Sunday 20 June 2021

Kalimah Mengumpat Umpama Membusukkan Seluruh Air Laut

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kalimah Mengumpat Umpama Membusukkan Seluruh Air Laut

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قُلْتُ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم حَسْبُكَ مِنْ صَفِيَّةَ كَذَا وَكَذَا قَالَ غَيْرُ مُسَدَّدٍ تَعْنِي قَصِيرَةً ‏.‏ فَقَالَ ‏"‏ لَقَدْ قُلْتِ كَلِمَةً لَوْ مُزِجَتْ بِمَاءِ الْبَحْرِ لَمَزَجَتْهُ ‏"‏ ‏.‏ قَالَتْ وَحَكَيْتُ لَهُ إِنْسَانًا فَقَالَ ‏"‏ مَا أُحِبُّ أَنِّي حَكَيْتُ إِنْسَانًا وَأَنَّ لِي كَذَا وَكَذَا ‏"‏

Daripada ‘Aisyah RA dia berkata : Aku berkata kepada Nabi SAW : Cukuplah bagimu dari keburukan Safiyah seperti ini. Berkata sebahagian perawi : Dia (‘Aisyah) mengisyaratkan bahawa Safiyah itu rendah. Baginda bersabda: “Sesungguhnya engkau telah mengucapkan suatu kalimah yang mana jika dicampurkan (kalimah itu) dengan air laut nescaya akan tercampurlah (rosaklah dan bertukarlah) ia.” ‘Aisyah berkata : Aku menceritakan kepada baginda mengenai seseorang, baginda berkata : “Tidaklah aku suka bercerita mengenai seseorang walaupun aku diberi itu dan ini (dari benda-benda keduniaan).” (Sunan Abu Daud No: 4875) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Mengikut Imam Ghazali, mengumpat itu ialah engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya sekiranya sampai perkara itu kepadanya, sama ada kekurangan pada tubuh badannya, keturunannya, akhlaknya, perbuatannya, perkataannya, agamanya, atau dunianya termasuk pakaiannya, rumahnya atau haiwannya’. (Al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/143, Beirut : Dar al-Ma’rifah)

2.  Mengumpat boleh terhasil dengan perkataan, penulisan, isyarat, gelaran dan lain-lain, walau sekecil mana pun perkara itu, ia dikira mengumpat. 

3.  Cukuplah hadis ini menerangkan betapa buruknya mengumpat. Hanya dengan satu perkataan, bahkan dalam hadis di atas ‘Aisyah RA hanya mengisyaratkan sahaja bahawa Safiyah RA itu rendah (pendek), maka ia cukup untuk mengotorkan air laut seluruhnya. 

4.  Berkata al-Nawawi: Makna ‘tercampurlah ia’ dalam hadis di atas ialah air itu bercampur dengan kalimah itu sehingga bertukar rasanya atau baunya disebabkan buruknya perkataan mengumpat  itu.

5.  Ramai pengguna laman sosial hari ini sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja menulis seakan gembira mempersenda mana-mana tokoh figura yang tidak digemari tanpa disedari perilaku tersebut sebahagian dari cemuhan dan umpatan yang ditegah agama. Sama ada melalui pelbagai posting juga gambar yang dimuat naik serta yang di tularkan.

6.  Moga kelak kita di akhirat, tidak termasuk dari kalangan orang-orang yang berkata:

يَٰحَسۡرَتَىٰ عَلَىٰ مَا فَرَّطتُ فِي جَنۢبِ ٱللَّهِ وَإِن كُنتُ لَمِنَ ٱلسَّخِرِينَ ٥٦

“Sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan” [al-Zumar: 56].

21hb Jun  2021
10hb Zulkaedah 1442H

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...