Tuesday 12 November 2024

Doa Mohon Keampunan

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Mohon Keampunan

عَنْ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلِّمْنِي دُعَاءً أَدْعُو بِهِ فِي صَلَاتِي قَالَ قُلْ اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Daripada Abu Bakr As Siddiq radliallahu 'anhu bahwa dia berkata kepada Nabi SAW: Ajarlah aku doa yang aku boleh baca dalam solatku.  Baginda menjawab: Ucapkanlah: 

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ 

(Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, dan tidak ada yang boleh mengampuni dosa selain Engkau, maka ampunilah aku dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha pengampun lagi Maha Penyayang)." (HR Bukhari No: 5851) Status: Sahih

Pengajaran:

1.  Berdoa adalah suatu tuntutan kepada kita sebagai hamba yang lemah

2.  Antara tempat untuk berdoa ialah  ketika sujud (dengan lafaz doa dalam bahasa arab) serta selepas salam.

3.  Antara doa yang diajar oleh Rasulullah untuk dibaca ialah doa memohon keampunan di atas kesilapan dan kesalahan sama ada disedari ataupun tidak:

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ 

"Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, dan tidak ada yang boleh mengampuni dosa selain Engkau, maka ampunilah aku dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha pengampun lagi Maha Penyayang"

Ayuh kita hafal dan amalkan doa ini.

11hb Jamadil Awal 1446H
13hb November 2024

Monday 11 November 2024

Berwuduk Sebelum Tidur

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berwuduk Sebelum Tidur

عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ عَبْدٍ بَاتَ عَلَى طُهُورٍ ثُمَّ تَعَارَّ مِنْ اللَّيْلِ فَسَأَلَ اللَّهَ شَيْئًا مِنْ أَمْرِ الدُّنْيَا أَوْ مِنْ أَمْرِ الْآخِرَةِ إِلَّا أَعْطَاهُ

Daripada Muaz bin Jabal dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seorang hamba tidur di malam hari dalam keadaan suci (berwuduk), kemudian ia terbangun di tengah malam, lalu ia memohon sesuatu kepada Allah dari perkara dunia atau perkara akhirat, niscaya akan di berikan kepadanya." (HR Ibnu Majah No: 3871) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara adab sebelum tidur adalah berwuduk terlebih dahulu.

2.  Muslim yang tidur dalam keadaan suci (berwuduk) kemudian bangun di malam hari untuk beribadat seperti solat sunat malam dan berdoa kepada Allah, nescaya Allah akan mengabulkan apa yang dipinta dari perkara dunia (seperti rezeki, kesihatan atau kebahagiaan) mahupun urusan akhirat (seperti keselamatan, keampunan atau keredhaan Allah).

Ayuh pastikan berwuduk sebelum tidur serta bangunlah dimalam hari untuk mendekatkan diri kepada Allah dan ambillah peluang memanjatkan doa memohon kebaikan di dunia dan akhirat khususnya sepertiga malam terakhir.

10hb Jamadil Awal 1446H
12hb November 2024

Sunday 10 November 2024

Tiga Sifat Mendapat Jaminan Syurga

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tiga Sifat Mendapat Jaminan Syurga

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا زَعِيمٌ بِبَيْتٍ فِي رَبَضِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَإِنْ كَانَ مُحِقًّا وَبِبَيْتٍ فِي وَسَطِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْكَذِبَ وَإِنْ كَانَ مَازِحًا وَبِبَيْتٍ فِي أَعْلَى الْجَنَّةِ لِمَنْ حَسَّنَ خُلُقَهُ

Daripada Abu Umamah ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Aku akan menjamin rumah di tepi syurga bagi seseorang yang meninggalkan perdebatan meskipun dia benar. Aku juga menjamin rumah di tengah syurga bagi seseorang yang meninggalkan pendustaan meskipun bersifat gurau, Dan aku juga menjamin rumah di syurga yang paling tinggi bagi seseorang yang memperelok akhlaknya." (HR Abu Daud No: 4167) Status: Sanad Sahih

