Sunday, 31 August 2025

BERSAMA DENGAN ORANG YANG DICINTAI

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

BERSAMA DENGAN ORANG YANG DICINTAI

عَنْ أَبِي وَائِلٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ

Daripada Abu Wa`il dari Abdullah dari Nabi SAW bahawa baginda bersabda: "Seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya."
(HR Bukhari No: 5702) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Orang yang mencintai seseorang akan sentiasa bersama dengan orang yang dicintai.


2. Ibnu Hajar menjelaskan: sesungguhnya kita akan bersama dengan orang yang kita cinta, sentiasa akan didekatkan dengan orang yang dicintai malah kita akan termasuk dalam golongan yang dicintai.


3. Cintailah orang yang soleh dengan meneladani cara hidup, akhlak, perjuangan dan amalan mereka kerana seseorang akan dibangkitkan di hari kiamat bersama orang yang dicintai.


4. Ibnu Battal dalam Syarah Sahih Al-Bukhari (9/333) menyatakan: Ketika seseorang mencintai orang soleh kerana ketaatan mereka kepada Allah, sedangkan cinta itu adalah perbuatan hati dan keyakinan, maka Allah memberi pahala kepadanya sebagaimana pahala orang soleh yang dicintainya.

قِيلَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الرَّجُلُ يُحِبُّ الْقَوْمَ وَلَمَّا يَلْحَقْ بِهِمْ، قَالَ: الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ
Ada yang berkata kepada Nabi SAW, “Ada seseorang yang mencintai suatu kaum, namun ia tidak pernah berjumpa dengan mereka.” Nabi SAW lantas bersabda, “Setiap orang akan dikumpulkan bersama orang yang ia cintai.”
(HR Muslim No: 2640) Status: Hadis Sahih.


5. Orang yang cinta kepada Rasulullah SAW akan tetap dapat bersama baginda memasuki Syurga walaupun tingkatan syurganya berbeza (Fathul Bari, 10:555).


6. Cinta kepada Rasulullah SAW ialah dengan mencontohi, mengikuti dan mentaati perintah serta larangan baginda. Amalan ini akan menatijahkan kecintaan Rasulullah SAW kepada kita walaupun kita tidak pernah berjumpa dengan baginda.



🌸 Rabiul Awal, bulan mengingatkan kita kepada kelahiran Nabi Muhammad SAW.
Marilah kita menunjukkan kecintaan kepada baginda. Dalam membina kehidupan di negara tercinta ini, kita mengharapkan kebahagiaan bukan hanya di dunia tetapi juga di akhirat. Jadikanlah Rasulullah SAW serta orang-orang soleh sebagai qudwah untuk kita contohi dan cintai.
Moga kita akan bersama mereka di Syurga nanti.

✨ Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447H

08 Rabiul Awal 1447H
01 September 2025M

Saturday, 30 August 2025

AKHLAK MUSLIM

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

AKHLAK MUSLIM

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
لَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَنَاجَشُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا، الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ، التَّقْوَى هَاهُنَا (وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ)، بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنْ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ، كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ: دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ.

Daripada Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda:
"Janganlah kamu saling mendengki, jangan melakukan najsh (menaikkan harga secara tipu), jangan saling membenci, jangan saling memusuhi, dan jangan seseorang di antara kamu menjual atas jualan saudaranya. Jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim lain; tidak boleh menzaliminya, tidak boleh mengkhianatinya, tidak boleh merendahkannya. Takwa itu di sini (sambil menunjuk dada Baginda sebanyak tiga kali). Cukuplah seseorang dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya Muslim. Setiap Muslim haram ke atas Muslim lain: darahnya, hartanya, dan maruahnya."
(HR Muslim No: 4650) – Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam melarang akhlak buruk seperti:
a. Dengki
b. Najsh (penipuan harga dalam jual beli)
c. Membenci
d. Memutuskan hubungan (tidak bertegur sapa)
e. Menjual di atas jualan orang lain


2. Muslim sesama Muslim adalah bersaudara; dilarang menzalimi, mengkhianati dan menghina.


3. Takwa ialah asas akhlak yang baik, tempatnya di hati tetapi mesti dizahirkan melalui perbuatan.


4. Menghina saudara Muslim dianggap sebagai kejahatan besar – termasuk meremehkan, memperlekeh atau merendahkan mereka.


5. Penghinaan lahir daripada sifat sombong dan merasa diri lebih mulia.


6. Haram ke atas sesama Muslim:
a. Menumpahkan darah
b. Merampas harta
c. Merosakkan maruah



➡️ Dalam membina masyarakat yang harmoni, setiap Muslim wajib menjaga hak saudara Muslim lain. Ukhuwah Islamiah adalah asas kekuatan umat; ia akan runtuh jika hak persaudaraan diabaikan.

📅 07 Rabiul Awwal 1447H / 31 Ogos 2025M

Friday, 29 August 2025

JADILAH HAMBA ALLAH YANG BERSAUDARA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

JADILAH HAMBA ALLAH YANG BERSAUDARA

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Jauhilah kamu daripada berprasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, Janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, jangan mengintip, janganlah kamu saling dengki-mendengki, jangan berpaling daripada saudaramu, jangan saling membenci, dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.”
(HR Bukhari No: 5717) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam mengajar agar kita menjauhi prasangka buruk kepada orang lain kerana ia membawa kepada dosa dan perpecahan.


2. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa prasangka buruk terhadap orang Islam tanpa bukti akan merosakkan hati, menimbulkan permusuhan, dan membawa kepada dosa mengumpat serta fitnah.


3. Seorang Muslim wajib menjaga kehormatan saudaranya dengan tidak mencari-cari berita atau mengintip kelemahan, aib atau kesalahannya. Kedua-duanya dilarang kerana ia melanggar hak peribadi Muslim dan boleh memecah belahkan masyarakat.


4. Hasad dengki adalah penyakit hati yang membinasakan amal dan merosakkan hubungan persaudaraan.


5. Islam melarang sikap berpaling daripada saudara Muslim yang lain, tidak bertegur dan memutuskan silaturahim.


6. Islam juga melarang saling membenci, sama ada melalui kata-kata, perbuatan, atau sikap yang lahir daripada hati yang kotor.


7. Setiap Muslim dituntut agar berusaha menjaga tali persaudaraan sesama Muslim dengan sentiasa hidup dalam suasana kasih sayang, dan menjadi saudara seagama yang sejati.



Marilah kita menjaga persaudaraan dengan menjauhi sangka buruk, tidak mencari kelemahan orang lain, tidak berdengki, elakkan membenci, dan tidak membelakangkan orang lain. Hiduplah kita sebagai hamba Allah yang bersaudara dengan mengukuhkan persaudaraan berlandaskan iman dan kasih sayang.

📅 06hb Rabiul Awal 1447H / 30hb Ogos 2025M

Thursday, 28 August 2025

MUSLIM YANG UTAMA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ


---

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

MUSLIM YANG UTAMA

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ قَالَ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Daripada Abu Musa RA berkata: "Wahai Rasulullah, Islam yang bagaimanakah yang paling utama?" Rasulullah SAW menjawab: "Siapa yang kaum Muslimin selamat dari lidah dan tangannya".
(HR Bukhari No: 10) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam mengajar umatnya agar sentiasa memiliki akhlak yang mulia.


2. Menjaga lidah daripada mengumpat, menghina, mencela, mengadu domba dan lain-lain adalah dituntut.


3. Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menjelaskan bahawa lidah boleh menjadi punca fitnah, ghibah, namimah, penghinaan, penipuan, dan syirik. Maka menjaga lidah adalah tanda kesempurnaan Islam seseorang.


4. Memelihara tangan bukan sahaja daripada mencuri, memukul dan merampas, malah termasuk menulis atau menyebarkan fitnah, umpatan dan penghinaan.


5. Individu yang paling utama di sisi Allah ialah yang dirasai kebaikannya serta tidak memudaratkan orang lain dengan lisan atau perbuatan.


6. Segala apa yang ditulis, ditutur dan dilakukan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Firman Allah:

إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

“Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati nurani, semua anggota itu tetap akan ditanya di akhirat tentang apa yang dilakukannya.”
(Surah Al-Isra 17: Ayat 36)


7. Imam al-Khaththabi menegaskan bahawa Muslim yang paling utama ialah yang menunaikan hak Allah dengan baik serta menunaikan hak sesama Muslim dengan baik juga.


