Tuesday 14 February 2023

Penyebab Ramai Masuk Syurga Atau Neraka

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Penyebab Ramai Masuk Syurga Atau Neraka

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَكْثَرُ مَا يُدْخِلُ الْجَنَّةَ قَالَ التَّقْوَى وَحُسْنُ الْخُلُقِ وَسُئِلَ مَا أَكْثَرُ مَا يُدْخِلُ النَّارَ قَالَ الْأَجْوَفَانِ الْفَمُ وَالْفَرْجُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Nabi SAW pernah di tanya; "Perkara apa yang banyak menyebabkan orang masuk syurga?" baginda menjawab: "Taqwa kepada Allah dan akhlak yang mulia." Baginda di tanya lagi; "Perkara apa yang banyak menyebabkan orang masuk neraka?" baginda menjawab: "Dua rongga yang terbuka iaitu mulut dan kemaluan."
(HR Ibnu Majah No: 4236) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Bertaqwa kepada Allah dan memiliki akhlak yang mulia antara perkara yang banyak menyebabkan orang masuk syurga dengan rahmat Allah.

2.  Dua perkara yang banyak menyebabkan orang masuk neraka ialah dua rongga yang terbuka iaitu mulut dan kemaluan. 

3.  Syeikh Abdullah al-Talidi dalam Jawahir al-Bihar menyatakan: maksud mulut di dalam hadis adalah orang yang tidak menjaga serta berusaha untuk menjaga daripada dosa-dosa mulut seperti mengucapkan ucapan kufur, laknat, qazaf, mengejek, menipu, mengumpat, mengadu domba, persaksian palsu dan sebagainya. Selain itu, makna kemaluan pula adalah orang yang tidak menjaga kemaluannya daripada zina, liwat, tidak menjaga auratnya di hadapan selain daripada mahramnya seperti isterinya dan sebagainya. 

4.  Syeikh al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi menyatakan: makna mulut di dalam hadis ini ialah menjaga lidahnya kerana menjaga lidah boleh menyelamatkan keseluruhan urusan agamanya dan memakan yang halal kerana itu adalah penghulu kepada ciri ketaqwaan. 

Jadilah orang yang bertaqwa dan memiliki akhlak yang mulia. Peliharalah mulut dan kemaluan.

15hb Februari  2023
24hb Rejab 1444H

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...