Tuesday 28 March 2017

Berbantah dan Bertikam Lidah

Bilal bin Saad pernah berkata; " Jika pada suatu ketika engkau melihat seseorang yang banyak cakap,suka berbantah dan berasa bangga dengan pendapatnya sendiri,maka sudah sempurnalah kerugiannya." Ibnu Abu Laila berkata;  "Aku ini tidak suka membantah sahabatku,adakalanya aku mesti mendustakannya dan adakala aku perlu memarahinya."

Huraian dan keterangan mengenai celaan suka berbantah-bantah amat banyak dan rasanya tidak perlu dijelaskan satu persatu.Apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan berbantah-bantahan yang dilarang itu? Iaitu semua sanggahan kepada perbicaraan orang lain dengan tujuan hendak memperlihatkan kesalahan,kekurangan atau kebodohan orang itu dengan menganggapnya seolah-olah bodoh atau dia lebih tahu dan pintar. Ini adakalanya berhubungan dengan ucapannya,adakala mengenai isi yang dibicarakan dan adakalanya mengenai tujuan dari perbicaraan itu. 


Menghindarkan diri daripada berbantah-bantahan ialah dengan cara tidak menyanggah atau melawan.Oleh sebab itu, semua perkataan yang engkau dengar,sekiranya memang benar menurut perasaan  kamu,baiklah dipercayai dan sekiranya kamu anggap salah,batil ataupun dia berdusta,baiklah kamu berdiam diri sahaja,asalkan tiada kaitan dengan kehormatan agama.Inilah cara yang sebaik-baiknya.

Image result for bercakap


Apakah kewajipan kita sekarang? 

Jika terjadi perbantahan dan yang dipercakapkan itu mengenai persoalan ilmiah,baiklah berdiam diri sahaja sambil merenungkan hujah atau alasan pihak masing-masing.Kita tidak perlu mencampurinya,tetapi kita boleh memilih dan meneliti mana yang benar dan mana yang salah.Jika kita perlu bertanya tentang sesuatu perkara yang tidak kita ketahui, baiklah dilakukan,tetapi janganlah dengan nada membantah,menyamggah atau menyalahkan pendapat orang yang kita tanya itu.Lebih baik lagi jika perkara ini dilakukan dengan sikap lemah lembut dan sopan agar kita mengetahui persoalan yang sebenarnya. Bukan bermaksud untuk menjatuhkan dengan mengemukakan pertanyaan tadi.

Adapun sesuatu pertanyaan atau ucapan yang dimaksudkan untuk melumpuhkan hujah orang lain,untuk membuatnya lemah sehingga tidak dapat menjawab,ataupun dengan cara merendahkan ucapannya sehingga dapat diambil kesimpulan seolah-olah menganggapnya salah dan bodoh,maka itulah bentuk perbantahan yang dilarang dalam agama dan sangat tercela pada pandangan masyarakat.Maka untuk menghindari semua ini hendaklah berdiam diri supaya kita selamat daripada dosa dan akibatnya.Kelakuan sebagaimana diatas itu hanyalah ditimbulkan kerana perasaan yang salah iaitu semata-mata hendak menonjolkan kelebihan diri sendiri,lebih pandai,lebih utama dan lebih benar.

Selain itu ianya bertujuan untuk menyerang orang yang dianggap lawannya dengan menunjukkan kekurangan serta kebodohannya. Dua sifat diatas benar-benar merosakkan jiwa.Berbantah-bantahan itu tidak akan terlepas dari menyakiti hati orang lain,menyalakan api kemarahan dan membawa si penentang untuk mengulangi lagi perbuatannya kepada sesiapa pun.

Oleh sebab itu,sebaiknya kelakuan buruk ini dijauhi secepat mungkin,baik yang benar atau salah.Orang yang suka membantah itu akhirnya tidak lagi memperdulikan lagi ucapan-ucapan,apakah itu benar atau salah.Adapun yang penting dia ingin memperolehi kemenangan dan dianggap pandai dan cerdik.Dia akan tertipu oleh ucapannya sendiri dengan mengemukakan ganbaran yang bukan semestinya,hanya semata-mata menginginkan keunggulan dalam berdebat.Jika ini terjadi,maka pasti akan timbul persengketaan dan pertikaman lidah yang amat sengit antara orang-orang yang berbantah-bantahan tadi.

Sebagai penawar,seseorang itu mestilah menghilangkan sifat yang akan menimbulkan perbantahan iaitu sifat bongkak dan takabbur yang hanya ingin memperlihatkan bahawa dirinya lebih utama dan lebih penting. Perkara ini juga berpunca dari sifat kebinatangan yang sentiasa menganggap orang lain rendah dan kurang.


Wallahu A'lam
Semoga bermanfaat 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...