8. Seorang Muslim yang sempurna ialah yang tidak menyakiti orang lain dengan perbuatannya. Marilah kita berusaha menjadi Muslim yang utama dengan menjaga lisan dan tangan.



📅 05 Rabiul Awal 1447H
📅 29 Ogos 2025M

Wednesday, 27 August 2025

SALING BERKASIH SAYANG DENGAN MENYEBARKAN SALAM

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

SALING BERKASIH SAYANG DENGAN MENYEBARKAN SALAM

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
“Kamu tidak akan masuk syurga hingga kamu beriman. Dan kamu tidak dikatakan benar-benar beriman sehingga kamu saling berkasih sayang. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu suatu amalan yang apabila kamu melakukannya, nescaya kamu akan saling berkasih sayang? (iaitu) sebarkanlah salam di antara kamu.”
(HR Muslim No: 54, Dar Ihya Kutub Arabiyyah)
Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Syurga hanya untuk orang yang beriman.


2. Syarat beriman ialah adanya kasih sayang antara sesama Muslim.


3. Iman sempurna tidak tercapai tanpa kasih sayang (Imam al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim).


4. Kasih sayang bukan sekadar perasaan, tetapi dizahirkan melalui perbuatan seperti memberi salam, membantu, mendoakan, dan menjaga hak persaudaraan.


5. Menyebarkan salam dituntut sama ada kepada orang dikenali atau tidak (HR Muslim no. 56).


6. Ibn Hajar al-‘Asqalani menegaskan bahawa salam ialah kunci perhubungan hati, kerana ia doa keselamatan bagi saudara seIslam.


7. Amalan salam menumbuhkan rasa cinta, menghilangkan kebencian, mengeratkan silaturahim, dan membina suasana aman dalam masyarakat.



📅 04 Rabiul Awwal 1447H
📅 28 Ogos 2025

Tuesday, 26 August 2025

SALING BERKASIH SAYANG KERANA ALLAH DINAUNGI DI HARI KIAMAT

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

SALING BERKASIH SAYANG KERANA ALLAH DINAUNGI DI HARI KIAMAT

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَيْنَ الْمُتَحَابُّونَ بِجَلَالِي الْيَوْمَ أُظِلُّهُمْ فِي ظِلِّي يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلِّي

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah Ta'ala berfirman pada hari kiamat kelak: Dimanakah orang-orang yang saling berkasih sayang kerana keagungan-Ku? Hari ini kunaungi mereka, di mana tidak ada naungan pada hari ini selain naungan-Ku."
(HR Muslim No: 4655)
Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Saling mengasihi dan berkasih sayang antara sesama orang beriman adalah suatu tuntutan agama.


2. Menurut Imam al-Nawawi, kasih sayang kerana Allah bermaksud seseorang mencintai saudaranya semata-mata kerana agama, iman dan ketaatan, bukan kerana dunia atau kepentingan lain.


3. Dua orang yang saling berkasih sayang kerana Allah akan tergolong dalam golongan yang mendapat naungan di hari Kiamat. Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan bahawa naungan Allah adalah perlindungan khusus daripada kepanasan dan kesusahan di Padang Mahsyar.


4. Ibnu Hajar rahimahullah menegaskan, kasih sayang kerana Allah tidak terputus, walaupun berpisah, sehingga maut memisahkan.


5. Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk memberitahu sahabat jika kita menyayanginya kerana Allah, dengan lafaz:

إِنِّي أُحِبُّكَ فِي اللهِ
“Sesungguhnya aku menyayangimu kerana Allah.”

Lalu balaslah dengan lafaz:

أَحَبَّكَ الَّذِي أَحْبَبْتَنِي لَهُ
“Mudah-mudahan Allah menyayangimu yang telah menyayangiku kerana-Nya.”


6. Dalam membina masyarakat yang harmoni, marilah kita memperbanyakkan sahabat yang baik dengan saling menyayangi semata-mata kerana Allah.




---

📅 03 Rabiul Awal 1447H / 27 Ogos 2025

Monday, 25 August 2025

KESEMPURNAAN IMAN DENGAN MENGASIHI ORANG LAIN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

KESEMPURNAAN IMAN DENGAN MENGASIHI ORANG LAIN

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Tidak beriman (sempurna iman) seseorang dari kalian sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri".
(HR Bukhari No: 13) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam memerintahkan umatnya agar sentiasa memiliki sifat saling mengasihi sesama Muslim.


2. Jika kita suka diri kita mendapat nikmat dalam hal keagamaan, maka wajib bagi kita menyayangi saudara Muslim lain agar mendapat nikmat yang sama.


3. Ibn Hajar al-‘Asqalani menegaskan bahawa kasih sayang itu bermaksud menginginkan kebaikan dunia dan akhirat untuk saudaranya sama seperti dia inginkan untuk dirinya sendiri, bukan sekadar perkara duniawi.


4. Imam al-Ghazali menghuraikan bahawa apabila seseorang mukmin benar-benar mencintai saudaranya, dia tidak akan sanggup menzalimi, menipu, atau mengambil kesempatan atas kelemahan saudaranya. Sebaliknya, dia akan berusaha menjaga hak-hak saudaranya dan menggembirakannya.


5. Ambillah iktibar kisah Aus dan Khazraj di Madinah, yang asalnya fanatik dengan kaum masing-masing namun Allah satukan hati mereka dengan kasih sayang apabila menerima Islam. Mereka bersatu dan berjuang atas nama Islam.


6. Firman Allah:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
“Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara. Oleh itu damaikanlah antara saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah supaya kamu mendapat rahmat” (al-Hujurat: 10).


7. Saudara seagama adalah tanggungjawab kita: membantu ketika perlu, menasihati, mendengar masalah, memberi sokongan, serta mendoakan mereka kerana doa yang ikhlas tanpa pengetahuan saudaranya adalah doa yang mustajab.



Marilah kita memperbaharui semangat perpaduan dan kebersamaan dengan saling mengasihi dan menyayangi orang lain. Semoga sifat ini mengukuhkan jati diri kita dalam membina negara yang teguh dan mendapat keredhaan Allah.

02 Rabiul Awwal 1447H / 26 Ogos 2025M

Sunday, 24 August 2025

SAYANGI MANUSIA LAIN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

SAYANGI MANUSIA LAIN

عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَرْحَمُ اللَّهُ مَنْ لَا يَرْحَمُ النَّاسَ

Daripada Jarir bin Abdullah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Allah tidak akan menyayangi sesiapa yang tidak menyayangi manusia.”
(HR Bukhari No: 6828) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sifat saling mengasihi dan menyayangi sesama manusia adalah suatu keperluan dalam mewujudkan kehidupan yang rahmah dan berkasih sayang.


2. Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan bahawa maksud hadis ini ialah sesiapa yang tidak menzahirkan sifat rahmah (kasih sayang, belas ihsan, simpati, tolong-menolong) terhadap orang lain, maka Allah tidak akan melimpahkan rahmat-Nya kepadanya.


3. Menyayangi sesama manusia dengan cara menunaikan tanggungjawab hak orang lain sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ ... (HR Muslim No: 4023) Status: Hadis Sahih.


4. Imam al-Nawawi menyebut bahawa hadis ini bersifat umum iaitu meliputi rahmat kepada semua manusia — Muslim atau bukan Muslim, kanak-kanak, orang tua, fakir miskin, hamba, atau sesiapa sahaja.


5. Kasih sayang sesama manusia akan melahirkan masyarakat yang harmoni dan terhindar daripada penindasan.


6. Jauhilah sifat benci, dengki dan sakit hati sesama kita juga kaum dan bangsa lain. Jadikanlah perbezaan bangsa untuk kita saling berkenalan dan menyebarkan kebaikan agar kita menjadi qudwah kepada mereka.



