Thursday, 13 March 2025

RASULULLAH SAW AMAT PEMURAH MELAKUKAN KEBAJIKAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

RASULULLAH SAW AMAT PEMURAH MELAKUKAN KEBAJIKAN

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدَ مَا يَكُونُ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ إِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ سَنَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ فَيَعْرِضُ عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ

Daripada Ibnu Abbas RA dia berkata; "Rasulullah SAW adalah orang yang paling pemurah melakukan pelbagai kebaikan. Kemurahan Baginda SAW akan bertambah menjelangnya bulan Ramadhan. Kerana setiap tahun Jibril selalu menemui baginda tiap-tiap malam, hingga habis bulan Ramadhan. Rasulullah SAW memperdengarkan bacaan Quran kepadanya (dan Jibril menyemak). Apabila Jibril mendatanginya, baginda lebih banyak lagi berbuat kebajikan melebihi angin yang berhembus."
(Sahih Muslim No: 2308) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Ramadhan adalah kesempatan yang amat berharga untuk menggandakan amalan kebaikan kerana salah satu hakikat ibadah puasa ialah sifatnya yang peribadi dan merupakan rahsia antara seorang hamba dengan Pencipta-Nya.


2. Antara amalan kebaikan yang selalu dilakukan oleh Nabi SAW pada bulan Ramadhan adalah membanyakkan bersedekah dan bertadarus al-Quran.


3. Marilah kita mengisi kedatangan Ramadhan ini dengan penuh keinsafan dan memperbanyakkan sedekah, membaca, dan mentadabbur al-Quran kerana pahalanya digandakan.


4. Konsep "memberi" (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja sepanjang Ramadhan, bahkan di bulan lain kerana ia menghakis sifat kedekut dan mempereratkan ukhuwah sesama Muslim.


5. Sedekah yang diterima Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukan untuk menunjuk-nunjuk. Harta yang kita infak kekal pahalanya, tetapi harta yang kita simpan belum tentu mendatangkan manfaat. Firman Allah SWT:
مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاقٍ
"Apa saja yang ada di sisimu (wahai manusia) akan habis, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal". (An-Nahl: 96)


6. Tadarus al-Quran juga dianjurkan agar dapat menyemak bacaan yang betul di samping mentadabbur makna al-Quran.



13hb Ramadhan 1446H
14hb Mac 2025M

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...