Thursday 1 August 2019

PERSOALAN IBADAH QURBAN KEPADA SI MATI

SOALAN: 

Ustaz, nenek saya telah meninggal dunia baru-baru ini. Dan beliau tidak sempat untuk mendaftar nama bagi ibadah korban. Bolehkah saya melaksanakan ibadah korban untuk arwah nenek saya?

JAWAPAN: 

Persoalan tentang hukum melaksanakan ibadah korban ke atas orang yang telah meninggal dunia ini menjadi satu topik hangat atau soalan yang sering diajukan oleh para pelanggan kepada kami, apabila menjelangnya musim ibadah korban.
Para ulamak telah berselisih pendapat dalam meletakkan hukum pelaksanaan korban ke atas orang yang telah meninggal dunia. Maka di sini, kami nyatakan secara ringkas beberapa pendapat yang masyhur di kalangan para ulamak. Antaranya ialah:


*PERTAMA*: 

Harus melaksanakan ibadah korban ke atas orang yang telah meninggal dunia dan pahalanya juga sampai kepada si mati. Ini adalah pendapat majoriti ulamak dalam mazhab Al-Hanafiyah, Al-Malikiyyah, Al-Hanabilah dan sebahagian As-Syafieyyah.
Hal ini berdasarkan sebuah hadis daripada Saiyidatina Aisyah R.Anha, beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ketika menyembelih haiwan korban, baginda melafazkan:


بِسْمِ اللَّهِ. اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ


Maksudnya: “Bismillah… Ya Allah, terimalah ibadah korban daripada Muhammad dan daripada ahli keluarga Muhammad dan daripada umat Muhammad” . 
(Hadis Riwayat Muslim: 1967)


Umum mengetahui bahawa dikalangan umat Muhammad SAW itu ada yang telah meninggal dunia dan Baginda SAW menjadikan sembelihannya itu untuk umatnya dan ini menjadi dalil bagi keharusan untuk melakukan ibadah korban ke atas orang yang telah meninggal dunia.


*KEDUA*: 

Makruh melaksanakan ibadah korban ke atas orang yang telah meninggal dunia. Ini adalah pendapat sebahagian ulamak dalam mazhab Al-Malikiyyah. Al-Kharshi Rahimahullah menyebutkan: “Dimakruhkan bagi seseorang yang melaksanakan ibadah korban untuk si mati kerana takut akan riak dan bermegah-megah dan juga tidak warid (mendatangkan hasil) perbuatan dalam perkara itu, dan ini sekiranya tidak disediakan oleh si mati dan sekiranya tidak maka si waris boleh melakukannya”. (Syarah Mukhtasar Al-Khalil: 3/42)


*KETIGA*: 

Tidak boleh melaksanakan ibadah korban ke atas orang yang telah meninggal dunia, melainkan atas dasar wasiat yang telah ditinggalkan oleh si mati. Ini adalah pendapat terkuat di kalangan para ulamak dalam mazhab As-Syafie. Sepertimana yang telah dinukilkan oleh Al-Imam Al-Nawawi, beliau berkata:


وَلاَ تَضْحِيَةَ عَنِ الغَيـْرِ بِغَيـْرِ إِذْنِهِ وَلاَ عَنْ مَيْتٍ إِنْ لَـمْ يُوصِ بـِهَا


Maksudnya: “Dan tidak boleh melakukan korban untuk orang lain melainkan dengan izin daripadanya dan tidak boleh juga melakukan korban untuk orang yang telah meninggal dunia melainkan ia telah diwasiatkan” 
(Minhaj At-Tolibin wa Umdah Al-Muftin – Darul Minhaj: M/S: 538)


*KESIMPULAN*
Berdasarkan beberapa pendapat yang telah dibincangkan di atas, maka kami menyokong pendapat ketiga, iaitu pendapat yang terkuat dalam mazhab As-Syafie dan Al-Imam An-Nawawi. 


Oleh itu, kami nyatakan jawapan kami di sini bahawa: TIDAK DIGALAKKAN MELAKSANAKAN IBADAH KORBAN KE ATAS ORANG YANG TELAH MENINGGAL DUNIA, KECUALI SI MATI TELAH MENINGGALKAN WASIAT. 

Ini kerana ibadah korban itu wajib disertakan dengan niat. Maka sudah pasti hanya orang yang hidup sahaja mampu untuk berniat.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...