Thursday, 12 December 2024

Pemilikan Harta dan Pembayaran Hutang

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemilikan Harta dan Pembayaran Hutang

عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُتْبَةَ قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ كَانَ لِي مِثْلُ أُحُدٍ ذَهَبًا لَسَرَّنِي أَنْ لَا تَمُرَّ عَلَيَّ ثَلَاثُ لَيَالٍ وَعِنْدِي مِنْهُ شَيْءٌ إِلَّا شَيْئًا أَرْصُدُهُ لِدَيْنٍ

Daripada 'Ubaidullah bin Abdullah bin 'Utbah, Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sekiranya aku memiliki emas sebesar gunung Uhud, maka aku tidak suka jika ia masih berada disisiku selama tiga hari, dan sekiranya aku memiliki sedikit sahaja dari itu, nescaya aku telah membayarkan untuk hutang." (HR Bukhari No: 5964) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rezeki yang dimiliki adalah kurniaan Allah.

2.  Rasulullah SAW seorang yang pemurah, akan segera membantu orang lain yang memerlukan dengan apa yang dimiliki.

3.  Rasulullah SAW tidak suka harta yang dimiliki kekal lama di sisinya melainkan untuk keperluan penting seperti membayar hutang (jika ada) juga disedekahkan atau dibelanjakan di jalankan Allah. Harta hanya alat untuk mencapai keredhaan Allah bukan tujuan hidup.

4.  Kewajipan orang yang memiliki harta adalah memberi keutamaan untuk menjelaskan hutang yang ada. Rasulullah SAW memberikan peringatan keras kepada orang yang enggan menjelaskan hutang dengan ancaman tidak bahagia:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Daripada Abu Hurairah ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Jiwa seorang mukmin itu bergantung dengan hutangnya hingga dijelaskan" (Sunan Tirmidzi No: 999) Status: Hadis Sahih

Hadis ini mengajar agar kita hidup sederhana dan tidak membazir. Harta adalah Amanah daripada Allah yang perlu digunakan untuk kebaikan. Berusahalah menggunakan harta yang dimiliki dijalan Allah seperti derma, sedekah dan lain-lain. Bagi orang yang berhutang, menjadi kewajipan untuk segera menjelaskannya.

11hb Jamadil Akhir 1446H
13hb Disember 2024

Tuesday, 10 December 2024

Doa Yang Mencukupi Untuk Urusan Agama dan Dunia

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Yang Mencukupi Untuk Urusan Agama dan Dunia

حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ أَنْبَأَنَا أَبُو مَالِكٍ سَعْدُ بْنُ طَارِقٍ عَنْ أَبِيهِ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَدْ أَتَاهُ رَجُلٌ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ أَقُولُ حِينَ أَسْأَلُ رَبِّي قَالَ قُلْ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَعَافِنِي وَارْزُقْنِي وَجَمَعَ أَصَابِعَهُ الْأَرْبَعَ إِلَّا الْإِبْهَامَ فَإِنَّ هَؤُلَاءِ يَجْمَعْنَ لَكَ دِينَكَ وَدُنْيَاكَ

Telah menceritakan kepada kami Yazid bin harun telah memberitakan kepada kami Abu Malik Sa'd bin Thariq dari ayahnya bahawa dia mendengar Nabi SAW telah di kunjungi oleh seseorang laki-laki sambil bertanya; "Wahai Rasulullah, apa yang harus  diucapkan ketika aku memohon kepada Rabbku?" baginda menjawab: "Ucapkanlah; Ya Allah, ampunilah aku, kasihanilah aku, berikanlah aku keafiatan dan berilah aku rezeki." Kemudian baginda merapatkan keempat jari tangannya selain ibu jari: "Sesungguhnya kalimat-kalimat tersebut akan mencukup bagimu agamamu dan duniamu." (HR Ibnu Majah No: 3835)  Status Hadis: Sahih

Pengajaran:

1.  Berdoa adalah tuntutan seorang Muslim dan tanda kebergantungan kita kepada Allah.

2.  Rasulullah SAW mengajar satu doa yang mencakupi keperluan hamba di dunia dan akhirat yang mengandungi empat permintaan utama  iaitu Keampunan, Rahmat, Kesihatan dan Rezeki.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَعَافِنِي وَارْزُقْنِي

Ya Allah, ampunilah aku, rahmatilah aku, berikanlah aku kesihatan dan kurniakanlah aku rezeki

3. Keutamaan meminta keampunan terlebih dahulu اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي” (Ya Allah, ampunilah aku) kerana dosa adalah penghalang kepada keberkatan hidup. Keampunan Allah adalah kunci kepada kebahagiaan dunia dan akhirat.

