Wednesday, 30 October 2024

Pahala Berterusan Walaupun Sakit dan Musafir

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pahala Berterusan Walaupun Sakit dan Musafir

أَبَا بُرْدَةَ بْنَ أَبِي مُوسَى وَاصْطَحَبَ هُوَ وَيَزِيدُ بْنُ أَبِي كَبْشَةَ فِي سَفَرٍ وَكَانَ يَزِيدُ يَصُومُ فَقَالَ لَهُ أَبُو بُرْدَةَ سَمِعْتُ أَبَا مُوسَى مِرَارًا يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Abu Burdah bin Abu Musa bahwa ia menemani Yazid bin Abu Kasyabah dalam suatu perjalanan, dan pada waktu itu Yazid sedang berpuasa. Abu Burdah berkata kepadanya; Saya berkali-kali mendengar Abu Musa berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seorang hamba sakit atau dalam menempuh perjalanan, maka dicatat baginya pahala kebaikan sebagaimana ketika ia bermukim dan dalam keadaan sihat." (HR Bukhari No: 2774) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Laksanakan amal ibadah setiap masa khususnya ketika  kita sihat dan bermukim 

2.  Orang yang sakit, walaupun tidak dapat mengerjakan amal solleh seperti mana ketika dia sihat, dia akan tetap mendapat ganjaran pahala jika semasa dia sihat, dia melaksanakan amal tersebut. (contohnya semasa dia sihat, setiap magrib dia ke masjid dan mendengar kuliah – waktu dia sakit, tidak dapat menghadirinya – Malaikat tetap mencatat ganjaran pahala seolah-olah dia hadir)

3.  Allah juga memberi ganjaran yang sama kepada orang yang bermusafir. Contohnya  amalan puasa sunat yang dilakukan semasa tidak bermusafir. Ketika dia bermusafir, dia tidak berpuasa. Dia turut mendapat pahala puasa tersebut.

Marilah kita laksanakan amal solleh semasa kita sihat dan tidak kemana-mana. Moga Allah memberikan ganjaran yang sama walaupun kita tidak dapat laksanakan semasa kita sakit dan bermusafir

28hb Rabiul Akhir 1446H
31hb Oktober 2024

Tuesday, 29 October 2024

Bertawakal Umpama Burung

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bertawakal Umpama Burung

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرُزِقْتُمْ كَمَا يُرْزَقُ الطَّيْرُ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا

Daripada Umar bin Al-Khaththab RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Jika sekiranya kamu bersungguh-sungguh bertawakal kepada Allah, nescaya Allah memberi rezeki kepada kamu seperti rezeki seekor burung yang keluar di waktu pagi dengan perut kosong dan pulang di waktu petang dengan perut terisi penuh kenyang." (HR Tirmidzi No: 2266) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim diperintahkan agar bertawakal iaitu menyerahkan segala urusan kepada Allah dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu selepas usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh.

2.  Bertawakal dengan menyerahkan semata-mata kepada Allah tanpa usaha dan ikhtiar adalah menyalahi pengajaran daripada hadis ini.

3.  Jadilah seperti burung yang keluar pada waktu pagi dalam keadaan perutnya kosong namun berusaha mencari makanan dan akan pulang pada waktu petang dalam keadaan perut yang penuh dengan makanan.

4.  Muslim yang berusaha mencari rezeki dan bertawakal bersungguh-sungguh, nescaya dia tetap akan memperoleh rezeki seperti burung.

5.  Muslim tidak boleh menganggur dan berpeluk tubuh tanpa usaha dan ikhtiar. Contohilah burung yang keluar dari sarang mencari makanan kerana rezeki itu mengikut sebab dan musabab.

6.  Tawakal akan menimbulkan ketenangan jiwa dan ketenteraman dalam menghadapi sebarang perkara. Bertawakal dengan penuh yakin bahawa kejayaan dan kegagalan bukanlah hak mutlak manusia.

