Sunday 2 February 2020

KITA DIUJI DAN REDHA



“ Kita akan DIUJI dengan apa yang kita SAYANG sehingga terduduk tak berdaya.

 Lalu kita SEDAR bahawa tiada kebahagiaan melainkan melalui jalan SABAR dan REDHA menerima ketetapan dan keputusan Allah swt.

Selagi TIDAK REDHA nescaya kita akan LELAH berpindah dari satu usaha ke satu usaha. Dari zikir ke zikir. Dari doa ke doa. Dari air penawar ke air penawar. Dari umrah ke umrah. Dari solat ke solat. Dari sedekah ke sedekah.

REDHA adalah langkah pertama menuju jalan penyelesaian. Anak kunci kepada pintu KEBAHAGIAAN.

Buatlah pengakuan yang tulus dihadapan Allah. Ikhlas daripada hati yang dalam, "Ya Allah... AKU REDHA bahawa isteri/suami/anak/pekerjaan/bos/perniagaan dll.. Sebagai satu UJIAN daripadaMu untuk aku mendapat REDHAMU. Aku Redha ya ALLAH. Aku Redha ya Allah. Aku hambaMu yang sangat lemah, tidak ada daya dan upaya melainkan dengan pertolonganMu.
Namun bantulah aku untuk melalui dan menghadapi Ujian ini. Tunjukilah aku jalan-jalan kebenaranMu, bantulah aku untuk menjadi hambaMu yang sentiasa bersyukur". Bila Allah memberi kita ujian, Allah juga sedang memerhatikan tindakbalas kita. Berhentilah memaksa Allah untuk mengikuti kehendak dan impian kita, kita akan terus kecewa.

Hayati Hadis Nabi dibawah :
"Apabila Allah cinta kepada suatu kaum, mereka akan DIUJI. Barang sesiapa REDHA menerima UJIAN itu, Allah REDHA pula kepadanya. Dan barang siapa yang MARAH, maka Allah murka (MARAH) kepadanya.”
(Hadith riwayat at Tarmizi)

Apakah tanda kita dah REDHA dengan ujian tersebut?

Apabila kita mula berhenti mengeluh, menangis, membentak, menyendiri dan kemurungan dengan ujian tersebut.

Lalu kita bangkit kerana Allah, dan menjadi hamba yang lebih dekat dengan Allah, mentaati perintah dan meninggalkan laranganNya. Kita berusaha menunaikan solat dengan sempurna, menyarungkan pakaian yang menutup aurat dan menukarkan majlis maksiat kepada majlis ibadat.

Selepas itu, yakinlah satu persatu UJIAN akan diberi JALAN KELUAR, dan mendapati bahawa RAHMAT ALLAH lebih luas daripada besarnya UJIAN tersebut.

UJIAN yang mendekatkan kita dengan Allah adalah satu RAHMAT.

UJIAN yang menjauhkan kita dengan Allah adalah MUSIBAH
.
.
-Ustazah Asma' Harun- “

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...