4. Memohon Rahmat Allah untuk kehidupan yang penuh berkat  “وَارْحَمْنِي” (Rahmatilah aku) mengingatkan kita bahawa rahmat Allah adalah sebab utama untuk kejayaan dunia dan keselamatan di akhirat.

5. Memohon kesihatan dan keselamatan “وَعَافِنِي” (Sihatkanlah aku) menunjukkan pentingannya kesihatan fizikal, mental, dan emosi dalam menjalani kehidupan dengan sempurna. 

6. Memohon rezeki yang mencukupi “وَارْزُقْنِي” (Kurniakanlah rezeki kepadaku) mengingatkan bahawa rezeki datang daripada Allah. Permohonan ini merangkumi rezeki material dan spiritual yang mencukupi untuk kehidupan yang baik.

JOM kita baca dan amalkan doa ini.

09hb Jamadil Akhir 1446H
11hb Disember 2024

Monday, 9 December 2024

Kelebihan Tasbih

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kelebihan Tasbih

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ قَالَ حِينَ يُصْبِحُ وَحِينَ يُمْسِي سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ مِائَةَ مَرَّةٍ لَمْ يَأْتِ أَحَدٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَفْضَلَ مِمَّا جَاءَ بِهِ إِلَّا أَحَدٌ قَالَ مِثْلَ مَا قَالَ أَوْ زَادَ عَلَيْهِ

Daripada Abu Hurairah dia berkata; "Rasulullah SAW bersabda: 'Barang siapa, ketika pagi dan petang, membaca; Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya sebanyak seratus kali, maka pada hari kiamat tidak ada orang lain yang melebihi pahalanya kecuali orang yang juga pernah mengucapkan bacaan seperti itu atau lebih dari itu.' (HR Muslim No: 4858) Status: Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim perlu sentiasa berzikir kepada Allah.

2.  Zikir adalah salah satu bentuk ibadah yang sangat mudah dilakukan tetapi mempunyai ganjaran yang amat besar. 

3.  Antara lafaz zikir yang digalakkan pada waktu pagi dan petang:

سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ

4.  Mukmin yang berzikir dengan zikir di atas sebanyak 100 kali pagi dan petang, akan datang pada Hari Kiamat dengan amal yang besar. Tidak ada yang dapat melebihi ganjaran mereka kecuali orang yang berzikir lebih banyak.

5. Meskipun zikir ini merupakan  amalan ringan yang tidak memerlukan tenaga atau masa yang banyak, kesannya sangat berat di timbangan amal di akhirat.

6. Islam menekankan pentingnya permulaan hari (pagi) dan penutup hari (petang) dengan kebaikan berzikir. 

Ayuh dalam apa jua keadaan marilah kita sentiasa berzikir memuji Allah dengan lisan kita.

08hb Jamadil Akhir 1446H
10hb Disember 2024

Sunday, 8 December 2024

Ucapan Untuk Pasangan Pengantin

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ucapan Untuk Pasangan Pengantin

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَفَّأَ الْإِنْسَانَ إِذَا تَزَوَّجَ قَالَ بَارَكَ اللَّهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي الْخَيْرِ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa jika Nabi SAW mendoakan orang yang baru menikah baginda membaca: "BARAKALLAHU LAKA WA BARAKA 'ALAIKA WA JAMA'A BAINAKUMA FIL KHAIR (semoga Allah memberi berkah kepadamu dan keberkahan atas pernikahan kamu, dan mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan)." (Sunan Tirmizi No: 1011) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Apabila seseorang mendapat kebaikan, kita digalak mengucapkan tahniah dan mendoakan kebaikan buat mereka.

2.  Apabila ada orang yang berkahwin, kita disunahkan memberi ucapan dan mendoakan kepada pasangan pengantin yang kita raikan:

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي الْخَيْرِ

"BARAKALLAHU LAKA WA BARAKA 'ALAIKA WA JAMA'A BAINAKUMA FIL KHAIR 

(Semoga Allah memberi barakah kepadamu dan keberkahan atas pernikahan kamu, dan mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan).

Musim cuti hujung tahun ini ramai orang mengambil kesempatan mengadakan majlis pernikahan anak mereka.

Marilah kita ucapkan doa ini apabila mengunjungi majlis walimah atau mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin dengan doa penuh keberkatan dan kebaikan ini. Semoga keberkahan juga melimpah pada kita yang mendoakan.

