Thursday, 15 May 2025

KEUTAMAAN SIFAT TENANG KETIKA BERIBADAH

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

KEUTAMAAN SIFAT TENANG KETIKA BERIBADAH

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّهُ دَفَعَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَرَفَةَ فَسَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَاءَهُ زَجْرًا شَدِيدًا وَضَرْبًا وَصَوْتًا لِلْإِبِلِ فَأَشَارَ بِسَوْطِهِ إِلَيْهِمْ وَقَالَ: أَيُّهَا النَّاسُ عَلَيْكُمْ بِالسَّكِينَةِ فَإِنَّ الْبِرَّ لَيْسَ بِالْإِيضَاعِ

Daripada Ibnu ‘Abbas RA, bahawasanya beliau telah bertolak bersama-sama Nabi SAW pada hari ‘Arafah. Kemudian Nabi SAW mendengar dari arah belakang Baginda suara yang keras serta bentakan dan pukulan terhadap unta. Maka Baginda memberi isyarat kepada mereka dengan cemeti agar bertenang. Baginda bersabda:

"Wahai manusia, hendaklah kamu bertenang, kerana sesungguhnya kebaikan bukan (diperoleh) dengan tergesa-gesa."

(Hadis Riwayat al-Bukhari, No: 1671)
Status: Hadis Sahih

Pengajaran Hadis:

1. Islam ialah agama rahmat kepada semua makhluk termasuk binatang.


2. Bersikap lemah lembut terhadap binatang tunggangan adalah satu tuntutan agama.


3. Peristiwa ini berlaku ketika para jemaah haji bertolak dari ‘Arafah ke Muzdalifah, selepas wukuf – salah satu rukun haji.


4. Ibadah perlu dilakukan dalam ketenangan dan tertib, bukan secara tergesa-gesa.


5. Allah SWT memberi taufik dan hidayah kepada hamba-Nya untuk beribadah – ketenangan dalam ibadah menumbuhkan ketaqwaan.


6. Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan dalam Fath al-Bari bahawa kebaikan bukan diukur melalui kepantasan, tetapi melalui adab dan ketenangan.


7. Islam menolak sikap tergesa-gesa (ta‘ajul) yang boleh membawa kepada kecuaian dalam ibadah.


8. Ketergesa-gesaan menyebabkan kecacatan dalam ibadah dan boleh menyebabkan ia ditolak.


9. Kepada para jemaah haji, semoga dikurniakan ketenangan dan ibadah yang diterima sebagai haji mabrur.



زَوَّدَكَ اللَّهُ التَّقْوَى وَغَفَرَ ذَنْبَكَ وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتَ
“Semoga Allah membekalkanmu dengan ketaqwaan, mengampunkan dosamu dan memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada.”

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا
“Ya Allah, kurniakanlah haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”

15 Zulkaedah 1446H | 13 Mei 2025M

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...