Monday 25 December 2017

3 PESANAN BUAT IBU BAPA

3 PESANAN buat ibu bapa yang hantar anak ke sekolah awal tahun nanti.

1. JANGAN parking sesuka hati. Sikap ini kita kena ubah. Kenapa nak sangat parking depan pintu pagar utama? Malah kalau boleh nak parking kereta dalam kelas anak terus!

Jom ubah. Parkinglah jauh sedikit tak apa asal tidak mengganggu laluan. Banyak keuntungan parking jauh ni. Kita boleh luang masa lama sikit berjalan-jalan dengan anak untuk hantar ke kelas. Banyak cerita boleh dikongsi, paling penting, ini momen yang bakal kita ingati tua nanti.

Jangan halang jalan. Jangan menyusahkan laluan orang lain. Berjalan jauh ni, selain dapat berinteraksi dengan anak-anak, badan kita pun sihat.

2. JADILAH manusia yang ada rasa. Waktu hantar anak-anak, perhatikan juga keadaan murid-murid lain.

Jika lihat ada murid yang datang dengan pakaian koyak dan lusuh, ringankan mulut bertanya khabar berita. Mungkin ayahnya lumpuh, mungkin juga keluarganya dhaif.

Jika ada duit kau lebih, hari esok bawalah sepersalinan baru untuk anak itu. Ya, aku tahu kita tak mampu nak tolong semua orang, tapi cubalah bantu setakat yang mampu. Hadiahkan anak itu alat tulis contohnya.

3. JANGAN ambil hak murid-murid lain! Aku dah menulis hal ini berkali-kali. Tapi aku kena tulis lagi kerana masih ramai yang ambil hak anak-anak.

Ibu bapa yang menemani anak mereka rehat di kantin selalu ambil hak murid-murid lain.

Kerusi meja kantin terhad. Bila mak ayah turut sama duduk kat situ, maka pasti ada murid tiada tempat untuk duduk dan makan.

Kita kena sentiasa ingat. Bukan semua keluarga beruntung macam kita. Yang mampu temani anak di awal-awal hari persekolahan mereka.

Ada anak-anak yang sudah tidak punya ayah dan ibunya terpaksa bekerja. Maka dia hadir seorang diri di hari pertama persekolahan tanpa ditemani siapa-siapa.

Membeli di kantin tiada yang bantu. Terkulat-kulat tidak tahu hendak menggunakan duit. Jika kau nampak murid sebegini, bantulah dia membeli.

Dah dapat makanan, ramai pula murid mundar mandir mencari tempat duduk. Biasa sangat berlaku tempat duduk murid penuh dengan ibu bapa yang mengelilingi anak mereka. Duduk dibangku murid sambil menyuap anak tersayang sedang murid lain termangu-mangu tidak tahu mana hendak dituju.

Sedang murid lain yang tidak ditemani ibu bapa, berdiri melihat kejamnya manusia yang mengambil hak mereka. Pernah berlaku, seorang murid berdiri dengan sepinggan mee yang belum disentuh sambil memeluk tiang hingga loceng rehat tamat berbunyi sebelum ada guru yang menyedari.

Guru yang bertugas, sila bertegas dengan ibu bapa yang suka ambil hak murid sebegini. Tegur dengan sopan. Jika dia buat tidak endah, jerkah sahaja. Kalau dia melawan, panggil guard halau keluar saja.

Tiada hormat buat mereka yang tidak tahu beradab. Begitulah.

- Jadilah manusia yang punya rasa.

#kopipes

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...