Tuesday 17 November 2020

IMAN DAN ISTIQOMAH

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Iman dan Istiqamah

عَنْ أَبِي عَمْرو وَقِيْلَ : أَبِي عَمْرَةَ سُفْيَانُ بْنِ عَبْدِ اللهِ الثَّقَفِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قُلْتُ : يَا رَسُوْلَ اللهِ قُلْ لِي فِي اْلإِسْلاَمِ قَوْلاً لاَ أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَداً غَيْرَكَ . قَالَ : قُلْ آمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ  
 
Daripada Abu Amru atau digelar juga Abu Amrah Sufian ibn Abdullah RA  beliau berkata: Aku berkata: Wahai Rasulullah! Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain selainmu. Baginda bersabda: Ucapkanlah: Aku beriman kepada Allah. Kemudian hendaklah engkau beristiqamah. (HR Muslim No: 38) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Seorang Mukmin dituntut agar sentiasa mengambil berat soal iman, dan aqidahnya, selalu memperbaharui imannya kepada Allah, seterusnya beristiqamah menunaikan tuntutan iman yang didakwa itu.

2.  Istiqamah adalah berpendirian teguh atas kebenaran atau beriltizam dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah sama ada dalam i’tiqad, kata-kata mahupun perbuatan.

3.  Istiqamah merupakan daya kekuatan yang diperlukan sepanjang hayat manusia dalam melaksanakan tuntutan Islam, mulai daripada amalan hati, amalan lisan dan anggota tubuh badan. 

4.  Istiqamah perbuatan dan amalan meliputi tekun bekerja melakukan apa sahaja yang baik yang diredai Allah SWT meliputi sikap dedikasi, rajin, tidak mudah putus asa, sentiasa menegakkan kebenaran dalam perbuatan seharian.

5.  Orang yang istiqamah menunaikan tuntutan iman akan bersama dengan malaikat. Firman Allah:

إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسۡتَقَٰمُواْ تَتَنَزَّلُ عَلَيۡهِمُ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ أَلَّا تَخَافُواْ وَلَا تَحۡزَنُواْ وَأَبۡشِرُواْ بِٱلۡجَنَّةِ ٱلَّتِي كُنتُمۡ تُوعَدُونَ ٣٠ 

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh (istiqamah) di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. [Surah Fushshilat ayat:30]

18hb Nov 2020
02hb Rabiul Akhir 1442H

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...