Tuesday 13 June 2017

HUKUM RINGKAS MENGENAI I’TIKAF

HUKUM RINGKAS MENGENAI I’TIKAF
(Yang Perlu Diketahui Orang Awam)

Sedikit hari lagi akan tibalah 10 hari akhir Ramadan yang sangat berharga untuk direbuti...Sebaiknya bagi mereka yang mampu untuk ber'uzlah meluangkan masa bersama tuhannya dengan cara beri'tikaf, usahakanlah...
Berikut dicoretkan penjelasan ringkas mengenai (الإعتكاف) dan sebahagian hukum-hakamnya:

1. Hadis ‘Aisyah RA bahawa: “Nabi SAW pernah beri’tikaf 10 hari akhir dari Ramadan, kemudian para isterinya pula beri’tikaf selepasnya” [Riwayat Bukhariy & Muslim].

2. HIKMAH BERI’TIKAF:
  a) Meluangkan masa untuk menumpukan kepada amal ibadah diri serta urusan-urusan yang membawa kepentingan akhirat kelak.
  b) Melupakan sementara urusan dunia dan orang lain.
  c) Memperbaharui serta mempertingkatkan hubungan dengan Allah.

3. HUKUM BERI’TIKAF:
  a) Sunat pada bila-bila masa, namun lebih utama kesunnahannya di bulan Ramadan kerana ia sebaik-baik bulan, terutamanya pada 10 akhir Ramadan demi meneladani Nabi SAW dan mencari Laylatul Qadr yang merupakan sebaik-baik malam.
  b) Wajib bagi mereka yang bernazar untuk beri’tikaf, berdasarkan hadis ‘Aisyah RA: “Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka taatilah” [Riwayat Bukhariy].

4. BOLEHKAH BERI’TIKAF DI RUMAH ATAU SELAIN DARI MASJID?
Tidak sah beri’tikaf selain di masjid sama ada bagi lelaki mahupun perempuan, berdasarkan firman Allah: “وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ”, bahkan Nabi SAW dan para isteri baginda SAW juga beri’tikaf di masjid.
Sah beri’tikaf di mana-mana masjid, walaupun lebih afdal untuk beri’tikaf di masjid jami’ (yang didirikan solat jumaat), kerana demikianlah i’tikaf Nabi SAW dan jemaahnya kebiasaannya lebih ramai. Begitu jua demi keluar dari khilaf bagi pendapat yang mewajibkan i’tikaf hanya di masjid jami’, selain tidak perlu keluar untuk solat jumaat.
Sah juga beri’tikaf di beranda-beranda masjid selagi ia sebahagian dari masjid.

5. NIAT I’TIKAF:
Wajib berniat i’tikaf dan tidak perlu berniat hari-hari (walau beri’tikaf selama sebulan) selagi tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan i’tikaf.
Jika ada memasang niat untuk keluar, namun tidak melakukannya, tidaklah membatalkan i’tikafnya kerana ia merupakan ibadah yang berkait dengan tempat.

6. TEMPOH BERI’TIKAF:
I’tikaf boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja baik siang mahupun malam.
Tidak sah beri’tikaf jika tidak berada di masjid dengan kadar waktu tertentu mengikut ‘uruf (tradisi) yang layak dinamakan sebagai keberadaan/menetap (iqamah), setidak-tidaknya dengan kadar lama toma’ninah dalam ruku’ atau sujud. Lebih lama tempohnya lebih baik, tiada tempoh maksima.
Tidak semestinya perlu duduk atau baring yang tidak bergerak, bahkan dibolehkan bergerak dalam masjid ke sana ke mari, namun sekadar lalu seperti masuk pintu sini keluar pintu sana tidak memadai.
Digalakkan untuk beri’tikaf sekurang-kurangnya sehari (keluar dari khilaf) sebagaimana juga digalakkan untuk berniat i’tikaf setiap kali masuk beraktiviti di masjid.

