Friday, 31 October 2025

DOSA YANG TIDAK DITUNDA BALASANNYA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

DOSA YANG TIDAK DITUNDA BALASANNYA

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
كُلُّ ذُنُوبٍ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مِنْهَا مَا شَاءَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، إِلَّا الْبَغْيَ، وَعُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ، وَقَطِيعَةَ الرَّحِمِ، يُعَجِّلُ اللَّهُ لِصَاحِبِهَا فِي الدُّنْيَا قَبْلَ الْمَوْتِ.

Daripada Abu Bakrah RA, daripada Nabi SAW bersabda:
"Setiap dosa akan ditunda balasannya oleh Allah SWT hingga hari kiamat, kecuali perbuatan zalim (al-baghy), derhaka kepada kedua ibu bapa dan memutuskan silaturahim; Allah akan menyegerakan azabnya di dunia sebelum kematian menjemput."
(Hadis Riwayat Al-Hakim, Al-Mustadrak No. 7345)
Status: Sahih

Pengajaran:

1. Setiap dosa seorang insan akan menerima balasan daripada Allah SWT melainkan jika diampunkan oleh-Nya.


2. Ada antara dosa yang akan dipercepatkan balasannya di dunia sebelum akhirat, antaranya:



 a) Dosa al-baghy – menzalimi hak orang lain sama ada melalui kuasa, kekayaan atau tindakan. Ia termasuk merampas hak, menindas, rasuah, menuntut yang tidak halal dan memberontak.

 b) Dosa derhaka kepada ibu bapa – menyakiti hati, meninggikan suara, mengabaikan tanggungjawab, atau bercakap kasar terhadap mereka.

 c) Dosa memutuskan silaturahim – tidak bertegur sapa dengan ahli keluarga terdekat, menimbulkan permusuhan atau enggan membantu walaupun mampu.

3. Balasan terhadap dosa ini akan dirasai di dunia sebelum mati, sama ada dalam bentuk kesempitan hidup, kegagalan, penyakit, atau hilang keberkatan rezeki dan ketenangan jiwa.


4. Kezaliman, derhaka kepada ibu bapa dan memutuskan silaturahim ialah dosa besar yang amat berat di sisi Allah. Hindarilah perbuatan yang membawa kemurkaan dan azab segera ini.



10 Jamadil Awwal 1447H
1 November 2025M

Thursday, 30 October 2025

RASULULLAH SAW ENGGAN SOLATKAN JENAZAH MATI SYAHID

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

RASULULLAH SAW ENGGAN SOLATKAN JENAZAH MATI SYAHID

عَنْ زَيْدِ بْنِ خَالِدٍ الْجُهَنِيِّ أَنَّ رَجُلًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تُوُفِّيَ يَوْمَ خَيْبَرَ، فَذَكَرُوا ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ. فَتَغَيَّرَتْ وُجُوهُ النَّاسِ لِذَلِكَ، فَقَالَ: إِنَّ صَاحِبَكُمْ غَلَّ فِي سَبِيلِ اللَّهِ. فَفَتَّشْنَا مَتَاعَهُ، فَوَجَدْنَا خَرَزًا مِنْ خَرَزِ يَهُودَ لَا يُسَاوِي دِرْهَمَيْنِ.
(Riwayat Abu Daud, No. 2335 – Sanad Tsiqah)

Terjemahan:
Daripada Zaid bin Khalid Al-Juhani RA bahawa seorang sahabat Nabi SAW meninggal dunia pada hari peperangan Khaibar. Maka para sahabat memberitahu Rasulullah SAW tentang kematiannya. Baginda bersabda:
“Solatkanlah jenazah sahabat kamu itu!”
Lalu berubah wajah para sahabat kerana terkejut mendengar sabda baginda. Rasulullah SAW kemudian menjelaskan:
“Sesungguhnya sahabat kalian telah mengkhianati harta rampasan perang di jalan Allah.”
Maka kami memeriksa barang-barangnya dan menjumpai perhiasan milik orang Yahudi yang nilainya tidak sampai dua dirham.


---

Pengajaran:

1. Setiap harta yang dimiliki perlu dipastikan bersih dan halal daripada sumber yang benar serta baik.


2. Rasulullah SAW enggan menyembahyangkan jenazah sahabat yang mengambil harta bukan haknya walaupun nilainya kecil (tidak sampai dua dirham atau sekitar RM2).


3. Perbuatan ghulul ialah mengambil harta yang ada kaitan dengan hak orang lain atau dengan cara menzalimi orang lain seperti rasuah, mencuri, menipu atau menerima harta haram.


4. Menurut al-Nasafi, ghulul ialah apabila seseorang mengambil sesuatu dengan sembunyi-sembunyi. Dengan kata lain, segala bentuk penyelewengan, manipulasi, atau pengkhianatan terhadap harta amanah termasuk dalam makna ghulul.


5. Larangan mengambil harta bukan hak walaupun sedikit menunjukkan betapa tegasnya Rasulullah SAW terhadap ketidakjujuran.


6. Jika harta yang kecil nilainya menyebabkan Rasulullah SAW enggan menyembahyangkan jenazah, apatah lagi jika melibatkan jumlah besar.


7. Hadis ini menjadi amaran keras terhadap ketidakjujuran dalam mengurus harta awam. Perkara kecil di mata manusia boleh menjadi sebab besar bagi azab di akhirat jika melibatkan hak bersama.




---

📅 09 Jamadil Awwal 1447H
📆 31 Oktober 2025M

Nama-Nama Mulia Rasulullah

🌿 *Nama-Nama Mulia Rasulullah ﷺ*

Rasulullah ﷺ bersabda:
“Aku mempunyai lima nama:
Aku Muhammad, Aku Ahmad, Aku al-Māḥī (yang denganku Allah menghapuskan kekufuran), Aku al-Ḥāshir (yang manusia akan dikumpulkan di bawah panjiku), dan Aku al-‘Āqib (yang tiada nabi selepasku).”
_(Riwayat al-Bukhārī dan Muslim)_

Sesungguhnya Allah Ta‘ala telah menamakan baginda ﷺ dalam kitab-Nya dengan dua nama yang agung Muhammad dan Ahmad.

Antara keistimewaan besar yang Allah kurniakan kepada baginda ialah:
Nama-nama baginda mengandungi pujian terhadap dirinya, dan setiap sebutan nama baginda membawa sanjungan serta kesyukuran yang agung.

🌸 *Makna dan Keindahan Nama-Nama Baginda ﷺ*

🔸 “Ahmad” (أَحْمَد)
Berasal daripada wazan af‘alu, bermaksud “yang paling banyak memuji dan paling terpuji.” Nama ini menggambarkan sifat baginda sebagai manusia yang paling sempurna dalam memuji Allah, dan juga yang paling layak menerima pujian daripada seluruh makhluk.

🔸 “Muhammad” (مُحَمَّد)
Berasal daripada wazan mufa‘alun, bermakna “yang sangat banyak dipuji.” Ia menunjukkan bahawa baginda memiliki pelbagai sifat terpuji yang membuatkan seluruh makhluk mencintai dan memujinya.

🌹 *Maka, baginda ﷺ adalah:*
- Sebesar-besar orang yang memuji Allah,
- ⁠Sebagus-bagus orang yang dipuji,
- ⁠Manusia yang paling banyak memuji dan paling layak dipuji.

_Kerana itu, baginda digelar:_
- “Aḥmad al-ḥāmidīn” — yang paling sempurna dalam memuji,
- “Aḥmad al-maḥmūdīn” — yang paling terpuji di antara yang terpuji.

🕊️ *Kemuliaan di Hari Kiamat*
Pada hari kiamat kelak, baginda ﷺ akan membawa panji pujian (liwā’ al-ḥamd) lambang kemuliaannya yang tertinggi. Ketika itu, seluruh makhluk akan mengenali baginda melalui sifat al-ḥamd (pujian), dan Allah akan membangkitkan baginda di maqām maḥmūd (kedudukan yang terpuji) sebagaimana dijanjikan.

Di saat itu, seluruh manusia dari generasi awal hingga akhir akan memuji baginda ﷺ kerana syafaat agungnya buat umat manusia.

> -كتاب الشفا بتعريف حقوق المصطفىٰ (ص٢٨٦)-

# Inilah kemuncak makna nama-nama baginda ﷺ bahawa segala pujian yang kembali kepada Allah, berpunca melalui insan yang paling terpuji di sisi-Nya, yakni Sayyiduna Muhammad ﷺ, rahmat bagi seluruh alam.

-Abu Nur Muhd Norluqman-

Wednesday, 29 October 2025

MAKAN DARI SUMBER HARAM

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

MAKAN DARI SUMBER HARAM

عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ رضي الله عنه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَا يَرْبُو لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ إِلَّا كَانَتْ النَّارُ أَوْلَى بِهِ

Daripada Ka‘ab bin ‘Ujrah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:
“Tidaklah daging manusia tumbuh daripada barang yang haram melainkan neraka lebih berhak atasnya.”
(Hadis Riwayat at-Tirmizi, No. 558)
Status: Hasan

Pengajaran:

1. Setiap makanan atau minuman yang dimasukkan ke dalam mulut hendaklah dipastikan daripada sumber yang halal dan baik.


2. Sumber haram seperti hasil mencuri, rasuah, riba, menipu dalam jual beli, menindas, salah guna kuasa, membuat tuntutan palsu, atau makan harta anak yatim tanpa hak — semuanya menumbuhkan daging yang batil pada tubuh.