🌺 Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025
Malaysia Madani: Rakyat Disantuni

01 Rabiul Awwal 1447H
25 Ogos 2025

Saturday, 23 August 2025

BERTAKWA DAN BERAKHLAK DALAM PERGAULAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

BERTAKWA DAN BERAKHLAK DALAM PERGAULAN

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
اتَّقِ اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْتَ، وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Daripada Abu Dzar RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda kepadaku:
"Bertakwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada dan ikutilah setiap keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapuskannya, serta bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang baik."
(HR Tirmizi No: 1910)
Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Setiap Muslim perlu memiliki sifat takwa dalam setiap keadaan dan tempat.


2. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa takwa ialah melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya sama ada ketika bersendirian atau di khalayak ramai.


3. Takwa ialah sifat berhati-hati serta merasakan diri sentiasa diawasi Allah.


4. Abu Darda RA berkata: Taqwa yang paling sempurna ialah takut kepada Allah walau dalam urusan sekecil zarah, bahkan meninggalkan yang halal kerana khuatir ia membawa kepada yang haram.


5. Lakukan kebaikan sebagai penghapus dosa, seperti istighfar, wuduk, solat, sedekah dan lain-lain. Firman Allah:

إِنَّ الحَسَنٰتِ يُذهِبنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذٰلِكَ ذِكرىٰ لِلذّٰكِرينَ
“Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu akan menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.”
(Surah Hud: 114)


6. Berakhlak baiklah dalam pergaulan dengan keluarga, jiran, rakan sekerja dan masyarakat, sama ada Muslim atau bukan Muslim.


7. Jagalah akhlak dalam organisasi dan masyarakat; jauhi umpatan, fitnah, hinaan serta sikap merendahkan orang lain.



➡️ Jadilah kita orang bertakwa, beramal soleh, menjauhi kemungkaran dan berakhlak mulia dalam pergaulan.

📅 30 Safar 1447H | 24 Ogos 2025M

BERTAKWA DAN BERAKHLAK DALAM PERGAULAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

BERTAKWA DAN BERAKHLAK DALAM PERGAULAN

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
اتَّقِ اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْتَ، وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Daripada Abu Dzar RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda kepadaku:
"Bertakwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada dan ikutilah setiap keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapuskannya, serta bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang baik."
(HR Tirmizi No: 1910)
Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Setiap Muslim perlu memiliki sifat takwa dalam setiap keadaan dan tempat.


2. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa takwa ialah melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya sama ada ketika bersendirian atau di khalayak ramai.


3. Takwa ialah sifat berhati-hati serta merasakan diri sentiasa diawasi Allah.


4. Abu Darda RA berkata: Taqwa yang paling sempurna ialah takut kepada Allah walau dalam urusan sekecil zarah, bahkan meninggalkan yang halal kerana khuatir ia membawa kepada yang haram.


5. Lakukan kebaikan sebagai penghapus dosa, seperti istighfar, wuduk, solat, sedekah dan lain-lain. Firman Allah:

إِنَّ الحَسَنٰتِ يُذهِبنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذٰلِكَ ذِكرىٰ لِلذّٰكِرينَ
“Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu akan menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.”
(Surah Hud: 114)


6. Berakhlak baiklah dalam pergaulan dengan keluarga, jiran, rakan sekerja dan masyarakat, sama ada Muslim atau bukan Muslim.


7. Jagalah akhlak dalam organisasi dan masyarakat; jauhi umpatan, fitnah, hinaan serta sikap merendahkan orang lain.



➡️ Jadilah kita orang bertakwa, beramal soleh, menjauhi kemungkaran dan berakhlak mulia dalam pergaulan.

📅 30 Safar 1447H | 24 Ogos 2025M

Friday, 22 August 2025

ORANG YANG BERHAK MENDAPAT KECINTAAN ALLAH

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

ORANG YANG BERHAK MENDAPAT KECINTAAN ALLAH

حَدَّثَنَا هَاشِمٌ حَدَّثَنِي عَبْدُ الْحَمِيدِ حَدَّثَنِي شَهْرٌ حَدَّثَنِي أَبُو ظَبْيَةَ قَالَ إِنَّ شُرَحْبِيلَ بْنَ السِّمْطِ دَعَا عَمْرَو بْنَ عَبَسَةَ السُّلَمِيَّ فَقَالَ يَا ابْنَ عَبَسَةَ هَلْ أَنْتَ مُحَدِّثِي حَدِيثًا سَمِعْتَهُ أَنْتَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ فِيهِ تَزَيُّدٌ وَلَا كَذِبٌ وَلَا تُحَدِّثْنِيهِ عَنْ آخَرَ سَمِعَهُ مِنْهُ غَيْرِكَ قَالَ نَعَمْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ قَدْ حَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَحَابُّونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَصَافُّونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَزَاوَرُونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَبَاذَلُونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَنَاصَرُونَ مِنْ أَجْلِي

Daripada Amru bin Abasah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Allah Ta'ala berfirman: Sungguh telah berhak mendapat kecintaan-Ku orang-orang yang saling mencintai kerana Aku, sungguh telah berhak mendapat kecintaan-Ku orang-orang yang saling merapatkan barisan kerana Aku, sungguh telah berhak mendapat kecintaan-Ku orang-orang yang saling mengunjungi kerana Aku, sungguh telah berhak mendapat kecintaan-Ku orang-orang yang saling berkorban (membantu) kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapat kecintaan-Ku orang-orang yang saling menolong kerana Aku."
(HR Ahmad No: 18621)
Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Seorang Muslim berhak mendapat kecintaan Allah apabila saling mencintai kerana Allah.


2. Ukhuwah yang dirapatkan kerana Allah akan membawa keberkatan.


3. Menziarahi sahabat dan saudara kerana Allah adalah ibadah yang mendekatkan kepada-Nya.


4. Saling berkorban untuk membantu orang lain kerana Allah menjadi sebab dicintai Allah.


5. Saling menyantuni dan menolong kerana Allah membina masyarakat yang harmoni.



Marilah kita tanamkan sifat kasih sayang, pereratkan ukhuwah, saling menziarahi dan membantu khususnya kepada orang tua dan yang lemah. Dengan sifat ini, kita akan membina masyarakat yang sejahtera serta layak dicintai Allah.

📅 29 Safar 1447H / 23 Ogos 2025M

Thursday, 21 August 2025

JADILAH WARGANEGARA BERMANFAAT

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

JADILAH WARGANEGARA BERMANFAAT

عَنِ ابْنِ عُمَرَ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ، وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ، أَوْ تَكَشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً، أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا، أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا، وَلأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخٍ فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ – يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ – شَهْرًا "

Daripada Ibnu ‘Umar RA, Nabi SAW bersabda:
“Manusia yang paling dicintai oleh Allah ialah yang paling banyak memberikan manfaat kepada manusia lain. Amalan yang paling dicintai Allah ialah membahagiakan seorang Muslim, meringankan kesusahannya, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi keperluannya, maka itu lebih aku cintai daripada beriktikaf sebulan di masjid ini (iaitu Masjid Nabawi di Madinah).”
(HR at-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir no. 13280; hasan – Sahih al-Jami‘ no. 176)

Pengajaran Hadis

1. Orang yang paling dicintai Allah ialah yang paling bermanfaat kepada manusia lain.


2. Amalan terbaik ialah membahagiakan Muslim lain: meringankan kesusahan, melunaskan hutang atau menghilangkan kelaparan.


3. Membantu orang lain lebih dicintai Allah daripada iktikaf sebulan di Masjid Nabawi.


4. Umat Islam perlu membina masyarakat prihatin yang saling menyantuni agar negara kekal bersatu padu dan dirahmati Allah.



📅 28 Safar 1447H / 22 Ogos 2025M

Wednesday, 20 August 2025

JADILAH PENGASIH UNTUK DIRAHMATI ALLAH

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

JADILAH PENGASIH UNTUK DIRAHMATI ALLAH

سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :
إِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ

Daripada Saad bin Ubadah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah hanya merahmati hamba-hamba-Nya yang pengasih.”
(HR Bukhari No: 1284)
Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sifat penyayang dan pengasih adalah dituntut pada setiap Muslim.


2. Allah hanya merahmati Muslim yang memiliki sifat kasih sayang kepada sesama manusia dan makhluk lain untuk diberi ganjaran syurga.


3. Milikilah sifat kasih sayang terhadap orang lain, antaranya membantu mereka yang sedang menghadapi musibah dengan wang ringgit, tenaga mahupun nasihat.


