السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
UCAPAN SALAM DAN BERSALAMAN MENGGUGURKAN DOSA
عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: "إِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا لَقِيَ الْمُؤْمِنَ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ وَأَخَذَ بِيَدِهِ فَصَافَحَهُ تَنَاثَرَتْ خَطَايَاهُمَا كَمَا يَتَنَاثَرُ وَرَقُ الشَّجَرِ"
Daripada Huzaifah al-Yaman RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda:
"Sesungguhnya seorang mukmin apabila bertemu dengan mukmin lainnya lalu mengucapkan salam kepadanya dan mengambil tangannya untuk bersalaman, maka berguguranlah dosa-dosa mereka seperti gugurnya daun-daun dari pepohon."
(Mu’jam Awsat li Tabarani No: 247) Maktabah Maarif.
Status: Al-Munziri berkata tiada perawi dalam jalur sanad ini yang dikritik.
Pengajaran Hadis:
1. Mengucapkan salam merupakan adab penting yang perlu diamalkan apabila bertemu sesama Muslim.
2. Salam melambangkan kasih sayang antara sesama Muslim, sebagaimana sabda Nabi SAW:
“Kalian tidak akan masuk syurga hingga kalian beriman. Dan kalian tidak dikatakan beriman hingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku beritahu dengan sesuatu yang apabila kalian lakukan, kalian akan saling mencintai? (iaitu) sebarkanlah (ucapkanlah) salam di antara kalian.”
(Sahih Muslim No: 54) Dar Ihya Kutub Arabiyyah.
Status: Hadis Sahih.
3. Berjabat tangan bukan sekadar adat, tetapi ibadah yang disyariatkan ketika bertemu dan berpisah serta menjadi sebab diampunkan dosa.
4. Amalan berjabat tangan adalah sunnah para sahabat, sebagaimana riwayat berikut:
عَنْ قَتَادَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ قُلْتُ لِأَنَسٍ أَكَانَتْ الْمُصَافَحَةُ فِي أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نَعَمْ
Daripada Qatadah RA, aku berkata kepada Anas bin Malik, "Apakah berjabat tangan selalu dilakukan oleh para Sahabat Rasulullah SAW?" Anas menjawab, "Ya".
(Sahih Bukhari No: 5908) Dar Ihya Kutub Arabiyyah.
Status: Hadis Sahih.
5. Ibn Hajar menyebut: "Berjabat tangan adalah melekatkan telapak tangan pada telapak tangan yang lain." (Fathul Bari, 11/54).
6. Berjabat tangan dengan penuh keikhlasan menggugurkan dosa-dosa seperti dedaun yang gugur dari pokok.
Ambillah keberkatan bulan Syawal untuk saling menziarahi, mengucapkan salam dan bersalaman dalam lingkungan yang dibenarkan syarak.
05 Syawal 1446H
04 April 2025
No comments:
Post a Comment