Sunday 9 July 2023

Makan Daging Saudara SeIslam

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Makan Daging Saudara SeIslam

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْن مَسْعُودٍ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ رَجُلٌ فَوَقَعَ فِيهِ رَجُلٌ مِنْ بَعْدِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "تَخَلَّلْ" قَالَ: وَمَا أَتَخَلَّلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَكَلْتُ لَحْمًا قَالَ: "إِنَّكَ أَكَلْتَ لَحْمَ أَخِيكَ

Daripada Abdullah ibn Masud RA beliau berkata : Kami berada di sisi Nabi SAW, kemudian berdirilah seorang lelaki, dan seorang lelaki lain menceritakan keaibannya selepas dia pergi, berkata Nabi SAW : “Keluarkanlah ia (baki-baki makanan) dari celah-celah gigimu!”, kemudian dia berkata : Apa yang perlu aku keluarkan? Aku tidak makan apa-apa daging! Baginda berkata : “Sesungguhnya engkau telah memakan daging saudaramu.” (HR Thabarani  No: 13145) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Dalam kehidupan ini, setiap orang tidak terlepas dari kekurangan dan kesilapan. Namun kita dilarang menceritakan kekurangan dan aib orang lain. 

2.Orang yang menceritakan aib orang lain atau disebut mengumpat, diumpamakan seperti memakan daging saudara Islam yang lain. Firman Allah:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن يَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ رَّحِيمٞ ١٢ 

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (al-Hujurat: 12)

3.Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan; mengumpat adalah haram secara ijma’ dan tidak dikecualikan suatu apa pun dari itu melainkan terdapat maslahah (kebaikan) pada mengumpat lebih kuat daripada mafsadahnya (kerosakan) (Ahmad Syakir, ‘Umdat al-Tafsir, 3/359)

4.Walaupun begitu, bukanlah larangan mutlak menceritakan aib dan kelemahan orang lain. Al-Nawawi dan Ibn Qudamah menyebut Enam keadaan mengumpat yang diharuskan oleh syarak:

a.  Membuat aduan mengenai kezaliman kepada pihak berkuasa atau  hakim agar kezaliman dapat dibanteras dan diadili.
b.  Meminta bantuan untuk mengubah kemungkaran dan maksiat 
c.  Meminta fatwa 
d.  Memberikan peringatan kepada orang lain terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang terhindar daripada kejahatannya.
e.  Seseorang yang terang-terang melakukan kemungkaran.
f.  Dibolehkan jika dia memang dikenali dan dipanggil dengan gelaran-gelaran tertentu seperti si buta dan dia redha dengannya

Bersamalah kita menjaga hubungan dalam hidup bermasyarakat. Elakkan diri daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan hubungan ukhuwah sesama kita.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

10hb Julai 2023
21hb Zulhijjah 1444H

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...