Wednesday, 19 August 2026

Kesempurnaan Iman Dengan Mencintai Rasul

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Kesempurnaan Iman Dengan Mencintai Rasul
 
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ هِشَامٍ قَالَ: كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ آخِذٌ بِيَدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، لَأَنْتَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ إِلَّا مِنْ نَفْسِي. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ نَفْسِكَ. فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: فَإِنَّهُ الْآنَ وَاللَّهِ لَأَنْتَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الْآنَ يَا عُمَرُ.
 
Daripada Abdullah bin Hisham RA, beliau berkata: Kami pernah bersama Nabi SAW, ketika Baginda memegang tangan Umar bin al-Khattab. Lalu Umar berkata: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau adalah orang yang paling aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri." Maka Nabi SAW bersabda: "Tidak, demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, sehingga aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri." Lalu Umar berkata: "Demi Allah, sekarang engkau benar-benar lebih aku cintai daripada diriku sendiri." Maka Rasulullah SAW bersabda: "Sekarang (barulah sempurna), wahai Umar." (HR Bukhari. No: 6632) Status Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.    Kesempuraan iman itu menuntut agar Rasulullah SAW lebih dicintai daripada diri sendiri atau hawa nafsunya.
 
2.    Cinta kepada Rasulullah SAW bukan sekadar emosi, tetapi lahir daripada ilmu, iman dan kesedaran terhadap jasa Baginda.
 
3.    Tanda cinta yang sebenar ialah mentaati sunnah dan mendahulukan ajaran Rasulullah SAW daripada hawa nafsu.

4.    Ibn Hajar al-‘Asqalānī dalam Fath al-Bārī menegaskan bahawa cinta kepada Rasulullah SAW wajib melebihi cinta kepada seluruh manusia lain kerana baginda menjadi sebab terbesar sampainya nikmat hidayah dan keselamatan.
 
5.    Ibn Rajab al-Hanbali menjelaskan bahawa cinta kepada Rasulullah SAW mempunyai tanda-tanda yang nyata, antaranya: mendahulukan sunnah daripada hawa nafsu; reda dengan hukum Allah dan Rasul-Nya; memperbanyakkan selawat; serta mencontohi akhlak Baginda.
 
6.    Seorang Muslim hendaklah sentiasa berusaha membuktikan cintanya kepada Rasulullah SAW melalui ibadah, akhlak, selawat, dakwah dan kesungguhan mengamalkan sunnah dalam setiap aspek kehidupan.

7.    Kecintaan kepada Rasulullah SAW mesti didahului dengn kecintaan kepada Allah. Mencintai Rasulullah adalah cinta kerana Allah.
 
Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1448
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026
"Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati"
  
06hb Rabiulawal 1448H
19hb Ogos 2026
 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...