Tuesday 23 August 2022

Mukmin Umpama Satu Jasad

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mukmin Umpama Satu Jasad

عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Daripada Nukman bin Basyir RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: "Perumpamaan kaum Mukmin dalam berkasih sayang dan persaudaraan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Jika salah satu anggota badan sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit dengan berjaga malam dan demam (turut merasa sakitnya)." (Musnad Ahmad No: 17907) Dar Ihya’ Turath Arabiy. Status: Isnad Tsiqah

Pengajaran:

1.Setiap Mukmin adalah bersaudara

2.Perumpamaan berkasih sayang sesama Mukmin seperti satu tubuh badan. Jika ada anggota badan yang sakit, anggota lain juga turut menanggung kesakitan.

3.Sayangi saudara mukmin kita sepertimana kita sayang kepada diri kita. Jika mereka susah atau sakit, kita sewajarnya merasai kesusahan atau kesakitan tersebut. Justeru menjadi kewajipan kita membantu mereka. Dia adalah sebahagian daripada anggota kita.

4.Persaudaraan dalam Islam menuntut nilai kebersamaan iaitu saling memerlukan dalam apa jua keadaan. Saat bergembira akan dinikmati bersama begitu juga saat berduka tetap akan bersama mengharungi kesusahan serta keperitannya. Sebagai mukmin, menjadi kewajipan kita untuk saling tolong menolong di antara satu sama lain. Apatah lagi jika mereka memerlukan bantuan. 

5.Hak-hak yang lahir daripada persaudaraan diwajibkan kerana iman. Wajib memberikan komitmen terhadap hak mukmin yang lain sama seperti wajibnya menunaikan solat, puasa, zakat dan haji

6.Wajib memelihara hak sesama mukmin dengan tidak menyakiti, menzalimi, mengumpat, memfitnah dan membiarkannya dalam kesusahan.

Sempena sambutan bulan kemerdekaan ini, marilah kita bersama membina masyarakat dan negara yang harmoni dengan  menunaikan hak persaudaraan yang wajib dengan sentiasa berkasih sayang sesama mukmin. Jika memelihara solat, puasa, zakat dan haji itu wajib, menunaikan hak persaudaraan ini juga wajib. 

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2022.

"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"

24hb Ogos  2022
26hb Muharram 1444H

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...