07hb Jamadil Akhir 1446H
09hb Disember 2024

Saturday, 7 December 2024

Menghadiri Majlis Walimah

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Menghadiri Majlis Walimah

عن ابن عمر قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إِذَا دُعِىَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا

Daripada Ibnu Umar dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Apabila kamu dijemput ke majlis kenduri perkahwinan, maka hadirilah. (HR. Bukhari No: 5173). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ulama bersepakat bahawa wajib menghadiri kenduri kahwin apabila dijemput jika majlis kenduri itu tidak bercampur aduk dengan maksiat. 

Abu Hurairah mengatakan,

شَرُّ الطَّعَامِ طَعَامُ الْوَلِيمَةِ يُدْعَى لَهَا الأَغْنِيَاءُ ، وَيُتْرَكُ الْفُقَرَاءُ ، وَمَنْ تَرَكَ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ – صلى الله عليه وسلم –

Seburuk-buruk makanan kenduri kahwin ialah kenduri yang hanya dijemput orang-orang kaya, dan tidak dijemput orang miskin. Sesiapa yang tidak memenuhi jemputan maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasulnya SAW. (HR Bukhari No: 5177).

2.  Syarat-syarat yang menjadikan seseorang wajib menghadiri kenduri kahwin:

a.  Jemputan tidak dikhaskan kepada orang-orang kaya sahaja
b.  Jemputan itu memang ditujukan khas kepada kita (bukan jemputan umum contohnya hanya diumumkan imam selepas solat untuk para jamaah
c.  Yang menjemput itu adalah Muslim
d.  Yang dijemput tidak mempunyai keuzuran seperti sakit dan sebagainya

3.  Haram menghadiri kenduri kahwin yang diisi dengan perkara maksiat. Akan tetapi jika seseorang mampu mengubah maksiat itu agar berhenti dengan kehadirannya, hendaklah dia hadir. Sebahagian ulama berpendapat boleh hadir kerana bukan kita yang melakukan maksiat itu.

4.  Ulama berbeza pendapat tentang hukum memenuhi jemputan kenduri selain majlis perkahwinan. Di sisi mazhab Syafie, hukum memenuhi jemputan kenduri selain perkahwinan adalah tidak wajib.

Hujung tahun ini ramai orang mengadakan majlis kenduri perkahwinan. Tunaikan jemputan jika tiada sebarang keuzuran syarie.

06hb Jamadil Akhir 1446H
08hb Disember 2024

Friday, 6 December 2024

Ujian Penghapus Dosa

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ujian Penghapus Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَزَالُ الْبَلَاءُ بِالْمُؤْمِنِ وَالْمُؤْمِنَةِ فِي نَفْسِهِ وَوَلَدِهِ وَمَالِهِ حَتَّى يَلْقَى اللَّهَ وَمَا عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Ujian (bala) akan sentiasa menimpa orang mukmin  sama ada lelaki mahupun perempuan, pada dirinya, anak dan hartanya hingga ia bertemu Allah dengan tidak membawa satu kesalahan (dosa) pun atasnya.” (HR Tirmizi No: 2323) Hadis Hasan Sahih.

Pengajaran:

1.  Setiap ujian (bala) atau musibah yang dihadapi oleh orang mukmin sama ada pada dirinya, harta serta ahli keluarganya adalah sebagai pengampun dosa-dosanya.

2.  Al-Baghawi menyatakan: Tidak ada satupun musibah yang menimpa seorang hamba, demikian pula musibah yang lebih besar (dan luas) darinya, kecuali kerana sebab dosa yang Allah mengampuninya hanya dengan (cara menimpakan) musibah tersebut (kepadanya) atau Allah hendak mengangkat darjatnya (kepada suatu darjat kemuliaan) hanya dengan (cara menimpakan) musibah tersebut (kepadanya)” (Tafsir Al-Baghawi: 4/85)

3.  Ada Muslim di hari akhirat nanti diampunkan semua dosanya ketika bertemu Allah kerana kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian berbentuk musibah semasa di dunia.

4.  Antara tujuan utama Allah SWT menimpakan ujian kepada hamba-Nya adalah untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang baik amalannya. Firman Allah SWT:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلً

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” Al-Mulk: 2

Moga kita bersabar dengan setiap ujian yang dilalui agar ia menjadi penghapus dosa-dosa kita.

