Wednesday 23 June 2021

Jangan Memusuhi Sesama Muslim

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Memusuhi Sesama Muslim

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لَا يُشْرِكُ بِاللهِ شَيْئً إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ فَيُقَالُ: أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا

Daripada Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Pintu-pintu syurga dibuka setiap hari Isnin dan Khamis. Lalu diampuni dosa seluruh hamba yang tidak berbuat syirik (menyekutukan) kepada Allah dengan sesuatu apapun. Kecuali orang yang sedang ada permusuhan dengan saudaranya. Dikatakan: Tunda amal dua orang ini, sampai keduanya berdamai… tunda amal dua orang ini, sampai keduanya berdamai… tunda amal dua orang ini, sampai keduanya berdamai… (HR. Imam Malik dalam Al-Muwatha’ 5/1334, Sahih Muslim No:2565). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Pintu syurga sentiasa terbuka untuk orang yang mendapat keampunan Allah. Terdapat pintu syurga yang dibuka setiap hari Isnin dan Khamis. Dalam hadis yang lain menyebutkan kelebihan hari Isnin dan Khamis:

تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِى وَأَنَا صَائِمٌ

“Pelbagai amalan diangkat (pada Allah) pada hari Isnin dan Khamis, maka aku suka jika amalanku diangkat  sedangkan aku sedang berpuasa.” (HR. Tirmidzi No: 747) Status: Hadis Hasan

2.  Allah sentiasa mengampuni dosa selagi seseorang itu tidak melakukan perbuatan syirik.

3.  Allah juga akan menangguhkan penerimaan amal dan keampunan daripada dua orang yang bermusuhan sehingga mereka berdamai.

4.  Hadis ini mengulang 3 kali peringatan tidak diterima amal, mereka yang kekal  bermusuh sesama Muslim dan tidak segera berdamai.

5.  Rasulullah SAW juga memberi amaran bahawa orang yang memboikot saudaranya tanpa alasan yang benar selama setahun, dosanya seperti menumpahkan darahnya. Dari Abu Khirasy As-Sulami RA, Rasulullah SAW bersabda,

مَنْ هَجَرَ أَخَاهُ سَنَةً فَهُوَ كَسَفْكِ دَمِهِ

“Siapa yang memboikot saudaranya setahun, dia seperti menumpahkan darahnya.” (HR Abu Daud 4915, dan dishahihkan oleh Syuaib Al-Arnauth).

Jadikanlah diri kita orang yang segera menamatkan permusuhan sesama Muslim jika ada, agar amal kita diterima dan mendapat pengampunan serta rahmat Allah.

24hb Jun  2021
13hb Zulkaedah 1442H

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...