Wednesday, 17 December 2025

JAUHI AMALAN JAHILIAH

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

JAUHI AMALAN JAHILIAH

عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْأَشْعَرِيِّ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
أَرْبَعٌ فِي أُمَّتِي مِنْ أَمْرِ الْجَاهِلِيَّةِ، لَا يَتْرُكُونَهُنَّ: الْفَخْرُ فِي الْأَحْسَابِ، وَالطَّعْنُ فِي الْأَنْسَابِ، وَالِاسْتِسْقَاءُ بِالنُّجُومِ، وَالنِّيَاحَةُ.
وَقَالَ: النَّائِحَةُ إِذَا لَمْ تَتُبْ قَبْلَ مَوْتِهَا، تُقَامُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَعَلَيْهَا سِرْبَالٌ مِنْ قَطِرَانٍ، وَدِرْعٌ مِنْ جَرَبٍ.

Daripada Abu Malik al-Asy‘ari رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:
“Empat perkara daripada amalan jahiliah yang masih ada dalam kalangan umatku dan mereka tidak meninggalkannya: bermegah-megah dengan keturunan, mencela nasab (keturunan orang lain), meminta hujan melalui bintang-bintang, dan meratap kematian.”
Baginda bersabda lagi: “Perempuan yang meratap (dengan ratapan berlebihan) jika tidak bertaubat sebelum mati, akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan memakai pakaian daripada cairan tar dan baju daripada penyakit gatal.”

Sumber: Riwayat Muslim, no. 934
Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap Muslim wajib meninggalkan amalan jahiliah dalam semua aspek kehidupan.


2. Empat amalan jahiliah yang ditegaskan oleh Nabi ﷺ ialah bermegah dengan keturunan, mencela nasab orang lain, mempercayai bintang sebagai penentu rezeki, dan meratap kematian secara berlebihan.


3. Islam tidak menilai kemuliaan berdasarkan keturunan atau asal-usul, tetapi berdasarkan ketakwaan kepada Allah.


4. Mencela atau merendahkan keturunan orang lain boleh menimbulkan perpecahan dan bertentangan dengan prinsip ukhuwwah Islamiah.


5. Mempercayai bintang atau astrologi sebagai penentu kejadian adalah syirik kecil kerana menyandarkan sesuatu kepada selain Allah.


6. Meratapi kematian dengan tangisan dan teriakan melampau menunjukkan ketidakredaan terhadap qada’ dan qadar Allah.



27 Jamadil Akhir 1447H
18 Disember 2025M

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...