السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
ZAKAT FITRAH MENYUCIKAN
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ
Daripada Ibnu Abbas RA berkata, Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah sebagai satu pembersihan bagi orang-orang yang berpuasa daripada perbuatan yang sia-sia dan perkataan kotor, serta sebagai makanan untuk orang miskin.
Sesiapa yang membayar zakat fitrah sebelum solat (Aidilfitri) maka ia adalah zakat yang diterima (oleh Allah). Sesiapa yang membayarnya selepas solat (Aidilfitri) maka ia adalah sedekah seperti sedekah biasa.
(Sunan Abi Daud, No: 1609) – Status: Hasan
Pengajaran:
1. Zakat fitrah adalah ibadah yang diwajibkan dalam Islam bagi mereka yang berkemampuan.
2. Ia berfungsi sebagai penyuci kekurangan ibadah puasa akibat perbuatan yang sia-sia atau perkataan yang tidak baik.
3. Zakat fitrah juga bertujuan membantu golongan miskin agar mereka dapat meraikan Aidilfitri dengan kecukupan.
4. Waktu pembayaran zakat fitrah bermula dari 1 Ramadhan hingga sebelum solat sunat Aidilfitri.
5. Zakat fitrah yang dibayar selepas solat Aidilfitri hanya dianggap sebagai sedekah biasa dan bukan zakat yang sah.
6. Golongan yang wajib membayar zakat fitrah ialah:
a) Muslim,
b) Hidup ketika masuknya 1 Syawal,
c) Mempunyai lebihan harta selepas keperluan asasnya pada malam dan siang Aidilfitri.
Moga zakat fitrah yang kita keluarkan diterima sebagai penyuci bagi ibadah puasa kita.
25 Ramadhan 1446H
26 Mac 2025M
No comments:
Post a Comment