السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
KESEMPURNAAN IMAN DENGAN MENGASIHI ORANG LAIN
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
Daripada Anas RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Tidak beriman (sempurna iman) seseorang dari kalian sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri".
(HR Bukhari No: 13) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Islam memerintahkan umatnya agar sentiasa memiliki sifat saling mengasihi sesama Muslim.
2. Jika kita suka diri kita mendapat nikmat dalam hal keagamaan, maka wajib bagi kita menyayangi saudara Muslim lain agar mendapat nikmat yang sama.
3. Ibn Hajar al-‘Asqalani menegaskan bahawa kasih sayang itu bermaksud menginginkan kebaikan dunia dan akhirat untuk saudaranya sama seperti dia inginkan untuk dirinya sendiri, bukan sekadar perkara duniawi.
4. Imam al-Ghazali menghuraikan bahawa apabila seseorang mukmin benar-benar mencintai saudaranya, dia tidak akan sanggup menzalimi, menipu, atau mengambil kesempatan atas kelemahan saudaranya. Sebaliknya, dia akan berusaha menjaga hak-hak saudaranya dan menggembirakannya.
5. Ambillah iktibar kisah Aus dan Khazraj di Madinah, yang asalnya fanatik dengan kaum masing-masing namun Allah satukan hati mereka dengan kasih sayang apabila menerima Islam. Mereka bersatu dan berjuang atas nama Islam.
6. Firman Allah:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
“Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara. Oleh itu damaikanlah antara saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah supaya kamu mendapat rahmat” (al-Hujurat: 10).
7. Saudara seagama adalah tanggungjawab kita: membantu ketika perlu, menasihati, mendengar masalah, memberi sokongan, serta mendoakan mereka kerana doa yang ikhlas tanpa pengetahuan saudaranya adalah doa yang mustajab.
Marilah kita memperbaharui semangat perpaduan dan kebersamaan dengan saling mengasihi dan menyayangi orang lain. Semoga sifat ini mengukuhkan jati diri kita dalam membina negara yang teguh dan mendapat keredhaan Allah.
02 Rabiul Awwal 1447H / 26 Ogos 2025M
No comments:
Post a Comment