السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
TEMPOH MAKAN DAGING KORBAN
عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَابِسٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ: قُلْتُ لِعَائِشَةَ: أَنَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ تُؤْكَلَ لُحُومُ الْأَضَاحِيِّ فَوْقَ ثَلَاثٍ؟ قَالَتْ: مَا فَعَلَهُ إِلَّا فِي عَامٍ جَاعَ النَّاسُ فِيهِ، فَأَرَادَ أَنْ يُطْعِمَ الْغَنِيُّ الْفَقِيرَ. وَإِنْ كُنَّا لَنَرْفَعُ الْكُرَاعَ فَنَأْكُلُهُ بَعْدَ خَمْسَ عَشْرَةَ. قِيلَ: مَا اضْطَرَّكُمْ إِلَيْهِ؟ فَضَحِكَتْ، وَقَالَتْ: مَا شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ خُبْزِ بُرٍّ مَأْدُومٍ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ حَتَّى لَحِقَ بِاللَّهِ.
Daripada ‘Abdurrahman bin Abis daripada bapanya, ia berkata:
"Aku bertanya kepada ‘Aisyah RA: Adakah Nabi SAW melarang makan daging korban lebih dari tiga hari?"
‘Aisyah menjawab:
"Baginda tidak melakukan demikian kecuali pada tahun yang manusia mengalami kesusahan, supaya orang kaya memberi makan kepada yang miskin. Sesungguhnya kami pernah menyimpan kaki kambing dan memakannya selepas 15 hari."
Ada yang bertanya: "Apa yang menyebabkan kamu berbuat demikian?"
Maka ‘Aisyah RA ketawa, lalu berkata: "Keluarga Muhammad SAW tidak pernah kenyang makan roti gandum selama tiga hari berturut-turut hingga baginda wafat."
(Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 5003 – Hadis Sahih)
---
Pengajaran Hadis:
1. Daging korban disyariatkan sebahagiannya untuk disedekahkan kepada fakir miskin dan 1/3 boleh dimakan sendiri atau dihadiahkan.
2. Daging korban boleh disimpan lebih daripada 3 hari tasyriq. Larangan Nabi SAW sebelum ini hanya untuk situasi tertentu ketika berlakunya kelaparan.
3. Ini juga menunjukkan keperibadian Nabi SAW dan keluarganya yang sangat berjimat serta zuhud dalam bab makan dan kehidupan.
4. Orang mukmin sepatutnya menjaga adab makan: makan bila lapar dan berhenti sebelum kenyang.
5. Seperti hadis lain:
بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ...
Maksudnya: Cukuplah bagi anak Adam beberapa suapan untuk menegakkan tulang belakangnya. Jika tidak dapat dielakkan, maka sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga untuk nafasnya.
(Hadis Riwayat al-Tirmizi, No. 2380 – Hadis Hasan Sahih)
---
Tarikh:
10 Zulhijjah 1446H
07 Jun 2025M
No comments:
Post a Comment