3. Daging yang tumbuh hasil daripada makanan haram tidak layak masuk syurga melainkan dengan pengampunan Allah SWT.


4. Imam al-Ghazali menyatakan makanan haram menggelapkan hati, menyebabkan doa tidak diterima dan amal tertolak.


5. Hasil yang diperoleh secara salah adalah haram dan tidak berkat. Sanggupkah kita memberi makan kepada keluarga daripada sumber yang haram? Ingatlah, makanan yang haram menjadikan neraka lebih utama baginya.



Hadis lain sebagai penguat:

كُلُّ لَحْمٍ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ فَالنَّارُ أَوْلَى بِهِ
Maksudnya: “Setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka Neraka lebih layak baginya.”
(Hadis Riwayat at-Tabrani dalam al-Kabir 19/136; Sahih al-Jami‘, 3594)

Ibnu Mas‘ud RA berkata:
“Perbuatan suht ialah apabila seseorang membantu urusan saudaranya, lalu dia menerima hadiah daripadanya. Dengan harta haram itu dia makan, berpakaian, berkenderaan, membeli rumah, atau menghiasinya. Maka nerakalah tempat yang layak baginya.”

08 Jamadil Awwal 1447H
30 Oktober 2025M

Tuesday, 28 October 2025

PEMBERI, PENERIMA DAN PENGANTARA RASUAH DILAKNAT

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PEMBERI, PENERIMA DAN PENGANTARA RASUAH DILAKNAT

عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ: لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ وَالرَّائِشَ، يَعْنِي الَّذِي يَمْشِي بَيْنَهُمَا.
(Riwayat Ahmad, No: 22399; al-Ṭabarānī dalam al-Mu‘jam al-Kabīr, 1415)

Terjemahan:
Daripada Thauban RA berkata: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang yang menjadi perantara yang menjadi penghubung antara kedua-duanya.”

Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW melaknat semua pihak yang terlibat dengan rasuah — sama ada pemberi, penerima atau pengantara.


2. Para ulama menafsirkan bahawa dilaknat menunjukkan dosa besar. Imam al-Zahabi menyenaraikan rasuah dalam kitabnya al-Kabā’ir sebagai antara dosa besar.


3. Sesiapa yang menjadi pemudah cara atau orang tengah bagi urusan rasuah turut berdosa. Kaedah fiqh menyebut:
الإِعَانَةُ عَلَى المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ
Maksudnya: Menolong perbuatan maksiat juga adalah maksiat.


4. Imam Ibnul ‘Arabi menjelaskan: Rasuah ialah pemberian yang bertujuan membeli keputusan seseorang yang berjawatan bagi mendapatkan sesuatu yang tidak halal.


5. Allah SWT mencela perbuatan ini dalam al-Quran:
سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ
Maksudnya: Mereka sangat suka mendengar berita dusta dan sangat suka memakan yang haram (rasuah dan sebagainya).
(Surah al-Māidah, Ayat 42)
Imam al-Baghawi menjelaskan bahawa ayat ini ditujukan kepada para hakim Yahudi yang menerima rasuah dan memutuskan hukum untuk pihak yang merasuah. Said bin Jubair turut menyatakan makna أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ ialah rasuah kerana ia termasuk dalam memakan harta haram.


6. Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradawi, rasuah bukan hanya jenayah kewangan tetapi juga pengkhianatan terhadap amanah dan tanda kerosakan aqidah, kerana menunjukkan hilangnya rasa takut kepada Allah SWT.



📅 07 Jamadil Awwal 1447H / 29 Oktober 2025

Monday, 27 October 2025

PELAKU RASUAH DILAKNAT ALLAH DAN RASUL

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

PELAKU RASUAH DILAKNAT ALLAH DAN RASUL

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah.”
(Hadis Riwayat al-Tirmizi, No. 1337)
Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Amalan memberi dan menerima rasuah adalah perbuatan keji yang bukan sekadar haram, tetapi termasuk dalam dosa besar, dan pelakunya dilaknat oleh Allah SWT serta Rasulullah SAW.


2. Rasuah ialah sesuatu yang diberikan untuk membatalkan kebenaran atau menegakkan kebatilan. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, 22/219)


3. Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah bermaksud penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu berkaitan tugas rasmi. Suapan boleh berupa wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, diskaun dan sebagainya.


4. Rasuah bukan sekadar salah laku moral, tetapi merupakan pengkhianatan terhadap amanah, masyarakat dan agama. Ia membawa kepada ketidakadilan, kezaliman, penindasan dan keruntuhan sistem sosial.


5. Rasulullah SAW juga bersabda:
الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي فِي النَّارِ
Maksudnya: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah berada dalam neraka.”
(Hadis Riwayat al-Tabarani dalam al-Kabir, No. 4415)
Status: Sahih


6. Setiap pemberian atau penerimaan sesuatu dengan jalan yang batil adalah dosa besar dan dilarang oleh Allah SWT:



وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang lain antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan sebahagian dari harta manusia dengan dosa, sedangkan kamu mengetahuinya.”
(Surah al-Baqarah: 188)
7. Pemberi dan penerima rasuah akan dijauhkan daripada rahmat, kasih sayang dan keampunan Allah. Ini amaran keras kerana tidak semua dosa dilaknat oleh Allah, namun rasuah termasuk di antaranya.

➡️ Jangan sekali-kali terlibat dengan rasuah yang membawa laknat Allah dan Rasul-Nya.

📅 06 Jamadil Awal 1447H / 28 Oktober 2025M

Saturday, 25 October 2025

PESANAN BUAT MUSAFIR

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PESANAN BUAT MUSAFIR

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُسَافِرَ فَأَوْصِنِي.
قَالَ: عَلَيْكَ بِتَقْوَى اللهِ وَالتَّكْبِيرِ عَلَى كُلِّ شَرَفٍ.
فَلَمَّا أَنْ وَلَّى الرَّجُلُ قَالَ: اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الأَرْضَ وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa ada seorang lelaki berkata:
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku hendak bermusafir, maka berilah wasiat kepadaku.”
Baginda bersabda: “Engkau hendaklah bertakwa kepada Allah dan bertakbir ketika menaiki tempat yang tinggi.”
Kemudian ketika lelaki itu ingin pergi, Baginda SAW berdoa untuknya:
“Ya Allah, dekatkanlah jarak yang jauh baginya dan mudahkanlah perjalanannya.”

(Hadis Riwayat al-Tirmizi, No. 3445)
Status: Hasan

Pengajaran:

1. Ramai dalam kalangan kita mengambil kesempatan untuk bermusafir sama ada bercuti bersama keluarga atau menziarahi ahli keluarga. Sebelum bermusafir, mintalah nasihat daripada orang soleh atau berilmu kerana wasiat yang baik menjadi panduan dalam perjalanan.


2. Musafir boleh menjadi ibadah jika diniatkan dengan baik, seperti menuntut ilmu, ziarah, berniaga secara halal, atau berjihad. Maka perjalanan itu hendaklah disertai adab dan amalan sunnah.


3. Antara pesanan Rasulullah SAW kepada orang yang ingin bermusafir:
 a. Sentiasa bertakwa kepada Allah SWT sebagai bekalan utama.
 b. Apabila menaiki tempat tinggi hendaklah bertakbir.


4. Syeikh al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi (9/406) menjelaskan bahawa pesanan ini bermaksud supaya orang yang bermusafir:
 a. Sentiasa bertakwa kepada Allah SWT.
 b. Menjauhi maksiat kepada-Nya.
 c. Mengingati kebesaran Allah dan bersyukur atas kurniaan-Nya.


5. Doa yang diajar Nabi SAW untuk musafir:
 اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الأَرْضَ وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ
 Maksudnya: “Ya Allah, dekatkanlah jarak yang jauh baginya dan mudahkanlah perjalanannya.”



04 Jamadil Ula 1447H
26 Oktober 2025M

Tanda-tanda akhir zaman

Tanda-tanda akhir zaman

رَوَى الْبُخَارِيُّ عَنِ أبي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قال (لا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ الْعِلْمُ وَتَكْثُرَ الزَّلازِلُ وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ وَتَظْهَرَ الْفِتَنُ وَيَكْثُرَ الْهَرْجُ (وَهُوَ الْقَتْلُ) حَتَّى يَكْثُرَ فِيكُمُ الْمَالُ فَيَفِيضَ).

Imam al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan hadis daripada Sayyiduna Abu Hurairah رضي الله , bahawasanya baginda Rasulullah ﷺ bersabda:

Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah 1) Ilmu dimatikan 2) Banyaknya gempa bumi 3) Masa semakin singkat 4) Munculnya fitnah 5) Banyaknya Àl-Hárj iaitu pembunuhan sehingga banyaknya seseorang kalian mempunyai harta yang melimpah ruah

Mari kita lihat syarahannya dari kitab Mūkhtásàr Ibnü Abi Jámráh, syarahan oleh Al-Imàm As-Syànwàni As-Shàfīè 

1️⃣ Ilmu dimatikan

- ilmu dengan dimatikan para alim ulama

- Banyaknya orang jahil sehingga orang awam mengangkat orang jahil bertanya tentang fatwa, akhirnya mereka sesat dan menyesatkan 

2️⃣ Banyak gempa bumi

3️⃣ Masa semakin singkat

1-Dalam hadis dijelaskan bahawa: (( Kiamat tidak akan berlaku sehingga masa semakin singkat. Setahun seumpama sebulan, sebulan seumpama hari Jumaat (seminggu), Hari Jumaat (seminggu) seumpama sehari, sehari seumpama sesaat, sesaat seumpama sepercik api))

Tanda dekat dengan kiamat

2- Atau maksud kedua: Kurang berkat. Siang malam berlalu dengan cepat

3- Atau manusia zaman itu mendekati keburukan dan kurangnya kebaikan


4️⃣, 5️⃣ Munculnya fitnah dan pembunuhan 

Pembunuhan itu juga adalah fitnah. Tetapi disebutkan pula tentang perkara ini sebagai menunjukkan keburukannya.