Pengajaran:

Rasulullah memberikan jaminan syurga kepada mereka yang memiliki sifat-sifat berikut:

1.  Meninggalkan perdebatan walaupun dia dipihak yang benar. 

a.  Orang yang berdebat @ berbantah-bantahan, akan berusaha mengalahkan lawannya dengan berbagai cara seperti mencela, memperleceh dan menghina lawannya dan menunjukkan keegoan untuk mempertahankan pandangannya.

b.  Tidak semua perdebatan dilarang. Contoh yang dibenarkan ketika mempertahankan aqidah. Walaubagaimanapun berdiskusi itu lebih baik.

2.  Meninggalkan perbuatan berbohong meskipun bersifat gurauan. 
(Islam menuntut kejujuran dalam pertuturan mahupun penulisan)

3.  Memperelok akhlaknya.
(Berbudi pekerti mulia ketika berinteraksi dan  berhubungan dengan kawan dan lawan)

Milikilah sifat yang Rasulullah SAW memberi jaminan syurga. Orang yang meninggalkan perdebatan, rumahnya ditepi syurga. Orang yang meninggalkan pendustaan, rumahnya ditengah syurga. Orang yang memperelok akhlaknya, rumahnya paling tinggi di syurga.

09hb Jamadil Awal 1446H
11hb November 2024

Saturday 9 November 2024

Keluasan Keampunan Allah

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Keluasan Keampunan Allah

حَدَّثَنَا أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلَا أُبَالِي يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ وَلَا أُبَالِي يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الْأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِي لَا تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لَأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً

Telah menceritakan kepada kami Anas bin Malik RA ia berkata; saya mendengar Rasulullah SAW berkata: "Allah tabaraka wa ta'ala berfirman: "Wahai anak Adam, jika kamu mengharap dan  berdoa kepadaKu, Aku pasti akan menghapuskan dosa mu yang telah lalu.  Aku tidak akan memperdulikannya lagi. Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu telah mencapai setinggi langit kemudian engkau meminta ampun kepadaKu nescaya aku akan mengampunimu, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepadaKu dengan membawa kesalahan sepenuh bumi kemudian engkau menemuiKu dengan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu, Aku pasti akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi." (HR Tirmizi No: 3463) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Allah Maha Pengampun ke atas hamba-hambaNya.

2.  Sebagai hamba, kita sewajarnya sentiasa berharap dan berdoa agar diampunkan segala dosa-dosa sama ada dosa yang kecil mahupun besar, dosa yang kita sedar atau tidak.

3.  Allah akan mengampunkan dosa hambanya melainkan dosa syirik.

وَمَنْ يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَحِيمًا

“Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah An Nisa’ ayat: 110).

4.  Berputus asa dari rahmat dan keampunan Allah termasuk dosa besar. Berdasarkan Hadis yang diriwayatkan oleh Abdurrazaq:

عن بن مسعود قال أكبر الكبائر الإشراك بالله والأمن من مكر الله والقنوط من رحمة الله واليأس من روح الله

“Daripada Ibnu Mas’ud, ia berkata bahawa di antara dosa besar yang terbesar adalah berbuat syirik pada Allah, merasa aman dari murka Allah dan merasa putus asa dan putus harapan dari ampunan Allah.” (HR. Abdurrozaq, 10: 460, dikeluarkan pula oleh Ath Thobroni. Lihat Kitab Tauhid dengan tahqiq Syaikh Abdul Qodir Al Arnauth, hal. 128). 

Berusahalah bersungguh-sungguh memohon ampun dari dosa yang lalu dan sentiasa mengharap rahmat dan kasih sayang Allah.