4. Kasihilah orang lain dengan mendoakan kebaikan, memaafkan mereka, menolong orang dalam kesusahan, memberi makan orang kelaparan serta mengunjungi orang sakit dan yang ditimpa musibah.


5. Jika membenci kejahatan seseorang, lakukan dengan cara yang dibenarkan syarak, bukan dengan memaki hamun di media sosial.



Jika kita ingin dirahmati Allah, maka milikilah sifat pengasih terhadap orang lain. Islam adalah agama yang mulia dan berakhlak.

27 Safar 1447H
21 Ogos 2025M

Tuesday, 19 August 2025

RAHMAT KEPADA SEMUA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

RAHMAT KEPADA SEMUA

عَنْ أَبِي مُوسَى الأَشْعَرِيِّ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: لَنْ تُؤْمِنُوا حَتَّى تَرَاحَمُوا.
قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ كُلُّنَا رَحِيمٌ.
قَالَ: إِنَّهُ لَيْسَ بِرَحْمَةِ أَحَدِكُمْ صَاحِبَهُ وَلَكِنَّهَا رَحْمَةُ النَّاسِ رَحْمَةُ الْعَامَّةِ

Daripada Abu Musa RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Kamu tidak dikira beriman sehingga kamu berkasih sayang (saling rahmah).” Para Sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami semua telah berkasih sayang. Baginda bersabda: “(Maksud aku) bukan seperti kasih sayang seseorang kamu terhadap kawannya, tetapi rahmah kasih sayang terhadap seluruh manusia, rahmah secara umum (kepada seluruh makhluk).”

(Sumber: Riwayat al-Haythami dalam Majma’ al-Zawaid 8/189, al-Hakim dalam al-Mustadrak 7418. Dinilai Hasan Lighairihi dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib no. 2253)

Pengajaran:

1. Islam adalah agama rahmah; membawa kasih sayang, belas ihsan dan simpati.


2. Memiliki sifat rahmah sesama Muslim adalah tanda keimanan.


3. Rahmah bukan hanya sesama Muslim, tetapi juga terhadap bukan Islam serta makhluk lain.


4. Al-Quran menekankan kepelbagaian bangsa & kaum untuk saling kenal-mengenali (al-Hujurat: 13).


5. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, sifat rahmah perlu dizahirkan dengan dakwah berakhlak mulia.


6. Naluri kasih sayang adalah fitrah manusia kepada keluarga, orang lemah, binatang, dan sesama insan.


7. Suburkan rahmah agar menjadi sebab orang lain cenderung kepada Islam.


8. Kasih sayang menghalang daripada menzalimi atau menganiaya orang lain.


9. Allah menyayangi orang yang menyayangi sesama makhluk. Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ
“Sesungguhnya Allah hanya akan menyayangi hamba yang menyayangi (makhluk-Nya).” (HR At-Tobrani, al-Mu’jam al-Kabir. Status: Hasan)



📅 26 Safar 1447H / 20 Ogos 2025M

Monday, 18 August 2025

JADILAH WARGANEGARA TERBAIK

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

JADILAH WARGANEGARA TERBAIK

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ  أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَفَ عَلَى أُنَاسٍ جُلُوسٍ  فَقَالَ   أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِكُمْ مِنْ شَرِّكُمْ   قَالَ  فَسَكَتُوا  فَقَالَ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ  فَقَالَ رَجُلٌ  بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ  أَخْبِرْنَا بِخَيْرِنَا مِنْ شَرِّنَا  قَالَ : " خَيْرُكُمْ مَنْ يُرْجَى خَيْرُهُ وَيُؤْمَنُ شَرُّهُ  وَشَرُّكُمْ مَنْ لَا يُرْجَى خَيْرُهُ وَلَا يُؤْمَنُ شَرُّهُ "

Daripada Abu Hurarirah RA berkata: Nabi SAW melewati sekelompok orang yang sedang duduk. Baginda SAW bersabda:
“Mahukah aku beritahu kalian, orang yang terbaik di antara yang terburuk dalam kalangan kalian?” Mereka pun terdiam. Rasulullah SAW mengulangi pertanyaan itu sampai tiga kali. Lalu seorang lelaki berkata: “Ya, wahai Rasulullah! Beritahu kami siapakah orang yang terbaik di antara yang terburuk di antara kami.” Rasulullah SAW bersabda:
“Manusia terbaik di antara kalian ialah yang diharapkan kebaikannya dan orang lain merasa aman daripada keburukannya. Manusia terburuk di antara kalian ialah yang tidak diharapkan kebaikannya dan orang lain juga tidak merasa aman daripada keburukannya.”
(HR Tirmizi no. 2263 – Sahih, disahkan dalam Shahih al-Jami’ no. 2603)


---

Pengajaran:

1. Manusia terbaik ialah yang sentiasa memberi manfaat dan orang lain merasa aman daripada keburukannya.


2. Manusia terburuk ialah yang tidak memberi kebaikan malah menimbulkan keburukan pada orang lain.


3. Kehadiran kita dalam masyarakat hendaklah membawa kebaikan dan manfaat. Rasulullah SAW bersabda:
خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.” (HR Ibn Hibban, 2/48)


4. Orang yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain. Sabda Nabi SAW:
أحَبُّ النَّاسِ إلى اللهِ أنفَعُهم للنَّاسِ
“Orang paling dicintai Allah ialah yang paling bermanfaat bagi orang lain.” (Riwayat at-Tabarani, al-Mu’jam al-Ausot 6/139)



➡️ Marilah kita berusaha menjadi warganegara yang membawa kebaikan, manfaat dan keamanan, bukan menjadi musibah serta mudarat kepada masyarakat dan negara.

📅 25 Safar 1447H
📅 19 Ogos 2025M

Sunday, 17 August 2025

SUJUD MENGUGURKAN DOSA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ


---

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

SUJUD MENGUGURKAN DOSA

عَنْ سَلْمَانَ الْفَارِسِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ الْمُسْلِمَ لَيُصَلِّيَ وَخَطَايَاهُ مَوْضُوعَةٌ عَلَى رَأْسِهِ ، فَكُلَّمَا سَجَدَ تَحَاتَّتْ عَنْهُ ، فَتَفْرُغُ حِينَ يَفْرُغُ مِنْ صَلَاتِهِ ، وَقَدْ تَحَاتَّتْ خَطَايَاهُ

Daripada Salman al-Farisi RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya seorang Muslim apabila dia solat, dosa-dosanya diletakkan di atas kepalanya. Maka setiap kali dia sujud, dosa-dosa itu gugur daripadanya. Maka apabila dia selesai solat, dia pun telah selesai dalam keadaan dosa-dosanya telah gugur daripadanya."
(HR al-Tabarani No: 1153 dalam al-Mu‘jam al-Kabir, dan disebut juga oleh al-Mundhiri dalam al-Targhib wa al-Tarhib)
Status: Hadis Sahih


---

Pengajaran:

1. Solat adalah ibadah utama yang bukan sekadar kewajipan, tetapi juga jalan penyucian diri daripada dosa.


2. Sujud mempunyai nilai rohani yang tinggi; ia adalah saat paling hampir seorang hamba dengan Tuhannya.


3. Pengampunan yang dimaksudkan adalah bagi dosa-dosa kecil, manakala dosa besar tetap memerlukan taubat yang khusus.


4. Hadis ini menunjukkan rahmat Allah yang luas – setiap kali seorang Muslim solat, dia mendapat peluang untuk kembali bersih daripada dosa.




---

📅 24 Safar 1447H / 18 Ogos 2025M

Saturday, 16 August 2025

PERBANYAKKAN DOA KETIKA SUJUD

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERBANYAKKAN DOA KETIKA SUJUD

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Waktu paling hampir seorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika dia sedang sujud, maka perbanyakkan doa.
(HR Muslim no: 482) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sujud adalah kedudukan paling istimewa dalam solat yang melambangkan kehinaan diri sepenuhnya di hadapan Allah.


2. Ibn Rajab al-Hanbali menjelaskan bahawa hampirnya hamba kepada Allah dalam sujud bukan secara fizikal, tetapi dari segi kerohanian dan kemuliaan.