Banyaknya pembunuhan, berkuranglah manusia.

Ketika ini, ada manusia yang nak memberi sedekah tidak dijumpai orang yang menerimanya . 

(Ini mungkin belum terzahirnya jelas lagi, tetapi kadar indeks jenayah perlu dirisaukan)


---- apa tujuan baginda Rasulullah ﷺ? Untuk menakutkan umat manusia ? Sifat Baginda Rasulullah ﷺ itu نذير pemberi berita gembira dan بشير pembawa berita gembira -----

🟢 Sekarang apa yang perlu kita buat:

Banyakkan beramal Soleh. Antara cadangannya:
 
1) Jagalah iman kita dengan melakukan solat sunat awwabin selepas solat Maghrib

2) Bacalah doa perlindungan yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah ﷺ sebelum memberi salam

اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذُ بِكَ مِن عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ المَسِيحِ الدَّجَّالِ

Wallahualam Taala A'lam 

- AZRA S.A KLANG

Friday, 24 October 2025

RASULULLAH SAW ENGGAN SOLATKAN JENAZAH BERHUTANG

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

RASULULLAH SAW ENGGAN SOLATKAN JENAZAH BERHUTANG

عَنْ سَلَمَةَ بْنِ الْأَكْوَعِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا فَقَالَ هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ قَالُوا لاَ قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا قَالُوا لاَ فَصَلَّى عَلَيْهِ، ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ: هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قِيلَ نَعَمْ، قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟ قَالُوا ثَلاَثَةَ دَنَانِيرَ، فَصَلَّى عَلَيْهَا، ثُمَّ أُتِيَ بِالثَّالِثَةِ فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ هَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟ قَالُوا لاَ، قَالَ فَهَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قَالُوا ثَلاَثَةُ دَنَانِيرَ، قَالَ: صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ، قَالَ أَبُو قَتَادَةَ: صَلِّ عَلَيْهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَلَيَّ دَيْنُهُ، فَصَلَّى عَلَيْهِ.
(HR al-Bukhari No: 2286)
Status: Hadis Sahih

Terjemahan:
Daripada Salamah bin Akwa‘ RA berkata:
“Ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, datang dibawa satu jenazah lalu mereka berkata: ‘Wahai Rasulullah, solatkanlah jenazah ini.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia mempunyai hutang?’ Mereka menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bertanya: ‘Apakah dia meninggalkan harta?’ Mereka menjawab: ‘Tidak.’ Maka Baginda pun mensolatkannya.

Kemudian dibawa lagi satu jenazah, mereka berkata: ‘Wahai Rasulullah, solatkanlah jenazah ini.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia mempunyai hutang?’ Mereka menjawab: ‘Ya.’ Baginda bertanya: ‘Apakah dia meninggalkan harta?’ Mereka menjawab: ‘Tiga dinar.’ Maka Baginda mensolatkannya.

Kemudian datang lagi jenazah ketiga, mereka berkata: ‘Solatkanlah jenazah ini.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia meninggalkan harta?’ Mereka menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bertanya: ‘Adakah dia berhutang?’ Mereka menjawab: ‘Tiga dinar.’ Maka Baginda bersabda: ‘Kalian solatlah atas jenazah sahabat kamu ini.’ Maka Abu Qatadah berkata: ‘Wahai Rasulullah, solatkanlah jenazah ini, aku akan menanggung hutangnya.’ Maka Baginda pun mensolatkannya.”

Pengajaran:

1. Hutang adalah perkara penting yang perlu diambil berat kerana ia boleh menjejaskan urusan akhirat seseorang.


2. Hutang perlu dijelaskan dengan segera sama ada kepada individu, institusi atau organisasi.


3. Rasulullah SAW enggan menyembahyangkan jenazah orang yang masih berhutang untuk mendidik umat tentang bahaya hutang, bukan kerana jenazah itu tidak layak disolatkan.


4. Umat Islam perlu berusaha mengelakkan diri daripada berhutang kecuali jika yakin mampu melunaskannya.


5. Setiap hutang wajar ditulis dan dimaklumkan kepada ahli waris supaya dapat dilangsaikan daripada harta pusaka selepas kematian.


6. Umat Islam digalakkan membuat wasiat dan perancangan kewangan agar hutang dapat diselesaikan dengan baik selepas meninggal dunia.



03 Jamadal Ula 1447H
25 Oktober 2025M

Thursday, 23 October 2025

SEBAIK-BAIK PAKAIAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

SEBAIK-BAIK PAKAIAN

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
البِسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبِيَاضَ فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ، وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ، وَإِنَّ خَيْرَ أَكْحَالِكُمْ الإِثْمِدُ: يَجْلُو الْبَصَرَ، وَيُنْبِتُ الشَّعَرَ
(Daripada Abdullah bin Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Pakailah pakaian berwarna putih kerana ia adalah sebaik-baik pakaian kamu, dan kafankanlah orang-orang mati kamu dengannya. Dan sebaik-baik celak kamu ialah al-Ithmid, kerana ia mencerahkan penglihatan dan menumbuhkan bulu mata (rambut).”)
— Hadis Riwayat Abu Daud, No. 3878 | Status: Sahih

Pengajaran:

1. Islam menganjurkan kesederhanaan dalam berpakaian, dan warna putih adalah sunnah yang terbaik.


2. Pakaian berwarna putih melambangkan kesucian dan kebersihan serta tidak berlebihan, sesuai dengan adab tawaduk dalam Islam.


3. Menggunakan kain kafan berwarna putih untuk jenazah menunjukkan kesederhanaan dan kesucian ketika menghadap Allah.


4. Penjagaan diri seperti menggunakan celak Ithmid juga dianjurkan. Ithmid ialah batu mineral hitam kemerah-merahan yang dihancurkan halus dan digunakan sebagai celak mata.


5. Celak Ithmid mempunyai manfaat kesihatan untuk mata — membantu mencerahkan penglihatan dan menumbuhkan bulu mata atau rambut halus di sekelilingnya.



02hb Jumadal Ula 1447H
24hb Oktober 2025M

Tuesday, 21 October 2025

MERAPIKAN RAMBUT

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

MERAPIKAN RAMBUT

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَن كَانَ لَهُ شَعْرٌ فَلْيُكْرِمْهُ
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mempunyai rambut, maka hendaklah dia memuliakannya (menjaganya dengan baik).”
(Hadis Riwayat Abu Daud, No. 4163)
Status: Hasan

Pengajaran:

1. Islam menuntut umatnya menjaga kebersihan dan penampilan yang kemas, termasuk dalam penjagaan rambut.


2. Memuliakan rambut bermaksud menjaga kebersihan rambut, menyikat dan merapikannya, memotong apabila perlu serta menghindari penampilan kusut atau menjijikkan.


3. Rambut adalah amanah dan sebahagian daripada keindahan fizikal; maka wajib dijaga dan tidak diabaikan.


4. Penjagaan rambut merupakan adab seorang Muslim, kerana Islam adalah agama kebersihan dan keindahan. Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan.”
(Hadis Riwayat Muslim, No. 164)


5. Menjaga penampilan, termasuk rambut, mencerminkan akhlak, kesopanan dan kebersihan yang dituntut oleh Islam.



30 Rabiul Akhir 1447H
22 Oktober 2025

Monday, 20 October 2025

Elak Kagum Dengan Penampilan Diri

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Elak Kagum Dengan Penampilan Diri

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي فِي حُلَّةٍ، تُعْجِبُهُ نَفْسُهُ، مُرَجِّلٌ جُمَّتَهُ، إِذْ خَسَفَ اللَّهُ بِهِ، فَهُوَ يَتَجَلْجَلُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Ketika seorang lelaki sedang berjalan dengan memakai pakaian yang cantik, yang menyebabkan dia kagum dengan dirinya sendiri, dan dia merapikan rambutnya (bergaya), maka Allah menenggelamkannya ke dalam bumi. Maka dia terus terjerumus (tergelincir, tenggelam) ke dalam bumi sehingga hari kiamat.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 5789)
Status: Sahih

Pengajaran:

1. Takabur dan ujub adalah dosa besar walaupun tidak dizahirkan secara lisan.


2. Penampilan diri yang baik tidak salah, tetapi hendaklah disertai dengan sifat rendah hati dan kesyukuran kepada Allah.


3. Hadis ini menggambarkan seorang lelaki yang kagum terhadap dirinya sendiri (ujub) kerana pakaian dan gaya, seolah-olah memperagakan penampilannya untuk meraih pujian. Sifat ini membawa kepada azab di dunia dan akhirat.