05hb Jamadil Akhir 1446H
07hb Disember 2024

Thursday, 5 December 2024

Membaca Istirja' dan Doa Ketika Ditimpa Musibah

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Membaca Istirja' dan Doa Ketika Ditimpa Musibah

أُمَّ سَلَمَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ  مَا مِنْ عَبْدٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا إِلَّا أَجَرَهُ اللهُ فِي مُصِيبَتِهِ وَأَخْلَفَ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا

Daripada Ummul Mukminin, Ummu Salamah isteri Nabi SAW bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tiada daripada kalangan hamba (Allah) yang ditimpa suatu musibah, kemudian mengucapkan: “Innā lillāhi wa innā ilaihi rājiʿun (Sesungguhnya kami milik Allah dan pastinya kami akan kembali kepada-Nya), Ya Allah! Aku mohon agar kurniakanlah ganjaran pada musibahku ini, dan berikanlah ganti yang lebih baik daripada musibah ini,” melainkan Allah akan memberikan pahala kepadanya kerana musibah itu dan menggantikan yang lebih baik.” (HR Muslim No: 918) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Musibah adalah ujian yang didatangkan oleh Allah kepada kita dalam bentuk kesusahan, kesakitan, dukacita  seperti kematian, banjir dan sebagainya.

2.  Bersabar terhadap segala musibah yang menimpa adalah tuntutan kepada setiap Muslim.

3.  Musibah yang menimpa seorang mukmin mempunyai banyak hikmahnya antaranya bertujuan untuk menghapuskan dosa dan meningkatkan pahala.

4.  Muslim yang menerima musibah seperti banjir, kemalangan, kesakitan dan sebagainya, disunatkan agar mengucapkan kalimah istirja dan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW:

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ . اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

“Sesungguhnya kami milik Allah dan pastinya kami akan kembali kepada-Nya, Ya Allah! Aku mohon agar kurniakanlah ganjaran pada musibahku ini, dan berikanlah ganti yang lebih baik daripada musibah ini”.

5.  Orang yang membaca kalimah istirja dan doa diatas apabila menerima musibah akan diberi gantian yang lebih baik antaranya pahala di sisi Allah diatas kesabarannya serta pengampunan dosa.

6.  Sebagai Muslim, kita perlu meyakini bahawa setiap yang berlaku terdapat didalamnya hikmah tertentu.

04hb Jamadil Akhir 1446H
06hb Disember 2024

Wednesday, 4 December 2024

Musibah Menghapus Dosa

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Musibah Menghapus Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Tidaklah seorang muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya." (HR Bukhari No: 5641) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap yang dihadapi oleh seseorang, sama ada berupa kesenangan mahupun kesusahan adalah ujian untuk melihat siapakah yang lebih baik amalannya di sisi Allah.

2.  Setiap muslim perlu sentiasa bersabar dan reda apabila ditimpa dengan penyakit, keletihan, kesedihan, mahupun  kesusahan termasuk musibah banjir yang melanda di beberapa kawasan sekarang ini.

3.  Musibah banjir dibeberapa negeri di Malaysia  menyebabkan orang yang terlibat mengalami kesusahan dan kepayahan. Ada yang kehilangan nyawa, kemusnahan harta juga kerosakan harta benda terkena air banjir seperti kenderaan yang ditenggelami air juga rumah yang rosak. 

4.  Sebagai Muslim hendaklah sentiasa sedar bahawa setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan ada hikmah yang tersendiri. Allah SWT mendatangkan ujian berupa musibah, kesakitan, keletihan, kegusaran, dan sesuatu yang menganggu kehidupan adalah sebagai penghapus dosa dan peninggi darajat agar hamba-Nya sentiasa dalam rahmat-Nya.

5.  Rahmat Allah SWT Maha Luas. Seseorang hamba yang bersabar dengan musibah maka akan diampuni dosanya. Usahlah kita menyalahkan antara satu sama lain diatas musibah ini.

6.  Semoga dosa kita terampun walaupun kesakitan dan kesulitan yang kita lalui mungkin kecil berbanding dengan orang lain. Mungkin ibarat duri yang mencucuk atau melukakan anggota tubuh.

