السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
NIAT DAN HIJRAH KERANA ALLAH
عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ: إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى. فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ.
Daripada Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al-Khattab RA, dia berkata:
"Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya kerana dunia yang ia inginkannya atau wanita yang ingin dikahwininya maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya (yang dia niatkan).”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 1) — Hadis Sahih
---
Pengajaran Hadis:
1. Setiap amal atau perbuatan seseorang itu bergantung kepada niat.
2. Niat merupakan syarat diterima atau tidaknya sesuatu amal perbuatan. Amal ibadah tidak akan menghasilkan pahala kecuali berdasarkan niat yang benar dan ikhlas kerana Allah.
3. Ikhlas melakukan sesuatu amal semata-mata kerana Allah adalah dituntut dalam semua amal dan ibadah.
4. Ganjaran pahala seorang mukmin akan diberi berdasarkan kadar dan keikhlasan niatnya.
5. Orang yang berhijrah atau melakukan sesuatu perbuatan kerana dunia, maka dia hanya akan dapat dunia yang diinginkan.
6. Orang yang berhijrah kerana wanita, dia hanya akan dapat apa yang diniatkannya itu.
7. Orang yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, dia akan memperoleh ganjaran dan reda Allah serta pahala akhirat.
8. Hijrah bukan hanya fizikal, tetapi juga spiritual – meninggalkan sesuatu yang buruk dan dilarang kepada sesuatu yang lebih baik dan diredai Allah.
9. Lakukanlah apa juga amal kebaikan dengan niat yang ikhlas kerana Allah. Berusahalah untuk terus melakukan hijrah kepada kebaikan serta meninggalkan segala perkara yang buruk dan berdosa.
---
Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1447H
Membangun Ummah Madani
📅 02 Muharam 1447H | 28 Jun 2025M
No comments:
Post a Comment