3. Imam al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din menyebut bahawa hati yang hadir penuh khusyuk dalam sujud adalah kunci utama doa dimakbulkan.


4. Doa adalah senjata Mukmin. Sujud termasuk tempat yang mustajab untuk berdoa.


5. Kedekatan dengan Allah dicapai melalui pengabdian ikhlas, kerendahan hati dan doa yang dipanjatkan ketika sujud.



📅 23 Safar 1447H
📅 17 Ogos 2025M

Friday, 15 August 2025

Kelebihan Sujud Dalam Solat

*ASSALAMULAIKUM WBT.*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kelebihan Sujud Dalam Solat

عَنْ ثَوْبَانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْجُدُ لِلَّهِ سَجْدَةً، إِلَّا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِهَا حَسَنَةً، وَحَطَّ عَنْهُ بِهَا سَيِّئَةً، وَرَفَعَ لَهُ بِهَا دَرَجَةً، فَاسْتَكْثِرُوا مِنَ السُّجُودِ

Daripada Thawban RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Tiada seorang hamba pun yang bersujud kepada Allah dengan satu sujud, melainkan Allah akan menulis untuknya satu kebaikan, menghapuskan daripadanya satu dosa (keburukan), dan mengangkatnya satu darjat. Maka perbanyakkanlah sujud. (HR Muslim No: 488) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menurut Imam al-Nawawi, hadis ini menunjukkan kelebihan sujud sebagai bentuk ibadah yang sangat mulia. Sujud merupakan tempat paling dekat antara seorang hamba dengan Tuhannya. 

2.  Sujud bukan hanya dalam solat fardhu, tetapi juga termasuk sujud dalam solat sunat, sujud tilawah, dan sujud syukur. Hal ini memperlihat bahawa amalan sujud mempunyai kesan rohani yang sangat besar.

3.  Ibn Hajar al-Asqalani menegaskan bahawa tiga ganjaran yang disebut dalam hadis ini untuk orang yang sujud iaitu penambahan pahala, penghapusan dosa, dan peningkatan darjat adalah tanda kasih sayang dan kemurahan Allah SWT terhadap hamba-Nya.

4.  Hadis ini menggalakan agar memperbanyak sujud sebagai galakan untuk memperbanyak solat, khususnya solat sunat, kerana setiap kali sujud dalam solat membawa kepada ganjaran tersebut.

5.  Memperbanyak sujud bermakna memperbanyak peluang untuk mendapat rahmat dan keampunan Allah serta mendekatkan diri kepada Allah.

22hb Safar 1447H
16hb Ogos 2025M

Thursday, 14 August 2025

WUDUK MENGHAPUSKAN DOSA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

WUDUK MENGHAPUSKAN DOSA

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا تَوَضَّأَ الْعَبْدُ الْمُسْلِمُ، أَوِ الْمُؤْمِنُ، فَغَسَلَ وَجْهَهُ، خَرَجَ مِنْ وَجْهِهِ كُلُّ خَطِيئَةٍ نَظَرَ إِلَيْهَا بِعَيْنَيْهِ مَعَ الْمَاءِ، أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ، فَإِذَا غَسَلَ يَدَيْهِ، خَرَجَ مِنْ يَدَيْهِ كُلُّ خَطِيئَةٍ كَانَ بَطَشَتْهَا يَدَاهُ مَعَ الْمَاءِ، أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ، فَإِذَا غَسَلَ رِجْلَيْهِ، خَرَجَتْ كُلُّ خَطِيئَةٍ مَشَتْهَا رِجْلَاهُ مَعَ الْمَاءِ، أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ، حَتَّى يَخْرُجَ نَقِيًّا مِنَ الذُّنُوبِ
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang hamba Muslim atau Mukmin berwuduk, lalu dia membasuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya setiap dosa yang dilihat oleh matanya bersama air atau bersama titisan terakhir air. Apabila dia membasuh kedua tangannya, keluarlah setiap dosa yang dilakukan oleh tangannya bersama air atau bersama titisan terakhir air. Dan apabila dia membasuh kedua kakinya, keluarlah setiap dosa yang dilakukan oleh kakinya ketika berjalan, bersama air atau bersama titisan terakhir air hingga dia keluar dalam keadaan suci daripada dosa-dosa.”
(HR Muslim No: 244) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menurut Imam Nawawi, wuduk bukan sekadar menyucikan tubuh secara zahir, tetapi turut membersihkan hati dan roh dengan menghapus dosa kecil yang dilakukan oleh anggota tubuh.


2. Dosa yang diampunkan melalui wuduk adalah dosa kecil berkaitan perbuatan anggota seperti melihat perkara haram, menyentuh perkara dosa, atau berjalan ke tempat maksiat; dosa besar memerlukan taubat nasuhah.


3. Setiap anggota badan mempunyai peranan dalam penentuan dosa dan pahala, maka perlu dijaga sebaiknya.


4. Kesempurnaan dan keikhlasan dalam wuduk yang dilakukan dengan tertib dan niat betul akan membawa kepada keampunan Allah.


5. Wuduk adalah sebab pengampunan dosa, maka ia perlu dilakukan dengan sempurna dan penuh penghayatan.


6. Kebersihan luaran dalam Islam membawa kepada kebersihan dalaman, yang mendekatkan diri kepada Allah.



21 Safar 1447H
15 Ogos 2025M

Wednesday, 13 August 2025

ANGGOTA WUDUK BERCAHAYA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

ANGGOTA WUDUK BERCAHAYA

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ يَقُولُ:
"إِنَّ أُمَّتِي يُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ غُرًّا مُحَجَّلِينَ مِنْ آثَارِ الْوُضُوءِ، فَمَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يُطِيلَ غُرَّتَهُ فَلْيَفْعَلْ"
— (رواه البخاري، رقم 136، ومسلم، رقم 246)

Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan wajah, tangan dan kaki mereka bercahaya disebabkan kesan wuduk. Maka sesiapa yang mampu memanjangkan cahaya (kesan wuduk) itu, hendaklah dia melakukannya."
(HR Bukhari No: 136 & Muslim No: 246)
Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Wuduk adalah tanda cahaya keimanan di akhirat, dan umat Nabi Muhammad SAW dikenali melalui kesan cahaya pada anggota wuduk mereka.


2. Wuduk bukan hanya persediaan untuk solat, tetapi ibadah tersendiri yang memberi ganjaran besar di akhirat.


3. Menyempurnakan wuduk bukan sekadar menyucikan anggota, tetapi menambah cahaya pengenalan di hadapan Allah kelak.


4. Digalakkan meluaskan sedikit kawasan basuhan wuduk (melepasi sempadan siku atau buku lali) sebagai sunat, tanpa berlebihan.


5. Hadis ini menunjukkan kemuliaan umat Islam yang memelihara wuduk dengan sempurna kerana ia akan menjadi sinar pengenalan di akhirat.



20 Safar 1447H
14 Ogos 2025

Tuesday, 12 August 2025

CARA BERWUDUK SEMPURNA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

CARA BERWUDUK SEMPURNA

عَنْ ‌حُمْرَانَ مَوْلَى عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ رضي الله عنه: أَنَّهُ رَأَى عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ دَعَا بِوَضُوءٍ، فَأَفْرَغَ عَلَى يَدَيْهِ مِنْ إِنَائِهِ، فَغَسَلَهُمَا ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَمِينَهُ فِي الْوَضُوءِ، ثُمَّ تَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَاسْتَنْثَرَ، ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلَاثًا، وَيَدَيْهِ إِلَى الْمِرْفَقَيْنِ ثَلَاثًا، ثُمَّ مَسَحَ بِرَأْسِهِ، ثُمَّ غَسَلَ كُلَّ رِجْلٍ ثَلَاثًا، ثُمَّ قَالَ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَوَضَّأُ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا، وَقَالَ: مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَا يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ غَفَرَ اللهُ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
(HR Bukhari No: 159) Status: Hadis Sahih

Terjemahan:
Daripada Humran, maula (pembantu) kepada Saidina Uthman bin ‘Affan RA, beliau pernah melihat Saidina Uthman meminta air untuk berwuduk. Lalu beliau menuangkan air dari bekasnya ke kedua tangannya lalu membasuhnya tiga kali, kemudian memasukkan tangan kanannya ke air wuduk lalu berkumur-kumur, memasukkan air ke hidung dan mengeluarkannya. Selepas itu, beliau membasuh mukanya tiga kali, kedua tangannya sampai ke siku tiga kali, mengusap kepalanya, kemudian membasuh setiap kakinya tiga kali. Kemudian beliau berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Barangsiapa berwuduk seperti wudukku ini, kemudian mendirikan solat dua rakaat tanpa bercakap dengan dirinya (tidak lalai), nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu."