07hb Jamadil Awal 1446H
09hb November 2024

Bersahabat Dengan Penjual Minyak Wangi Bukan Pembakar Besi

Assalamualaikum warahmatullah, 

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bersahabat Dengan Penjual Minyak Wangi Bukan Pembakar Besi

حَدَّثَنَا أَبُو بُرْدَةَ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا بُرْدَةَ بْنَ أَبِي مُوسَى عَنْ أَبِيهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ وَكِيرِ الْحَدَّادِ لَا يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً

Telah menceritakan kepada kami Abu Burdah bin 'Abdullah berkata; Aku mendengar Abu Burdah bin Abu Musa daripada bapanya RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang soleh dan orang yang bersahabat dengan orang buruk perangai seperti penjual minyak wangi dan tukang kimpal besi. Pasti engkau akan dapat bauan wangi dari penjual minyak wangi samada membeli atau tidak. Sedangkan dari tukang besi kamu akan merasa bahang atau kainmu atau kamu akan mendapatkan bau yang tidak sedap". (Sahih Bukhari No: 1959) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Hidup bermasayarakat memerlukan sahabat serta orang lain yang akan saling bertolong bantu bagi menyempurnakan kehidupan.

2.  Pelbagai jenis manusia yang berada di sekeliling kita, ada yang baik ada juga yang jahat dan buruk akhlak.

3.  Bergaul serta bersama dengan orang  yang baik dan soleh umpama berada bersama penjual minyak wangi, jika kita tidak membelinya, bau wangi tetap melekat pada tubuh kita.

4.  Bergaul serta bersama dengan orang yang buruk akhlak umpama berada bersama pembakar besi, walaupun kita tidak membakarnya, bahang panasnya tetap kita rasai.

Carilah orang yang soleh dan berakhlak mulia sebagai teman dan sahabat untuk kita bersama mereka. Moga tempias kebaikannya mempengaruhi kita.

08hb Jamadil Awal 1446H
10hb November 2024

Thursday 7 November 2024

Bikin Serupa Cakap

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bikin Serupa Cakap

قَالَ  أُسَامَةَ سَمِعْتُهُ يَقُولُ يُجَاءُ بِالرَّجُلِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُلْقَى فِي النَّارِ فَتَنْدَلِقُ أَقْتَابُهُ فِي النَّارِ فَيَدُورُ كَمَا يَدُورُ الْحِمَارُ بِرَحَاهُ فَيَجْتَمِعُ أَهْلُ النَّارِ عَلَيْهِ فَيَقُولُونَ أَيْ فُلَانُ مَا شَأْنُكَ أَلَيْسَ كُنْتَ تَأْمُرُنَا بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَانَا عَنْ الْمُنْكَرِ قَالَ كُنْتُ آمُرُكُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَلَا آتِيهِ وَأَنْهَاكُمْ عَنْ الْمُنْكَرِ وَآتِيهِ

Usamah berkata; "Aku mendengar baginda bersabda: Pada hari kiamat nanti ada  seseorang yang dihadirkan, kemudian dia dilempar ke dalam neraka dengan isi perutnya keluar dan terburai. Di dalam neraka orang tersebut akan  berputar-putar seperti berputarnya seekor keledai yang menarik mesin penggiling gandum. Penduduk neraka berkumpul mengelilinginya seraya berkata; "Wahai fulan, apa yang terjadi denganmu?. Bukankah kamu dahulu orang yang memerintahkan kami berbuat maaruf dan melarang kami berbuat munkar?". Orang itu berkata; "Aku memang memerintahkan kalian agar berbuat maaruf tapi aku sendiri tidak melaksanakannya dan melarang kalian berbuat munkar, namun aku mengerjakannya". (HR Bukhari No: 3027) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Tugas mengajak orang lain kepada kebaikan dan melarang berbuat mungkar adalah tanggung jawab setiap Muslim

2.  Pastikan kita melaksanakan amal soleh dan menjauhi mungkar disamping menasihatkan orang lain agar melakukannya.

3.  Orang yang mengajak dan menasihati orang lain agar melakukan maaruf dan menjauhi kemungkaran, sedangkan dia sendiri tidak melakukannya, kelak pada hari kiamat mereka akan  dilempar ke neraka hingga isi perutnya keluar dan terburai. 

