السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
SALING BERKASIH SAYANG KERANA ALLAH DINAUNGI DI HARI KIAMAT
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَيْنَ الْمُتَحَابُّونَ بِجَلَالِي الْيَوْمَ أُظِلُّهُمْ فِي ظِلِّي يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلِّي
Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah Ta'ala berfirman pada hari kiamat kelak: Dimanakah orang-orang yang saling berkasih sayang kerana keagungan-Ku? Hari ini kunaungi mereka, di mana tidak ada naungan pada hari ini selain naungan-Ku."
(HR Muslim No: 4655)
Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Saling mengasihi dan berkasih sayang antara sesama orang beriman adalah suatu tuntutan agama.
2. Menurut Imam al-Nawawi, kasih sayang kerana Allah bermaksud seseorang mencintai saudaranya semata-mata kerana agama, iman dan ketaatan, bukan kerana dunia atau kepentingan lain.
3. Dua orang yang saling berkasih sayang kerana Allah akan tergolong dalam golongan yang mendapat naungan di hari Kiamat. Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan bahawa naungan Allah adalah perlindungan khusus daripada kepanasan dan kesusahan di Padang Mahsyar.
4. Ibnu Hajar rahimahullah menegaskan, kasih sayang kerana Allah tidak terputus, walaupun berpisah, sehingga maut memisahkan.
5. Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk memberitahu sahabat jika kita menyayanginya kerana Allah, dengan lafaz:
إِنِّي أُحِبُّكَ فِي اللهِ
“Sesungguhnya aku menyayangimu kerana Allah.”
Lalu balaslah dengan lafaz:
أَحَبَّكَ الَّذِي أَحْبَبْتَنِي لَهُ
“Mudah-mudahan Allah menyayangimu yang telah menyayangiku kerana-Nya.”
6. Dalam membina masyarakat yang harmoni, marilah kita memperbanyakkan sahabat yang baik dengan saling menyayangi semata-mata kerana Allah.
---
📅 03 Rabiul Awal 1447H / 27 Ogos 2025
No comments:
Post a Comment