4. Islam tidak melarang berpakaian cantik, tetapi melarang bermegah dan menyombong diri kerana pakaian.


5. Ulama bersepakat bahawa takabur, ujub dan riak adalah penyakit hati yang merosakkan amal dan mendatangkan kemurkaan Allah.


6. Seorang Muslim perlu berhati-hati dengan penyakit hati yang boleh membinasakan walaupun amalannya kelihatan baik secara zahir.



29 Rabiul Akhir 1447H
21 Oktober 2025

Sunday, 19 October 2025

MEMELIHARA AURAT SESAMA JANTINA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

MEMELIHARA AURAT SESAMA JANTINA

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلَا يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلَا تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ وَاحِدٍ

Daripada Abu Sa‘id al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, dan wanita tidak boleh melihat aurat wanita lain. Lelaki juga tidak boleh bersentuhan badan dengan lelaki lain dalam satu kain, dan wanita tidak boleh bersentuhan dengan wanita lain dalam satu kain.”
(Hadis Riwayat Muslim, No. 338 – Sahih)

Pengajaran:

1. Menjaga aurat adalah kewajipan bagi setiap Muslim bukan hanya antara lelaki dan wanita, tetapi juga dalam kalangan sesama jantina.


2. Islam melarang lelaki melihat aurat lelaki lain, dan wanita melihat aurat wanita lain, kecuali dalam keadaan darurat seperti rawatan perubatan dan mengikut batas yang dibenarkan syarak.


3. Larangan bersentuhan badan secara langsung antara sesama jantina bertujuan menutup jalan kepada fitnah, gangguan seksual, dan kecenderungan tidak sihat.


4. Islam menutup segala pintu yang boleh membawa kepada maksiat atau kelakuan menyimpang.


5. Hadis ini memberi panduan menjaga maruah, aurat dan kehormatan sesama Muslim, sekali gus menghindari maksiat serta menjaga kesucian masyarakat Islam.



28 Rabiul Akhir 1447H
20 Oktober 2025M

Saturday, 18 October 2025

Bersederhana Dalam Makan dan Minum

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Bersederhana Dalam Makan dan Minum

عَنِ الْمِقْدَامِ بْنِ مَعْدِي كَرِبَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:
مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ، بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ، فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ، وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ، وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ

Daripada al-Miqdam bin Ma‘dikarib RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada satu bekas yang lebih buruk diisi oleh anak Adam daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suapan yang dapat menegakkan tulang belakangnya. Jika dia mesti (mengisi perutnya), maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya, dan satu pertiga untuk nafasnya.”
(Hadis Riwayat Tirmizi, No. 2380) — Status: Sahih

Pengajaran:

1. Islam menggalakkan kesederhanaan dalam makan dan minum. Makan berlebihan boleh membawa mudarat kepada tubuh badan serta menyebabkan kita malas, mengantuk dan lalai.


2. Nabi SAW mencela perbuatan memenuhi perut secara berlebihan dan mengumpamakannya seperti mengisi bekas paling buruk.


3. Perut yang terlalu penuh boleh membawa kepada kemalasan, penyakit dan keras hati. Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din menyatakan: “Kenyang yang berlebihan adalah akar segala penyakit hati dan jasad.”


4. Nabi SAW memberikan kadar ideal untuk menjaga kesihatan dan keseimbangan tubuh: ⅓ untuk makanan, ⅓ untuk minuman dan ⅓ untuk pernafasan.


5. Nafsu makan yang tidak dikawal menjadi punca kepada pelbagai penyakit. Islam menyeru supaya kita makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.


6. Orang yang mengawal perutnya akan lebih mudah menjaga lidah, mata dan hati kerana kawalan nafsu bermula daripada kawalan makanan.


7. Sunnah Rasulullah SAW menekankan kesederhanaan dalam pemakanan, dan ini terbukti secara saintifik membantu mencegah penyakit kronik seperti obesiti, tekanan darah tinggi dan diabetes.



📅 27 Rabiul Akhir 1447H | 19 Oktober 2025M

Friday, 17 October 2025

LARANGAN MAKAN DAN MINUM BERDIRI

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

LARANGAN MAKAN DAN MINUM BERDIRI

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَنَّهُ نَهَى أَنْ يَشْرَبَ الرَّجُلُ قَائِمًا قَالَ قَتَادَةُ: فَقُلْنَا: فَالْأَكْلُ؟ فَقَالَ: ذَاكَ أَشَرُّ، أَوْ أَخْبَثُ

Daripada Anas RA bahawa Nabi SAW melarang seseorang lelaki minum sambil berdiri. Kata Qatadah: Maka kami bertanya, bagaimana pula dengan makan? Baginda menjawab: “Itu lebih buruk atau lebih keji.”
(Hadis Riwayat Muslim, No: 2024)
Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Duduk ketika makan dan minum adalah amalan sunnah yang dituntut kerana ia lebih sopan dan selamat.


2. Nabi SAW melarang perbuatan minum dan makan sambil berdiri. Menurut Imam Nawawi, larangan ini termasuk dalam bab adab, bukan bermaksud haram tetapi makruh tanzih (tidak disukai, tetapi tidak berdosa jika dilakukan).


3. Imam al-San‘ani menyebut dalam Subul al-Salam, larangan ini bertujuan mendidik adab kesopanan, menghindari mudarat kesihatan serta menunjukkan tawaduk dan ketertiban dalam adab makan dan minum.


4. Dari sudut kesihatan, pakar perubatan menyatakan minum sambil berdiri boleh menyebabkan aliran air ke perut menjadi terlalu cepat, sekali gus mengganggu fungsi sistem pencernaan.


5. Makan sambil berdiri lebih buruk daripada minum berdiri. Dalam keadaan tertentu seperti tempat kotor, ruang sempit atau tiada tempat duduk, minum berdiri diharuskan. Dalam hadis lain, Nabi SAW pernah minum sambil berdiri.


6. Hadis ini menekankan keutamaan adab dalam hal makan dan minum, menunjukkan bahawa Islam mengajar umatnya kesopanan dan penghormatan terhadap nikmat walaupun dalam perkara kecil.



📅 26 Rabiul Akhir 1447H | 18 Oktober 2025

Thursday, 16 October 2025

MAKAN DAN MINUM DENGAN TANGAN KANAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

MAKAN DAN MINUM DENGAN TANGAN KANAN

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ، وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ، وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ

Daripada Ibn ‘Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya, dan apabila dia minum, maka hendaklah dia minum dengan tangan kanannya, kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya.”
(HR Muslim No: 2020) — Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Antara adab untuk makan dan minum adalah menggunakan tangan kanan, jika dilakukan dengan niat mengikuti sunnah akan mendatangkan pahala.


2. Kita dilarang menggunakan tangan kiri untuk makan dan minum kerana ia adalah perbuatan syaitan.


3. Ulama fiqh menyatakan bahawa jika seseorang tidak mampu menggunakan tangan kanan kerana sakit, lumpuh atau uzur syar‘ie, maka tidak mengapa makan atau minum dengan tangan kiri.


4. Ibn Qayyim al-Jawziyyah menyebut bahawa larangan menggunakan tangan kiri bukan sekadar adab, tetapi membezakan akhlak seorang mukmin dengan syaitan dan orang fasik.


5. Hadis ini menunjukkan bahawa makan dan minum dengan tangan kanan adalah sunnah yang dituntut, dan ia merupakan satu cara membezakan diri kita daripada syaitan serta menghidupkan sunnah Nabi SAW. Ia mendidik kita agar berdisiplin, beradab dan taat kepada panduan syariat dalam setiap aspek kehidupan, sekecil mana pun perbuatan itu.



25 Rabiul Akhir 1447H
17 Oktober 2025M

Wednesday, 15 October 2025

GANJARAN MEMBERI PINJAMAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

GANJARAN MEMBERI PINJAMAN

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُقْرِضُ مُسْلِمًا قَرْضًا مَرَّتَيْنِ، إِلَّا كَانَ كَصَدَقَتِهَا مَرَّةً

Daripada Abdullah bin Mas‘ud RA, Nabi SAW bersabda:
“Tidak ada seorang Muslim yang memberi pinjaman kepada Muslim lain sebanyak dua kali, melainkan ia (pahalanya) seperti bersedekah sekali.”

(HR Ibnu Majah No: 2430)
Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Memberi pinjaman kepada orang yang memerlukan adalah amalan terpuji kerana sanggup mengorbankan kesenangan diri.


2. Memberi pinjaman kepada orang yang memerlukan, jika dilakukan dua kali, maka ganjarannya seolah-olah memberi sedekah sekali. Ia menunjukkan bahawa memberi pinjaman kepada yang memerlukan dianggap sebagai ibadah besar dan mendapat pahala sedekah, selagi tidak disertai riba.


3. Pinjaman diberi ganjaran seperti sedekah kerana ia membantu secara langsung orang dalam kesempitan, diberi tanpa faedah dan hanya untuk membantu bukan meraih keuntungan.


4. Memberi pinjaman dua kali menyamai pahala sedekah sekali ganjarannya kerana pinjaman tetap perlu dibayar balik, sedangkan sedekah tidak.


5. "Pinjaman dua kali" dalam hadis ini mengisyaratkan nilai kesabaran dan kesediaan untuk membantu lebih daripada sekali walaupun mungkin orang tersebut pernah gagal melunaskan hutang pada kali pertama.