Pengajaran:

1. Hadis ini menjadi dalil utama bagi tatacara wuduk Nabi SAW yang merangkumi semua rukun dan sunat secara tertib, setiap basuhan dilakukan tiga kali.


2. Dua rakaat solat sunat selepas wuduk adalah penyempurna wuduk yang membawa keampunan dosa jika dilakukan dengan khusyuk.


3. Menurut Imam Malik, wuduk sempurna diiringi solat sunat menunjukkan penyucian fizikal dan rohani yang melayakkan seseorang menerima keampunan Allah SWT.


4. Khusyuk dalam solat adalah kunci penerimaan ibadah dan pengampunan dosa.


5. Panduan lengkap wuduk Nabi SAW ini disertai ganjaran besar bagi yang mencontohinya dengan penuh khusyuk.



19 Safar 1447H
13 Ogos 2025M

Monday, 11 August 2025

BUNYI TEROMPAH BILAL DI SYURGA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

BUNYI TEROMPAH BILAL DI SYURGA

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِبِلَالٍ عِنْدَ صَلَاةِ الْفَجْرِ : « يَا بِلَالُ حَدِّثْنِي بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِي الْإِسْلَامِ، فَإِنِّي سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَيَّ فِي الْجَنَّةِ »، قَالَ : مَا عَمِلْتُ عَمَلًا أَرْجَى عِنْدِي أَنِّي لَمْ أَتَطَهَّرْ طُهُورًا فِي سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ إِلَّا صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُورِ مَا كُتِبَ لِي أَنْ أُصَلِّيَ.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW berkata kepada Bilal RA ketika solat Subuh:
"Wahai Bilal, ceritakan kepadaku amalan yang paling engkau harapkan ganjarannya dalam Islam, kerana sesungguhnya aku mendengar bunyi terompahmu di hadapanku di dalam syurga."
Bilal menjawab: "Aku tidak melakukan satu amalan pun yang lebih aku harapkan ganjarannya melainkan setiap kali aku berwuduk pada waktu malam atau siang, aku akan solat dengannya (wuduk itu) sebanyak yang ditakdirkan untukku solat."

(Sumber: Sahih al-Bukhari, No. 1149) – Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Keutamaan menjaga wuduk dan mengerjakan solat sunat selepas berwuduk, walaupun hanya dua rakaat.


2. Amalan kecil tetapi dilakukan secara konsisten dan ikhlas mempunyai nilai besar di sisi Allah.


3. Kedudukan tinggi Bilal RA di syurga adalah kerana istiqamah dalam amalan yang ikhlas.


4. Wuduk bukan sekadar persediaan solat wajib, tetapi juga pembuka kepada solat sunat yang menghapus dosa dan menambah pahala.


5. Amalan yang ikhlas walaupun kecil mampu menjadi sebab seseorang masuk syurga.



18 Safar 1447H / 12 Ogos 2025M

Sunday, 10 August 2025

DOA BERPAKAIAN BAHARU

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

DOA BERPAKAIAN BAHARU

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: كَانَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اسْتَجَدَّ ثَوْبًا سَمَّاهُ بِاسْمِهِ، عِمَامَةً أَوْ قَمِيصًا أَوْ رِدَاءً، ثُمَّ يَقُولُ: اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ، أَنْتَ كَسَوْتَنِيهِ، أَسْأَلُكَ خَيْرَهُ، وَخَيْرَ مَا صُنِعَ لَهُ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ، وَشَرِّ مَا صُنِعَ لَهُ
— رواه أبو داود (رقم 4020)

Daripada Abu Sa‘id al-Khudri RA, beliau berkata: Apabila Rasulullah SAW memakai pakaian baharu, Baginda akan menamakannya mengikut jenis seperti serban, baju atau selendang, kemudian Baginda berdoa:
"Ya Allah, bagi-Mu segala puji. Engkaulah yang telah memberikanku pakaian ini. Aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan tujuan ia diciptakan, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukannya dan keburukan tujuan ia diciptakan."
(HR Abu Daud No. 4020 – Hadis Sahih)

Pengajaran:

1. Mensyukuri nikmat berpakaian tanpa mengira sama ada pakaian itu biasa atau mewah, kerana ia tetap kurniaan Allah.


2. Sunnah berdoa ketika menerima nikmat baharu seperti pakaian.


3. Setiap nikmat mempunyai potensi baik dan buruk, maka kita diajar memohon kebaikan serta dijauhkan daripada keburukannya.


4. Doa ini melahirkan rasa syukur kepada Allah di samping memohon kebaikan pakaian dan tujuan ia dibuat, serta perlindungan daripada keburukan seperti riak atau digunakan untuk maksiat.


5. Mendidik hati agar tawaduk dan bersandar kepada Allah dalam semua urusan, termasuk hal kecil seperti berpakaian.


6. Hadis ini mengajarkan kesyukuran, kesedaran dan akhlak mulia dalam perkara seharian.



اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ، أَنْتَ كَسَوْتَنِيهِ، أَسْأَلُكَ خَيْرَهُ، وَخَيْرَ مَا صُنِعَ لَهُ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ، وَشَرِّ مَا صُنِعَ لَهُ
Maksudnya: "Ya Allah, bagi-Mu segala puji. Engkaulah yang telah memberikanku pakaian ini. Aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan tujuan ia diciptakan, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukannya dan keburukan tujuan ia diciptakan."

17 Safar 1447H / 11 Ogos 2025M

Saturday, 9 August 2025

LARANGAN TERGESA-GESA DALAM BERDOA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

LARANGAN TERGESA-GESA DALAM BERDOA

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: يُسْتَجَابُ لِأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ، يَقُولُ: دَعَوْتُ فَلَمْ يُسْتَجَبْ لِي
(Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda: Akan dikabulkan doa salah seorang di antara kalian selama ia tidak terburu-buru, ia berkata: “Aku telah berdoa namun tidak dikabulkan doaku.”)
(HR al-Tirmizi No: 3309) – Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Berdoa adalah ibadah. Seorang Muslim hendaklah memperhatikan adab-adab dan syarat-syarat dalam berdoa yang menjadi sebab doa dikabulkan.


2. Antara adab berdoa ialah tidak terburu-buru meminta agar doa segera diperkenankan.


3. Larangan tergesa-gesa dalam berdoa termasuk berkata: “Aku sudah berdoa tetapi Allah belum mengabulkan.” Ini tanda hati lemah dan kurang yakin pada Allah.


4. Menurut Imam al-Nawawi, hadis ini mengajar agar tidak berputus asa dalam berdoa, walaupun doa belum diperkenankan dalam waktu yang singkat. Allah lebih mengetahui masa terbaik untuk mengabulkan doa.


5. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh tanpa jemu. Yakinlah setiap doa adalah ibadah, dan pasti akan dikabulkan pada waktu yang sesuai. Allah berfirman:



وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ
Maksudnya: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah: 186)
6. Jangan berputus asa, teruslah berdoa dengan yakin dan bersangka baik kepada Allah.

16 Safar 1447H
10 Ogos 2025M

Friday, 8 August 2025

ZIKIR MELIHAT SESUATU YANG DISUKAI DAN DIBENCI

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

ZIKIR MELIHAT SESUATU YANG DISUKAI DAN DIBENCI

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَأَى مَا يُحِبُّ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ، وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ.

Daripada ‘Aisyah RA, kebiasaannya Rasulullah SAW jika menyaksikan hal-hal yang baginda sukai, baginda mengucapkan: "Alhamdulillāhilladhī bini‘matihī tatimmuṣ-ṣāliḥāt" (Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya segala amal soleh sempurna).

