Thursday, 6 November 2025

SEDEKAH KEPADA AHLI KELUARGA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

SEDEKAH KEPADA AHLI KELUARGA

عَنْ الزُّهْرِيِّ قَالَ أَخْبَرَنِي سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خَيْرُ الصَّدَقَةِ مَا كَانَ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ

Daripada Az-Zuhriy berkata, telah mengkhabarkan kepada saya Sa‘id bin Al-Musayyab bahawa dia mendengar Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda: “Sedekah yang paling baik ialah sedekah yang diberikan ketika seseorang itu masih berkecukupan (tidak berhajat kepada orang lain), dan mulakanlah dengan (menafkahkan kepada) orang yang berada di bawah tanggunganmu.”
(HR al-Bukhari, No. 1337)
Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Amalan bersedekah atau memberi kepada orang lain ialah amalan mulia yang sangat dituntut kepada setiap Muslim.


2. Sedekah yang terbaik ialah sedekah yang dilakukan dengan kemampuan dan keikhlasan, bukan sehingga memudaratkan diri atau tanggungan.


3. Keutamaan nafkah dan sedekah hendaklah diberikan kepada ahli keluarga terlebih dahulu seperti isteri, anak-anak dan ibu bapa sebelum diberikan kepada orang luar.


4. Antara asas kebahagiaan dalam rumah tangga ialah saling melaksanakan tanggungjawab. Ketua keluarga wajib menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.


5. Sedekah yang sebaiknya dilakukan selepas menunaikan hak terhadap ahli keluarga. Firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ
“Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: ‘Yang lebih daripada keperluan.’”
(Surah al-Baqarah: 219)

Al-‘Afwu bermaksud lebihan daripada keperluan asas (Tafsir Ibnu Katsir, 2:145).


6. Sabda Rasulullah SAW:
صَدَقَتُكَ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَعَلَى ذِي الْقُرْبَى الرَّحِمِ ثِنْتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ
“Sedekahmu kepada orang miskin bernilai satu sedekah, sedangkan sedekahmu kepada kerabatmu bernilai dua: satu sedekah dan satu menyambung silaturahim.”
(Musnad Ahmad, No. 17197)
Status: Isnad Hasan


7. Hadis ini menekankan keseimbangan antara tanggungjawab keluarga dan kebajikan masyarakat. Sedekah yang paling afdhal ialah sedekah yang dilakukan dengan penuh tanggungjawab, dalam keadaan mampu, serta dimulakan dengan ahli keluarga sendiri.



Mulakan pemberian kepada ibu bapa, pasangan, anak-anak dan kaum kerabat yang terdekat — terutama apabila diketahui mereka menghadapi kesempitan hidup.

Kasih Keluarga, Bahagia Bersama

16 Jamadil Awwal 1447H
07 November 2025M

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...