Saturday, 11 October 2025

AMAL KEBAJIKAN DIGANJARI KEBAIKAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

AMAL KEBAJIKAN DIGANJARI KEBAIKAN

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ، قَالَتْ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
صَنَائِعُ الْمَعْرُوفِ تَقِي مَصَارِعَ السُّوءِ، وَالصَّدَقَةُ خَفِيًّا تُطْفِئُ غَضَبَ الرَّبِّ، وَصِلَةُ الرَّحِمِ زِيَادَةٌ فِي الْعُمُرِ، وَكُلُّ مَعْرُوفٍ صَدَقَةٌ، وَأَهْلُ الْمَعْرُوفِ فِي الدُّنْيَا هُمْ أَهْلُ الْمَعْرُوفِ فِي الْآخِرَةِ، وَأَهْلُ الْمُنْكَرِ فِي الدُّنْيَا هُمْ أَهْلُ الْمُنْكَرِ فِي الْآخِرَةِ.

Daripada Ummu Salamah, Ummul Mukminin RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Amalan-amalan kebajikan dapat menghindarkan daripada kecelakaan yang buruk, dan sedekah yang diberikan secara sembunyi dapat meredakan kemurkaan Allah. Menyambung silaturahim pula dapat memanjangkan umur. Setiap kebaikan adalah satu sedekah. Orang-orang yang melakukan kebaikan di dunia adalah juga orang-orang yang dikenali dengan kebaikan di akhirat, dan orang-orang yang biasa melakukan kejahatan di dunia akan juga menjadi ahli kejahatan di akhirat.”
(HR al-Ṭabarānī No: 6086)
Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Perbuatan baik seperti membantu orang lain, bersedekah, meringankan beban dan memberi manfaat kepada orang lain menjadi sebab turunnya rahmat Allah serta dapat menghindarkan bala dan kesudahan yang buruk.


2. Sedekah yang dilakukan secara rahsia mencerminkan keikhlasan dan menjauhkan diri daripada riyak; ia dapat menghapuskan dosa serta memadamkan kemurkaan Allah.


3. Menghubungkan silaturrahim membawa keberkatan umur, ketenangan hidup, serta meluaskan rezeki dan perlindungan daripada keburukan.


4. Setiap kebaikan adalah sedekah — termasuk memberi senyuman, menolong orang, menasihati, dan menyingkirkan halangan dari jalan.


5. Orang yang biasa berbuat baik di dunia akan mendapat ganjaran, kemuliaan dan tempat yang baik di akhirat.


6. Orang yang berbuat jahat di dunia tanpa bertaubat akan menerima balasan kejahatan di akhirat kecuali jika mendapat keampunan Allah.


7. Jadilah insan yang suka melakukan kebaikan walaupun kecil, dan jauhi maksiat kerana ia memberi kesan terhadap kehidupan akhirat.



20 Rabiul Akhir 1447H
12 Oktober 2025M

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...