24 Rabiul Akhir 1447H
16 Oktober 2025

Tuesday, 14 October 2025

PERMUDAHKAN URUSAN ORANG

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

PERMUDAHKAN URUSAN ORANG

عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ رَجُلًا كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ، أَتَاهُ الْمَلَكُ لِيَقْبِضَ رُوحَهُ، فَقِيلَ لَهُ: هَلْ عَمِلْتَ مِنْ خَيْرٍ؟ قَالَ: مَا أَعْلَمُ. قِيلَ لَهُ: انْظُرْ، قَالَ: مَا أَعْلَمُ شَيْئًا، غَيْرَ أَنِّي كُنْتُ أُبَايِعُ النَّاسَ فِي الدُّنْيَا، وَأُجَازِيهِمْ، فَأُنْظِرُ الْمُوسِرَ، وَأَتَجَاوَزُ عَنِ الْمُعْسِرِ، فَأَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ.

Daripada Huzaifah bin Yaman RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya ada seorang lelaki dalam kalangan umat sebelum kamu, didatangi oleh malaikat untuk mencabut rohnya. Maka ditanya kepadanya: ‘Adakah kamu pernah melakukan sebarang kebaikan?’ Dia menjawab: ‘Aku tidak tahu.’ Malaikat berkata kepadanya: ‘Cuba ingat kembali.’ Dia menjawab: ‘Aku tidak tahu apa-apa kebaikan melainkan aku biasa berniaga dengan manusia di dunia. Aku memberi kelonggaran kepada orang yang senang, dan memberi tempoh kepada orang yang susah.’ Lalu Allah memasukkannya ke dalam syurga.”
(HR al-Bukhari No: 3451)
Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Allah amat menghargai mereka yang mempermudahkan urusan orang lain, terutamanya yang dalam kesusahan, bersikap lembut dan bertimbang rasa dalam urusan dunia.


2. Sikap memberi tempoh kepada orang yang susah dan tidak menekan pelanggan menunjukkan rahmat dan belas kasihan yang sangat dihargai.


3. Orang yang memudahkan urusan orang lain di dunia walaupun kecil nescaya Allah akan memudahkan urusannya di akhirat.


4. Lelaki dalam hadis ini tidak menyedari bahawa ada amalan kecil dalam urusan sesama manusia boleh menjadi sebab masuk Syurga — iaitu memberi kelonggaran kepada orang yang berurusan dengannya.


5. Hadis ini memperlihatkan kemuliaan akhlak dalam jual beli, di mana sifat lembut, pemaaf dan tidak berkira adalah antara ciri-ciri utama orang yang disayangi Allah.


6. Hadis ini mengajar kita agar tidak hanya mencari keuntungan dalam berurusan, tetapi juga menyemai nilai kemanusiaan, keihsanan, sabar dan rahmat dalam semua urusan.



📅 23 Rabiul Akhir 1447H
📆 15 Oktober 2025M

Monday, 13 October 2025

IHSAN KEPADA PENGHUTANG

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

IHSAN KEPADA PENGHUTANG

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
مَنْ أَنْظَرَ مُعْسِرًا أَوْ وَضَعَ لَهُ، أَظَلَّهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ تَحْتَ ظِلِّ عَرْشِهِ، يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW bersabda:
“Sesiapa yang memberi tempoh kepada orang yang dalam kesusahan (untuk membayar hutang), atau mengurangkan sebahagian daripadanya, maka Allah akan menaunginya pada hari kiamat di bawah naungan ‘Arasy-Nya, pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya.”
(HR Tirmizi No: 1306)
Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Melanjutkan tempoh pembayaran hutang bagi orang yang tidak mampu membayar tepat pada masanya atau menghapuskan sebahagian hutang kepada orang yang berhutang merupakan akhlak terpuji yang sangat digalakkan dalam Islam.


2. Orang yang memiliki sifat ini akan mendapat naungan di bawah ‘Arasy Allah pada Hari Kiamat, hari yang tiada naungan selain naungan-Nya.


3. Islam menekankan sikap ihsan dalam urusan kewangan, termasuk kepada penghutang, sebagai tanda kasih sayang sesama manusia.


4. Memberi tangguh, mengurangkan atau memaafkan hutang adalah pelaburan besar untuk akhirat.


5. Penghutang yang berkemampuan wajib melunaskan hutang dengan segera sebagaimana sabda Rasulullah SAW:



خَيْرُكُمْ أَحْسَنُكُمْ قَضَاءً
Maksudnya: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik membayar hutang.”
(HR Bukhari No: 2305)
Status: Hadis Sahih

🕌 22 Rabiul Akhir 1447H | 14 Oktober 2025

Sunday, 12 October 2025

GANJARAN MENYEDIAKAN SUMBER AIR

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

GANJARAN MENYEDIAKAN SUMBER AIR

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
مَنْ حَفَرَ مَاءً لَمْ تَشْرَبْ مِنْهُ كَبِدٌ حَرَّى مِنْ جِنٍّ وَلَا إِنْسٍ وَلَا طَائِرٍ، إِلَّا آجَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Daripada Jabir bin Abdullah RA, Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang menggali sumber air (seperti telaga) dan daripadanya diminum oleh makhluk yang kehausan sama ada jin, manusia atau burung, maka Allah akan memberi ganjaran pahala kepadanya pada hari kiamat."
(Hadis Riwayat Ibn Khuzaimah, No: 1292) — Status: Sahih

Pengajaran:

1. Menyediakan air sama ada dengan menggali perigi, membina saliran, paip atau wakaf air termasuk dalam amal soleh yang besar ganjarannya dan menjadi amal jariah walaupun selepas kematian.


2. Memberi air kepada makhluk adalah antara sedekah yang utama kerana ia merupakan keperluan asas semua kehidupan.


3. Kita dianjurkan berbuat baik bukan hanya kepada manusia, tetapi juga kepada haiwan, tumbuhan dan jin. Setiap nyawa yang diselamatkan atau dibantu, walaupun bukan manusia, dikira sebagai amalan soleh.


4. Islam menekankan belas kasihan bukan hanya kepada manusia, tetapi kepada semua makhluk hidup.


5. Hadis ini menggambarkan luasnya ganjaran kebaikan dalam Islam, termasuk memberi manfaat kepada makhluk lain. Menyediakan sumber air menjadi pahala berterusan hingga akhirat.



21 Rabiul Akhir 1447H
13 Oktober 2025M

Saturday, 11 October 2025

SEDEKAH LINDUNGI DIRI DARI API NERAKA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

SEDEKAH LINDUNGI DIRI DARI API NERAKA

عَنْ عَدِيِّ بْنِ حَاتِمٍ الطَّائِيِّ قَالَ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَسْتَتِرَ مِنَ النَّارِ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ، فَلْيَفْعَلْ

Daripada ‘Adi bin Hatim at-To’i RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa di antara kamu yang mampu melindungi dirinya daripada api neraka walaupun dengan separuh biji tamar, maka lakukanlah.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 6195)
Status: Sahih

Pengajaran:

1. Nilai sedekah tidak terletak pada jumlah, tetapi pada keikhlasan dan niat memberi. Separuh biji tamar ialah simbol kepada sesuatu yang sangat kecil, namun tetap diterima di sisi Allah jika diberikan dengan ikhlas.


2. Amalan kecil seperti bersedekah dengan separuh biji kurma boleh menjadi sebab keselamatan dari api neraka jika disertai niat yang tulus.


3. Rasulullah SAW mengajar kita agar tidak memandang remeh amalan baik kerana sekecil mana pun amalan itu, ia tetap diberi ganjaran oleh Allah. Kita tidak tahu amalan mana yang diterima oleh-Nya.


4. Kemampuan bukan alasan untuk tidak memberi. Hadis ini menunjukkan tiada alasan untuk tidak bersedekah walau sedikit pun yang dimiliki.


5. Jangan tunggu kaya untuk bersedekah — berilah walaupun sedikit kerana ia boleh menjadi sebab keselamatan di akhirat.



19 Rabiul Akhir 1447H
11 Oktober 2025M

AMAL KEBAJIKAN DIGANJARI KEBAIKAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

AMAL KEBAJIKAN DIGANJARI KEBAIKAN

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ، قَالَتْ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
صَنَائِعُ الْمَعْرُوفِ تَقِي مَصَارِعَ السُّوءِ، وَالصَّدَقَةُ خَفِيًّا تُطْفِئُ غَضَبَ الرَّبِّ، وَصِلَةُ الرَّحِمِ زِيَادَةٌ فِي الْعُمُرِ، وَكُلُّ مَعْرُوفٍ صَدَقَةٌ، وَأَهْلُ الْمَعْرُوفِ فِي الدُّنْيَا هُمْ أَهْلُ الْمَعْرُوفِ فِي الْآخِرَةِ، وَأَهْلُ الْمُنْكَرِ فِي الدُّنْيَا هُمْ أَهْلُ الْمُنْكَرِ فِي الْآخِرَةِ.

Daripada Ummu Salamah, Ummul Mukminin RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Amalan-amalan kebajikan dapat menghindarkan daripada kecelakaan yang buruk, dan sedekah yang diberikan secara sembunyi dapat meredakan kemurkaan Allah. Menyambung silaturahim pula dapat memanjangkan umur. Setiap kebaikan adalah satu sedekah. Orang-orang yang melakukan kebaikan di dunia adalah juga orang-orang yang dikenali dengan kebaikan di akhirat, dan orang-orang yang biasa melakukan kejahatan di dunia akan juga menjadi ahli kejahatan di akhirat.”
(HR al-Ṭabarānī No: 6086)
Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Perbuatan baik seperti membantu orang lain, bersedekah, meringankan beban dan memberi manfaat kepada orang lain menjadi sebab turunnya rahmat Allah serta dapat menghindarkan bala dan kesudahan yang buruk.