27hb Rabiul Akhir 1446H
30hb Oktober 2024

Monday, 28 October 2024

Bersifat Jujur dan Jauhi Dusta

Assalamulaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bersifat Jujur dan Jauhi Dusta

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Daripada Abdullah RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Sesungguhnya kejujuran akan membimbing pada kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga, sesungguhnya jika seseorang yang sentiasa berlaku jujur hingga ia akan dicatat sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya kedustaan itu akan menghantar kepada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu akan mengiringi ke neraka. Dan sesungguhnya jika seseorang yang selalu berdusta sehingga akan dicatat baginya sebagai seorang pendusta." (HR Bukhari No: 5629) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap Muslim dituntut memiliki sifat kejujuran dalam setiap amal dan perbuatan.

2. Orang yang jujur akan sentiasa melakukan kebaikan dan amal soleh.

3. Sifat jujur yang dimiliki secara berterusan akan menjadi tabiat kebiasaan yang akhirnya membentuk akhlak kepada seseorang

4. Sifat jujur akan menjadi pemandu dan pembimbing seseorang Muslim di dunia menjadi orang yang soleh dan menuju ke syurga.

5. Sifat dusta dan berbohong yang dimiliki akan mendorong seseorang kepada kejahatan.

6. Sifat dusta dan bohong yang menjadi kebiasaan secara berterusan kepada seseorang, akhirnya akan membentuk tabiat dan akhlak yang buruk.

7. Sifat dusta akan menjadi pemandu dan pembimbing seseorang ke neraka. Firman Allah:

إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ كَذَّابٌ

Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepda orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta (Mukmin: 28).

Berusahalah memiliki sifat jujur dan jauhilah dusta dan bohong.

26hb Rabiul Akhir 1446H
29hb Oktober 2024

Saturday, 26 October 2024

Taubat

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Taubat

عَنْ أَبِي مُوسَى الأَشْعَرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَبْسُطُ يَدَهُ بِاللَّيْلِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ النَّهَارِ وَيَبْسُطُ يَدَهُ بِالنَّهَارِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ اللَّيْلِ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا

Daripada Abu Musa al-Asy'ari RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah 'Azzawajalla 'menghulurkan tangannya' (bersedia menerima taubat) pada waktu malam supaya orang yang melakukan kejahatan pada waktu siang bertaubat; dan Allah 'menghulurkan tangannya' (bersedia menerima taubat) pada waktu siang supaya orang yang melakukan kejahatan pada waktu malam bertaubat; sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat (berlaku kiamat)." (HR Muslim no: 2759) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Luasnya rahmat Allah dalam menerima taubat hambaNya.

2.  Allah SWT dengan rahmatNya sentiasa menerima taubat hambaNya yang melakukan kesalahan kemudian bertaubat selagi nyawa belum sampai ke halkum. Firman Allah:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ . أُولَئِكَ جَزَاؤُهُمْ مَغْفِرَةٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَجَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَنِعْمَ أَجْرُ الْعَامِلِينَ 

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Ali Imran ayat:135-136)

3.  Allah mengampunkan semua dosa kecuali syirik.

4.  Jadilah kita orang yang sentiasa memohon keampunan sepanjang masa. 

24hb Rabiul Akhir 1446H
27hb Oktober 2024

Friday, 25 October 2024

Amalan Hati

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Hati

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ : إِنَّ اللهَ لاَ يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَ أَمْوَالِكُمْ وَ لَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوْبِكُمْ وَ أَعْمَالِكُمْ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata: Nabi SAW telah bersabda: ”Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa kalian, juga tidak kepada harta kalian, akan tetapi Allah melihat kepada hati dan amal kalian”. (HR Muslim No: 2564). Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ganjaran pahala  di atas setiap amalan adalah bergantung kepada hati yang benar-benar ikhlas dan niat yang benar

2.  Penting setiap Muslim untuk menjaga niat dalam melakukan setiap amal agar hati sentiasa benar dan bersih daripada sifat-sifat mazmumah serta membuahkan sifat taqwa kepada Allah SWT

3.  Kepentingan menjaga amalan hati terlebih mendahului daripada amalan yang dilakukan oleh anggota badan kerana hanya amalan yang  dilakukan dengan ikhlas akan diterima dalam setiap amalan yang disyariat.

