Saturday 26 June 2021

Dunia Adalah Jambatan Akhirat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Dunia Adalah Jambatan Akhirat

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَنْكِبِي فَقَالَ كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ
وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ

Daripada Ibnu Umar radliallahu 'anhuma dia berkata;  Rasulullah SAW pernah memegang bahuku dan bersabda: Jadilah kamu di dunia ini seolah-olah orang asing atau seorang pengembara. Ibnu Umar telah berkata; Apabila kamu berada di waktu petang,  janganlah kamu menunggu datangnya waktu pagi, dan apabila kamu berada di pagi hari, maka janganlah menunggu waktu petang. Manfaatkanlah  waktu sihatmu sebelum sakitmu, dan hidupmu sebelum matimu. (HR Bukhari No: 5937) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dunia adalah jambatan menuju akhirat. Jangan jadikan dunia sebagai matlamat dan tempat tinggal hakiki. Sebagai musafir di perjalanan, kita tidak membawa kesemua yang kita milik berbentuk harta untuk bermusafir. Kita hanya membawa sekadarnya.

2.  Seorang Muslim perlu bersegera melakukan amal kebajikan, memperbanyak ketaatan dan amal soleh.

3.  Elakkan dari bertangguh untuk melakukan amal soleh kerana kita tidak pasti apakah berkesempatan untuk melakukannya pada masa akan datang.

4.  Setiap Muslim perlu merebut peluang dan kesempatan yang ada sebaik mungkin. Lakukan amal kebaikan ketika kita sihat dan masih hidup. Sakit dan ajal boleh berlaku bila-bila masa.

5.  Bersegera dan bersungguhlah dalam melakukan amal soleh agar kita tidak termasuk di dalam golongan orang yang rugi.

6.  Jika kita lalai dan terjerumus dalam dosa bersegeralah beristighfar dan bertaubat sehingga keadaannya lebih baik dibanding sebelum kita membuat dosa.  Allah Ta’ala pun berfirman:

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ (4) ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ (5) إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.” (QS. At Tiin [95] : 4-6)

Jom rebut peluang beramal ketika kita masih muda, sihat, kuat, berharta, lapang dan semasa hidup ini.

27hb Jun  2021
16hb Zulkaedah 1442H

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...