Friday 22 January 2021

KEUTAMAAN MENUNTUT ILMU

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Keutamaan Penuntut Berilmu

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ طَالِبَ الْعِلْمِ يَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ حَتَّى الْحِيتَانِ فِي الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ إِنَّ الْعُلَمَاءَ هُمْ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Daripada Abu Darda "Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa melalui satu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para Malaikat akan membentangkan sayapnya kerana redha kepada penuntut ilmu. Penghuni langit dan bumi hingga ikan yang ada di dalam air mendoakan keampunan kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya, keutamaan seorang alim dibanding dengan seorang ahli ibadah adalah ibarat bulan purnama atas semua bintang. Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para Nabi, dan para Nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya, maka ia telah mengambil bahagian yang sangat besar." (Sunan Ibnu Majah No: 219) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang yang berusaha mencari ilmu sama ada ilmu fardhu ain mahupun fardhu kifayah, Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju ke syurga.

2.  Mencari ilmu dalam suasana PKP ini, walaupun tidak dapat dilakukan secara F2F, namun dengan adanya kemudahan media sosial dan teknologi, kita boleh menuntut ilmu dimana-mana dan bila-bila masa. Namun perlu menjaga adab dan disiplin.

3.  Orang yang berada di majlis ilmu termasuk secara online untuk menuntut ilmu, akan sentiasa didoakan Malaikat agar dicucuri rahmat serta didoakan keampunan oleh penghuni langit dan bumi termasuk ikan yang ada didalam air.

4.  Keutamaan orang yang berilmu berbanding dengan seorang ahli ibadah adalah ibarat bulan purnama dengan semua bintang yang ada (seorang yang berilmu itu umpama bulan yang bersinar dan menyinari cahaya, sedangkan ahli ibadah umpama cahaya daripada semua bintang-bintang).

5.  Para ulama (ilmuan) adalah pewaris para Nabi kerana para Nabi mewariskan ilmu bukan harta (harta boleh habis sedangkan ilmu sentiasa berkembang).

6.  Orang yang mencari dan mempelajari ilmu bermakna ia telah mengambil bahagian yang sangat besar daripda harta yang diwariskan oleh para Nabi.

Marilah kita berusaha sentiasa terus belajar bagi mendalami ilmu. Jadikanlah diri kita orang yang bermaklumat bukan hanya pak turut.  Gunakanlah segala kemudahan teknologi dan media sosial bagi mendapatkan ilmu bermanfaat. Semoga dengan cahaya ilmu, akan menjadi penyuluh hidup dan  mempermudahkan kita jalan ke syurga.

Semoga Allah menjadikan kita orang yang cerdik dan bijaksana kerana sentiasa belajar untuk menjadi orang yang berilmu. 

23hb Januari 2021
10hb Jamadil Akhir 1442H

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...