnah termasuk mencela, menghina, menuduh, menyebarkan berita palsu, mengumpat orang lain sama ada melalui lisan mahupun tulisan sehingga habis segala pahalanya.
 
4.    Rasulullah mendahulukan bahaya dosa lisan iaitu mencaci dan memfitnah yang boleh menjadikan seseorang muflis di akhirat. Di zaman media sosial, dosa tersebut boleh berlaku melalui komen yang menghina, fitnah, penyebaran berita palsu, mengumpat, membuli juga menjatuhkan maruah orang lain.
 
5.    Muflis juga disebabkan pahala yang ada akhirnya habis kerana terpaksa membayar hutang yang belum dijelaskan semasa didunia sebab mengambil harta orang lain, mencederakan dan menumpahkan darah tanpa hak serta menzalimi orang lain.
 
6.    Menurut Imam al-Qurtubi, pada Hari Kiamat tiada lagi pembayaran dengan wang atau harta. Satu-satunya mata wang ialah pahala dan dosa. Orang yang dizalimi akan mengambil pahala orang yang menzaliminya sebagai ganti rugi yang paling adil menurut ketetapan Allah SWT.
 
7) Muflis kerana pahala yang ada telah habis menjadi bayaran hutang dosa terhadap orang lain semasa di dunia, sedangkan hutang dosa terhadap orang lain masih ada. Akhirnya terpaksa menanggung dosa orang tersebut.
 
8) Setiap Muslim hendaklah memperbanyakkan amal soleh, pada masa yang sama berusaha membersihkan dirinya daripada segala tuntutan manusia melalui taubat, pemulangan hak dan permohonan maaf. Semoga dapat bertemu Allah SWT pada Hari Kiamat tanpa menjadi "muflis" yang kehilangan seluruh bekalan pahalanya.
 
14hb Safar 1448H
29hb Julai 2026M

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...