7. BOLEHKAH KELUAR DARI MASJID KETIKA BERI’TIKAF?
Jika i’tikafnya hanya sunat (yang bukan wajib seperti bernazar), maka boleh sahaja untuk keluar bila-bila yang dikehendakinya, namun terbatallah i’tikafnya.
Keluar yang tidak membatalkan i’tikaf ialah yang padanya keperluan yang mendesak dan tidak mengambil waktu yang lama, seperti:
  a) Buang air di tandas luar masjid walaupun jauh jika tiada tandas di kawasan masjid.
  b) Makan atau minum di luar jika tidak disediakan di masjid.
  c) Sakit yang berbahaya atau memudaratkan sekitar jika tidak dirawat di luar.
  d) Terlupa atau dipaksa, sebagaimana hukum makan minum orang yang berpuasa. Jika dikeluarkan oleh pihak berkuasa, ada beberapa perincian berdasarkan situasi.
  e) Seluruh masjid ditutup untuk diubah-suai atau diruntuhkan, lalu disambung i’tikafnya di masjid lain.
[Namun diperingatkan: Tidak boleh lepak-lepak, sekadar tempoh yang diperlukan sahaja].

Antara keluar masjid yang membatalkan i’tikaf:
  a) Perkara-perkara yang melibatkan hukum fardu kifayah seperti: Solat jenazah di luar masjid yang dii’tikaf, dan perkara-perkara sunat seperti: Menziarahi orang sakit.
Jika i‘tikaf seseorang itu hanya sunat, maka digalakkan untuk keluar solat jenazah walaupun membatalkan i’tikafnya, kerana fardu kifayah (apatah lagi jika wajib seperti solat jumaat bagi ahlinya) lebih diutamakan dari sunat. Sebaliknya jika i’tikaf wajib, tidak harus baginya keluar.
Namun jika seseorang itu keluar untuk menunaikan suatu keperluan penting yang tidak membatalkan i’tikafnya, lalu di pertengahan jalan singgah solat jenazah yang kebetulan diadakan atau singgah menziarahi pesakit tanpa berlengah-lengah, maka tidaklah membatalkan i’tikafnya kerana ia sekadar masa yang sebentar dan tidak keluar untuk tujuan tersebut secara sengaja berdasarkan hadis ‘Aisyah RA riwayat Muslim. Jika lama atau berlengah/lepak, maka terbatallah i’tikafnya dan kadar lama atau sebentar diukur oleh ‘uruf (tradisi).
  b) Jika seseorang itu beri’tikaf di masjid bukan jami’, keluarnya dia menunaikan solat Juma’at di masjid luar membatalkan i’tikafnya di sisi mazhab Syafi’iy. Justeru sesiapa yang bernazar untuk beri’tikaf selama 10 hari misalnya perlu melaksanakan i’tikafnya di masjid jami’.
[Hukum dan perincian  i’tikaf bagi yang bernazar untuk melaksanakannya untuk tempoh berturut-turut atau bukan ada perbahasan yang lebih luas].

8. I’TIKAF WANITA HAID ATAU MUSTAHADHAH:
Wanita yang sedang beri’tikaf lalu datangnya haid, perlu menghentikan i’tikafnya dan keluar dari masjid di sisi mazhab Syafi’iy, manakala wanita yang istihadhah pula tidak perlu, namun perlu menjaga kebersihan masjid, berdasarkan hadis ‘Aisyah RA bahawa pernah salah seorang isteri Nabi SAW beri’tikaf dalam keadaan istihadhah [Riwayat Bukhariy].

9. AMALAN KETIKA BERI’TIKAF:
Digalakkan untuk berpuasa, mengaji, berzikir, membaca, menuntut ilmu, bermuzakarah dan melakukan amalan ketaatan. Sebaliknya perlu menjauhi perdebatan, pergaduhan, banyak bersembang, dan pelbagai maksiat dan urusan keduniaan lain.

10. Orang yang beri’tikaf boleh memakai apa sahaja pakaian yang mematuhi syarak, kerana tidak dinukil dari Nabi SAW tentang perkara tersebut. Boleh untuk berwangi-wangi bagi lelaki, makan-minum, tidur, baring, lunjur kaki dan seumpamanya.

Demikianlah sedikit-sebanyak penerangan ringkas hukum & persoalan mengenai i'tikaf dari mazhab Syafi'iy...
Moga bermanfaat...

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...