4. Peringatan buat semua agar bikin serupa cakap. Tunjukkan kita sebagai qudwah atau contoh kepada orang lain. Apatah lagi kalau kita sebagai pemimpin. Laksanakan amar makruf nahi mungkar disamping mengajak orang lain berbuat demikian.  

06hb Jamadil Awal 1446H
08hb November 2024

Wednesday 6 November 2024

Berbuat Baik Terhadap Orang Lain

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berbuat Baik Terhadap Orang Lain

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلُّ سُلَامَى مِنْ النَّاسِ عَلَيْهِ صَدَقَةٌ كُلَّ يَوْمٍ تَطْلُعُ فِيهِ الشَّمْسُ يَعْدِلُ بَيْنَ الِاثْنَيْنِ صَدَقَةٌ وَيُعِينُ الرَّجُلَ عَلَى دَابَّتِهِ فَيَحْمِلُ عَلَيْهَا أَوْ يَرْفَعُ عَلَيْهَا مَتَاعَهُ صَدَقَةٌ وَالْكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ وَكُلُّ خُطْوَةٍ يَخْطُوهَا إِلَى الصَّلَاةِ صَدَقَةٌ وَيُمِيطُ الْأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ صَدَقَةٌ

Daripada Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Setiap ruas tulang pada manusia wajib atasnya bersedekah setiap hari mulai terbitnya matahari. Seseorang yang mendamaikan antara dua orang yang berselisih adalah sedekah dan menolong seseorang untuk menaiki kenderaan tunggangannya lalu mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaan tunggangannya adalah sedekah dan ucapan yang baik adalah sedekah dan setiap langkah berjalan untuk menunaikan solat adalah sedekah dan membuang sesuatu yang boleh menyakiti atau menghalangi orang dari jalan adalah sedekah". (HR Bukhari No: 2767) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim dituntut untuk melakukan amal kebajikan kepada orang lain setiap hari dan waktu  dengan menggunakan seluruh ruas tulang yang ada.

2.  Antara sumbangan amal yang boleh dilakukan oleh setiap Muslim bagi menggerakkan sendi dan tulangnya untuk mendapat ganjaran pahala sedekah melalui amalan khidmat yang dilakukan antaranya:

a.  Mendamaikan antara dua orang yang berselisih atau bergaduh

b.  Menolong seseorang untuk menaiki kenderaan seperti membukakan pintu kereta, membantu mengangkat barang ke atas kenderaan dan sebagainya

c.  Mengucapkan atau menuturkan perkataan yang baik ke atas orang lain seperti memberi salam, bertegur sapa, menasihati. Malah menahan tangan dan lisan agar tidak menyakiti orang lain juga sedekah. 

d.  Langkah berjalan menuju tempat untuk menunaikan solat seperti masjid. 

e.  Mengutip atau mengalihkan sesuatu yang boleh menyakiti atau menjadi halangan di jalan raya termasuk sampah.

Semoga segala kegiataan dan aktiviti yang kita lakukan setiap masa akan mendapat ganjaran pahala sedekah ke atas ruas tulang yang digerakkan. Jadilah kita orang yang bermanfaat kepada orang lain

05hb Jamadil Awal 1446H
07hb November 2024

Tuesday 5 November 2024

Menyaingi Ganjaran Orang Kaya

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Menyaingi Ganjaran Orang Kaya

