Friday 9 June 2017

WAKTU YANG TEPAT UNTUK BACA DOA BERBUKA PUASA

Oleh Abu Hafiy Ad-Dimashqiy

Sejak dari kecil, kita diajar untuk membaca doa “Allahumma laka sumtu. Wabika amantu. Wa ‘ala rizqika aftortu” sebelum daripada berbuka. Walau bagaimanapun, waktu bacaan doa ini adalah tidak tepat. Setelah dikaji, waktu yang tepat untuk membacanya adalah selepas berbuka yakni sekurang-kurangnya selepas makan kurma dan sedikit air. Berikut adalah penghujahannya:

1. Doa seumpama ini terdapat dalam beberapa hadis. Antaranya, hadis riwayat Abu Daud:
عَنْ مُعَاذِ بْنِ زُهْرَةَ أَنَّهُ بَلَغَهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَفْطَرَ قَالَ: اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ
Maksudnya: Daripada Muaz bin Zuhrah, bahawa beliau telah diberitahu bahawa: Adalah Nabi s.a.w, apabila baginda telah berbuka, bagindapun membaca: “Wahai Tuhanku, hanya keranaMu aku telah berpuasa. Dan hanya dengan rezeki kurniaanMu, aku telah berbuka.”  

2. Dalam hadis di atas dan juga dalam riwayat-riwayat yang lain seperti Al-Tabarani, para periwayat menggunakan lafaz aftoro (أَفْطَرَ). Lafaz ini dalam bentuk kata kerja lepas (الفعل الماضي) yang menunjukkan bahawa perbuatan itu telahpun berlaku pada masa yang lalu. Maknanya Nabi s.a.w telah berbuka sebelum membaca doa tersebut.

3. Dari aspek bahasa pula, lafaz aftoro (أَفْطَرَ) dan fatoro (فَطَرَ) ialah antonim bagi berpuasa. Maksudnya ialah makan dan minum, bukannya terbenam matahari atau masuk waktu Maghrib. [Sila rujuk kamus Tajul ‘Arus dan Lisanul ‘Arab]. Justeru frasa (كَانَ إِذَا أَفْطَرَ قَالَ) dalam hadis di atas bermaksud: Apabila baginda telah berbuka, baginda pun membaca doa tersebut.

4. Pemahaman ini disokong oleh kenyataan Syeikh Badruddin Al-‘Aini dalam kitabnya ‘Aunul Ma’bud dan Syeikh Ali Al-Qari dalam kitabnya Mirqatul Mafatih. Kata mereka ketika menghuraikan hadis ini: “yakni (baginda) berdoa. Dan berkata Ibnul Malik: Baginda membaca selepas berbuka (اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ)."

5. Pemahaman ini senada dengan satu fatwa dari negara UAE. Fatwa bernombor 23340 ini berbunyi: “Dan doa berbuka puasa itu, waktu membacanya adalah sejurus selepas berbuka.” Begitu juga takwim Imsakiah bulan Ramadhan 1438H keluaran Jabatan Mufti Johor dengan jelas menyatakan bahawa doa berbuka sunat dibaca selepas berbuka puasa.

6. Oleh yang demikian, waktu yang tepat untuk membaca doa berbuka puasa adalah selepas berbuka, walaupun hanya dengan sedikit makanan dan minuman, dan bukannya sebelum berbuka. Inilah yang bertepatan dengan Sunnah Rasulullah s.a.w, bahasa Arab dan kata-kata ulama.

7. Sehubungan itu, urutan bdoa ketika berbuka yang betul ialah:
i) Masuk watu Maghrib: Baca doa Sebelum Makan. (اَللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ ، بِسْمِ الله)
ii) Selepas berbuka: Doa-doa berbuka seperti: (اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ)

8. Marilah kita sama-sama membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul.

Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...