Jika baginda menyaksikan hal-hal yang tidak menyenangkan, baginda mengucapkan: "Alhamdulillāh ‘alā kulli ḥāl" (Segala puji bagi Allah atas segala keadaan).
(HR Ibn Mājah No: 3803) – Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW mengajar adab menghadapi pelbagai keadaan hidup – bersyukur ketika senang dan reda serta memuji Allah ketika susah.


2. Apabila melihat atau menerima sesuatu yang disukai, ucapkan:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ
Maksudnya: Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya segala amal soleh sempurna.


3. Apabila melihat atau menerima sesuatu yang tidak disukai, ucapkan:
الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ
Maksudnya: Segala puji bagi Allah atas segala keadaan.


4. Hadis ini mendidik kita mengawal reaksi dan emosi dengan berpandukan zikir, menyedari bahawa setiap perkara ada hikmahnya.



15 Safar 1447H
09 Ogos 2025M

Thursday, 7 August 2025

Ucapan Salam Memasuki Rumah Tiada Penghuni

*ASALAMUALAIKUM WBT.*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ucapan Salam Memasuki Rumah Tiada Penghuni

عَنْ نَافِعٍ أَنَّ عَبْدَ اللهِ بْنَ عُمَرَ قَالَ‏:‏ إِذَا دَخَلَ الْبَيْتَ غَيْرَ الْمَسْكُونِ فَلْيَقُلِ‏:‏ السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ‏

Daripada Nafi` bahawa Abdullah bin Umar RA berkata: Sekiranya seseorang itu masuk ke dalam rumah yang tidak berpenghuni, maka ucapkanlah: “Assalamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillah al-Solihin (salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh)” (HR Bukhari No: 1055) dalam Adab al-Mufrad. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Memberi salam ketika memasuki rumah sama ada yang berpenghuni mahupun yang tiada penghuni adalah dituntut.

2.  Imam al-Mutawalli berkata: “Dianjurkan bagi orang yang masuk rumah sendiri untuk memberi salam atas keluarganya dan dianjurkan bagi orang yang hendak masuk masjid atau rumah yang di dalamnya tidak terdapat orang lain, maka ucapkanlah; ‘Assalamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillahissolihin.’.

3.  Imam Nawawi berkata: “Sebelum memasuki rumah yang tiada berpenghuni, dianjurkan untuk membaca basmallah, berdoa dan kemudian memberi salam.” (Kitab Raudhatul Thalibin)

Firman Allah SWT:

فَإِذَا دَخَلْتُم بُيُوتًا فَسَلِّمُوا عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ تَحِيَّةً مِّنْ عِندِ اللَّـهِ مُبَارَكَةً طَيِّبَةً

Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik. (Surah al-Nur ayat: 61)

Apabila kita ingin masuk ke dalam rumah atau bilik yang tiada penghuni, sama ada telah lama tiada berpenghuni ataupun yang kita diami cuma tiada orang di dalam, maka ucapkanlah:

السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh.

14hb Safar 1447H
08hb Ogos 2025ZM

Wednesday, 6 August 2025

ZIKIR KELUAR RUMAH

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

ZIKIR KELUAR RUMAH

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ: مَا خَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ بَيْتِي قَطُّ إِلَّا رَفَعَ طَرْفَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أُضَلَّ، أَوْ أَزِلَّ أَوْ أُزَلَّ، أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ، أَوْ أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عَلَيَّ

Daripada Ummu Salamah RA, beliau berkata:
Nabi SAW tidaklah keluar dari rumahku, melainkan baginda mengangkat pandangan ke langit, lalu membaca:

"اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أُضَلَّ، أَوْ أَزِلَّ أَوْ أُزَلَّ، أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ، أَوْ أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عَلَيَّ"

(Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada aku tersesat atau disesatkan, tergelincir atau digelincirkan, menzalimi atau dizalimi, serta daripada berlaku jahil atau dijahilkan orang terhadapku.)

(Hadis Riwayat Abu Daud, No. 5094)
Status: Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik dalam setiap aspek kehidupan, termasuk dalam amalan harian seperti keluar rumah.


2. Antara adab keluar rumah adalah dengan berzikir memohon perlindungan daripada Allah SWT.


3. Doa ini mencakupi perlindungan dalam empat aspek utama:

Agama: Berlindung daripada tersesat atau disesatkan oleh syaitan, jin atau manusia.

Amalan dan kehidupan: Berlindung daripada tergelincir (melakukan dosa) atau digelincirkan oleh orang lain.

Hubungan sesama manusia: Berlindung daripada menzalimi orang lain atau dizalimi.

Ilmu dan akal: Berlindung daripada kejahilan atau diperbodohkan oleh orang lain.



4. Zikir ini wajar diamalkan setiap kali keluar rumah agar kita sentiasa dalam penjagaan Allah SWT daripada segala keburukan yang boleh berlaku di luar rumah.



📅 13 Safar 1447H | 7 Ogos 2025M

Tuesday, 5 August 2025

Doa Yang Banyak Dibaca Rasulullah SAW

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Doa Yang Banyak Dibaca Rasulullah SAW*

عن شهر بن حوشب قال‏:‏قُلْتُ لأُمِّ سَلَمَةَ : يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ مَا كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ عِنْدَكِ  قَالَتْ : كَانَ أَكْثَرُ دُعَائِهِ : يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ قَالَتْ : فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللهِ مَا لأَكْثَرِ دُعَائِكَ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ  قَالَ : يَا أُمَّ سَلَمَةَ إِنَّهُ لَيْسَ آدَمِيٌّ إِلاَّ وَقَلْبُهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ  فَمَنْ شَاءَ أَقَامَ  وَمَنْ شَاءَ أَزَاغَ

_*Daripada Syahr bin Hausyab, katanya: Aku pernah bertanya kepada Ummu Salamah: “Wahai Ummul Mukminin! Apakah doa Rasulullah SAW yang paling banyak apabila Baginda SAW disisi engkau?" Beliau menjawab: “Doa Baginda SAW yang paling banyak adalah: (يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ) - “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.” - Ummu Salamah berkata: "Aku pernah berkata kepada Rasulullah SAW; Wahai Rasulullah! Betapa sering engkau berdoa: “يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ”. Lalu Baginda SAW menjawab: "Wahai Ummu Salamah! Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya dan barangsiapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya."*_ (HR Tirmizi No: 3522) Status: Hadis Hasan

*Pengajaran:*

1.  Sebagai Muslim kita perlu memperbanyak doa kepada Allah kerana doa umpama tali yang menghubungkan antara hamba dengan Pencipta.

2.  Antara doa yang sering dan banyak diucapkan oleh Rasulullah SAW adalah permohonan agar ditetapkan hati:

يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: *Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.*

3.  Dikhususkan doa untuk tetap hati kerana jika hati itu baik, maka seluruh anggota badan yang lain akan ikut menjadi baik.

4.  Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya dan barangsiapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya.

5.  Setiap kita memiliki hati yang bila-bila masa boleh berubah (berbolak balik).

6.  Rasulullah SAW mengajar doa agar kita memiliki hati yang tetap dan istiqamah

Banyakkan doa agar memiliki hati yang tetap dan istiqamah di atas jalan Islam.

11hb Safar 1447H
05hb Ogos 2025M

Doa Ketika Ujian Berat Menimpa

*ASSALAMUALAIKUM WBT.*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Doa Ketika Ujian Berat Menimpa*

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَا يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدٌ مِنْكُمُ الْمَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ، فَإِنْ كَانَ لَا بُدَّ مُتَمَنِّيًا لِلْمَوْتِ، فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي

_*Daripada Anas bin Malik RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah salah seorang daripada kamu mengharapkan kematian kerana ditimpa musibah (kesusahan atau penderitaan). Jika dia terpaksa juga ingin berdoa (memohon kematian), maka hendaklah dia berkata: 'Ya Allah, hidupkanlah aku selagi kehidupan itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku.'"*_ (HR Bukhari No: 6351) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Kita dilarang daripada meminta kematian hanya kerana ditimpa kesusahan, penyakit, kegagalan, atau tekanan hidup. Hidup dan mati adalah ketentuan qadar dan qada’ Allah, dan hikmah ujian yang datang tidak kita ketahui.