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ الْفُقَرَاءُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُورِ مِنَ الْأَمْوَالِ بِالدَّرَجَاتِ الْعُلَا وَالنَّعِيمِ الْمُقِيمِ يُصَلُّونَ كَمَا نُصَلِّي وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ وَلَهُمْ فَضْلٌ مِنْ أَمْوَالٍ يَحُجُّونَ بِهَا وَيَعْتَمِرُونَ وَيُجَاهِدُونَ وَيَتَصَدَّقُونَ قَالَ أَلَا أُحَدِّثُكُمْ إِنْ أَخَذْتُمْ أَدْرَكْتُمْ مَنْ سَبَقَكُمْ وَلَمْ يُدْرِكْكُمْ أَحَدٌ بَعْدَكُمْ وَكُنْتُمْ خَيْرَ مَنْ أَنْتُمْ بَيْنَ ظَهْرَانَيْهِ إِلَّا مَنْ عَمِلَ مِثْلَهُ تُسَبِّحُونَ وَتَحْمَدُونَ وَتُكَبِّرُونَ خَلْفَ كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ 

Dari Abu Hurairah RA berkata, "Pernah datang sahabat yang miskin kepada Nabi SAW seraya berkata, "Orang-orang kaya, dengan harta benda mereka itu, mereka mendapatkan kedudukan yang tinggi, juga kenikmatan yang abadi. Kerana mereka melaksanakan solat seperti juga kami melaksanakan solat. Mereka puasa sebagaimana kami juga puasa. Namun mereka memiliki kelebihan disebabkan harta mereka, sehingga mereka dapat menunaikan ibadah haji dengan harta tersebut, dapat melaksanakan umrah bahkan dapat berjihad dan bersedekah." Maka Rasulullah SAW  pun bersabda: "Mahukah aku sampaikan kepada kalian sesuatu yang apabila kalian ambil (sebagai amal ibadah) kalian akan dapat mengatasi (darjat) orang-orang yang sudah mengalahkan kalian tersebut, dan tidak akan ada yang dapat mengalahkan kalian dengan amal ini sehingga kalian menjadi yang terbaik di antara kalian dan di tengah-tengah mereka kecuali bila ada orang yang mengerjakan seperti yang kalian amalkan ini. Iaitu kalian membaca tasbih (Subhaanallah), membaca tahmid (Alhamdulillah) dan membaca takbir (Allahu Akbar) setiap selesai solat sebanyak tiga puluh tiga kali."  (HR Bukhari No: 798) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap orang sama ada miskin mahupun kaya berpeluang melakukan amal solleh

2.  Muslim yang berharta, di samping melaksanakan ibadat solat dan puasa, dia berkemampuan menunaikan ibadat haji dan umrah, serta berjihad dan bersedekah

3.  Muslim yang tidak berharta juga berpeluang memperolehi ganjaran seperti orang kaya malah mungkin lebih baik

4.  Antara amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW  yang boleh menjana ganjaran pahala melebihi sumbangan sedekah orang kaya ialah tasbih, tahmid dan takbir sebanyak 33 kali setiap satu selepas solat fardhu.

5.  Kita boleh mencemburui amal orang yang berharta yang menggunakan hartanya utk infak dan sedekah.  Moga kita boleh menjadi seperti mereka.

Ayuh perolehi ganjaran mudah dengan tasbih, tahmid dan takbir selepas solat fardhu yang sentiasa dilakukan.

04hb Jamadil Awal 1446H
06hb November 2024

Monday 4 November 2024

Bimbinglah Wanita Dengan Lemah Lembut

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bimbinglah Wanita Dengan Lemah Lembut

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يُؤْذِي جَارَهُ وَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا فَإِنَّهُنَّ خُلِقْنَ مِنْ ضِلَعٍ وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلَاهُ فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا

Daripada Abu Hurairah dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan juga kepada hari akhirat, maka janganlah ia menyakiti jiran tetangganya. Pergaulilah dan nasihati kaum wanita dengan baik, sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk. Dan sesuatu yang paling bengkok yang terdapat tulang rusuk adalah bahagian paling atas. Jika kamu meluruskannya dengan memaksa, nescaya kamu akan mematahkannya, namun jika kamu membiarkannya maka ia pun akan berterusan dalam keadaan bengkok. Justeru pergaulilah wanita dan nasihatilah dia dengan penuh kebijaksanaan." (HR Bukhari No: 4787) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Tanggung jawab orang yang beriman adalah berbuat baik kepada jiran tetangga antaranya dengan menunaikan hak-haknya seperti tidak menyakitinya, menziarahi mereka ketika sakit serta memberi pertolongan jika ia memerlukan.

