Tuesday 22 September 2020

KEWAJIPAN BERDAKWAH DAN HUKUMAN MENINGGALKANNYA

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kewajipan Berdakwah Dan Hukuman Meninggalkannya


عَنْ هُشَيْمٍ وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ قَوْمٍ يُعْمَلُ فِيهِمْ بِالْمَعَاصِي ثُمَّ يَقْدِرُونَ عَلَى أَنْ يُغَيِّرُوا ثُمَّ لَا يُغَيِّرُوا إِلَّا يُوشِكُ أَنْ يَعُمَّهُمْ اللَّهُ مِنْهُ بِعِقَابٍ


Daripada Husyaim:  Aku mendengar Rasulullah SAW  bersabda: "Tidaklah kemaksiatan yang dilakukan pada suatu kaum, kemudian mereka (sebahagian daripada mereka) mampu untuk mencegahnya tetapi mereka tidak berbuat demikian, melainkan Allah akan menimpakan keseluruhan kaum tersebut dengan azab (HR Abu Daud No: 4338) Status: Hadis Sahih. 




Pengajaran:

1.  Kewajipan setiap Muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya SAW adalah berdakwah iaitu al-Amr bi al-Ma’ruf  dan al-Nahi an al-Munkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada perkara yang mungkar).

Firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 104::

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

2.  Sikap berdiam diri di atas perkara mungkar akan menyebabkan turunnya azab Allah SWT bukan hanya kepada seorang malah seluruh orang Islam yang ada.

3.  Imam al-Nawawi meriwayatkan daripada Abi al-Qasim al-Qusyairi dan kata-kata ini disandarkan kepada Abi Ali al-Daqqaq bahawa “barangsiapa yang diam akan sesuatu kebenaran, dia adalah syaitan bisu.” [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 20/2].

4.  Cegahlah kemungkaran mengikut kemampuan kita. Daripada abu Sa’id al Khudri RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:
 
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim No: 78)

5.  Jadilahlah kita umat terbaik yang sentiasa berperanan mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada yang mungkar.

23hb Sept 2020
05hb Safar 1442H

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...