Wednesday, 24 December 2025

SEDEKAH DAN KEBAIKAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
▪️
SEDEKAH DAN KEBAIKAN
▪️
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
قَالَ رَجُلٌ لَأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدِ سَارِقٍ، فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ عَلَى سَارِقٍ، فَقَالَ: اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ. ثُمَّ قَالَ: لَأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدِ زَانِيَةٍ، فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ اللَّيْلَةَ عَلَى زَانِيَةٍ، فَقَالَ: اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى زَانِيَةٍ. ثُمَّ قَالَ: لَأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدِ غَنِيٍّ، فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ عَلَى غَنِيٍّ، فَقَالَ: اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى سَارِقٍ وَعَلَى زَانِيَةٍ وَعَلَى غَنِيٍّ. فَأُتِيَ فَقِيلَ لَهُ: أَمَّا صَدَقَتُكَ عَلَى سَارِقٍ فَلَعَلَّهُ أَنْ يَسْتَعِفَّ عَنْ سَرِقَتِهِ، وَأَمَّا الزَّانِيَةُ فَلَعَلَّهَا أَنْ تَسْتَعِفَّ عَنْ زِنَاهَا، وَأَمَّا الْغَنِيُّ فَلَعَلَّهُ يَعْتَبِرُ فَيُنْفِقُ مِمَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ.
▪️
Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Ada seorang lelaki berkata: ‘Aku pasti akan bersedekah.’ Lalu dia keluar membawa sedekahnya dan sedekah itu jatuh ke tangan seorang pencuri. Keesokan paginya orang ramai berkata bahawa dia telah bersedekah kepada seorang pencuri. Lelaki itu pun berkata: ‘Ya Allah, bagi-Mu segala puji.’
Kemudian dia keluar lagi membawa sedekahnya dan sedekah itu jatuh ke tangan seorang penzina. Keesokan paginya orang ramai berkata bahawa dia bersedekah malam tadi kepada seorang penzina. Maka dia berkata: ‘Ya Allah, bagi-Mu segala puji.’
Kemudian dia keluar lagi membawa sedekahnya dan sedekah itu jatuh ke tangan seorang yang kaya. Keesokan paginya orang ramai berkata bahawa dia bersedekah kepada seorang yang kaya. Maka dia berkata: ‘Ya Allah, bagi-Mu segala puji, sedekahku jatuh kepada pencuri, penzina dan orang kaya.’
Lalu dikatakan kepadanya: ‘Sedekahmu kepada pencuri itu mudah-mudahan menyebabkan dia berhenti mencuri. Sedekahmu kepada penzina itu mudah-mudahan menyebabkan dia berhenti daripada perbuatan zina. Dan sedekahmu kepada orang kaya itu mudah-mudahan dia mengambil pengajaran lalu membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Allah kurniakan kepadanya.’”
▪️
Sumber Hadis: Riwayat al-Bukhari (No. 1421)
Status: Hadis Sahih
▪️
Pengajaran:
1– Sesuatu amal soleh tetap memberi kesan yang positif walau kepada siapa ia ditujukan, selagi dilakukan dengan ikhlas.
2– Walaupun mengenal pasti sasaran dakwah itu penting, jangkaan manusia tidak semestinya tepat.
3– Jangan berputus asa melakukan kebaikan walaupun hasilnya tidak seperti yang diharapkan.
4– Sedekah dan ihsan boleh menjadi sebab seseorang meninggalkan kemungkaran tanpa cercaan atau hukuman.
5– Sebagai Muslim dan pendakwah, teruskan usaha dakwah dengan rahmah tanpa menghiraukan cemuhan manusia.
▪️
04 Rejab 1447H / 25 Disember 2025

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...