Sunday 12 July 2020

DOA- DOA UNTUK MEMUDAHKAN URUSAN DUNIA DAN AKHIRAT

🤲DOA-DOA UNTUK MUDAHKAN URUSAN DUNIA DAN AKHIRAT🤲

Allah Swt berfirman:

اِذْ اَوَى الْفِتْيَةُ اِلَى الْـكَهْفِ فَقَا لُوْا رَبَّنَاۤ اٰتِنَا مِنْ لَّدُنْكَ رَحْمَةً وَّهَيِّئْ لَـنَا مِنْ اَمْرِنَا رَشَدًا

"(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami."( Al-Kahf :  10).


1.Orang mukmin disuruh memperbanyakkan doa meminta apa saja kepada Allah dengan bahasa yang mudah.Menurut para ulama, doa terbaik adalah yang Allah sebutkan dalam alQuran yang pernah dibaca oleh para ambia.Justeru tunjukkan kesungguhan melalui usaha mencari ayat doa yang sesuai memenuhi kehendak hajat yang ingin disampaikan kepada-Nya.

2.Doa adalah ibadat dan tanda pengabdian diri kepada Allah kerana memohon kepada-Nya.Ia membuktikan pengiktirafan bahawa hanya Allah yang Maha Berkuasa memenuhi segala hajat manusia.Doa juga boleh menjadi kekuatan.Seterusnya mendatangkan kemudahan kepada umat Islam untuk berhadapan dengan kesukaran saperti sabda Rasulullah Saw,
الدُّعَاءُ سِلاحُ الْمُؤْمِنِ، وَعِمَادُ الدِّينِ، وَنُورُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ

“Doa adalah senjata orang beriman, tiang agama dan cahaya langit-langit dan bumi”(HR alHakim).

3.Sesungguhnya seorang manusia itu amat lemah dan tidak mampu untuk melawan ketentuan Allah.Justeru mintalah kepada Allah supaya kehidupan seharian dipermudahkan-Nya. Pohonlah dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat. Hanya Allah tempat bergantung segalanya.

4.Kemudahan yang dipohon berkaitan dunia adalah berkaitan rezeki, pekerjaan, keselamatan dalam perjalanan dan permusafiran dan muamalat seharian.Bacalah doa berikut,

اللَّهُمَّ لا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

"Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan.Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu mudah, jika Engkau kehendakinya mudah."

5.Kemudahan dalam taqarrub kepada Allah meliputi kemudahan dalam mengerjakan amal ibadat seperti solat, zakat, puasa dan haji.Kemudahan yang berkaitan dengan akhirat adalah mudah pada hari mahsyar, mudah waktu amalan ditimbang di mizan dan mudah ketika meniti syirat.Kemuncak kemudahan yang dipohon adalah mudah masuk syurga tanpa hisab dengan doa berikut,


اَللّٰهُمَّ حَاسِبْنِىْ حِسَا بًا يَّسِيْرًا

"Ya Allah hisablah diri ini dengan seringan-ringan penghisaban"

6.Para pemimpin dan pendakwah yang sering bercakap dengan orang ramai, maka tetaplah istiqamah dengan doa ini,


رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي. وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي. وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي. يَفْقَهُوا قَوْلِي

 “Ya Tuhanku, lapangkan untukku dadaku.Dan mudahkanlah untuk urusanku.Dan lepaskan kekakuan dari lidahku. Agar mereka dapat dengan mudah mengerti perkataanku.”(Taha:25-28).
Allah akan makbulkan semua permintaan dengan syarat seseorang itu mematuhi perintah-Nya. Allah Swt berfirman:


 اُجِيْبُ دَعْوَةَ الدَّا عِ اِذَا دَعَا نِ فَلْيَسْتَجِيْبُوْا لِيْ وَلْيُؤْمِنُوْا بِيْ لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُوْنَ

".... Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu),dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul."(Al-Baqarah:186).


Tazkirah Subuh:📢
Mohd Yasin Hj. Sulaiman

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...