2.  Tanggungjawab lelaki beriman adalah sentiasa memberikan bimbingan dan nasihat kepada kaum wanita yang terdiri daripada isteri dan anak-anak mereka khususnya. 

3.  Sesuai dengan jiwa, sifat dan watak wanita yang lembut, pendidikan, bimbingan dan nasihat  yang diberi hendaklah dengan cara yang paling baik dan berlemah lembut. Perlu bersabar bersesuaian dengan kehalusan jiwa wanita.

4.  Jika kita mendidik wanita dengan memaksa, sama seperti memaksa tulang yang bengkok hujungnya untuk lurus, nescaya kita seolah-olah akan mematahkannya. Kita juga tidak boleh mendiamkan diri tanpa mendidik dan membimbing  kerana jika dibiarkan ia akan berterusan dalam keadaan bengkok.

5.  Sebagai suami, kita dilarang menyakiti isteri dengan apa juga cara termasuk mengabaikan tanggungjawab terhadapnya. Berlaku lemah lembutlah terhadap mereka.

03hb Jamadil Awal 1446H
05hb November 2024

Sunday 3 November 2024

Mukmin Paling Sempurna Iman

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mukmin Paling Sempurna Iman 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَخِيَارُهُمْ خِيَارُهُمْ لِنِسَائِهِمْ

Daripada Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan yang terbaik di antara mereka adalah yang terbaik terhadap isteri-isterinya." (HR Tirmizi No: 1082) Status: Hadith Sahih

Pengajaran:
1.  Akhlak adalah ukuran keimanan seseorang.

2.  Mukmin yang paling sempurna iman adalah yang paling baik akhlak.

3.  Akhlak terpuji dengan saling berkasih sayang, bersifat rahmah sesama insan, tidak menghina, mentohmah dan mengadu domba berkait rapat dengan kesempurnaan iman seseorang.

4.  Lelaki beriman yang terbaik adalah yang paling baik akhlak terhadap isteri mereka.

5.  Berakhlak baik pada isteri berkait rapat dengan tahap iman seseorang.

Jadilah orang yang paling berakhlak dalam kehidupan termasuk dalam berkeluarga untuk menjadi mukmin yang paling sempurna

02hb Jamadil Awal 1446H
04hb November 2024

Saturday 2 November 2024

Ganjaran Membantu Ibu Tunggal & Orang Miskin

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ganjaran Membantu Ibu Tunggal & Orang Miskin

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ السَّاعِي عَلَى الْأَرْمَلَةِ وَالْمِسْكِينِ كَالْمُجَاهِدِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوْ الْقَائِمِ اللَّيْلَ الصَّائِمِ النَّهَارَ

Daripada Abu Hurairah ia berkata; Nabi SAW  bersabda: "Orang yang memberi kecukupan kepada para janda dan orang-orang miskin (pahalanya) seperti orang yang berjihad di jalan Allah atau seperti orang yang bersembahyang sepanjang malam atau  yang berpuasa sepanjang hari." (HR Bukhari No: 4934) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim dituntut agar berbuat baik kepada sesama makhluk.

2.  Antara perbuatan baik yang dilakukan ialah membantu golongan ibu tunggal yang lemah dan perlukan bantuan serta orang-orang miskin.

3.  Orang yang membantu ibu tunggal dan orang miskin yang serba kekurangan, ganjarannya seumpama orang yang berjihad dijalan Allah atau yang melakukan qiamullail sepanjang malam dan berpuasa sunat di siang hari.