2.  Kesabaran dalam mengharungi ujian kehidupan adalah jalan kepada pengampunan dan ganjaran yang besar. Ujian hidup adalah cara Allah meninggikan darjat hamba-Nya.

3.  Jika kita merasa dalam keadaan sangat berat menghadapi ujian penyakit contohnya dan niatnya bukan untuk lari dari takdir, Nabi SAW mengajar doa yang lebih selamat dan penuh adab untuk dibaca:

اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي

*Maksudnya: Ya Allah, hidupkanlah aku selagi kehidupan itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku.*

4.  Kehidupan atau kematian adalah rahsia Allah. Kita tidak tahu sama ada kesusahan hidup itu sebenarnya membawa kebaikan, atau kematian itu sebenarnya membawa keburukan, maka kita serahkan kepada Allah yang Maha Mengetahui.

12hb Safar 1447H
06hb Ogos 2025M

Sunday, 3 August 2025

BERSELAWAT ADALAH TUNTUTAN MUKMIN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

BERSELAWAT ADALAH TUNTUTAN MUKMIN

عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَة قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ: {إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا} . قَالَ: قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ عَلِمْنَا السَّلَامَ فَكَيْفَ الصَّلَاةُ عَلَيْكَ؟ "قُولُوا: اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ". وَكَانَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِي لَيْلَى يَقُولُ: وَعَلَيْنَا مَعَهُمْ

Daripada Ka‘b ibnu ‘Ujrah RA berkata: Ketika ayat ini diturunkan:
"Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan yang sebenar." (Surah al-Ahzab: 56)
Kami bertanya: “Wahai Rasulullah, kami sudah tahu bagaimana memberi salam kepadamu. Maka bagaimana pula kami berselawat kepadamu?”
Baginda SAW bersabda:
“Ucapkanlah: Ya Allah, limpahkanlah selawat ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau limpahkan selawat ke atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Dan limpahkanlah keberkatan ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad sebagaimana Engkau limpahkan keberkatan ke atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”
Abdurrahman bin Abi Laila berkata: “Dan semoga dilimpahkan juga kepada kami bersama mereka.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, No: 2497) – Hadis Sahih


---

Pengajaran Hadis:

1. Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW adalah suatu yang dituntut kepada setiap Mukmin.


2. Menurut Abul ‘Aliyah, selawat daripada Allah bermaksud pujian-Nya kepada Nabi SAW, manakala selawat para malaikat ialah doa mereka untuk Baginda.


3. Sufyan as-Sauri pula mengatakan selawat Allah adalah rahmat-Nya, manakala selawat para malaikat adalah permohonan ampun.


4. Rasulullah SAW sendiri mengajarkan lafaz selawat yang paling utama — iaitu selawat Ibrahimiyyah seperti yang dibaca dalam tahiyyat akhir solat:



> اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ



5. Setiap kali menyebut, menulis atau mendengar nama Nabi SAW atau gelaran Baginda, kita disunatkan berselawat dengan lafaz seperti:



> صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
atau عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ



6. Rasulullah SAW menggalakkan umatnya memperbanyak selawat, khususnya pada hari Jumaat:



> “Banyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat, kerana selawat umatku diperlihatkan kepadaku. Sesiapa yang paling banyak selawatnya, dialah yang paling hampir denganku.”
(Riwayat al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 3/249 No: 5791 – Hadis Hasan)




---

📆 Tarikh: 10 Safar 1447H | 04 Ogos 2025M

Saturday, 2 August 2025

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS DOA PAGI DAN PETANG

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
DOA PAGI DAN PETANG

حَدَّثَنَا أَبُو عَامِرٍ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْجَلِيلِ، حَدَّثَنِي جَعْفَرُ بْنُ مَيْمُونٍ، حَدَّثَنِي عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِي بَكْرَةَ، أَنَّهُ قَالَ لِأَبِيهِ: يَا أَبَتِ، إِنِّي أَسْمَعُكَ تَدْعُو كُلَّ غَدَاةٍ: اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي بَدَنِي، اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي سَمْعِي، اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي بَصَرِي، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، تُعِيدُهَا ثَلَاثًا حِينَ تُصْبِحُ وَثَلَاثًا حِينَ تُمْسِي، وَتَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ وَالْفَقْرِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، تُعِيدُهَا ثَلَاثًا حِينَ تُصْبِحُ، وَثَلَاثًا حِينَ تُمْسِي، قَالَ: نَعَمْ يَا بُنَيَّ، إِنِّي سَمِعْتُ النَّبِيَّ ﷺ يَدْعُو بِهِنَّ، فَأُحِبُّ أَنْ أَسْتَنَّ بِسُنَّتِهِ.

Maksudnya:
Telah berkata ‘Abdurrahman bin Abu Bakrah kepada ayahnya:
“Wahai ayahku, aku mendengarmu berdoa setiap pagi: Ya Allah, berikanlah kesihatan pada badanku. Ya Allah, berikanlah kesihatan pada pendengaranku. Ya Allah, berikanlah kesihatan pada penglihatanku. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Ayah mengulanginya tiga kali waktu pagi dan tiga kali waktu petang.
Dan ayah juga berdoa: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kekufuran dan kefakiran. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau, dan mengulanginya tiga kali pada waktu pagi dan tiga kali waktu petang.”
Lalu ayahnya berkata: “Benar wahai anakku, aku mendengar Nabi SAW berdoa dengan doa ini dan aku suka mengikut sunnah Baginda.”

(Hadis Riwayat Ahmad, No. 19534 | Status: Hasan)

Pengajaran:

1. Doa merupakan amalan utama seorang Muslim dalam apa jua keadaan.


2. Antara doa Nabi SAW yang dibaca pada waktu pagi dan petang sebanyak 3 kali ialah:



اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي بَدَنِي، اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي سَمْعِي، اللَّهُمَّ عَافِنِي فِي بَصَرِي، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ
Maksudnya: Ya Allah, berikanlah kesihatan buat badanku, pendengaranku dan penglihatanku. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau.

3. Doa perlindungan daripada perkara buruk juga diamalkan setiap pagi dan petang:



اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ وَالْفَقْرِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ
Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kekufuran dan kefakiran. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau.

4. Mengamalkan sunnah Rasulullah SAW termasuk dalam bentuk doa harian adalah suatu usaha untuk meraih keberkatan dan perlindungan Allah SWT sepanjang masa.



📅 09 Safar 1447H | 03 Ogos 2025M

Friday, 1 August 2025

ZIKIR PENGHAPUS DOSA SEBANYAK BUIH DI LAUT

لَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

ZIKIR PENGHAPUS DOSA SEBANYAK BUIH DI LAUT

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
مَنْ سَبَّحَ اللَّهَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، وَحَمِدَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، وَكَبَّرَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ، فَتْلِكَ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ، وَقَالَ تَمَامَ الْمِائَةِ:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ،
غُفِرَتْ خَطَايَاهُ، وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ.

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda:
Barangsiapa bertasbih kepada Allah selepas solat sebanyak 33 kali, bertahmid 33 kali dan bertakbir 33 kali, menjadikan jumlahnya 99 kali, kemudian menyempurnakannya dengan membaca:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
maka diampunkan dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.

(Hadis Riwayat Muslim, No. 939 – Hadis Sahih)

Pengajaran Hadis:

1. Antara amalan yang digalakkan selepas solat fardhu ialah membaca Tasbih (Subhaanallah) 33 kali, Tahmid (Alhamdulillah) 33 kali, dan Takbir (Allahu Akbar) 33 kali.


2. Untuk mencukupkan 100 zikir, dibaca satu kali zikir:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ


3. Sesiapa yang mengamalkannya dengan ikhlas, dosanya akan diampunkan walaupun sebanyak buih di lautan (dosa kecil).


4. Zikir ini sebagai tanda kesyukuran selepas solat, sekaligus menyucikan hati dan memperkukuh hubungan dengan Allah.


5. Rahmat Allah sangat luas. Amalan mudah tetapi ganjaran besar, maka berusahalah untuk istiqamah dengannya selepas setiap solat fardhu.



📅 08 Safar 1447H | 02 Ogos 2025M

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...