4. Allah tidak mengukur kepada rupa seseorang juga harta yang dimiliki atau yang dikeluarkan, namun ia bergantung pada amal dan keikhlasan.

23hb Rabiul Akhir 1446H
26hb Oktober 2024

Thursday, 24 October 2024

Pahala Meneroka Kebiasaan Baik

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pahala Meneroka Kebiasaan Baik

عَنْ جَرِيْرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ قَالَ قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

“Dari Jarir bin Abdullah dia berkata, “Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa mengadakan kebiasaan yang baik dalam Islam, lalu kebiasaan baik tersebut diikuti oleh orang-orang sesudahnya, maka akan dicatat untuknya pahala sebanyak yang diperoleh oleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikit pun pahala yang mereka peroleh. Sebaliknya, barang siapa mengadakan kebiasaan yang buruk dalam Islam, lalu kebiasaan buruk tersebut diikuti oleh orang-orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa yang mereka peroleh sedikit pun.” (HR Muslim No 4830). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Muslim yang memulakan sesuatu kebiasaan yang baik atau ilmu serta penghasilan baru yang bermanfaat dan diikuti oleh orang lain, dia akan mendapat ganjaran pahala sebanyak orang yang mencontohinya.

2.  Elakkan dari memulakan sesuatu yang buruk dan jahat kerana dibimbangi akan diikuti oleh orang lain dan kita turut akan mendapat ganjaran dosa.

3.  Contohkan sesuatu yang baik dan boleh diikuti oleh orang lain untuk kita memperolehi ganjaran pahala daripada setiap yang mencontohi secara bersambungan dan berterusan. Antaranya melalui penulisan, produk, amalan yang baik (tidak bercangah dengan syarak) dan bermanfaat.

4.  Pahala orang yang mengikut kebiasaan baik tidak akan berkurangan dengan sebab pahala yang diperoleh oleh orang yang memulakan.

JOM kita mulakan sesuatu amalan atau kebiasaan yang baik agar ia diikuti oleh orang lain untuk kita mendapat ganjaran berterusan sebanyak bilangan orang yang mengikuti.

22hb Rabiul Akhir 1446H
25hb Oktober 2024

Wednesday, 23 October 2024

Bersyukur Atas Nikmat

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bersyukur Atas Nikmat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا نَظَرَ أَحَدُكُمْ إِلَى مَنْ فُضِّلَ عَلَيْهِ فِي الْمَالِ وَالْخَلْقِ فَلْيَنْظُرْ إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْهُ.

Daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu melihat kepada seseorang yang diberikan kelebihan pada harta dan bentuk tubuh, maka hendaklah dia melihat kepada seseorang yang lebih rendah (atau kurang) daripadanya.” (HR Bukhari No: 6490). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Allah SWT telah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Allah SWT juga memberikan kepada setiap hamba akan kelebihan dan kekurangan dalam sesuatu perkara sebagai ujian. Menerusi ujian tersebut Allah SWT akan menilai hakikat keimanan seseorang hamba, adakah dia benar-benar bersyukur dengan kelebihan atau bersabar di atas kekurangan yang diberikan.

2.Seorang yang benar-benar beriman akan memiliki hati yang sentiasa mengekalkan sifat syukur diatas segala nikmat dan rezeki yang dimiliki. Dia akan sentiasa menjauhi sifat hasad dengki terhadap nikmat yang diperoleh orang lain serta mengurangkan kerisauan hati daripada mengejar harta duniawi. Syukur dan sabar dengan ujian dan godaan duniawi seperti kemiskinan dan musibah boleh diperoleh secara memandang kepada orang lain yang lebih daif atau yang lebih rendah daripadanya.