4.  Pelbagai bentuk bantuan yang boleh dihulurkan seperti barangan dapur, pembiayaan sekolah anak-anak, peluang pekerjaan, memberi nasihat dan dorongan serta lain-lain.

Marilah kita bertolong bantu mewujudkan negara yang rahmah.

01hb Jamadil Awal 1446H
03hb November 2024

Friday 1 November 2024

Doa Mohon Kebaikan Jauhi Keburukan

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Mohon Kebaikan Jauhi Keburukan

عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها  أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَّمَهَا هَذَا الدُّعَاءَ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنَ الْخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لِي خَيْرًا

Daripada Aisyah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengajarkan suatu doa kepadanya: “Ya Allah, aku bermohon dikurniakan segala kebaikan yang hampir dan yang masih jauh, yang aku tahu dan yang aku tidak tahu. Dan lindunglah aku daripada kejahatan dan keburukan yang hampir dan yang masih jauh sama ada yang aku tahu dan yang aku tidak tahu. Sesungguhnya aku meminta kepada-Mu semua doa kebaikan yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan yang hamba dan Nabi-Mu meminta perlindungan dari keburukan itu. Ya Allah, aku meminta kepada-Mu syurga dan segala yang mendekatkan menuju syurga, sama ada perkataan mahupun perbuatan. Aku berlindung kepada-Mu dari neraka dan segala yang mendekatkan menuju neraka, sama ada perkataan mahupun perbuatan. Dan aku meminta kepada-Mu agar menjadikan semua takdir yang Engkau takdirkan untukku adalah kebaikan.” (HR. Ahmad no. 25019, Ibnu Majah no. 3846 dan Ibnu Hibban no. 869) Status: Hadis Sahih 

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW sentiasa mendidik umatnya agar berdoa. Antara doa yang dipohon:

a.  Mohon dikurniakan segala kebaikan sama ada yang hampir mahupun yang masih jauh, yang diketahui mahupun tidak.

b.  Mohon agar dilindungi daripada kejahatan dan keburukan yang hampir mahupun yang masih jauh,  sama ada yang diketahui atau tidak.

c.  Memohon agar dikurniakan syurga dan segala yang mendekatkan ke syurga sama ada dengan perkataan mahupun perbuatan.

d.  Mohon berlindung dari neraka dan segala yang mendekatkan menuju ke neraka, sama ada melalui perkataan mahupun perbuatan. 

e.  Mohon agar Allah menjadikan semua takdir yang baik untuk kita.

2.  Ayuh kita amalkan doa ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنَ الْخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لِي خَيْرًا

29hb Rabiul Akhir 1446H
01hb November 2024

Tanda Munafik Tulen

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tanda Munafik Tulen

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ

Daripada Abdullah bin 'Amru bahawa Nabi SAW bersabda: "Empat perkara bila ada pada seseorang maka dia adalah seorang munafik tulen, dan barangsiapa yang terdapat pada dirinya satu sifat dari empat tersebut maka pada dirinya terdapat sifat nifak hingga dia meninggalkannya. Iaitu, jika diberi amanah dia khianat, jika berbicara dia berdusta, jika berjanji dia tidak menepati dan jika bertengkar ia curang (melampau)". (HR Bukhari No: 33)

Pengajaran:

1.  Munafik tulen bermaksud orang yang menjadi munafik sebenar.

2.  Sesiapa yang memiliki empat sifat ini, ia adalah munafik tulen.

3.  Jika seseorang itu memiliki satu daripada empat sifat tersebut, maka padanya ada sifat munafik sehinggalah ia meninggalkan sifat tersebut.

4.  Empat sifat munafik itu ialah:

a.  jika diberi amanah dia khianat, 

b.  jika berbicara dia berbohong atau menipu,

c.  jika berjanji dia tidak menepati atau memungkirinya 

d.  jika bertengkar dia melampaui batas

Moga Allah menjauhi kita dari sifat munafik.

30hb Rabiul Akhir 1446H
02hb November 2024

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...