2. Sedekah yang dilakukan secara rahsia mencerminkan keikhlasan dan menjauhkan diri daripada riyak; ia dapat menghapuskan dosa serta memadamkan kemurkaan Allah.


3. Menghubungkan silaturrahim membawa keberkatan umur, ketenangan hidup, serta meluaskan rezeki dan perlindungan daripada keburukan.


4. Setiap kebaikan adalah sedekah — termasuk memberi senyuman, menolong orang, menasihati, dan menyingkirkan halangan dari jalan.


5. Orang yang biasa berbuat baik di dunia akan mendapat ganjaran, kemuliaan dan tempat yang baik di akhirat.


6. Orang yang berbuat jahat di dunia tanpa bertaubat akan menerima balasan kejahatan di akhirat kecuali jika mendapat keampunan Allah.


7. Jadilah insan yang suka melakukan kebaikan walaupun kecil, dan jauhi maksiat kerana ia memberi kesan terhadap kehidupan akhirat.



20 Rabiul Akhir 1447H
12 Oktober 2025M

Thursday, 9 October 2025

SEDEKAH DAN KEIKHLASAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

SEDEKAH DAN KEIKHLASAN

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
قالَ رَجُلٌ: لَأَتَصَدَّقَنَّ بصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بصَدَقَتِهِ، فَوَضَعَهَا في يَدِ سَارِقٍ، فأصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ علَى سَارِقٍ، فَقالَ: اللَّهُمَّ لكَ الحَمْدُ، لَأَتَصَدَّقَنَّ بصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بصَدَقَتِهِ، فَوَضَعَهَا في يَدَيْ زَانِيَةٍ، فأصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ اللَّيْلَةَ علَى زَانِيَةٍ، فَقالَ: اللَّهُمَّ لكَ الحَمْدُ، علَى زَانِيَةٍ؟ لَأَتَصَدَّقَنَّ بصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بصَدَقَتِهِ، فَوَضَعَهَا في يَدَيْ غَنِيٍّ، فأصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ علَى غَنِيٍّ، فَقالَ: اللَّهُمَّ لكَ الحَمْدُ، علَى سَارِقٍ وعلَى زَانِيَةٍ وعلَى غَنِيٍّ، فَأُتِيَ فقِيلَ له: أَمَّا صَدَقَتُكَ علَى سَارِقٍ فَلَعَلَّهُ أَنْ يَسْتَعِفَّ عن سَرِقَتِهِ، وأَمَّا الزَّانِيَةُ فَلَعَلَّهَا أَنْ تَسْتَعِفَّ عن زِنَاهَا، وأَمَّا الغَنِيُّ فَلَعَلَّهُ يَعْتَبِرُ فيُنْفِقُ ممَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ.

Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
Seorang lelaki berkata: “Aku akan bersedekah.” Lalu dia keluar dan meletakkan sedekahnya (tetapi sedekahnya jatuh) di tangan seorang pencuri. Pagi harinya, orang ramai bercakap: “Semalam, dia bersedekah kepada pencuri!” Maka dia berkata: “Ya Allah, bagi-Mu segala pujian, aku akan bersedekah lagi.” Dia keluar dan memberikan sedekahnya dan jatuh kepada seorang pelacur. Pagi harinya, orang ramai berkata: “Semalam, dia bersedekah kepada pelacur!” Maka dia berkata: “Ya Allah, bagi-Mu segala pujian. (bersedekah) kepada pelacur? Aku akan bersedekah lagi.” Dia keluar sekali lagi dan memberikan sedekahnya (kebetulan) kepada seorang yang kaya. Pagi harinya, orang ramai berkata: “Dia bersedekah kepada orang kaya!” Maka dia berkata: “Ya Allah, bagi-Mu segala pujian (sedekahnya jatuh) kepada pencuri, pelacur dan orang kaya.” Maka dia didatangi dalam mimpi dan dikatakan kepadanya: “Sedekahmu kepada pencuri, mudah-mudahan dia insaf dan meninggalkan perbuatan mencuri. Sedekahmu kepada pelacur, mudah-mudahan dia bertaubat dan meninggalkan zina. Sedekahmu kepada orang kaya, mudah-mudahan dia mengambil pengajaran lalu menginfakkan harta yang Allah berikan kepadanya.”

(Hadis Riwayat Muslim, No. 1022) — Status: Sahih

Pengajaran:

1. Niat adalah asas utama dalam semua amal ibadah. Lelaki dalam hadis ini bersedekah dengan niat yang tulus kerana Allah, bukan untuk menunjuk.


2. Hadis ini menceritakan tentang seorang lelaki yang dengan ikhlas ingin bersedekah. Namun, tiga kali sedekahnya “tersalah sasaran” jatuh ke tangan pencuri, penzina dan orang kaya. Namun dia tetap mengucapkan syukur kepada Allah, dan akhirnya dia diberitahu bahawa setiap pemberian itu berpotensi memberi kesan positif kepada penerimanya.


3. Jangan menilai masa depan seseorang berdasarkan dosa atau statusnya hari ini. Allah Maha Mengetahui hikmah di sebalik setiap amal.


4. Allah SWT mengatur sesuatu yang kadang-kadang kita tidak sangka. Tindakan lelaki ini menjadi asbab perubahan hidup kepada pencuri, pelacur dan orang kaya tersebut.


5. Sedekah mendidik jiwa dan menyedarkan manusia, termasuk mereka yang melakukan maksiat atau lalai. Sedekah ikhlas boleh membuka pintu taubat.


6. Sedekah yang ikhlas tidak pernah sia-sia walaupun pada pandangan manusia nampak tidak “kena”. Allah tetap memberi ganjaran dan hikmah atas keikhlasan niat.



18 Rabiul Akhir 1447H
10 Oktober 2025M

Wednesday, 8 October 2025

ABU TALHAH DAN KEBUN BAIRUHA’

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

ABU TALHAH DAN KEBUN BAIRUHA’

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: كَانَ أَبُو طَلْحَةَ أَكْثَرَ الأَنْصَارِ مَالًا، وَكَانَ أَحَبَّ أَمْوَالِهِ إِلَيْهِ بَيْرَحَاءُ، وَكَانَتْ مُسْتَقْبِلَةَ الْمَسْجِدِ، وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْخُلُهَا وَيَشْرَبُ مِنْ مَاءٍ فِيهَا طَيِّبٍ. قَالَ أَنَسٌ: فَلَمَّا نَزَلَتْ هذِهِ الآيَةُ: ﴿لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ﴾ [آل عمران: ٩٢]
قَامَ أَبُو طَلْحَةَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ فِي كِتَابِهِ: ﴿لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ﴾ وَإِنَّ أَحَبَّ مَالِي إِلَيَّ بَيْرَحَاءُ، فَإِنَّهَا صَدَقَةٌ لِلَّهِ، أَرْجُو بِرَّهَا وَذُخْرَهَا عِنْدَ اللَّهِ، فَضَعْهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ حَيْثُ شِئْتَ.
فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
بَخٍ! ذَاكَ مَالٌ رَابِحٌ، بَخٍ! ذَاكَ مَالٌ رَابِحٌ، وَقَدْ سَمِعْتُ مَا قُلْتَ، وَإِنِّي أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا فِي الأَقْرَبِينَ.
فَقَالَ أَبُو طَلْحَةَ: أَفْعَلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. فَقَسَمَهَا أَبُو طَلْحَةَ فِي أَقَارِبِهِ وَبَنِي عَمِّهِ.
(رواه مسلم، رقم: 998)

Terjemahan:
Daripada Anas RA berkata: Sesungguhnya Abu Talhah RA adalah orang Ansar yang paling banyak harta berupa kebun kurma di Madinah. Harta yang paling disayanginya ialah kebun Bairuha’, yang terletak menghadap ke arah Masjid Nabawi. Rasulullah SAW sering masuk ke dalam kebun itu dan meminum air yang baik dari situ. Kata Anas: Apabila diturunkan ayat ini: “Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan (yang sempurna) sehingga kamu menafkahkan sebahagian dari apa yang kamu cintai.” (Surah Ali ‘Imran: 92), maka Abu Talhah pergi menghadap Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah menurunkan ayat ini, dan sesungguhnya harta yang paling aku sayangi ialah kebun Bairuha’. Maka aku sedekahkannya kerana Allah, aku harapkan kebaikan dan ganjaran yang berkekalan di sisi Allah. Oleh itu, wahai Rasulullah, gunakanlah ia sebagaimana yang Allah tunjukkan kepadamu.” Rasulullah SAW bersabda: “Bagus! Itu adalah harta yang menguntungkan, itu adalah harta yang menguntungkan. Aku telah dengar apa yang kamu katakan, dan aku berpendapat supaya kamu menyedekahkannya kepada kaum kerabatmu.” Lalu Abu Talhah berkata: “Aku akan lakukan, wahai Rasulullah.” Maka beliau membahagikan kebun itu kepada kaum kerabat dan sepupu-sepupunya.
(Hadis Riwayat Muslim, No: 998 – Status: Sahih)


---

Pengajaran:

1. Hadis ini mengajar umat Islam supaya berusaha mencapai darjat al-birr (kebaikan yang sempurna) dengan menyumbang sesuatu yang paling disayangi, bukan sekadar lebihan harta.