3.Memandang kepada seseorang yang memiliki kelebihan harta dan tubuh badan akan menyebabkan bertambah keinginan atau kerunsingan yang membawa kepada kedengkian dan mengikis sifat syukur. Adapun jika memandang kepada seseorang yang kurang daripadanya, maka ia akan menjadikan seseorang itu lebih bersyukur, bertambah ketenangan dan merasa cukup dengan pemberian Allah SWT.

4. Seringlah memandang orang yang lebih rendah atau kurang daripada kita agar kita sentiasa bersyukur dengan apa yang kita miliki. Namun dalam perkara yang berhubung dengan akhlak, ilmu dan ibadah maka lihatlah orang  yang lebih baik sebagai ikutan kita.

21hb Rabiul Akhir 1446H
24hb Oktober 2024

Tuesday, 22 October 2024

Miliki Sifat Santun dan Malu

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Miliki Sifat Santun dan Malu 

حَدَّثَنَا يُونُسُ قَالَ زَعَمَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِي بَكْرَةَ قَالَ قَالَ أَشَجُّ بْنُ عَصَرٍ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ فِيكَ خُلَّتَيْنِ يُحِبُّهُمَا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ قُلْتُ مَا هُمَا قَالَ الْحِلْمُ وَالْحَيَاءُ قُلْتُ أَقَدِيمًا كَانَ فِيَّ أَمْ حَدِيثًا قَالَ بَلْ قَدِيمًا قُلْتُ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي جَبَلَنِي عَلَى خُلَّتَيْنِ يُحِبُّهُمَا

Telah menceritakan kepada kami Yunus ia berkata, Abdurrahman bin Ubay berkata, Asyajj bin Ashr berkata, "Rasulullah SAW bersabda kepadaku: "Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua sifat yang keduanya dicintai oleh Allah 'azza wajalla." Saya bertanya, "Sifat apakah itu?" baginda menjawab, "Al Hilm (santun, tidak mudah marah) dan rasa malu." Saya bertanya lagi, "Apakah kedua sifat itu telah ada padaku sejak lama atau baru melekat?" baginda menjawab: "Sejak lama." Saya berkata, "Segala puji Allah yang telah memberiku dua sifat yang dicintai-Nya." (Musnad Ahmad No: 17160) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dua sifat yang dicintai Allah kepada pemiliknya:

a.  Al-Hilm iaitu sifat santun, mampu menahan emosi atau tidak mudah marah
b.  Malu iaitu sifat yang mendorong seseorang untuk meninggalkan segala keburukan sama ada  perkataan, perbuatan dan sikap yang dapat mencegah dirinya dari kelalaian.

2.  Antara bentuk malu:

a.  Malu melakukan kejahatan seperti mengadu domba
b.  Malu kerana merasa lemah
c.  Malu kepada diri sendiri

3.  Malu itu punca dari iman. Hadis Rasulullah SAW:

اَلحَيَاءُ والإِيمَانِ قُرَنَاءُجَمِيعًا  فَإِذَا رَفَعَ أَحَدَهُمَارَفَعَ الآخَرَ

Rasa malu dan iman adalah sama, apabila salah satu daripadanya hilang, maka yang lain akan hilang juga (HR al-Hakim dan Tabrani)

4.  Milikilah iman yang sempurna dengan sifat malu untuk berbuat dosa seperti dosa mengadu domba dan membuat fitnah. 

5. Marilah kita miliki sifat hilm mampu menahan emosi atau tidak mudah marah dan malu yang dicintai Allah.

20hb Rabiul Akhir 1446H
23hb Oktober 2024

Monday, 21 October 2024

Sifat Santun dan Berhati-hati

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sifat Santun dan Berhati-hati