7.  Marilah kita menyerahkan segala musibah kepada Allah dengan memperbanyakkan zikir yang diajar oleh Rasulullah kepada sahabat:  Nabi SAW bersabda:

يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ قَيْسٍ قُلْ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ  فَإِنَّهَا كَنْزٌ مِنْ كُنُوزِ الْجَنَّةِ

Wahai ‘Abdullah bin Qois, katakanlah ‘laa hawla wa laa quwwata illa billah’ (Tidak ada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung), kerana ia merupakan simpanan pahala berharga di syurga. (HR. Bukhari no. 7386)

Semoga mereka yang diuji dengan pelbagai kesusahan dan kepayahan akibat banjir dan sebagainya, dapat menerima dengan sabar dan reda. Moga Allah menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

03hb Jamadil Akhir 1446H
05hb Disember 2024

Tuesday, 3 December 2024

Waktu Mustajab Berdoa

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Waktu Mustajab Berdoa

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ثِنْتَانِ لاَ تُرَدَّانِ اَلدُّعَاءُ عِنْدَ النِّدَاءِ وَتَحْتَ الْمَطَرِ 

Daripada Sahl bin Sa’ad RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda. Dua doa yang tidak pernah ditolak; doa selepas waktu azan dan doa pada waktu hujan turun. (HR al-Hakim, No: 2534) Status: Hadis Sahih. 

Pengajaran:

1.  Doa adalah ibadah yang dituntut kepada setiap Muslim melakukannya.

2.  Ada waktu yang sesiapa berdoa kepada Allah akan diperkenankan iaitu:

a.  Doa selepas azan dan sebelum iqamah
b.  Doa pada waktu hujan mula turun

3.  Imam An-Nawawi berkata bahawa penyebab doa pada waktu turun hujan tidak ditolak atau jarang ditolak kerana pada waktu tersebut,  sedang turun rahmat khususnya curahan hujan pertama di awal musim. (Fathul Qadir 3/340).

Ambil peluang di musim hujan sekarang untuk membanyakkan doa pada waktu hujan mula turun, moga diperkenankan hajat kita.

02hb Jamadil Akhir 1446H
04hb Disember 2024

Monday, 2 December 2024

Doa Awan Mendung dan Hujan Turun

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Awan Mendung dan Hujan Turun

عَنْ الْمِقْدَامِ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ عَائِشَةَ أَخْبَرَتْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَأَى سَحَابًا مُقْبِلًا مِنْ أُفُقٍ مِنْ الْآفَاقِ تَرَكَ مَا هُوَ فِيهِ وَإِنْ كَانَ فِي صَلَاتِهِ حَتَّى يَسْتَقْبِلَهُ فَيَقُولُ اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا أُرْسِلَ بِهِ فَإِنْ أَمْطَرَ قَالَ اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثَةً وَإِنْ كَشَفَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَلَمْ يُمْطِرْ حَمِدَ اللَّهَ عَلَى ذَلِكَ

Daripada Al-Miqdam dari ayahnya bahawa Aisyah telah mengkhabarkan kepadanya bahwa Nabi SAW apabila baginda melihat awan gelap yang bergerak di antara ufuk yang tinggi, maka baginda meninggalkan semua kegiatannya termasuk solat sunat, sampai menatapnya dan berdoa: "Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu dari keburukan yang Engkau datangkan bersamanya." Jika turun hujan, maka baginda berdoa: Ya Allah jadikanlah curahan (air hujan) bermanfaat  (penuh keberkatan)." (baginda membacanya) dua kali atau tiga kali. Dan jika Allah Azza Wa Jalla menghilangkannya dan tidak jadi turun hujan, maka baginda (bersyukur) memuji Allah atas semua itu." (HR Ibnu Majah No: 3879)  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap peristiwa yang berlaku seperti awan mendung yang berarak dan hujan yang turun adalah ketentuan dan ketetapan dari Allah

2.  Rasulullah mengajar kita berdoa apabila melihat awan mendung yang berarak agar jauh dari musibah

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا أُرْسِلَ بِهِ

Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu dari keburukan yang Engkau datangkan bersamanya

3.  Rasulullah juga mengajar kita berdoa apabila hujan turun.

اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا

Ya Allah jadikanlah curahan (air hujan) ini sebagai curahan yang bermanfaat (penuh keberkatan).

4.  Al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan bahawa doa di atas adalah sunat untuk dibaca ketika turunnya hujan bagi menambahkan kebaikan dan juga keberkatan di samping menolak segala yang boleh memberi mudharat. (Lihat: Fath al-Bari, 518/2)

Kebetulan sekarang ini di kebanyakan tempat musim hujan serta banyak tempat telah dinaiki air, marilah kita membanyakkan membaca doa ini, moga hujan yang turun mendatangkan manfaat bukan musibah.

01hb Jamadil Akhir 1446H
03hb Disember 2024

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...