2. Tindakan Abu Talhah menjadi contoh keikhlasan tertinggi dalam bersedekah — beliau menyedekahkan kebun kurma Bairuha’ yang amat disayanginya. Imam Nawawi menyatakan tindakan ini menggambarkan ketakwaan dan pengorbanan sebenar.


3. Rasulullah SAW mengarahkan Abu Talhah menyedekahkan kebun tersebut kepada kaum kerabat. Ini menunjukkan bahawa sedekah kepada keluarga sendiri lebih utama jika mereka memerlukan. Dalam hadis lain:

الصَّدَقَةُ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَهِيَ عَلَى ذِي الرَّحِمِ اثْنَتَانِ : صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ
“Sedekah pada orang miskin itu adalah sedekah semata-mata, sedangkan sedekah pada kerabat mengandungi dua hal — sedekah dan mengeratkan tali persaudaraan.”
(Riwayat Ibn Hibban, 3344)


4. Hadis ini menggambarkan zuhud dan keteguhan iman para sahabat — mereka tidak terikat dengan dunia dan sanggup mengorbankan harta berharga demi keredaan Allah SWT.




---

📅 17 Rabiul Akhir 1447H
📆 09 Oktober 2025M

Monday, 6 October 2025

PERUMPAMAAN BAJU BESI PADA SI DERMAWAN DAN SI BAKHIL

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

PERUMPAMAAN BAJU BESI PADA SI DERMAWAN DAN SI BAKHIL

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ:
ضَرَبَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلَ الْبَخِيلِ وَالْمُتَصَدِّقِ كَمَثَلِ رَجُلَيْنِ عَلَيْهِمَا جُنَّتَانِ مِنْ حَدِيدٍ، قَدِ اضْطُرَّتْ أَيْدِيهِمَا إِلَى ثُدِيِّهِمَا وَتَرَاقِيهِمَا، فَجَعَلَ الْمُتَصَدِّقُ كُلَّمَا تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ انْبَسَطَتْ عَنْهُ، حَتَّى تُغَشِّيَ أَنَامِلَهُ وَتَعْفُوَ أَثَرَهُ، وَجَعَلَ الْبَخِيلُ كُلَّمَا هَمَّ بِصَدَقَةٍ قَلَصَتْ، وَأَخَذَتْ كُلُّ حَلَقَةٍ مَكَانَهَا، قَالَ: فَأَنَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ بِإِصْبَعِهِ فِي جَيْبِهِ، فَلَوْ رَأَيْتَهُ يُوَسِّعُهَا وَلَا تَوَسَّعُ.

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata:
Rasulullah SAW memberikan perumpamaan bagi orang yang bakhil (kedekut) dan orang yang bersedekah seperti dua orang lelaki yang memakai baju besi (perisai) yang dibuat daripada besi. Perisai itu menutupi dada dan tengkuk mereka. Apabila orang yang bersedekah memberi sedekah, maka perisainya menjadi longgar dan meluas sehingga menutupi hujung jarinya dan menghapuskan kesan jejaknya (dosa-dosanya). Manakala orang yang bakhil, setiap kali dia berniat untuk bersedekah, perisainya menjadi ketat dan mencengkam tubuhnya sehingga setiap lingkaran perisai itu melekat pada tempatnya. Abu Hurairah berkata: Aku melihat Rasulullah SAW mengisyaratkan dengan jarinya ke arah leher bajunya, seolah-olah Baginda cuba melonggarkannya, tetapi ia tidak longgar.

(Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 5797)
Status: Sahih

Pengajaran:

1. Perumpamaan baju besi bagi orang yang dermawan menunjukkan kelapangan dada, ketenangan jiwa, dan keluasan rezeki. Semakin dia bersedekah, semakin luas rahmat dan keberkatannya.


2. Perumpamaan baju besi bagi orang yang bakhil menggambarkan kesempitan jiwa dan tekanan batin. Setiap kali dia ingin memberi, nafsu dan ketakutan menjerut hatinya.


3. Sedekah ialah penawar kepada penyakit kedekut. Bersedekah secara konsisten melapangkan hati dan menyuburkan iman.


4. Kedekut menjadikan hati keras, rezeki sempit, dan diri gelisah. Ia menzalimi diri dan menjarakkan seseorang daripada rahmat Allah.


5. Sifat bakhil berpunca daripada cinta dunia yang melampau dan tanda hati yang sakit.


6. Bersedekah menyuburkan hati dan memudahkan amalan, sedangkan kedekut mematikan jiwa dan menghalang keberkatan hidup.



15 Rabiul Akhir 1447H
07 Oktober 2025

Sunday, 5 October 2025

KELEBIHAN BERSEDEKAH

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

KELEBIHAN BERSEDEKAH

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
بَيْنَمَا رَجُلٌ بِفَلاَةٍ مِنَ الْأَرْضِ، فَسَمِعَ صَوْتًا فِي سَحَابَةٍ: اسْقِ حَدِيقَةَ فُلاَنٍ، فَتَنَحَّى ذَٰلِكَ السَّحَابُ، فَأَفْرَغَ مَاءَهُ فِي حَرَّةٍ، فَإِذَا شَرْجَةٌ مِنْ تِلْكَ الشِّرَاجِ قَدِ اسْتَوْعَبَتْ ذَٰلِكَ الْمَاءَ كُلَّهُ، فَتَتَبَّعَ الْمَاءَ، فَإِذَا رَجُلٌ قَائِمٌ فِي حَدِيقَتِهِ يُحَوِّلُ الْمَاءَ بِمِسْحَاتِهِ، فَقَالَ لَهُ: يَا عَبْدَ اللَّهِ، مَا اسْمُكَ؟ قَالَ: فُلاَنٌ، لِلاِسْمِ الَّذِي سَمِعَ فِي السَّحَابَةِ، فَقَالَ لَهُ: يَا عَبْدَ اللَّهِ، لِمَ تَسْأَلُنِي عَنْ اسْمِي؟ فَقَالَ: إِنِّي سَمِعْتُ صَوْتًا فِي السَّحَابِ -الَّذِي هَذَا مَاؤُهُ- يَقُولُ: اسْقِ حَدِيقَةَ فُلاَنٍ، لِاسْمِكَ، فَمَا تَصْنَعُ فِيهَا؟ قَالَ: أَمَّا إِذْ قُلتَ هَذَا، فَإِنِّي أَنْظُرُ إِلَى مَا يَخْرُجُ مِنْهَا، فَأَتَصَدَّقُ بِثُلُثِهِ، وَآكُلُ أَنَا وَعِيَالِي ثُلُثًا، وَأَرُدُّ فِيهَا ثُلُثَهُ.
[وَفِي رِوَايَةٍ]: وَأَجْعَلُ ثُلُثَهُ فِي الْمَسَاكِينِ، وَالسَّائِلِينَ، وَابْنِ السَّبِيلِ.

Terjemahan:
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:
"Ketika seorang lelaki berada di kawasan padang pasir, dia mendengar suara dari awan berkata: ‘Sirami kebun si fulan!’ Maka awan itu bergerak dan menurunkan hujan di atas tanah berbatu hitam. Air mengalir ke satu saluran dan menampung semua air tersebut. Lelaki itu mengikuti aliran air itu lalu mendapati seorang lelaki sedang mengarahkan air ke kebunnya dengan cangkul. Dia berkata: ‘Wahai hamba Allah, apakah nama kamu?’ Lelaki itu menjawab dengan nama yang sama seperti yang didengarnya dari awan. Dia berkata: ‘Aku mendengar suara dari awan yang menurunkan air ini berkata: Sirami kebun si fulan (iaitu namamu). Maka apakah yang kamu lakukan dengan kebun ini?’ Lelaki itu menjawab: ‘Aku sedekahkan satu pertiga hasilnya, satu pertiga aku dan keluargaku makan, dan satu pertiga lagi aku pulangkan semula untuk kebun ini.’"
(Dalam riwayat lain disebut: “Aku bahagikan satu pertiga untuk orang miskin, peminta, dan musafir.”)

(Hadis Riwayat Muslim, No. 2984 – Status: Sahih)


---

Pengajaran:

1. Bersedekah membuka pintu keberkatan rezeki. Lelaki dalam hadis ini mendapat keistimewaan kerana keikhlasannya membelanjakan hartanya di jalan Allah.


2. Keberkatan rezeki tidak diukur pada jumlahnya, tetapi pada cara ia digunakan — membahagi hasil kepada sedekah, keluarga, dan pelaburan semula.


3. Amal sedekah boleh menjadi sebab turunnya rahmat Allah, seperti hujan yang menyuburkan kebun lelaki tersebut.


4. Memberi manfaat kepada orang lain, terutama yang memerlukan, akan membuka jalan kemudahan dan keberkatan hidup.


5. Bijak mengurus rezeki dengan membahagi hasil kepada sedekah, keperluan, dan pelaburan adalah tanda hikmah serta tanggungjawab.




