Wednesday 13 June 2018

SABAR ; BENARKAH SABAR ITU ADA HADNYA

Assalamualaikum

Tajuk Renungan Pagi Sempena Perhimpunan Pagi Majlis Daerah Kuala Selangor dengan Tema Hari Raya Aidil Fitri.

SABAR. BENARKAH SABAR ITU ADA HADNYA.

Tindakan Ketika Berhadapan Dengan Ujian, Kesulitan dan Musibah.

Perkongsian ringkas dari kupasan seorang Ustaz di Pondok Pengajian Berkitab.


Terdapat 4 Fasa yang Perlu Dilalui.

Pertamanya kita dianjurkan supaya Bersabar dengan apa jua keadaan yang boleh mendatangkan kemarahan dan tekanan.

Dalam peringkat sabar ini, kita menahan diri kita daripada melakukan tindakbalas keji sebagai respon terhadap apa yang berlaku.

Antaranya meninggikan suara, berkata atau memberi isyarat lucah, menyerang, membalas dendam dan mungkin juga boleh sampai ke peringkat membunuh.

Namun dalam masa kita bersabar, perasaan marah dan tidak berpuas hati itu masih lagi tersimpan dan terpendam. Lebih-lebih lagi jika faktor penyumbangnya tadi berlaku secara berterusan ataupun berulang.


Sampai bila kita boleh bersabar?

Kesabaran kita boleh tergugat hingga ada ketikanya datang bisikan memberitahu bahawa sabar kita ini ada hadnya. Bisikan iblis akan berhembus, "Sabar aku ada hadnya."

Dalam fasa bersabar ini, kebanyakan kita hanya menahan rasa marah dan kecewa daripada dizahirkan ataupun diluahkan.

Sedangkan rasa marah dan kecewa itu masih bertahta dan mekar dalam hati kita.

Jika ada orang yang mengatakan bahawa sabar ada hadnya, itu adalah Salah. Sabar sebenarnya tidak ada hadnya.


Sepatutnya setelah kita bersabar berhadapan dengan sesuatu situasi getir, maka perlulah pergi ke fasa 2 iaitu Tawakkal kepada Allah agar kita mampu bertahan dan kekal dalam keadaan bersabar.

Setelah kita bertawakkal kepada Allah atas kesabaran kita berhadapan situasi beronak dan berliku, seharusnya kita sudah boleh tenang.

Sebaliknya jika masih ada lagi rasa marah dan kecewa setelah kita bertawakkal dan kesabaran kita masih terus dicabar oleh punca kepada gangguan emosi tadi maka kita perlu pergi ke fasa Ikhlas.


Dalam fasa ini kita perlu ikhlaskan diri dalam mengambil keputusan untuk bersabar. Kita perlu ikhlaskan hati dalam tindakan kita bertawakkal kepada Allah. 

Bukannya kita bersabar sebab mengikut kehendak seseorang mahupun takut pada sesuatu.

Ikhlaskan diri ini bertujuan supaya kita tidak lagi diganggu oleh bisikan-bisikan yang mendorong supaya kita bertindak keji terhadap faktor penyebab itu.

Dalam fasa ini, keikhlasan bersabar menjadikan sabar kita itu benar-benar kerana Allah. Menjadikan tawakkal kita itu benar-benar penyerahan sepenuhnya kerana Allah.


Dalam keadaan ini, rasa marah dan kecewa itu boleh dikawal. Tiada lagi kita teringat-ingat dan terkenang-kenang kejadian yang menyebabkan kita marah dan kecewa. Jiwa jadi tenteram.

Inilah penyerahan sebenar hidup kita kepada Allah.

Selepas melalui fasa ini,  rasa marah dan kecewa terkawal.

Jika rasa marah dan kecewa itu masih dibiarkan bertapak dalam hati walau dalam keadaan terkawal, ia masih berpotensi untuk meluap semula.

Rasa marah dan kecewa itu perlu dilepaskan juga supaya ia tidak merosakkan diri.


Kepada siapa rasa itu hendak dilepaskan?

Kita lepaskan dan pulangkan rasa marah dan kecewa itu kepada Allah.

Bagaimana caranya?

Rasa marah, kecewa, kesal dan lain-lain rasa negatif yang masih ada selepas kita bersabar, tawakkal dan ikhlas, perlu dilepaskan sepenuhnya kepada Allah dengan cara Redha terhadap semua ketentuanNya.

Dialah jua yang maha mengetahui apa yang baik dan buruk untuk kita.

Dia yang menguasai segala yang ada di langit dan di bumi dan diantara keduanya.

Redha adalah peringkat tertinggi penyerahan diri kepada Allah atas apa yang berlaku atas kita.

Selepas itu, pasti tidak akan ada lagi rasa marah, kecewa, kesal, sakit hati dan lain-lain.

Jika masih juga ada, bermakna kita belum lagi sampai ke peringkat Redha.

Ada satu peringkat lagi yang disebut oleh Ustaz tetapi bukan untuk orang biasa-biasa. Peringkat itu tidak dijelaskan oleh Ustaz itu.

Saya lupa apa nama peringkat selepas Redha itu.

Wallahu 'alam.

Inilah yang saya faham dan ingat dalam kuliah hampir satu jam.

Masih banyak keadaan yang tewas. Waima di peringkat sabar juga ada yang gagal. Sedang berusaha memperbaikinya.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...