Thursday, 14 August 2025

WUDUK MENGHAPUSKAN DOSA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

WUDUK MENGHAPUSKAN DOSA

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا تَوَضَّأَ الْعَبْدُ الْمُسْلِمُ، أَوِ الْمُؤْمِنُ، فَغَسَلَ وَجْهَهُ، خَرَجَ مِنْ وَجْهِهِ كُلُّ خَطِيئَةٍ نَظَرَ إِلَيْهَا بِعَيْنَيْهِ مَعَ الْمَاءِ، أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ، فَإِذَا غَسَلَ يَدَيْهِ، خَرَجَ مِنْ يَدَيْهِ كُلُّ خَطِيئَةٍ كَانَ بَطَشَتْهَا يَدَاهُ مَعَ الْمَاءِ، أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ، فَإِذَا غَسَلَ رِجْلَيْهِ، خَرَجَتْ كُلُّ خَطِيئَةٍ مَشَتْهَا رِجْلَاهُ مَعَ الْمَاءِ، أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ، حَتَّى يَخْرُجَ نَقِيًّا مِنَ الذُّنُوبِ
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang hamba Muslim atau Mukmin berwuduk, lalu dia membasuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya setiap dosa yang dilihat oleh matanya bersama air atau bersama titisan terakhir air. Apabila dia membasuh kedua tangannya, keluarlah setiap dosa yang dilakukan oleh tangannya bersama air atau bersama titisan terakhir air. Dan apabila dia membasuh kedua kakinya, keluarlah setiap dosa yang dilakukan oleh kakinya ketika berjalan, bersama air atau bersama titisan terakhir air hingga dia keluar dalam keadaan suci daripada dosa-dosa.”
(HR Muslim No: 244) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menurut Imam Nawawi, wuduk bukan sekadar menyucikan tubuh secara zahir, tetapi turut membersihkan hati dan roh dengan menghapus dosa kecil yang dilakukan oleh anggota tubuh.


2. Dosa yang diampunkan melalui wuduk adalah dosa kecil berkaitan perbuatan anggota seperti melihat perkara haram, menyentuh perkara dosa, atau berjalan ke tempat maksiat; dosa besar memerlukan taubat nasuhah.


3. Setiap anggota badan mempunyai peranan dalam penentuan dosa dan pahala, maka perlu dijaga sebaiknya.


4. Kesempurnaan dan keikhlasan dalam wuduk yang dilakukan dengan tertib dan niat betul akan membawa kepada keampunan Allah.


5. Wuduk adalah sebab pengampunan dosa, maka ia perlu dilakukan dengan sempurna dan penuh penghayatan.


6. Kebersihan luaran dalam Islam membawa kepada kebersihan dalaman, yang mendekatkan diri kepada Allah.



21 Safar 1447H
15 Ogos 2025M

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...