Friday 18 June 2021

Kisah Seorang Frontliner Apabila Pesakit Terpaksa Ditidurkan ‼️

Kisah Seorang Frontliner Apabila Pesakit Terpaksa Ditidurkan ‼️

“Puan telefon suami ya. Bercakap dengan suami dan anak-anak ya. Selepas ini Puan akan tidak sedar dan kita tak tahu berapa lama.”

Dr Faizah menasihatkan pesakit itu untuk membuat panggilan video kepada suaminya. Dia bercakap dengan suara yang amat lembut sambil tangannya yang bersarung getah menyentuh bahu wanita tersebut. 

Saya tersentuh hati melihat empati yang ada pada dirinya. Dia menekan butang nombor pada telefonnya perlahan bagi panggilan video. Panggilan itu dijawab segera oleh suaminya. 

Kami memberikannya sedikit masa untuk bercakap dengan suami dan anak-anaknya.

Kami membuat keputusan untuk ‘menidurkan’ pesakit ini memandangkan paras oksigen hanya 87% walaupun sudah diberikan oksigen dengan kadar yang tinggi. Tanpa oksigen parasnya hanya 80%. Paras yang normal harus 95% ke atas dan kalau rendahpun sekurang-kurangnya 92%. 

Dia pula nampak tercungap-cungap dan kadar pernafasannya tinggi. Keputusan makmal menunjukkan dia positif Covid. 

Prosedur ini perlu, kerana jika tidak, dia akan mati. Ini saja caranya untuk dia ada peluang untuk terus hidup dan diselamatkan. 

Dia kelihatan sugul. Seorang wanita Indonesia berusia 36 tahun. Suaminya dan anak-anaknya di Indonesia dan dia bekerja di sini.

Sambil berdiri di hujung katil, saya dapat mendengar perbualannya. Saya sudahpun bersedia memakai alat ‘powered air-purifying respirator’ dan kelihatan seakan seorang angkasawan. Pakaian dan alatan ini melindungi saya ketika membuat prosedur perawatan ini. 
Semua ubatan juga sudah disediakan oleh jururawat seperti yang diminta. 

Kelihatan picagari berisi ubatan yang berlabel sudah ada. Tiub pernafasan sedia. Ventilator juga sudah tersedia. Alat video untuk memasukkan tiub pernafasan juga tersedia.

Dia bercakap dengan suaminya yang kelihatan sedih dan sayu. Begitu juga dengan anak-anaknya. Dia cuba memberitahu yang dia okay. Tetapi saya dapat rasakan yang itu semua hanyalah untuk menenangkan keluarganya.

Selesai semua, katil direbahkan. Dia diminta mengucap kalimah syahadah. Ubatan diberi sambil oksigen dikenakan dengan serkup udara yang dipegang sempurna.

Ubatan diberikan satu persatu - ubat penahan sakit, ubat sedatif, ubat relaksasi otot. Seraya itu, alat untuk menyua tiub masuk ke rongga pernafasan dimasukkan ke dalam mulut sambil laluannya ke tenggorok dilihat dengan jelas pada skrin video.

Setelah ia ditolak melepasi peti suara yang kelihatan seperti huruf ‘V’ pada skrin video, belon untuk mengetatkan kedudukan tiub itu supaya kukuh diisi udara dengan picagari. Tiub pernafasan disambungkan ke mesin ventilator di sebelah yang sudahpun dihidupkan lebih awal. Dr Elisa dan Jururawat Scholas membantu saya dengan cekap.

Paras oksigennya beransur baik hingga mencapai 98%. Alhamdulillah, tanda-tanda vitalnya nampak bagus selepas itu. Ia petanda yang baik. Dia diberikan ubat steroid dan penghalang darah beku. 

Dia akan tidur beberapa lama dan kami berharap dia akan pulih dan dapat kembali kepada keluarganya.

Di zon resusitasi ini pada syif kami saja, sudah 5 orang yang keputusannya positif Covid. Semua mereka memerlukan oksigen. 

Selain mereka, ada lagi 5 pesakit yang sudah disahkan positif dari klinik kesihatan yang diletakkan di zon dekontaminasi. Ada 4 lagi zon isolasi di Jabatan yang dipenuhi pesakit-pesaki yang ada masalah pernafasan dan katil-katil secara umumnya penuh dengan jumlahnya sekitar 50 orang. 

Sepanjang syif, loceng berbunyi tidak henti-henti membawa masuk pesakit-pesakit yang ada risiko pernafasan. Ada lagi yang masih menunggu keputusam makmal dan kami jangkakan akan juga positif Covid.

Janganlah anda mengambil mudah tentang SOP. Ramai yang ‘tewas’ terutamanya bersama keluarga dan rakan di meja makan - mask dibuka, bersembang rapat dan Covid merentas sesama sendiri.

Jangan mengharapkan orang untuk mengelakkan Covid. Ambillah tanggungjawab sendiri dan anda serta keluarga anda akan selamat.

Jika anda memilih untuk menjauhi manusia, virus ini akan gagal merentas dan mati seakan api yang tiada kayu berdekatan untuk terus menyala. Hairan kenapa menjauhi manusia, terutamanya apabila mask dibuka menjadi teramat payah sedangkan ia teramat mudah. 

Anda tidak mahu berada dalam situasi yang perbualan terakhir anda dengan orang yang anda sayangi adalah melalui panggilan video. 

Mungkin anda akan sembuh dan kembali kepada mereka dan ini yang cuba kami dan rakan-rakan semua cuba usahakan.

Tetapi tidak siapapun akan dapat tahu, sama ada anda benar-benar kembali kepada mereka atau kembali ke alam yang lain.

Kredit: Doktor Alzamani Mohammad Idrose

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...