Saturday 15 July 2023

Amalan Ke Syurga Dengan Selamat

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Ke Syurga Dengan Selamatp

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ سَلَامٍ قَالَ: لَمَّا قَدِمَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِيْنَةَ  اِنْجَفَلَ النَّاسُ إِلَيْهِ  وَقِيْلَ : قَدِمَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  فَجِئْتُ فِي النَّاسِ لِأَنْظُرَ إِلَيْهِ  فَلَمَّا اسْتَبَنْتُ وَجْهَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَرَفْتُ أَنَّ وَجْهَهُ لَيْسَ بِوَجْهٍ كَذَّابٍ  فَكَانَ أَوَّلَ شَيْءٍ تَكَلَّمَ بِهِ أَنْ قَالَ: ( يَا أَيُّهَا النَّاسُ  أَفْشُوْا السَّلَامَ  وَأَطْعِمُوْا الطَّعَامَ  وَصِلُوْا الْأَرْحَامَ  وَصَلُّوْا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ  تَدْخُلُوْا الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ).

Daripada ‘Abdullah bin Salâm, ia berkata: “Ketika Rasûlullâh SAW datang ke Madinah, orang-orang segera pergi menuju kepada baginda (kerana ingin melihatnya). Ada yang mengatakan: Rasûlullâh SAW telah datang, lalu aku mendatanginya ditengah kerumunan orang ramai untuk melihatnya. Ketika aku melihat wajah Rasûlullâh SAW, aku mengetahui bahawa wajahnya bukanlah wajah pembohong. Perkara pertama yang baginda ucapkan adalah: ‘Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berilah makan, sambungkan silaturrahim, dan solatlah di waktu malam ketika orang lain sedang tidur, nescaya kalian akan masuk syurga dengan selamat.” (Sunan Tirmidzi no: 2485) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.Islam itu cantik dan indah. Abdullah bin Salam tertarik dan masuk Islam kerana melihat keindahan Islam yang ada pada diri Rasulullah SAW dan apa yang baginda tuturkan. 

2.Jadikanlah diri kita sebagai qudwah atau contoh ikutan melalui dakwah bil hal dengan keindahan dan kecantikan Islam pada diri kita.

3.Antara amalan yang menempatkan seseorang kedalam syurga adalah:

a.Menyebarkan salam iaitu selalu mengucapkan salam setiap kali bertemu sesama Muslim. Seorang Muslim yang tidak mahu mengucapkan salam setiap kali bertemu dianggap bakhil. Nabi SAW bersabda :

أَعْجَزُ النَّاسِ مَنْ عَجِزَ فِيْ الدُّعَاءِ وَأَبْخَلُ النَّاسِ مَنْ بَخِلَ بِالسَّلاَمِ.

Selemah-lemah manusia adalah orang yang lemah (malas) berdoa kepada Allâh, dan sebakhil-bakhil manusia adalah orang yang bakhil mengucapkan salam (HR Thabarani dalam Mu’jamul Ausath (no. 5587) dan lainnya. Lihat Silsilah al-Ahâdîts ash-Shahîhah (no. 601). Status: Hadis Hasan

b.Memberi makan kepada orang yang memerlukan seperti tetamu, jiran tetangga atau orang yang memerlukan. Orang yang memberi atau bersedekah, nescaya Allah akan menambahkan rezeki kepadanya. Hadis Nabi SAW menyebutkan:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ …

Sedekah tidak mengurangi harta…  (Sahîh Muslim No. 2588).

أَنْفِقْ أُنْفِقْ عَلَيْكَ

Berinfaqlah! Niscaya Aku akan berinfaq kepadamu.  (Sahîh Bukhâri No: 4684) 

c.Menyambung silaturahim dengan semua kerabat sama ada melalui perkataan, perbuatan, dan tingkahlaku. 

Al-Arhâm adalah jamak dari rahim. Maksudnya kerabat yang memiliki hubungan kekeluargaan dari ibu atau bapa, seperti datok, nenek, bapa saudara, ibu saudara, sepupu dan lain-lain. Allâh SWT berfirman :

وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ

Bertakwalah kepada Allâh yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan [an-Nisâ’/4:1]

Silaturrahim merupakan sebab masuk syurga. Memutuskan silaturrahim menyebabkan laknat dan jauh dari rahmat Allâh Azza wa Jalla .

d.Solat di waktu malam, ketika manusia sedang tidur. Ia mencakupi solat wajib, seperti ‘Isya dan Subuh, juga mencakupi solat sunat malam, kerana malam adalah waktu orang tidur.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

15hb Julai 2023
26hb Zulhijjah 1444H

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...