---

🗓️ 14 Rabiul Akhir 1447H / 06 Oktober 2025M

Saturday, 4 October 2025

ZAKAT MENGHILANGKAN KEBURUKAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

ZAKAT MENGHILANGKAN KEBURUKAN

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: قَالَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ إِنْ أَدَّى الرَّجُلُ زَكَاةَ مَالِهِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ أَدَّى زَكَاةَ مَالِهِ فَقَدْ ذَهَبَ عَنْهُ شَرُّهُ
(Hadis riwayat Ibn Khuzaymah, 4/13; al-Hakim, 1/390. Status: Hadis Hasan)

Maksudnya:
Daripada Jabir bin Abdullah RA, beliau berkata: Seorang lelaki dari kalangan kaum itu bertanya:
“Wahai Rasulullah, bagaimana jika seseorang itu menunaikan zakat hartanya?”
Lalu Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang menunaikan zakat hartanya, maka hilanglah keburukan (bahaya) daripada hartanya.”


---

Pengajaran:

1. Menunaikan zakat menyucikan harta daripada hak orang lain, sekali gus menghindarkan bala, musibah dan kemurkaan Allah akibat kedekut atau menzalimi hak orang miskin.


2. Harta yang tidak dizakatkan berpotensi membawa keburukan seperti hilang keberkatan, menjadi penyebab azab di akhirat bahkan boleh membawa bala di dunia.


3. Zakat bukan sahaja menyucikan harta tetapi juga jiwa pemberinya, menjadikannya lebih tenang dan diberkati.


4. Orang yang menunaikan zakat menyempurnakan tanggungjawab agama serta bebas daripada dosa dan tuduhan mengabaikan hak orang lain.


5. Zakat mengekalkan keharmonian sosial dengan mengelakkan jurang antara si kaya dan si miskin, serta menghapuskan rasa benci dan iri hati.


6. Islam menitikberatkan keseimbangan antara hak individu dan hak masyarakat. Zakat memastikan kekayaan tidak hanya berlegar dalam kalangan orang kaya sahaja.


7. Menunaikan zakat bukan sekadar transaksi kewangan tetapi pembentuk keperibadian dermawan dan menjauhkan diri daripada cinta dunia yang melampau.


8. Bagi mereka yang memiliki harta yang dikenakan zakat seperti wang simpanan, emas, perak, pendapatan tetap atau pelaburan yang cukup nisab dan haul, hendaklah menunaikannya dengan ikhlas kerana ia membawa keberkatan serta perlindungan daripada Allah SWT.




---

13 Rabiul Akhir 1447H
05 Oktober 2025M

Friday, 3 October 2025

AMALAN MASUK SYURGA DAN JAUHI NERAKA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

AMALAN MASUK SYURGA DAN JAUHI NERAKA

عَنْ أَبِي أَيُّوبَ خَالِدِ بْنِ زَيْدٍ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَخْبِرْنِي بِعَمَلٍ يُدْخِلُنِي الْجَنَّةَ، قَالَ: وَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: تَعْبُدُ اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا، وَتُقِيمُ الصَّلَاةَ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ

Daripada Abu Ayyub Khalid bin Zaid al-Ansari RA, di mana seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW:
“Wahai Rasulullah, beritahulah aku satu amalan yang boleh memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkan aku daripada neraka.”
Maka Baginda SAW bersabda:
“Engkau menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan menyambung silaturahim.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, No: 5983 – Status: Sahih)

Pengajaran:

1. Amalan yang membawa ke syurga dan menjauhkan daripada neraka ialah beribadat dengan tidak melakukan syirik, menunaikan solat, mengeluarkan zakat dan menjaga hubungan silaturahim.


2. Segala amalan bergantung kepada akidah yang benar. Menyembah Allah tanpa syirik adalah syarat utama untuk masuk syurga.


3. Mendirikan solat bermaksud melaksanakannya dengan syarat, rukun, khusyuk dan tepat waktu. Solat adalah tiang agama dan pemisah antara iman dan kufur.


4. Menunaikan zakat bukan hanya membersihkan harta, tetapi juga memupuk keadilan sosial dan menghapus sifat tamak.


5. Islam menekankan hubungan kekeluargaan. Memelihara silaturahim ialah tanda kesempurnaan iman – antaranya berbuat baik kepada keluarga, bertanya khabar, membantu ketika susah, dan tidak memutuskan hubungan.


6. Hadis ini memberi panduan ringkas untuk berjaya di akhirat: akidah benar, ibadah sempurna, dan akhlak sosial yang baik. Islam menyeimbangkan hubungan dengan Allah dan sesama manusia.



📅 12 Rabiul Akhir 1447H / 04 Oktober 2025M

Thursday, 2 October 2025

KEMATIAN AKIBAT SAKIT PERUT

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

KEMATIAN AKIBAT SAKIT PERUT

عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ السَّبِيعِيِّ قَالَ سُلَيْمَانُ بْنُ صُرَدٍ لِخَالِدِ بْنِ عُرُفْطَةَ أَوْ خَالِدٌ لِسُلَيْمَانَ: أَمَا سَمِعْتَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَن قَتَلَهُ بَطْنُهُ لَمْ يُعَذَّبْ فِي قَبْرِهِ؟ فَقَالَ أَحَدُهُمَا لِصَاحِبِهِ: نَعَمْ

Daripada Abu Ishaq al-Sabi‘i, beliau berkata: Sulaiman bin Surad berkata kepada Khalid bin ‘Urfaṭah atau Khalid berkata kepada Sulaiman: "Tidakkah engkau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: 'Sesiapa yang mati disebabkan sakit perut, dia tidak akan diazab dalam kuburnya'?" Lalu salah seorang daripada mereka menjawab kepada rakannya: "Ya (benar, aku mendengarnya).”

(Sunan al-Tirmizi No: 1064)
Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Mati akibat sakit perut dianggap sebagai bentuk syahid (seperti cirit-birit yang teruk, barah perut, atau penyakit dalaman) termasuk dalam kategori syahid akhirat kerana mereka tidak diazab di dalam kubur.


2. Al-Qurtubi menyatakan bahawa maksud "tidak diazab di kubur" bagi orang yang mati akibat sakit perut ialah keadaan mereka diringankan dalam alam barzakh, sebagai rahmat dan keampunan Allah kerana redha dan sabar menanggung kesakitan di dunia.


3. Penyakit yang menimpa seorang mukmin boleh menjadi penghapus dosa jika ia sabar, redha dan ikhlas dengan ujian tersebut.


4. Sakit bukan tanda kemurkaan Allah, bahkan boleh menjadi tanda kasih sayang-Nya yang ingin menyucikan hamba daripada dosa sebelum meninggal.


5. Hadis ini memberi pengharapan dan ketenangan kepada mereka yang sakit, bahawa dengan kesabaran dan iman, bahkan kematian akibat sakit boleh membawa kemuliaan syahid serta keselamatan di alam kubur.



11 Rabiul Akhir 1447H
03 Oktober 2025

Wednesday, 1 October 2025

GANJARAN MENYEMPURNAKAN JENAZAH

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

GANJARAN MENYEMPURNAKAN JENAZAH

عَنْ أَبِي رَافِعٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
مَن غَسَّلَ مَيِّتًا فَكَتَمَ عَلَيْهِ غُفِرَ لَهُ أَرْبَعِينَ مَرَّةً، وَمَن كَفَّنَ مَيِّتًا كَسَاهُ اللَّهُ مِنَ السُّندُسِ وَإِسْتَبْرَقِ الْجَنَّةِ، وَمَن حَفَرَ لِمَيِّتٍ قَبْرًا فَأَجَنَّهُ فِيهِ أُجْرِيَ لَهُ مِنَ الْأَجْرِ كَأَجْرِ مَسْكَنٍ أُسْكِنَهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Daripada Abu Rafi‘ RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang memandikan jenazah lalu menyembunyikan (aib)nya, Allah akan mengampuninya sebanyak empat puluh kali. Dan sesiapa yang mengkafankan jenazah, Allah akan memakaikannya dengan sutera halus (sundus) dan tebal (istabraq) dari syurga. Dan sesiapa yang menggali kubur untuk jenazah lalu mengebumikannya di dalamnya, akan diberikan pahala seumpama menyediakan tempat tinggal (rumah) kepadanya sehingga hari kiamat."
(HR al-Hakim, 1/354 – Hadis Hasan)

Pengajaran:

1. Mengurus jenazah dengan memandikan, mengkafankan, dan mengebumikannya adalah ibadah besar yang diberi ganjaran oleh Allah jika dilakukan dengan ikhlas dan penuh adab.


2. Orang yang memandikan jenazah hendaklah menjaga aib si mati. Aib itu boleh berupa perubahan fizikal, bau busuk atau tanda buruk pada jenazah.


3. Menyembunyikan aib jenazah menjadi sebab Allah mengurniakan keampunan yang besar, sebanyak 40 kali atau darjat, menunjukkan betapa tinggi nilai menjaga rahsia seorang Muslim.


4. Mengkafankan jenazah adalah fardhu kifayah, dan Allah menjanjikan balasan yang agung kepada mereka yang menunaikan hak ini dengan penuh ihsan.


5. Menggali kubur serta mengebumikan jenazah juga fardhu kifayah, dan ganjarannya seumpama memberi tempat tinggal kekal kepada si mati hingga hari kiamat.


6. Hadis ini mengingatkan tentang rahmat dan ganjaran besar Allah kepada mereka yang mengurus jenazah dengan penuh hormat, serta kewajipan menjaga hak dan maruah si mati.



10 Rabiul Akhir 1447H
02 Oktober 2025M

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...