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِأَشَجِّ عَبْدِ الْقَيْسِ إِنَّ فِيكَ خَصْلَتَيْنِ يُحِبُّهُمَا اللَّهُ الْحِلْمُ وَالْأَنَاةُ

Daripada Ibnu Abbas bahawa Nabi SAW bersabda kepada Asyaj bin Abdil Qais: "Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua sifat yang dicintai oleh Allah, iaitu, lemah lembut dan sifat berhati-hati (sabar)." (Sunan Tirmizi No: 1934) Status: Hadis hasan Sahih 

Pengajaran:

1. Allah mencintai orang yang memiliki sifat:

a.Lemah lembut (santun)
b.Berhati-hati (sabar)

2.Menurut Said bin Ali Al-Qattani: Al-Hilm (lemah lembut) adalah sebagai penahan diri dari gejolak marah, iaitu suatu keadaan pertengahan antara 2 sifat negatif (marah dan hina). 

3.Al-Hilm (lemah lembut) itu ialah menahan diri dari sifat amarah. Seorang yang memiliki sifat hilm adalah orang yang boleh menguasai dirinya dan mengendalikan emosinya serta menjaga ketenangan jiwanya (tidak bertindak terburu-buru).

4.Seorang yang memiliki sifat al-Hilm adalah orang yang berlapang dada dan hatinya sentiasa terbuka. Ia sangat mudah untuk memaafkan kesalahan orang lain, malah ia akan cepat merasa dan mengakui kesilapan jika tersilap.

5. Al-Anah - Sifat Berhati-hati (sabar) adalah sifat yang tidak tergesa-gesa atau terburu-buru. Sentiasa berwaspada dan berhati-hati terhadap sesuatu dengan tidak terus membuat tindakan atau menghukum tanpa memikirkan kesan baik dan buruk.

Marilah kita miliki sifat al-hilm iaitu mampu menguasai diri dengan tidak terburu-buru bertindak balas. Berusaha memiliki sifat al-Anah iaitu sentiasa berhati-hati menghadapi sebarang perkara dengan tidak bertindak dengan tergesa-gesa.

19hb Rabiul Akhir 1446H
22hb Oktober 2024

Sunday, 20 October 2024

Jangan Marah

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Marah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْصِنِي قَالَ لَا تَغْضَبْ فَرَدَّدَ مِرَارًا قَالَ لَا تَغْضَب

Dari Abu Hurairah radliallahu 'anhu bahawa seorang laki-laki berkata kepada Nabi SAW: "Berilah aku wasiat?" baginda bersabda: "Janganlah kamu marah." Laki-laki itu mengulangi pertanyaannya, baginda tetap menjawab: "Janganlah kamu marah." (HR Bukhari No: 5651) Status: Hadis  Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah meninggalkan pesanan penting agar "Jangan Marah" yang diulang jawapan yang sama apabila ditanya berulang oleh sahabat. Menunjukkan pesanan ini amat penting.

2.  Marah adalah pokok berbagai kejahatan, dan menahan diri darinya adalah pokok segala kebaikan.

3.  Marah akan menimbulkan perbuatan yang diharamkan seperti memukul, menyakiti orang, mengeluarkan perkataan-perkataan yang diharamkan termasuk dalam bentuk tulisan seperti memfitnah, mencaci maki, berkata kotor, dan berbagai bentuk kezaliman termasuk mencederakan dan membunuh.

4.  Imam Ahmad menafsirkan bahawa akhlak yang baik adalah dengan meninggalkan sifat marah.

5.  Ibnu Mubarak apabila ditanya apakah himpunan akhlak yang baik yang terhimpun dalam satu kalimah!” Beliau menjawab, “Meninggalkan Marah.”

Berusahalah kita mengawal sifat marah yang diwasiatkan oleh Rasulullah SAW.

18hb Rabiul Akhir 1446H
21hb Oktober 2024

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...