Thursday, 6 November 2025

JADILAH ORANG YANG PALING BAIK PADA AHLI KELUARGA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

JADILAH ORANG YANG PALING BAIK PADA AHLI KELUARGA

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ، وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي، وَإِذَا مَاتَ صَاحِبُكُمْ فَدَعُوهُ

Daripada Aisyah RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda:
“Sebaik-baik antara kamu ialah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Apabila sahabat kamu meninggal dunia maka biarkanlah dia (jangan kamu membicarakan keburukannya).”
(HR Tirmidzi No: 3830)
Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Perkahwinan bertujuan untuk mewujudkan rumah tangga dan ahli keluarga yang bahagia.


2. Bagi mencapai kebahagiaan dalam berumah tangga, kita perlu berlaku baik terhadap ahli keluarga dengan memenuhi hak dan tanggungjawab sebagai suami isteri, ibu bapa dan anak.


3. Sebaik-baik insan ialah yang paling baik pergaulannya terhadap ahli keluarganya.


4. Syeikh Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadis ini berkata: (Iaitu berbuat baik) kepada kaum keluarganya dan juga mereka yang mempunyai hubungan silaturahim dengannya. Menurut pendapat lain: kepada isterinya dan juga kaum kerabatnya. (Rujuk Tuhfat al-Ahwazi, al-Mubarakfuri, 10/269).


5. Bertimbang rasa, bertolak ansur dan saling menyayangi antara pasangan dan anak-anak merupakan faktor utama keharmonian rumah tangga.


6. Contohilah Rasulullah SAW yang paling baik layanan terhadap isteri dan anak-anaknya.


7. Islam melarang kita mengungkit atau menceritakan keburukan orang yang telah meninggal dunia kerana ia termasuk dalam perbuatan ghibah (mengumpat) yang diharamkan, kecuali untuk tujuan syarak seperti pengajaran atau penjelasan hukum.



Bersama membina keluarga bahagia. Kasih keluarga, bahagia bersama.

15 Jamadil Awwal 1447H
06 November 2025M

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...